Sunday, May 30, 2010

YB GAN PEI NEI MINTA PKR 'TARBIYAH' AHLI

Mohd Nor Yahya HARAKAHDAILY
KOTA BHARU, 30 Mei: Adun Rawang, Gan Pei Nei mencadangkan agar PKR menggunakan sistem tarbiyah untuk mendidik ahlinya agar tidak lagi melompat parti.

Perwakilan PKR dari Selangor berkata kegagalan parti menangani isu lompat parti seharusnya tidak timbul sekiranya ahli dan wakil-wakil rakyat dalam PKR diberi tarbiyah terlebih dahulu.

Gan Pei Nei menegaskan penghapusan Biro Tata Negara amatlah wajar namun ia seharusnya digantikan dengan konsep tarbiyah.

Apa yang dimaksudkan oleh Adun Rawang itu tidak diketahui tetapi tarbiyah adalah sistem pendidikan yang dilaksanakan dalam parti Islam iaitu PAS.

Menurut Pei Nei, melalui tarbiyah, ahli dan pimpinan PKR akan dididik dalam dua aspek besar iaitu rohani dan jasmani.

Gan juga berharap tindakan dapat diambil kepada mana –mana ahli yang melanggari peraturan yang ditetapkan dan menyarankan agar mana-mana kakitangan dalam kerajaan negeri yang engkar dengan peraturan maupun dasar kerajaan negeri dibuang daripada pengurusan dan petadbiran negeri.

Perwakilan dari Terengganu Dr Sazali Hassan turut menyokong Gan dan meminta pemimpin dan ahli PKR ditarbiyah. Beliau berkata, isu keluar parti memang menjadi isu penting bagi pemimpin bawahan yang sentiasa berdepan dengan rakyat secara langsung.

Perlembagaan negara

Sementara itu wakil dari Perak Baldip Singh pula berharap PKR dapat memertabatkan perlembagaan negara sebaik mungkin sekiranya dapat mentadbir negara ini.

“Kita amat kesal sehingga kini sudah banyak pencabulan dalam hak perlembagaan negara oleh umno/BN semenjak kemerdekaan dicapai lebih 50 tahun lalu,”ujar beliau.

Baldip juga berharap isu seperti yang berlaku di Perak dalam krisis mengangkat Speaker keluar dari Dewan Undangan Negeri adalah satu perbuatan biadap yang dilakukan oleh pimpinan Umno.

Menyentuh isu persempadanan dalam pilihanraya yang dilakukan kini, ia amat mengecewakan kerana akan banyak menyusahkan parti Pakatan Rakyat.

Beliau juga membangkitkan isu pemecatan 817 ketua kampung yang dilakukan oleh kerajaan BN kini amat tidak adil dan melanggari hak mereka yang telah dipilih secara pengundian.

Perwakilan wanita Hasnah Hashim pula membidas kerajaan BN yang begitu mudah menyerahkan dua telaga minyak kepada negara Brunei dan kerugian yang dianggarkan adalah melebihi RM320 billion.

“Cuba bayangkan dengan wang sejumlah itu apa yang kerajaan Malaysia dapat laksanakan kepada rakyat, tetapi itu hanyalah angan-angan sahaja,”kata beliau.

No comments:

Post a Comment

Followers