Monday, May 31, 2010

KONVOI GAZA : PAS DESAK PBB, OIC BERTINDAK SEGERA

Wan Nordin Wan Yaacob HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 31 Mei: PAS mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara-negara Persidangan Islam (OIC) segera bertindak terhadap serangan tentera Israel ke atas Konvoi Bantuan Antarabangsa Gaza, pagi ini.

Sehingga kini, dilaporkan 16 aktivis kemanusiaan yang berada di atas kapal berkenaan meninggal dunia yang turut disertai wakil Malaysia.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, akan mengadakan himpunan aman membantah serangan tersebut di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, selepas solat Jumaat, 4 Jun ini.

Sehubungan itu, PAS mengajak orang ramai juga menyertai himpunan aman tersebut.

Ujarnya lagi, PAS kesal dan mengutuk serangan ke atas aktivis kemanusiaan ini sambil menyifatkan ianya sebagai satu lagi kekejaman Israel.

"Kita mahu Malaysia selaku negara anggota OIC segera mencadangkan sidang tergempar bagi menyatakan pendirian dalam isu ini," ujarnya lagi.

PAS juga, katanya akan menganjurkan persidangan khas mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, kekejaman Zionis ini mesti dikutuk segera oleh masyarakat dunia.

"Mari kita sama-sama bermunajat menyelamatkan Gaza dan Masjid Al-Aqsa," katanya.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad pula meminta supaya rakyat dinegara ini melakukan solat hajat dan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan anggota konvoi ini dan rakyat Palestine.

Semua masjid dan surau diminta mengadakan majlis solat hajat besar-besaran minggu ini sebelum demontrasi besar bersama NGO dan penyokong soladariti Palestine Jumaat ini di hadapan kedutaan Amerika.

Selain itu, Ketua Dewan Muslimat PAS N.Selangor, Wan Hasrina bt Wan Hassan melahirkan kekesalan terhadap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) yang dilihat masih berdiam diri dari menyelamatkan Konvoi Kemanusiaan tersebut.

"Kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan untuk bangkit menyatakan sokongan kepada Rakyat Palestin dan kita juga mengecam Amerika Syarikat yang membiarkan saja kekejaman yang dilakukan oleh tentera Israel," katanya.

KONVOI GAZA : 16 MATI KAPAL DIRAMPAS

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Mei: (12.30 tengah hari waktu Malaysia) – Israel dilaporkan telah merampas kapal-kapal konvoi Freedom Flotilla. Dilaporkan jumlah kematian meningkat kepada 16 orang dan lebih dari 30 orang cedera ketika pasukan Israel menyerang kapal-kapal Freedom Flotilla pada pagi ini, menurut laporan dari Radio Tentera Darat Israel.

Laman web Haluan Palestin melaporkan, konvoi kemanusiaan itu diserang ketika menghampiri 65 km dari pantai Gaza. Mereka juga berkata kapal-kapal itu sekarang sedang ditarik ke bandar Haifa Israel, bukan ke Asdod untuk mengelakkan wartawan menunggu di sana.

Wartawan Al Jazeera, Elshayyal Jamal yang berada dalam kapal Mavi Marmara, mengatakan bahawa tentera Israel telah menggunakan peluru hidup ketika mereka memasuki dan merampas kapal.

Menurut wartawan Ayman Mohyeldin dari Al Jazeera yang melaporkan dari Baitulmuqaddis, berkata tindakan Israel itu mengejutkan.

“Semua gambar yang dipaparkan dari para aktivis di kapal-kapal menunjukkan dengan jelas bahawa mereka adalah warga awam dan bertujuan membawa misi kemanusiaan dengan bekalan perubatan di atas kapal. Tindakan Israel ini pasti akan mengejutkan masyarakat antarabangsa atas apa yang telah mereka lakukan,” katanya.

Ketika ini, ribuan masyarakat Turki mengadakan demonstrasi aman di hadapan kedutaan Israel.

Untuk makluman, seramai lapan orang wakil sukarelawan dari Malaysia berada dalam konvoi kemanusiaan tersebut di atas kapal Mavi Marmara yang diketuai oleh Sdr Noorazman Shamsudin dari HALUANPalestin bersama empat orang lagi juga dari HALUANPalestin dan baki dari Yayasan Amal Malaysia, Jamaah Islah Malaysia (JIM) dan Muslim Care.

Pihak Sekretariat Pengurusan Krisis-Lifeline4Gaz a (CMT-LL4G) Malaysia masih belum menerima sebarang berita akan situasi dan keadaan mereka di sana memandangkan jalur perhubungan dengan pihak kapal telah terputus.

Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Krisis-Lifeline4Gaz a (CMT-LL4G) akan mengadakan sidang media tergempar pada hari ini (Isnin, 31 Mei 2010) berhubung perkembangan serangan Israel terhadap Armada Bantuan Kemanusiaan Gaza atau Freedom Flotilla pada jam 3.00 petang bertempat di Hotel De Palma Inn, Seksyen 19, Shah Alam. Semua wakil media dijemput hadir.

Untuk maklumat lanjut, sila hubungi; Saudara Solehuddin Shuib, Setiausaha CMT-LL4G Telefon: 019 5511 600.

Marilah sama-sama kita berdoa agar diselamatkan sukarelawan NGO yang berada di atas kapal dan Allah SWT sentiasa memberikan keselamatan dan kebaikannya kepada mereka. Walau apapun yang berlaku diharapkan mereka sentiasa ikhlas dan mendapat keredhaan dari Allah SWT.

Untuk mengikuti lintas langsung perkembangan tersebut, sila layari http://www.livestream.com/insaniyardim/

Sunday, May 30, 2010

YB GAN PEI NEI MINTA PKR 'TARBIYAH' AHLI

Mohd Nor Yahya HARAKAHDAILY
KOTA BHARU, 30 Mei: Adun Rawang, Gan Pei Nei mencadangkan agar PKR menggunakan sistem tarbiyah untuk mendidik ahlinya agar tidak lagi melompat parti.

Perwakilan PKR dari Selangor berkata kegagalan parti menangani isu lompat parti seharusnya tidak timbul sekiranya ahli dan wakil-wakil rakyat dalam PKR diberi tarbiyah terlebih dahulu.

Gan Pei Nei menegaskan penghapusan Biro Tata Negara amatlah wajar namun ia seharusnya digantikan dengan konsep tarbiyah.

Apa yang dimaksudkan oleh Adun Rawang itu tidak diketahui tetapi tarbiyah adalah sistem pendidikan yang dilaksanakan dalam parti Islam iaitu PAS.

Menurut Pei Nei, melalui tarbiyah, ahli dan pimpinan PKR akan dididik dalam dua aspek besar iaitu rohani dan jasmani.

Gan juga berharap tindakan dapat diambil kepada mana –mana ahli yang melanggari peraturan yang ditetapkan dan menyarankan agar mana-mana kakitangan dalam kerajaan negeri yang engkar dengan peraturan maupun dasar kerajaan negeri dibuang daripada pengurusan dan petadbiran negeri.

Perwakilan dari Terengganu Dr Sazali Hassan turut menyokong Gan dan meminta pemimpin dan ahli PKR ditarbiyah. Beliau berkata, isu keluar parti memang menjadi isu penting bagi pemimpin bawahan yang sentiasa berdepan dengan rakyat secara langsung.

Perlembagaan negara

Sementara itu wakil dari Perak Baldip Singh pula berharap PKR dapat memertabatkan perlembagaan negara sebaik mungkin sekiranya dapat mentadbir negara ini.

“Kita amat kesal sehingga kini sudah banyak pencabulan dalam hak perlembagaan negara oleh umno/BN semenjak kemerdekaan dicapai lebih 50 tahun lalu,”ujar beliau.

Baldip juga berharap isu seperti yang berlaku di Perak dalam krisis mengangkat Speaker keluar dari Dewan Undangan Negeri adalah satu perbuatan biadap yang dilakukan oleh pimpinan Umno.

Menyentuh isu persempadanan dalam pilihanraya yang dilakukan kini, ia amat mengecewakan kerana akan banyak menyusahkan parti Pakatan Rakyat.

Beliau juga membangkitkan isu pemecatan 817 ketua kampung yang dilakukan oleh kerajaan BN kini amat tidak adil dan melanggari hak mereka yang telah dipilih secara pengundian.

Perwakilan wanita Hasnah Hashim pula membidas kerajaan BN yang begitu mudah menyerahkan dua telaga minyak kepada negara Brunei dan kerugian yang dianggarkan adalah melebihi RM320 billion.

“Cuba bayangkan dengan wang sejumlah itu apa yang kerajaan Malaysia dapat laksanakan kepada rakyat, tetapi itu hanyalah angan-angan sahaja,”kata beliau.

KETUA CAWANGAN PAS KPG BAHAGIA MENINGGAL DUNIA


TELUK INTAN, 29 Mei - Ketua PAS Cawangan Kg. Bahagia, Ustaz Haji Shamsuddin bin Tamyis , 85, telah meninggal dunia petang tadi di Hospital Ipoh. Sebelum itu, beliau telah dimasukkan ke Hospital Ipoh pagi tadi oleh anaknya setelah mengadu sakit dada. Sehinggalah petang tadi, apabila beliau pergi ke bilik air lalu telah tergelincir dan meninggal dunia.

Almarhum Ustaz Shamsuddin merupakan mantan Yang Di Pertua PAS Teluk pada awal tahun 80-an. Pernah bertanding di peringkat Parlimen Teluk Intan pada Pilihanraya Umum 1982 tetapi belum diberi kemenangan walaupun menurut beliau semasa penamaan calun, calun BN/Gerakan tidak menulis nama pada borang.

Pada Mesyuarat Agung PAS Teluk Intan tahun lepas (2009), almarhum merupakan salah seorang veteran PAS yang telah menerima penganugerahan Jasamu Dikenang.

Sepanjang hayat almarhum Ustaz Shamsuddin sangat bergiat di dalam aktiviti parti dan juga dakwah. Beliau merupakan Ketua PAS Cawangan Kg. Bahagia (antara cawangan PAS yang mempunyai bilangan ahli teramai di Teluk Intan) dan masih menyampaikan pengajian di beberapa surau di sekitar Teluk Intan.

Pihak PAS Kawasan pernah menziarahi beliau dalam usaha menjejaki mantan-mantan YDP PAS Teluk Intan pada tahun 2008.

Pihak PAS Kawasan Teluk Intan , ADUN Changkat Jong dan seluruh ahli PAS mengucapkan takziah kepada keluarga almarhum ustaz. Sesungguhnya pemergian almarhum Ustaz Haji Shamsuddin merupakan satu kehilangan yang amat besar bagi PAS Kawasan Teluk Intan.

Al Fatihah...

* SERIKANDI PAS BLOGSPOT.

Saturday, May 29, 2010

AHLI DHPP JANGAN SERTAI HIMPUNAN GAS

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 29 Mei: Ahli-ahli Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) diminta jangan menyertai perhimpunan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) yang dijadualkan esok, 30 Mei.

Setiausaha DHPP, K Deepakaran menyatakan demikian dalam satu kenyataan ringkas kepada Harakahdaily

Friday, May 28, 2010

'HALAL' JUDI TIDAK MAKMUR ,TAPI UNDANG MURKA ALLAH


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Mei: Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa (gambar) berharap Datuk Seri Najib sedar bahawa dengan langkah kerajaan ‘menghalalkan’ perjudian bola sepak tidak akan bertambah kemakmuran sebaliknya mengundang kemurkaan Allah.

Justeru, katanya sesiapa yang beriman dengan Al-Quran, wajib baginya beriman dengan haramnya judi walau apa pun bentuk dan namanya.

Begitu juga, tambahnya tidak ada mana-mana agama di dalam dunia ini yang menghalal dan menggalakkan amalan berjudi yang sentiasa menimbulkan kemudaratan dalam kehidupan sosial umat manusia.

Menurutnya, langkah kerajaan Malaysia yang memberi lesen perjudian bola sepak sempena Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan Berjaya baru-baru ini adalah satu langkah yang tidak sesuai sama sekali dengan kehendak iman dan akal kita.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok percaya kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ingin melihat kemakmuran kehidupan rakyat dan ingin melihat keberkatan di dalam pentadbirannya.

“Saya berharap dan berdoa kepada Allah SWT supaya beliau sedar bahawa dengan langkah kerajaan menghalalkan perjudian bolasepak tersebut, tidak akan bertambah kemakmuran dan keberkatan sebaliknya kemurkaan Allah dan dosa yang bakal diperolehi.

“Oleh itu, saya ingin memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia supaya dapat menarik balik lesen perjudian bola sepak tersebut dengan serta merta,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, ataupun setidak-tidaknya Najib merujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu sebelum meneruskan langkah tersebut bagi menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara kita.

Bagi negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, beliau percaya tidak akan ada lesen premis perjudian baru yang akan diluluskan.

“Malahan kita akan berusaha sekiranya dibenarkan oleh undang-undang untuk menyekat perlaksanaan aktiviti perjudian bolasepak ini di negeri-negeri yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

“Di samping itu, kita akan meneruskan agenda penerangan terhadap masyarakat mengenai kemudaratan dan keharaman aktiviti perjudian,” katanya.

PAS juga, tegasnya akan terus menerus menyuarakan bantahan terhadap langkah terbaru kerajaan tersebut dan akan terus mendesak supaya ianya dibatalkan serta merta demi maslahat rakyat dan negara.

Thursday, May 27, 2010

DOAKAN KEJAYAAN KONVOI KEMANUSIAAN ANTARABANGSA GAZA



Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Mei: “Sama-sama kita doakan kejayaan konvoi ini membantu saudara-saudara kita di Palestin.”

Demikian antara catatan di laman web Lifeline4Gaza semalam mengenai konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza.

“Insya Allah kami tetap bertekad untuk memastikan barangan ini sampai ke Gaza, walaupun Israel tetap bertegas untuk menghalang. Apakah kami yang membawa bekalan pensil dan pemainan kanak-kanak ini layak digelar pengganas? Ataukah mereka yang menghalang bantuan ini sebenarnya pengganas dan lanun?

“Justeru, sama-sama kita doakan kejayaan konvoi ini membantu saudara-saudara kita di Palestin.”

Lifeline4Gaza melaporkan, dua buah kapal kargo Turki yang menyertai sembilan buah kapal konvoi bantuan kemanusiaan antarabangsa ke Gaza akan membawa antara lain, kelengkapan hospital, ubat-ubatan, peralatan sekolah dan juga bahan-bahan binaan.

Laman web melaporkan media-media di Israel terus membuat pelbagai tuduhan bagi menggagalkan misi konvoi ini.

Namun senarai rasmi barangan yang telah dikeluarkan oleh penganjur utama konvoi petang Selasa, 25 Mei, iaitu Insani Yardim Vakfi (IHH) jelas menunjukkan bahawa kapal-kapal yang menyertai konvoi ini sebenarnya akan membawa keperluan-keperluan asas dan mendesak bagi membantu rakyat Gaza yang saban hari berhadapan dengan maut akibat kekejaman berterusan Zionis Israel.

Keadaan kemanusiaan di Gaza adalah sangat menyedihkan akibat sekatan yang dikenakan oleh Israel sejak lebih lima tahun lalu. Kehidupan di Gaza menjadi semakin mengerikan akibat serangan Operation Cast Lead Israel, di mana hampir semua prasarana dan keperluan asas dimusnahkan. Mereka yang tercedera atau sakit secara umumnya hanya mampu menunggu saat kematian kerana tidak ada kemudahan rawatan dan dihalang daripada mendapat rawatan di pusat-pusat rawatan di luar Gaza.

Di samping sekatan terhadap pergerakan rakyat Gaza ke luar daerah, sebarang bantuan daripada negara luar juga dihalang. Justeru, rakyat Gaza terus cekal dan bersabar hidup di bawah runtuhan-runtuhan tanpa sebarang perhatian daripada dunia luar mahupun negara jiran. Konvoi bantuan kemanusiaan ini diharapkan akan dapat membina semula kehidupan di Gaza.

Ketika menyampaikan taklimat kepada media-media antarabangsa yang akan turut menyertai konvoi tersebut di Stadium Kepez Arena, Antalya, pegawai kanan IHH, Nalan Dal bersama ketua bagi kelengkapan teknikal media IHH, Umit Sonmiz telah menyenaraikan barangan yang akan dibawa oleh kedua-dua buah kapal tersebut, yang masing-masing diberi nama Kapal “Defne Y” dan Kapal “Gaza”.

Kapal “Gaza” akan membawa 2,104 tan simen, 600 tan besi binaan dan 50 tan jubin seramik. Manakala Kapal “Defne Y” akan membawa lebih banyak muatan. Antaranya, kapal ini akan membawa 150 tan besi untuk binaan rakit dan kemudahan dermaga, rumah-rumah mudah-bina (precast homes), 18 penjana kuasa elektrik berkuasa lebih 35KW dan 80 penjana kuasa elektrik di bawah 5KW. Turut disenaraikan adalah kelengkapan untuk taman permainan kanak-kanak seperti gelungsur dan jongkang-jongkit.

Dalam kategori peralatan hospital dan ubat-ubatan, turut disenaraikan alat seperti Ultrasound dan X-ray, katil pesakit, kerusi roda, dan kemudahan rawatan pergigian. Pelbagai jenis ubat-ubatan turut disenaraikan.

Kelengkapan sekolah seperti pensil, pemadam, plastisin, buku tulis juga akan dibawa, di samping keperluan pakaian seperti tuala dan kasut dan juga peralatan memasak dan beberapa jenis makanan

Wednesday, May 26, 2010

TINGGALKAN MIC, SERTAI DHPP


Dzulfikar Mashoor HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 26 Mei: Timbalan Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) N. Balasubramaniam menyeru masyarakat India, khususnya ahli MIC supaya meninggalkan parti perkauman itu dan menyertai DHPP menyokong PAS.

Menurutnya, MIC kini sedang retak menanti belah akibat krisis kepimpinan dan dilihat sudah tiada masa depan, apatah lagi dengan penguasaan presidennya Datuk Seri S. Samy Vellu yang dilihat sudah tidak mampu meneraju MIC.

“Kalau Samy jadi Presiden 10 tahun lagi pun, apakah keuntungan untuk masyarakat India,” soal beliau.

Sesuai dengan selogan 'PAS untuk semua', PAS katanya mengormati semua kaum dan terbukti dengan penubuhan Kelab Penyokong PAS (KPP) yang kini sudah dinaik taraf kepada DHPP.

“Jika ada perselisihan, maka kami diminta merujuk terus pada Presiden (Tuan Guru Abdul Hadi Awang) dan pemimpin PAS akan laksana keadilan seperti yang Islam ajar,” jelas beliau lagi.

Katanya, Islam yang dibawa PAS tidak pernah meminggirkan hak mana-mana kaum malah disuruh menghormati serta membela semua kaum yang tertindas, seperti kaum minoriti India dan Cina.

Dalam perkembangan yang lain, beliau turut menempelak kenyataan Ketua Umno Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee beberapa hari lalu, kononnya PAS terpaksa mengemis sokongan masyarakat bukan Islam dengan menubuhkan DHPP.

“Itu dia (Syed Ali) yang kata, kami sebenarnya berminat dengan perjuangan keadilan yang diajar dalam Islam, diperjuangkan oleh PAS selama ini.”

“Di kalangan kami yang berbangsa India kebanyakannya tidak berminat dengan MIC, Umno yang zalim pada kaum-kaum bukan Melayu pun kami tak minat,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau menyeru masyarakat India yang kian muak dengan MIC untuk bersama dengan PAS ke arah masa depan yang lebih terbela.

Tuesday, May 25, 2010

MUKTAMAR DIJANGKA BAHAS PERSIAPAN PRU 13


Dzulfikar Mashoor HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 25 Mei: Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) menjangkakan perbahasan pada Muktamar PAS Tahunan ke-56 yang bermula pada 11 Jun depan ditumpukan kepada persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13).

Menurut beliau, tumpuan sedemikian dilihat wajar kerana kira-kira 1,000 perwakilan daripada 172 kawasan umumnya percaya bahawa PRU 13 akan diadakan pada 2011.

"Perbahasan mungkin sudah ke arah persiapan PAS, Pakatan Rakyat untuk menghadapi PRU 13 berkaitan bagaimana menghadapi musuh utama Umno serta media-media arus perdana yang ketara dikawal oleh mereka.

"Kita mungkin takkan menghadapi muktamar satu lagi sebelum PRU 13, muktamar inilah mungkin baik untuk kita buat apa juga persiapan," jelas beliau ketika dihubungi Harakahdaily.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Usul Muktamar berkata, perwakilan umumnya mungkin tidak dapat lari daripada berbahas tentang pengalaman kekalahan Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor serta berjaya di Sibu.

Ini kerana, katanya kedua-dua pilihan raya tersebut kebetulan hampir dengan muktamar kali ini.

Ujarnya lagi, walaupun bukan calon PAS yang bertanding dalam kedua-dua pilihan raya tersebut, namun trend pengundian dalam kedua-dua pilihan raya itu mencerminkan sokongan sebenar rakyat, khususnya masyarakat Melayu terhadap Pakatan Rakyat.

Implisitnya, beliau berkata, penyusutan sokongan masyarakat Melayu sekaligus memberi gambaran tidak langsung kepada PAS kerana PAS secara tradisi bertanding di kawasan-kawasan jalur Melayu majoriti.

Sehubungan itu, beliau secara peribadi menyuarakan rasa yakin bahawa muktamar merupakan wadah terbaik untuk mencari formula demi memastikan kaum Melayu bersedia memberi undi kepada PAS.

Untuk itu, menurut beliau, Ustaz Abdul Rahim Abdul Rahman, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS Pusat dijangka akan membentangkan formula PAS untuk memenangi jiwa rakyat, khususnya kaum Melayu.

Sekiranya muktamar kali ini dijadikan medan terbaik untuk mencanai formula memperkukuh parti, beliau percaya bahawa PAS boleh menjadi tiang seri utama Pakatan Rakyat seterusnya menggantikan Umno BN pada PRU 13 kelak.

Monday, May 24, 2010

JUDI BOLA : PAS MINTA MAJLIS RAJA-RAJA AMBIL TINDAKAN



Dzulfikar Mashoor HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 24 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) menyuarakan rasa yakin bahawa Majlis Mesyuarat Raja-Raja Malaysia mampu mempengaruhi kerajaan supaya membatalkan lesen judi bola sempena Piala Dunia 2010.

"Kami (Ahli Parlimen PAS) berkeyakinan bahawa Majlis Raja-Raja Melayu mengambil tindakan yang wajar mempengaruhi kerajaan supaya isu pemberian lesen judi ini dibatalkan segera," jelas beliau tengah hari tadi, mewakili Ahli Parlimen PAS.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Majlis Raja-Raja Melayu pada era 1960-an dahulu pernah menunjukkan teladan kepada rakyat dengan mendesak kerajaan Umno BN membatalkan Loteri Kebajikan.

Tambahnya lagi, almarhum Tuanku Sultan Perlis merupakan Raja yang paling menonjol menegur pemimpin Umno pada ketika itu.

Sempena mesyuarat Majlis Raja-Raja Malaysia pada 26 Jun depan yang kebetulan dipengerusikan oleh Tuanku Raja Perlis sekarang, beliau berharap majlis berkenaan mampu mempengaruhi kerajaan supaya membatalkan lesen judi tersebut.

Bercakap pada sidang media yang sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad pula menempelak Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr. Mohd Khir Toyo dan Presiden Perkasa, Datuk Ibrahim Ali yang mencabar PAS menutup premis judi di negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat terlebih dahulu.

Beliau menyifatkan cabaran Mohd Khir dan Ibrahim itu sebagai mencipta alasan untuk menutup pekung Datuk Seri Najib Tun Razak yang meluluskan lesen judi itu.

Sebelum pada itu, suatu memorandum bantahan diserahkan kepada Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah, Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Malaysia sambil disaksikan oleh Penolong Setiausahanya, Datuk Sabtu Awwab.

Manakala Ahli Parlimen PAS yang menyertai Mahfuz pula adalah Datuk Kamaruddin Jaffar (Tumpat), Siti Zailah Yusoff (Rantau Panjang) dan Dr. Lo' Lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa) dan Syed Azman Syed Ahmad Nawawi (Adun Batu Burok).

Sunday, May 23, 2010

LOMPAT PARTI HANYA SOALAN BODOH - YB TAN SHOW KANG

Harakahdaily
ALOR SETAR, 23 Mei: Adun Sidam Tan Show Kang yang terbabit dalam spekulasi akan melompat parti malam tadi menyifatkan khabar angin tersebut sebagai 'bodoh' dan tidak benar sama sekali.

Berucap pada perhimpunan ceramah khas bubar Dun di Markas PAS Kedah, Kota Sarang Semut beliau berkata, penjelasannya malam tadi adalah yang terakhir dan tidak akan melayan soalan berkaitan lagi.

"Jika ia lagu yang sedap, saya tidak keberatan untuk dengar (berulang kali), tetapi ini adalah soalan bodoh.

"Saya penat dan bosan kerana terpaksa menjawab soalan yang sama berkali-kali. Biar ia dihentikan malam ini," katanya.

Beliau malam tadi sekali lagi mengulangi pendirian tegasnya dihadapan ribuan yang hadir bahawa beliau akan kekal bersama Pakatan Rakyat mentadbir negeri Kedah dan sesekali tidak akan melompat.

"Berapa kali hendak saya mengatakan saya tidak mahu melompat? Saya terus bercakap benda yang sama. Media minta saya adakan sidang media, jadi saya memberitahu mereka OK, buat selama-lamanya, kita akhir perkara ini.

"Saya akan berada di sini pada 22 Mei dan ini adalah kali terakhir saya mahukan mengatakan tidak, saya tidak akan melompat dan tidak, kerajaan negeri tidak akan tumbang," katanya lagi.

Penyertaan semua Adun Pakatan Rakyat negeri Kedah malam tadi secara jelas menolak sama sekali khabar angin kononnya kerajaan PR negeri Kedah bakal tumbang.

Himpunan tersebut menjadi tumpuan banyak pihak sejak khabar angin berhubung beberapa adun PR Kedah akan lompat parti sejak beberapa bulan lalu.

Antara mereka yang dikaitkan dengan khabar angin itu termasuklah Adun Bukit Selambau, S.Manikumar, Lim Soo Nee (Kulim), Tan Show Kang (Sidam ) dan, Lee Guan Aik (Kota Darul Aman).

Mereka malam tadi hadir membuat penjelasan terbuka kepada masyarakat.

Hadir sama adalah pimpinan PAS, PKR dan DAP pusat dan juga negeri.

PKR berhadapan dengan dilema kehilangan wakil rakyatnya sejak pilihan raya umum 2008.

Parti komponen Pakatan Rakyat itu kehilangan lebih 10 wakil rakyat, antaranya kerana keluar parti, dipecat dan kehilangan kerusi ketika pilihan raya kecil.

Friday, May 21, 2010

PAS TETAP PERTAHAN EMPAT PRINSIP UTAMA NEGARA


Ali Hashim = HARAKAHDAILY
BUKIT MERTAJAM, 21 Mei: Ahli Parlimen Parit Buntar, Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan bahawa PAS akan tetap mempertahan dan mendaulatkan empat prinsip utama dalam negara iaitu Islam agama rasmi, hak istimewa orang Melayu, bahasa kebangsaan dan kedudukan Raja-raja Melayu.

Menurut beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS, empat prinsip tersebut akan dipertahankan oleh PAS dalam apa jua cara dan situasi.

Tegasnya, Islam akan tetap dipertahankan sebagai agama rasmi negara yang harus dimartabat dan didaulatkan, begitu juga hak keistimewaan orang-orang Melayu sepertimana termaktub dalam Perlembagaan.

Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat menambah, Bahasa Kebangsaan yang menjadi penyatuan utama semua rakyat dalam negara ini akan tetap dimartabatkan.

“Hak Sultan-Sultan Melayu jua akan tetap dipertahankan supaya ia tidak diperkotak-katikkan dan menjadi payung kepada semua rakyat yang berada dalam negara ini," katanya.

Ke empat asas ini juga telah dipersetujui oleh semua parti dalam Pakatan Rakyat untuk dipertahankan kerana ia telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan. Persetujuan ini telah termaktub dalam satu dokumen yang ditandatangani oleh pemimpin ke tiga-tiga parti dalam Pakatan.

Mujahid yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang turut mencabar Perkasa yang sebelum ini lantang menguar-uarkan bahawa mereka adalah sebuah pertubuhan yang memperjuangkan hak agama Islam dan bangsa Melayu supaya turun padang bersama-sama untuk berdemonstrasi bagi membantah tindakan kerajaan meluluskan lesen perjudian sempena bola sepak Piala Dunia tidak lama lagi.

"Kita mahu melihat Perkasa dan juga para mufti seluruh seluruh negara supaya tunjukkan keberanian mereka untuk menyatakan yang benar bahawa judi itu adalah haram.

“Kelulusan lesen perjudian oleh kerajaan itu juga adalah haram. Oleh kerana itu kita ingin lihat setakat mana keberanian mereka untuk menegakkan hukum Allah tersebut dalam isu ini," ujarnya lagi.

Mujahid berkata demikian dalam ceramah anjuran PAS Kawasan Bukit Mertajam dengan kerjasama Lajnah Penerangan Pemuda PAS Pulau Pinang di Bukit Teh, Seberang Perai Tengah malam tadi.

Turut hadir dalam majlis tersebut ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Chong Eng dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Tan Hock Leong.

Thursday, May 20, 2010

DUN KEDAH TIDAK DIBUBAR 22 MEI

Mohd Sabri Said

PERMATANG PAUH, 20 Mei: Pegawai Khas Menteri Besar Kedah, Hasan Abdul Razak menafikan perkhabaran kononnya Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 22 Mei ini.

Ini ekoran dakwaan kononnya kerajaan negeri semakin kurang mendapat sokongan apabila akan berlaku lagi Adun yang lompat parti.

Katanya, semua khabar angin itu berpunca daripada iri hati musuh Pakatan Rakyat yang tidak senang duduk kerana apa yang dilakukan oleh kepimpinan sekarang menyedarkan rakyat bahawa semasa pemerintahan Barisan Nasional (BN) dulu banyak berlaku penyelewengan, rasuah, penipu dan memperdaya rakyat.

Menurut beliau lagi, kenapa tiba-tiba isu itu timbul sedangkan PAS yang menguasai negeri itu mempunyai 16 kerusi, DAP (1) dan PKR (3) menjadikan semuanya 20 kerusi perlu tunduk kepada BN yang hanya ada 13 kerusi termasuk satu kerusi kosong di Dun Kota Seputeh.

"Buat apa nak bubar Dun kerana kita mempunyai kekuatan 20 kerusi manakala BN 13, beza tujuh kerusi dan dijika dicampur dengan 'katak' ia masih ketara.

“Itu belum ditolak satu kerusi kosong di Kota Seputeh, " jelasnya yang berceramah bersama Ketua Umum dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Saifudin Nasution Ismail di Kampung Pertama, Permatang Pauh malam semalam.

Katanya, Kerajaan Negeri Kedah bertuah kerana Menteri Besar berjaya meningkatkan tahap ekonomi daripada kuncup semasa era BN.

Tambahnya, anak syarikat kerajaan (GLC) yang dulunya tidak pernah memberikan kerajaan satu sen pun kini berjaya menyumbangkan RM30 juta tahun 2009.

Bukan itu sahaja, katanya malahan hasil balak turut meningkat sebanyak RM3.5 juta berbanding dulu sedangkan kerja-kerja menebang membabitkan keluasan yang sama.

"Dua contoh ini sudah cukup menggambarkan kecerdikan kita memerintah kerana selama ini rakyat ditipu hidup-hidup," terangnya di majlis anjuran PKR Permatang Pauh.

Hubunagn itu, rakyat Kedah diingatkan jangan tertipu dengan dakyah yang dimainkan oleh Umno dan BN kerana mereka tidak selesa menjadi pembangkang dan bermimpi untuk menerajui negeri itu semula pada plihan raya umum ke-13 nanti.

Beliau menambah, bagi menjamin keutuhan kerajaan negeri, semua organisasi parti, Majlis Ketua Kampung (MKK) dan sebagainya perlu memastikan ada perancangan dan melaksanakannya selaras dengan slogan 'Kedah Sejahtera'.

Wednesday, May 19, 2010

SIBU BUKTIKAN "SIHIR" PERKAUMAN MULA DITOLAK


Abdul Aziz Mustafa - HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Peningkatan undi Melayu kepada calon Pakatan Rakyat (PR) daripada DAP dalam pilihan raya kecil Sibu, Ahad lalu membuktikan ‘sihir’ perkauman Umno dan media-medianya sudah ditolak oleh rakyat, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Peningkatan undi Melayu kepada calon DAP itu membuktikan tidak semua orang Melayu yang boleh diperbodohkan oleh ‘sihir’ Umno yang mengapi-apikan perkauman," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin apa yang berlaku di Sibu itu akan meningkatkan lagi keyakinan rakyat yang waras untuk menyelamatkan sebahagian orang Melayu yang masih lagi terpedaya dengan tindakan Umno yang mengapi-apikan perkauman.

"Umno tahu, perkauman adalah satu-satunya modal baginya untuk terus wujud.

"Malah ada tokoh Umno sendiri yang menyatakan bahawa Umno tidak lagi layak bercakap mengenai Islam terutama dengan tindakan kerajaan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) memohon petunjuk dari Yahudi Zionis dalam APCO Worldwide dan meluluskan lesen judi bola sempena Piala Dunia 2010.

"Hendak bercakap mengenai keadilan, demokrasi, hak rakyat, usaha menentang rasuah, pemimpin yang bersih dari skandal termasuk skandal pembunuhan atau apa jua mengenai kepimpinan yang bersih dan adil, sudah lama Umno tidak layak bercakap mengenai perkara-perkara itu," kata Salahuddin.

Oleh sebab itulah, katanya, hanya perbuatan mengapi-apikan perkauman yang menjadi penyelamat nyawa Umno.

Beliau bagaimanapun yakin Umno tidak akan dapat menipu orang-orang Melayu selama-lamanya dengan sihir perkauman itu.

"Akhirnya orang-orang Melayu akan sedar semua itu adalah propaganda murahan Umno demi kepentingan survivalnya sendiri dan tidak ada kena-mengena dengan kepentingan orang-orang Melayu.

"Tidak dinafikan bahawa sebahagian orang Melayu masih terlupa bahawa Umnolah yang sebenarnya mengkhianati kepentingan orang-orang Melayu contohnya dengan penghakisan tanah rezab Melayu dan penghakisan kerusi majoriti Melayu dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 lalu.

"Tetapi, mereka tidak terlalu bodoh untuk ditipu selama-lamanya oleh Umno," katanya.

Salahuddin juga juga yakin orang-orang Melayu akhirnya akan sedar bahawa masa hadapan mereka tidak akan dapat dijamin dengan mengapi-apikan perkauman.

"Tugas kita ialah untuk meningkatkan kesedaran orang-orang Melayu bahawa Allah tidak mencipta pelbagai kaum untuk bermusuh-musuhan dan saling menyakitkan hati antara satu sama lain.

"Tugas kita ialah untuk meningkatkan kesedaran orang-orang Melayu bahawa orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa kepada-Nya dan pertolongan Allah kepada bangsa Melayu hanya datang dengan peningkatan ketaqwaan yang menyeluruh kepada-Nya, termasuk mematuhi perintah-Nya supaya meningkatkan ilmu pengetahuan serta memilih pemimpin yang bersih dan bertaqwa," katanya.

Tuesday, May 18, 2010

SIBU : RAKYAT SARAWAK SEDIA BERUBAH

Nazri Abdullah : Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Mei: Penolakan rakyat Sibu terhadap BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 16 Mei lalu jelas mencerminkan kesediaan rakyat Sarawak keseluruhannya membuat perubahan.

Timbalan Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, ianya juga mengesahkan bahawa tsunami politik pada 2008 masih berlaku.

Menurutnya, jika Sibu boleh dijadikan kayu ukur pencapaian Pakatan Rakyat di kepulauan Borneo itu, bermakna Pakatan Rakyat punya kelebihan berdepan BN pada pilihan raya negeri Sarawak tahun hadapan.

"PRK Sibu memberi mesej yang jelas kepada pakatan Rakyat khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun hadapan.

"Kaum Cina sudah sedia menolak BN sejak 2006, tunggu Melayu, Iban dan Dayak sahaja dan Melayu pun sudah buktikan di Sibu," katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Pada PRK Sibu Ahad lalu, di Kampung Hilir Nangka, tempat majoriti masyarakat Melayu Melanau menyaksikan DAP berjaya mendapat undi sebanyak 34 peratus berbanding undi yang diperolehinya pada pilihan raya umum 2008 lalu hanya 12 peratus.

Selain peningkatan sokongan Melayu, pengundi Cina Sibu juga seiring dengan Semenanjung apabila menambahkan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat.

Jika dilihat kawasan pilihan raya Rejang Park iaitu kawasan pengundi Cina, undi untuk DAP meningkat sebanyak 25%.

Bagi Wan Rahim, pemimpin utama Pakatan Rakyat perlu melihat keadaan ini sebagi peluang yang harus dimanfaat sebaiknya dan menyambut harapan rakyat negeri itu.

"Tsunami 2008 masih berterusan, kemarahan rakyat dua tahun lalu masih belum reda malah pada saya kemarahan itu lebih memuncak dengan apa yang dibuat Umno BN sekarang.

"Pada saya, pemimpin Pakatan Rakyat seperti Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Presiden PAS (Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi), perlu duduk semeja berbincang.

"Kalau boleh diselesaikan perkara teknikal, kita kemukan calon 3+1 iaitu PAS, PKR, DAP dan SNAP pada pilihan raya negeri itu nanti," katanya.

Suasana di Sarawak, katanya juga sangat berbeza dengan Semenanjung.

Jika di Semenanjung undi Melayu adalah majoriti, namun di Sarawak undi Melayu adalah minoriti yang menjadi penentu.

Lebih unik katanya, sikap terbuka yang ditunjukkan masyarakat Melayu di Sarawak yang menerima kehadiran kedua-dua pemimpin parti bertanding ke rumah mereka tanpa sebarang prejudis.

"Masyarakat di sana terbuka, walaupun mereka letak bendera parti yang mereka sokong di rumah mereka, namun pemimpin parti lawan tetap diterima masuk berkempen ke rumah mereka.

"Itu yang menyebabkan petugas-petugas kita khususnya muslimat PAS dapat tembus ke semua rumah dan jalankan kempen dengan baik," tambahnya lagi.

Mengulas faktor kekalahan BN pula beliau berpandangan isu pokok penolakan rakyat Sarawak kepada BN adalah kebencian mereka terhadap Ketua Menteri (KM) Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Taib dikatakan terlalu lama menjadi ketua dan penguasaan ekonomi oleh ahli keluarganya sangat dibenci oleh masyarakat di negeri itu.

"Walaupun 30 tahun jadi KM, umur nak masuk 75 tahun depan, namun belum ada tanda-tanda dia akan berundur.

"Maka kempen satu undi untuk BN bersamaan satu undi untuk KM sangat berkesan. Ia memberi mesej bahawa dengan menolak BN bermakna juga menolak KM," jelasnya.

Pada PRK lalu, Pakatan Rakyat menerusi calon DAP, Wong Ho Leng memperoleh 18,845 undi manakala Robert Lau Hui Yew (BN) mendapat 18,447 undi.

Seorang lagi, Narawi Haron yang bertanding sebagai calon Bebas hanya memperoleh 232 undi.

Monday, May 17, 2010

SIBU : SOKONGAN MELAYU UNTUK PAKATAN MENINGKAT

Harakahdaily

ANALISIS KUALA LUMPUR, 17 Mei: Menjelang pilihan raya kecil Sibu, Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyidin Yassin dengan bongkaknya berkata, PKR bermakna Parti Kian Runtuh. Namun, belum sempat keputusan pilihan raya Sibu diumumkan secara rasmi, Muhyidin sudah terbang pulang ke Kuala Lumpur selepas sedar pengundi Sibu menolak BN.

Cakap sombong Muhyidin ditempelak pengundi Sibu beberapa jam sahaja selepas itu apabila calon BN, Robert Lau Hui Yew kalah dalam pilihan raya kecil ini. BN kalah 398 undi walaupun dalam pilihan raya lalu calon BN, Robet Lau menang dengan majoriti lebih 3200 undi.

"Walaupun dalam pilihan raya kecil ini DAP menang 398 undi sahaja tetapi memandangkan BN menang 3,200 lebih dalam pilihan raya umum lalu, ia satu swing yang besar," kata seorang penganalisis politik dari UKM dalam program Analisis di Astro Awani malam tadi.

Yang menarik juga dalam pilihan raya ini, peningkatan besar sokongan pengundi Melayu kepada calon DAP kali ini. Ia memberikan satu indikasi baru bahawa Melayu tidak lari dari Pakatan bahkan sokongan mereka meningkat terhadap Pakatan hatta DAP sekalipun.

Di Kampung Hilir Nangka, Sibu, tempat majoriti Melayu Melanau, DAP berjaya menaikkan undinya sebanyak 34% berbanding undi yang diperolehinya pada pilihan raya umum 2008 lalu. Calon BN juga berjaya menaikkan undinya tetapi sedikit sahaja iaitu 12%.

Dalam pilihan raya lalu, calon DAP hanya mendapat 256 undi tetapi kali ini calonnya, Wong Ho Leng menambahkan undinya kepada 344 undi. Walaupun jumlah undi yang diperolehi oleh BN lebih besar tetapi peningkatan ini amat ketara memandangkan serangan perkauman yang dimainkan oleh Umno melalui NGOnya terhadap Pakatan.

Di peringkat Pusat, Perkasa memainkan peranannya. Di Terengganu pula Gertak pula memainkan peranannya untuk memainkan sentimen perkauman Melayu Umno melalui program 13 Mei yang telah dibatalkan selepas didedahkan PAS.

Terbukti pilihan raya kecil ini memberikan pengajaran besar kepada Umno bahawa sentimen perkauman tidak boleh menyelamatkan BN. Ia hanya untuk kepentingan peribadi Umno sahaja. Ini kerana, ketika Umno memainkan sentimen perkauman, parti-parti komponen BN yang mengalami masalahnya.

Selain peningkatan sokongan Melayu, pengundi Cina juga menambahkan sokongan mereka kepada DAP. Kalau diambil sampel di kawasan pilihan raya Rejang Park iaitu kawasan pengundi Cina, undi untuk DAP meningkat sebanyak 25%.

DAP hanya kurang undi mereka di kawasan majoriti Iban namun penurunannya tidaklah ketara sangat iaitu 12% sahaja. Mungkin ini adalah kesan dari kongkongan yang dibuat oleh petugas BN di kawasan pilihan raya ini. Para pemimpin DAP sejak beberapa hari lalu membuat laporan petugas mereka disekat dari memasuki rumah-rumah panjang tempat tinggal pengundi Iban.

Menurut Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, petugas PAS sendiri terasa sekatan ini apabila bilik yang disewa petugas PAS telah ditarik balik.

"Apabila petugas kita pergi untuk persiapan hari mengundi, ada pihak yang menyekat kita masuk ke rumah panjang itu walaupun kita sudah sewa salah satu biliknya untuk petugas kita," kata Mustafa kepada Harakahdaily. Mustafa telah berada di Sibu seawal hari pengenalan calon DAP lagi. Sejak itu, dia berulang alik antara KL dan Sibu. Beliau baru sahaja pulang dari Sibu dan bertemu dengan Harakahdaily sehari selepas hari mengundi1.

Pada awalnya, Timbalan Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Wan Rahim yang mengetuai petugas PAS di sana namun selepas deman dan pulang ke Kota Bharu, Setiausaha Jabatan Pilihan Raya PAS, Nasir Daud mengambil alih tugas beliau mengkoordinatorkan petugas PAS di sana.

Kesemua mereka berpusat di sebuah rumah yang dijadikan markas PAS di Kampung Hilir dalam Dun Nangka. Hampir semua pemimpin PAS, PKR da DAP ke rumah itu memandangkan kedudukannya yang sangat strategik di Sibu.

Dengan kemenangan di Sibu, Mustafa yakin adalah sukar untuk mana-mana pihak memecahkan semangat setiakawan Pakatan khasnya antara DAP dan PAS.

"Pilihan raya Sibu telah menjadi sangat manis apabila melihat petugas kita menjalankan tugas dengan baik dan DAP pula memberikan sepenuh keyakinan kepada mereka.

"Yang manis lagi, selepas berpenat lelah, kita diberikan kemenangan," kata beliau kepada Harakahdaily.

Kini, tumpuan PAS adalah untuk menghadapi serangan Umno di kalangan orang Melayu pula. Mustafa sedar, Umno telah menjadikan orang Melayu sebagai sasaran mereka.

"Umno nampaknya berbuat apa sahaja untuk mengekalkan kuasa politiknya dengan cara mendapatkan sokongan orang Melayu seramai mungkin hatta melalui tindakan perkauman mereka walaupun boleh menyebabkan rakan-rakan mereka dalam BN hilang sokongan

"Kelebihan kita adalah kita berpolitik berasaskan Islam bukan Melayu. Bila Islam, kita konsisten dalam menentukan sikap. Umno pula membuat sikap politik berdasarkan Melayu," kata Mustafa mengulas isu nama Allah yang turut menjadi isu panas di Sibu.

PAS kini sedang membuat persiapan untuk membuat retreat khas bagi membincangkan isu pengundi Melayu ini. Mereka yakin, sokongan pengundi Islam akan kekal bersama PAS kerana terbukti Umno hanya mahu mengekalkan kuasa semata-mata sebagaimana di Sibu.

Tindakan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak menjanjikan puluhan juta untuk pengundi Cina tetapi mengabaikan begitu sahaja pengundi Melayu di Sibu membuktikan perkara ini.

"Sebab itu saya katakan kepada pengundi Sibu, jika mereka inginkan pembangunan kalahkan BN. Ketika itu mereka akan datang dan berbuat apa sahaja untuk dapatkan kembali sokongan," kata Mustafa.

Sunday, May 16, 2010

TOLAK PARTI PEMBOHONG

Harakahdaily
SIBU, 16 Mei: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menyeru rakyat Sibu memberi pengajaran kepada BN pada Pilihan Raya Kecil kali ini dengan menolak parti itu kerana membohongi rakyat.

Menurutnya, BN hanya menunjukkan keprihatinan mereka bila terdapat pilihan raya, namun yang jelas lebih 50 tahun memerintah, Sarawak masih ketinggalan.

"Pengundi perlu bijak membuat pilihan, BN hanya menjanjikan pelbagai projek segera semasa pilihan raya, sedangkan kenapa sebelum ini sejak lebih 40 tahun memerintah tidak ada peruntukan seperti ini.

"Negeri kaya tetapi rakyat berada dalam keadaan kemiskinan yang teruk tanpa pembelaan. Adakah ini yang rakyat perlukan sekarang?, soal Hadi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah malam terakhir kempen di sini malam tadi.

Lebih 10 ribu penyokong hadir mendegar ceramah oleh pemimpin utama Pakatan Rakyat malam tadi.

Menjelas lanjut, rakyat Sibu jelas Hadi perlu bijak memanfaatkan pemberian daripada BN namun jangan sesekali termakan janji manis bermusim mereka.

Perdana menteri jelasnya hanya menjadi seperti mesin cetak duit bila tiba pilihan raya dengan pelbagai peruntukan ditabur.

Sehubungan itu katanya, masyarakat Sibu perlu memberitahu BN bahawa rakyat di sini sudah serik dan tidak mahu terus ditipu lagi.

"Saya mahu rakyat Sibu menjadi ikan yang bijak, pilih umpan yang baik sekali tapi hanya makan umpan sahaja jangan sekali-kali makan pancing. Biar dia bawa balik pancing ke Kuala Lumpur dan tenung pancing tersebut kenapa ikan di Sibu tidak terkena pancingnya kali ini.

"Jadi sekarang perlu ada perubahan agar mereka tidak tidur lagi dan takut dengan rakyat Sarawak terutamanya Sibu. Biar mereka tahu rakyat sudah tidak memberi peluang padanya untuk terus menipu," katanya.



Menurutnya, BN hanya menunjukkan keprihatinan mereka bila terdapat pilihan raya, namun yang jelas lebih 50 tahun memerintah, Sarawak masih ketinggalan.

"Pengundi perlu bijak membuat pilihan, BN hanya menjanjikan pelbagai projek segera semasa pilihan raya, sedangkan kenapa sebelum ini sejak lebih 40 tahun memerintah tidak ada peruntukan seperti ini.

"Negeri kaya tetapi rakyat berada dalam keadaan kemiskinan yang teruk tanpa pembelaan. Adakah ini yang rakyat perlukan sekarang?, soal Hadi.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ceramah malam terakhir kempen di sini malam tadi.

Lebih 10 ribu penyokong hadir mendegar ceramah oleh pemimpin utama Pakatan Rakyat malam tadi.

Menjelas lanjut, rakyat Sibu jelas Hadi perlu bijak memanfaatkan pemberian daripada BN namun jangan sesekali termakan janji manis bermusim mereka.

Perdana menteri jelasnya hanya menjadi seperti mesin cetak duit bila tiba pilihan raya dengan pelbagai peruntukan ditabur.

Sehubungan itu katanya, masyarakat Sibu perlu memberitahu BN bahawa rakyat di sini sudah serik dan tidak mahu terus ditipu lagi.

"Saya mahu rakyat Sibu menjadi ikan yang bijak, pilih umpan yang baik sekali tapi hanya makan umpan sahaja jangan sekali-kali makan pancing. Biar dia bawa balik pancing ke Kuala Lumpur dan tenung pancing tersebut kenapa ikan di Sibu tidak terkena pancingnya kali ini.

"Jadi sekarang perlu ada perubahan agar mereka tidak tidur lagi dan takut dengan rakyat Sarawak terutamanya Sibu. Biar mereka tahu rakyat sudah tidak memberi peluang padanya untuk terus menipu," katanya.

Saturday, May 15, 2010

KULIAH SUBUH BERSAMA DATO' SERI HJ NIZAR

Tarikh : 16 mei 2010 ( Ahad ) Masa : 5.00 pagi
Tempat : Markaz Pas Kawasan Teluk Intan, Kpg Pdg Tembak.
Semua dijemput hadir

GANTUNG SEMUA LEMBAGA PENGARAH, PENGURUSAN KANAN SIME DARBY


Abdul Aziz Mustapa - HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 14 Mei: Sebagai pemegang saham terbesar, Permodalan Nasional Berhad (PNB) sepatutnya bertindak menggantung jawatan kesemua lembaga pengarah dan pengurusan kanan Sime Darby Berhad, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar).

"Berdasarkan prinsip akauntabiliti, kesemua lembaga pengarah dan pengurusan kanan Sime Darby hendaklah berundur apabila syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu mengalami kerugian akibat lebihan kos berjumlah kira-kira RM1.6 bilion.

"Jika mereka enggan berbuat demikian, sebagai pemegang saham terbesar dalam Sime Darby, PNB hendaklah mengambil tindakan ke arah menggantung jawatan mereka," tegas beliau.

Berdasarkan laporan tahunan Sime Darby 2009, Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) mempunyai 39 pegangan dalam kumpulan itu, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) 14 peratus dan PNB sendiri 13 peratus. ASB berada di bawah PNB.

Mengulas lanjut tentang kerugian itu, Salahuddin mempersoalkan, di manakah jawatankuasa audit dan akaun Sime Darby.

"Adakah jawatankuasa audit dan akaun itu tidak mengesan kerugian tersebut lebih awal?

"Jika mereka telah mengesan kerugian itu lebih awal dan melaporkannya kepada Lembaga Pengarah Sime Darby, apa yang dilakukan oleh lembaga pengarah dan pengurusan kanannya?

"Sebab itulah PNB sepatutnya bertindak ke arah memecat Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan Sime Darby dan melantik audit luar untuk membuat penyiasatan," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Salahuddin juga mempersoalkan kesan kepada sumbangan Sime Darby dalam memberikan dividen kepada pelabur-pelabur PNB.

"Bolehkah PNB mengekalkan kadar dividen yang telah diberikannya kepada pelabur-pelabur sebelum ini berikutan kerugian besar Sime Darby itu?" soal beliau.

Beliau juga menyarankan agar selepas ini Sime Darby melihat kembali kekuatannya dan membina perniagaan berteraskan kekuatan dan kepakarannya dalam sektor perladangan dan hartanah.

"Sime Darby tidak sepatutnya melibatkan diri dalam sektor tenaga, minyak dan gas atau penjualan kenderaan.

"Bidang-bidang tersebut tidak dilihat sebagai core business kumpulan itu," katanya.

Sime Darby patut mengambil Nestle sebagai contoh yang semakin berkembang maju dalam industri pemakanan di mana pada tahun 2006 sahaja ia mencatat keuntungan kira-kira US$75 bilion.

"Sepatutnya dengan kepakaran Sime Darby dalm bidang perladangan dan komoditi, ia boleh melakukan natural progression untuk maju dalam bidang industri pemakanan halal, contohnya berasaskan kelapa sawit," kata Salahuddin.

Thursday, May 13, 2010

KERAJAAN MANGSAKAN RAKYAT DENGAN KETAGIHAN JUDI

HARAKAHDAILY

Mahfuz Omar

Saya ingin menyifatkan tindakan kerajaan Datuk Seri Najib Tun Razak memberi lesen judi bola sepak Piala Dunia kepada Kumpulan Berjaya sebagai satu perbuatan zalim ke atas rakyat.

Kerajaan Najib hakikatnya menzalimi dan memangsakan rakyat dengan ketagihan judi. Setelah diberi lesen oleh kerajaan Malaysia, lebih ramai yang akan jadi kaki judi dan lebih ramai yang akan ketagih berjudi.

Mula-mula memanglah kaki-kaki judi akan berjudi dalam perjudian yang berkaitan dengan kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010, tetapi mereka akhirnya akan ketagih dan selepas itu akan beralih kepada judi yang tidak diberi lesen pula, mungkin yang berkaitan dengan Piala Malaysia atau apa sahaja sukan asalkan boleh berjudi.

Kemajuan sukan di Malaysia akan terancam jika kaki-kaki judi, sama ada yang berlesen atau tidak, berjaya mempengaruhi keputusan permainan.

Bayangkan jika kaki-kaki judi berjaya mempengaruhi keputusan Piala Malaysia dan liga-liga yang berkaitan dengannya, akan hancurlah kemajuan bola sepak negara ini.

Akhirnya ranking bola sepak merudum teruk, ranking Malaysia sebagai syurga judi pula yang akan naik.

Kesan dari tindakan kerajaan Umno BN memberi lesen judi itu bukan setakat mengancam kemajuan sukan di negara ini, malah lebih buruk lagi akan mengancam keharmonian institusi keluarga, memiskinkan lagi lebih ramai rakyat ketika Kumpulan Berjaya yang merupakan kroni Umno BN meraih keuntungan malah akhirnya akan menjadi ancaman sosial yang sangat mengerikan.

Sebab itulah kita tegaskan bahawa tindakan kerajaan memberi lesen judi semasa Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan Berjaya itu adalah perbuatan zalim yang sangat kejam terhadap rakyat dan keharmonian sosial dalam negara ini.

Kumpulan Berjaya mungkin akan memohon logo halal pula daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menteri Kewangan kelmarin secara rasminya memberi lesen judi tersebut kepada Kumpulan Berjaya yang sekaligus bermakna kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) telah menghalalkan aktiviti yang haram di sisi agama dan mengancam keharmonian sosial itu.

Apabila kerajaan Umno BN telah menghalalkan aktiviti yang haram itu, agaknya Kumpulan Berjaya akan memohon logo halal pula dari Jamil Khir atau Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang berada di bawah bidang kuasanya.

Datuk Mahfuz Omar,
Naib Presiden PAS.

Wednesday, May 12, 2010

1040 UNDI POS LUAR SIBU UNTUNGKAN BN

RUSLI ISLAM = HARAKAHDAILY
SIBU, 12 Mei: Sebanyak 1,040 undi pos yang datang daripada luar Sibu dijangka akan memberi kelebihan besar kepada calon Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Sibu pada 16 Mei ini.

Ketua Penerangan Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kaiat berkata, sebanyak 1,040 undi pos ini berada dalam bahaya apabila tiada ejen ataupun wakil Pakatan Rakyat yang boleh mengawal undi tersebut.

"Masalah ini telah pun terbukti apabila pernah berlaku seorang pegawai tentera memangkah untuk kesemua anggota di bawahnya," katanya yang kini berada di sini bagi membantu kempen calon Pakatan Rakyat daripada DAP, Richard Wong Ho Leng.

Menurut beliau, BN boleh memanipulasi ruang itu seperti yang berlaku di dalam pilihan raya kecil Bagan Pinang apabila PAS tidak memperolehi undi pos.

Beliau juga berkata bahawa itulah sebab Barisan Nasional sangat mempertahankan undi pos.

"Ruang manipulasi sangat besar apabila proses pengundian ini diserahkan 100 peratus kepada polis dan tentera dan tidak ada wakil kita yang tahu," tambahnya.

Daripada undi pos itu, seramai 882 pengundi tentera dan 158 orang pengundi polis.

Suruhanjaya Pilhan Raya sebelum ini telah menolak cadangan Pakatan Rakyat bagi memansuhkan undi pos.

Tuesday, May 11, 2010

PANTAU PENJUALAN MAKANAN RINGAN

HARAKAHDAILY
Wan Mohamad Wasif
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) memandang serius pengabaian budaya pemakanan sihat terutamanya di kalangan pelajar sekolah di Malaysia. Melihat situasi sekarang, para pelajar semenjak di sekolah rendah bahkan di tadika sudah terdedah kepada makanan-makanan ringan. Dan apa yang lebih menyedihkan lagi tatkala melihat para pelajar terus menyerbu ke gerai jualan makanan ringan sebaik sahaja keluar dari pagar sekolah.

Para pelajar terdedah kepada bahaya akibat budaya pemakanan tidak sihat dan tidak seimbang dan ini pastinya mengancam kesihatan bahkan memberi kesan kepada pemikiran para pelajar.

Ia juga merupakan satu pembaziran apabila duit yang dibekalkan oleh ibubapa kepada para pelajar ‘hangus’ dibelanjakan semata-mata untuk membeli makanan ringan.

Para pelajar sepatutnya dijaga pemakanan mereka dan dipastikan mereka hanya makan makanan yang terbaik untuk kesihatan seperti buah-buahan, sayur sayuran, susu segar, banyak meminum air masak dan lain-lain lagi.

Kebanyakan makanan ringan masa kini sedikit khasiatnya, tinggi kadar gula, pewarna dan perisa tiruan dan selalunya mengakibatkan ketagihan serta pelbagai penyakit seperti kerosakan gigi, obesiti, buah pinggang dan lain-lain.

Kesan awal dari pengambilan makanan ringan ini dapat kita lihat di sekolah apabila para pelajar kelihatan lesu tidak bermaya, mudah letih, tidur di dalam kelas dan tidak berasa segar dan bersemangat untuk meneruskan sesi pembelajaran.

Oleh kerana itu, PKPIM berharap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kesihatan para pelajar di Malaysia. Para ibubapa perlu mendidik anak-anak mereka untuk sentiasa mengamalkan pemakanan sihat dan mengelakkan diri dari mengambil makanan yang tidak berkhasiat.

Pihak sekolah juga perlu memantau penjualan makanan ringan sama ada di koperasi sekolah mahupun di luar pagar sekolah. Para peniaga juga jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata dengan menjual makanan ringan sesuka hati tanpa mengira kesan negatif terhadap pengambilan makanan ringan di kalangan pelajar.

Nasihat dari pakar-pakar pemakanan seimbang, pakar kesihatan dan persatuan-persatuan pengguna perlulah didengari agar para pelajar di Malaysia tidak mengalami pelbagai penyakit semenjak usia yang masih muda akibat mengabaikan budaya pemakanan sihat.

Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad,

Exco Pendidikan dan Penyelidikan,

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

Monday, May 10, 2010

BUKAN ISLAM MINTA HAD JUDI, UMNO MAHU TAMBAH


Hashim Abdullah - HARAKAHDAILY
JERANTUT, 10 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) amat dukacita dan malu kerana hasrat mengadakan judi sukan datangnya daripada pemimpin Umno yang mengaku beragama Islam sedangkan pemimpin bukan Islam termasuk daripada DAP menuntut supaya kegiatan perjudian dihadkan.
Justeru, katanya PAS membantah keras sebarang usaha untuk meluluskan lesen perjudian walau apa bentuk sekali pun termasuk judi sukan sebagaimana yang dihasratkan pemimpin Umno.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, berkata hasrat memperluaskan kegiatan perjudian di negara ini merupakan suatu pengkhianatan terhadap negara yang sedang bergelut dalam krisis moral yang sangat dahsyat.
Tuan Ibrahim mengulas kenyataan Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin, baru-baru ini yang menyatakan kerajaan mungkin mempertimbangkan untuk mengeluarkan lessen pertaruhan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 kononnya bagi mengelak aktiviti perjudian haram.
Menurutnya, alasan yang digunakan untuk menyekat kegiatan perjudian tanpa lessen adalah tidak logik malahan pemikiran sedemikian amat bertentangan dengan ajaran Islam.
“Apa pun dalam Islam judi tetap haram. Tak ada istilah judi halal, kalau judi tetap haram. Nak guna alasan untuk sekat kegiatan judi haram bukan itu caranya. Selama ini pun kerajaan telah luluskan banyak lesen judi tetapi judi tanpa lesen tetap berlaku. Kita tak boleh terima itu, kita bantah keras,” katanya.

Saturday, May 8, 2010

BAWALAH POLITIK KE MASJID

HARAKAHDAILY
Nasrudin Hassan at-Tantawi

Bagaimana Mendirikan Siasah ( berpolitik ) di Masjid.

Sebagai “ Rumah Allah ” , masjid merupakan institusi terpenting dalam pembinaan ummah yang bertamaddun. Malah penubuhan Negara Islam oleh Baginda saw. di Madinah al Munawwarah menyaksikan bagaimana masjid dinobat sebagai mercu peradaban dan kedaulatan yang dibina.

Pembinaan masjid di Quba’ , Wadi Ranuna’ [1] dan di Yathrib ( Madinatun Nabi ) menjadi batu asas pembinaan tamaddun Islam unggul berpaksikan kedaulatan syariat dan ummah yang bermartabat.

Ianya ( masjid ) tidak dibina semata – mata untuk mendirikan solat , tetapi juga sebagai nokhtah mula keagungan ummat. Dari situlah nabi saw. menggerakkan jentera kerajaan dan mengatur strategi membangunkan ummah .


Masjid : Iktibar dari Seerah an Nabawiyyah

Syeikh Dr. Musthafa as Sibae’i menyebut di dalam kitabnya as Seeratun Nabawiyyah : Durus wa I’bar :

“ Memang tidak dapat disangkal lagi , bahawa masjid membawa risalah kemasyarakatan dan kerohanian yang agung nilainya terhadap kehidupan ummat Islam . Masjid lah yang menyatukan saf – saf ummat Islam , menyucikan jiwa mereka , menghidupkan hati dan aqal mereka , menyelesaikan masaalah yang dihadapi oleh mereka dan akhirnya menampilkan kekuatan jua hubungan erat mereka .

Sesungguhnya telah terbukti bahawa sejarah masjid di dalam Islam , menjadi markaz bagi tentera Islam berangkat ke medan untuk menakluki muka bumi dengan hidayah Allah swt .

Dari masjid jua terpancarnya sinaran cahaya dan hidayah buat ummat Islam dan lainnya malah masjidlah juga berkembangnya peradaban Islam . Bukan kah Abu Bakar , Umar , Uthman , A’li , Khalid , Saad , Abu U’baidah dan tokoh – tokoh seumpama mereka yang terdiri daripada pemimpin – pemimpin agung dalam sejarah Islami merupakan anak -anak murid di Madrasah al Muhammadiyyah yang berpusat di Masjid an Nabawi .

Antara keistemewaan yang lain , masjid pada setiap minggu berkumandang kalimah al haq menerusi seruan khatib yang menentang kemungkaran , memperjuangkan syariat , menyeru kearah kebaikan , menginsafkan mereka yang lalai , menyeru kearah kesatuan, membasmi kezaliman dan memerangi perbuatan yang melampaui batas .

Sesungguhnya kita telah menyaksikan bagaimana dulunya masjid – masjid menjadi markaz – markaz yang menyemarakkan gerakan anak watan menentang penjajah Perancis . Berpangkalan di masjidlah , tokoh – tokoh jihad menetang penjajah dan menentang zionisme .

Apabila kita menyaksikan kepincangan masjid hari ini dari fungsi dan peranannya yang hebat , maka tiada lain melainkan kesalahan sebahagian khatib yang terdiri daripada khatib yang hanya bertugas memburu elaun atau jahil lagi leka .

Alangkah beruntungnya , jika dalam keadaan seperti ini , lahir segolongan pendakwah yang tegas membawa kebenaran , bangkitnya ulama yang memperjuangkan syariat Allah . Mereka ikhlas kerana Allah dan Rasulnya saw. , mereka menasihati pemimpin dan ummat Islam seluruhnya .

Mengembalikan masjid sebagai tempat kegiatan masyarakat , mendidik tokoh – tokoh dan melahirkan pejuang – pejuang , mengislahkan kefasadan , memerangi mungkar dan membentuk masyarakat berasaskan taqwa dan redha Allah swt.”

Rujuk : Seerah an Nabawiyyah : Durus wa I’bar
Oleh Dr. Musthafa Sibae’I . Muka surat 74 – 75
Cetakan ke 9 oleh al maktab al islami ( 1986 ) Dimasyq


Masjid Terbelenggu.

Realiti hari ini bertambah parah apabila melihat nasib masjid dan pengurusannya yang kian terabai . Lebih malang apabila wujudnya fenomena terancang untuk membelenggu masjid agar ia tidak berfungsi sebagai markaazul ummah .

Siapa lagi yang lebih bejad daripada mereka yang menghalang rumah Allah ( masjid ) agar tidak diimarahkan dengan ilmu dan zikrullah . Lebih parah apabila mereka “ sampai hati ” meruntuhkan rumah Allah yang pastinya dibina di atas tanah waqaf milik Allah swt. Firman Allah swt :

و من أظام ممن منع مساجد الله أن يذكر فيها اسمه و سعى في خرابها أولئك من كان لهم أن يدخلوها إلا خآئفين لهم في الدنيا خزي و لهم في الأخرة عذاب عظيم

“ Siapa lagi yang terlebih zalim daripada orang yang menghalang masjid – masjid Allah bahawa disebut didalamnya namaNya dan berusaha merobohkannya ? Mereka tidak layak memasukinya kecuali dengan rasa takut ( kepada Allah ) . Bagi mereka kehinaan di dunia dan bagi mereka azab yang sangat dahsyat di akhirat .”

Surah al Baqarah . Ayat : 114

Terlalu banyak masjid dalam Negara kita hari ini hanya dijadikan tempat solat dan lebih melucukan bagaimana terdapat masjid yang hanya berfungsi sebagai tempat kunjungan pelancung selain daripada solat berjamaah yang sangat kecil kuantitinya berbanding saiz masjid tersebut.

Keghairahan mendirikan masjid yang tidak seimbang dengan keghairahan mengurus dan mengimarahkannya meletakkan situasi ini sebagaimana yang pernah dibimbangi oleh Rasulullah saw. dalam hadis baginda yang diriwayatkan dari Saidina Ali Karramallahuwajhah :

يُوشِكُ أنْ يأتيَ علَى النَّاسِ زَمانٌ لاَ يَبْقَى مِنَ اْلإسلامِ إلاَّ اسْمُهُ وَلاَ يَبْقَى مِنَ اْلقُرْآنِ إلاَّ رَسْمُهُ مَسَاجِدُهُمْ عَامِرَةٌ وَهِيَ خَرَابٌ مِنَ اْلهُدَى عُلَمَاؤهُمْ شَرُّ مَنْ تَحْتَ أَدِيْمِ السَّمَاءِ مِنْ عِنْدِهِمْ تَخْرُجُ اْلفِتْنَةُ وَفِيْهِمْ تَعُوْدُ

رواه البيهقي

Sudah hampir suatu masa di mana tidak tinggal lagi daripada Islam itu kecuali hanya namanya dan tidak tinggal daripada al Quran itu kecuali hanya tulisannya . Masjid – masjid mereka tersergam indah tetapi ia kosong daripada hidayah . Ulama’ mereka adalah sejahat – jahat makhluk yang ada di bawah naungan langit . Dari mereka berpunca fitnah dan kepada mereka fitnah itu kembali .

Rujuk Kanzuul U’mal
M/surat 80, Juzuk 11
Cetakan Darul Kutub al I’lmiyyah Beirut

Pengalaman saya dikepung oleh polis yang lengkap bersama anjing , menyerbu masuk ke kawasan laman Masjid Peramu Kuantan sementara waktu itu saya sedang menyampaikan ceramah Maulidur Rasul saw , cukup menggambarkan bagaimana masjid dibelenggu .

Perlantikan ahli jawatan kuasa masjid dikalangan mereka yang tidak pernah menjejak kaki ke masjid semata – mata tidak mahu masjid itu diimarahkan dengan majlis ilmu antara bukti bahawa pembelengguan masjid sangat ketara .

Menghantar SB [2] untuk memantau aktiviti masjid atau surau bukan sahaja menakut – nakutkan masyarakat untuk menghidupkan aktiviti masjid dan surau tetapi juga bermaksud untuk memberi tekanan kepada penceramah dan guru agama yang mengajar agar tidak menyentuh soal penyelewengan dan mungkar yang berlaku dalam Negara.

Sedang kelab – kelab malam dan pusat – pusat hiburan yang menjadi tempat subur untuk bercambahnya maksiat dan jenayah tidak dilayan sedemikian rupa .

Pekeliling yang pernah dihantar kepada surau dan masjid di Lembang Klang agar tidak mengadakan tazkirah di bulan Ramadhan juga mempunyai maksud yang sama untuk mengekalkan pembelengguan tersebut.

Arahan agar khatib hanya dibenarkan membaca teks khutbah yang dikeluarkan oleh Jabatan Agama meskipun khatib tersebut seorang yang diiktiraf ilmunya oleh universiti yang mu’taraf turut dilihat sebagai usaha menyempitkan fungsi surau dan masjid.

Sudahlah ruang dan peluang untuk bercakap Islam amat terhad , tiba – tiba masjid dan surau yang dianggap ruang yang paling kondusif untuk berbicara perkara agama turut dikekang , maka dimana lagi Islam ini boleh dijelaskan secara bebas dalam Negara ini ?

Pengurusan Masjid.

Selayaknya masjid diurus selia secara professional dan jujur bagi meletakkannya sebagai institusi penting dan suci dalam masyarakat .

Sangat malang apabila masjid bagaikan bangunan usang yang terbiar tanpa dipedulikan penyelenggaraannya sebagai sebuah tempat ibadah. Masing – masing melepaskan tanggungjawab kepada pihak yang lain dan akhirnya semua berlepas harap .

Sesetengahnya sangat berbangga dengan jumlah kutipan derma mingguan yang meningkat saban minggu dan dipaparkan di papan putih masjid berkenaan , sedang masjid tersebut sangat tidak terurus dengan sistem pengaliran air di kolam wudhu’ , kebersihan tandas yang sangat rendah dan menyedihkan , sistem pembesar suara yang uzur serta lemah dan pelbagai kelemahan yang ketara .

Kenapa tidak wang yang begitu banyak hasil sumbangan orang ramai dimanafaat sepenuhnya untuk meletakkan masjid dan surau sebagai sebuah institusi yang hebat dan menarik . Apa yang paling penting ialah masjid mesti menjadi tempat yang paling selesa dan tenang untuk ummat mengabdikan diri kepada Allah swt.

Imej tandas masjid sebagai tandas yang paling kotor sepatutnya tidak kedengaran lagi . Bukankah kebersihan adalah sebahagian daripada tanggungjawab utama setiap individu muslim ? Bukan sahaja bermaksud supaya masjid tidak dipandang rendah oleh masyarakat umum, tetapi juga untuk mencari redha Ilahi .

Peranan dan Fungsi Masjid.

Selayaknya masjid diimarahkan . Sebagaimana tiada nilai masjid yang tidak diurus , begitulah tiada erti dan gunanya masjid yang diperbesar dan diperbanyakkan tetapi sepi tanpa aktiviti .
Masjid juga mestilah dilihat sebagai mesra remaja dan mesra ummah seluruhnya.

Masjid tidak sepatutnya menghadkan aktiviti kepada solat berjamaah semata – mata , demikian juga tazkirah dan kupasan ilmu yang hambar dan tidak membawa ahli jamaahnya wujud dalam cabaran zaman mereka yang sebenarnya.

Sebaliknya masjid mestilah aktif menganjurkan pelbagai aktiviti yang mendekatkan masjid kepada mereka yang cuba menjauhkan dirinya daripada masjid. Malah aktiviti kemasyarakatan dan budaya mereka yang tidak bercanggah dengan Islam amatlah baik didekatkan kepada masjid .
Biarpun asalnya aktiviti itu bukan berbentuk ibadah namun apabila ia bertolak dari masjid dan surau , kita mengharapkan ia menjadi satu bentuk ibadah yang diredhai oleh Allah swt .

Tuisyen akademik juga boleh diadakan di masjid atau surau agar tidak sahaja ustaz dan pak lebai menguasai ruang legar masjid tersebut tetapi juga guru akademik dan murid – muridnya berhak ber“mesra” dengan masjid .

Saya berkeyakinan , jika semua pihak mengambil ruang dan bahagian mem“peranan”kan masjid seperti kaum ibu dengan aktiviti mereka , pelajar dengan aktiviti mereka dan ajk masjid dengan aktiviti mereka , masjid akan dilihat makmur , meriah , ceria dan menarik .

Pengalaman saya di Damsyik dan Tanta dapat melihat dari dekat bagaimana di sana terdapat masjid yang dilengkapi dengan maktabah ( perpustakaan ) untuk masyarakat merujuk pelbagai sumber ilmu dan Klinik yang beroperasi di masjid sepanjang hari dengan hanya ditutup pada waktu solat.

Keadaan itu tidak lagi meletakkan masjid dan surau sepi bersendirian dan akhirnya menjadi sasaran mat gian dan kaki lepak beroperasi dan mencuri . Malang ada masjid yang kehilangan besi keranda , tongkat khutbah dan set P.A system. Jawab mudahnya , kerana masjid tersebut sepi ditinggalkan oleh imam dan makmumnya.

Masjid sepatutnya tidak perlu berkunci dan berjaga , sudah cukup amalan iktikaf dan mengimarahkan masjid menjadikan masjid kawasan atau zon paling selamat dalam dunia .

Kalaupun keadaan memaksa demi memelihara barangan milik masjid daripada dicuri oleh penjenayah , maka saya syorkan agar sediakan kawasan berkunci untuk menyimpan barangan berharga milik masjid sementara ruang masjid terbuka untuk aktiviti umum mengabdikan diri kepada Allah swt.

Ataupun , sediakan ruangan khas yang tidak berkunci ( sebahagian dari masjid ) tersebut agar tidak menghalang aktiviti ummah untuk mendekatkan diri kepada Allah swt. terutama buat musafir lalu .

Pendekkata , sebagaimana pengurusan hotel ada kursus yang disediakan untuk meningkatkan prestasi pengurusan maka saya kira pengurusan masjid juga min baabil aula [ terlebih layak ] patut diadakan kursus untuk tujuan meningkatkan kesedaran dan keinsafan dikalangan ummah terhadap pengurusan masjid dan surau .

Berpolitik di Masjid.

Politik sebahagian daripada Islam yang telah dibawa oleh Nabi saw malah perjuangan baginda saw diwarnai oleh gerakkerja politik sehingga tertegaknya Negara Islam pertama di Madinah al Munawwarah . Pengurusan , pentadbiran dan pemerintahan Nabi saw juga berpusat di Masjid an Nabawi .

Masjid an Nabawi turut menjadi tempat Nabi saw mengajar ilmu politik kepada ummah agar mereka kekal menjadi ummah yang bertanggungjawab memelihara dan mentadbir negeri atau negara berdasarkan agama yang telah diwahyukan oleh Allah swt . sehingga lahir sebuah negera yang aman , maju , sejahtera dan mendapat keampunan daripada Allah swt .

Memisahkan Masjid daripada politik dan aktivitinya yang benar dan tulen mengikut ajaran Islam adalah satu percubaan untuk mensekularkan ummah dengan menjarakkan urusan politik daripada agama .

Tindakan memisahkan politik daripada masjid hanya menjadikan politik itu kotor kerana terpisah dari ruh agama . Sebetulnya inilah yang sangat diinginkan oleh ahli – ahli politik sekular agar politik mereka bebas dari pengaruh masjid yang mengingatkan mereka kepada syurga dan neraka serta dosa dan pahala . Tentunya politikus duniawi ini akan rimas dan lemas apabila politik mereka diganggu oleh ulama’ atau imam yang mengingatkan tentang dosa pahala dalam berpolitik lantaran politik mereka adalah membujur lalu melintang patah , dihulur aku sapu yang hilang aku tak kisah. Segala elemen negatif seperti politik kebencian dan fitnah yang terbentuk dari aksi politik duniawi dan sekular sewajar dihapuskan kerana politik sedemikian tidak memberi keuntungan kepada ummah dan negara . Justeru itu , masjid bagaikan “washing machine” untuk membersihkan politik dari segala elemen negatif tersebut .

Bawalah politik masuk ke dalam masjid nescaya politik itu akan menjadi tenang , murni dan terhindar dari sebarang fitnah dan kebencian sesama ummah. Bukankah masjid adalah tempat suci yang dilarang keras pengunjung membuat bising tidak tentu pasal apalagi melemparkan fitnah dan menghasut masyarakat agar saling benci membenci kerana masjid adalah simbol perpaduan dan kasih sayang .

Bertolak dari masjidlah , politik ummat Islam harus digerakkan untuk memerangi kemungkaran politik, kebathilan politik , kemaksiatan politik , penyelewengan politik dan penyalahgunaan kuasa politik kerana segala macam kemungkaran , kemaksiatan dan kebathilan itu adalah dosa dan noda yang mesti disucikan sebelum mati bettemu Allah swt.

Inilah bezanya politik Islam yang membawa ke akhirat . Berbanding kitaran politik sekular yang hanya berlegar di kaki dunia dan tidak pun sekali – kali mampu melepasi sempadannya.

___________________________________________________________________________________________________________________
[1] Tempat mula – mula Nabi saw. mendirikan solat jumaat di Madinah .
( di Tengah – tengah Wadi Ranuna’ )
Rujuk : Sirah an Nabawiyyah Li Ibni Hisyam .
M/s 315 Juz. Pertama. Cetakan Dar Ibn Rejab . Mansourah

[2] Antara contohnya sebagaimana yang berlaku kepada Surau al Muhajirin Bandar Muadzam Shah. Kelihatan SB sering memantau aktiviti di surau berkenaan dan saya sendiri selaku salah seorang tenaga pengajar di surau tersebut pernah diadu ke Pejabat Agama kononnya saya mengajar ajaran salah

MUFTI DIMINTA NYATA HUKUM JUDI BOLA SEPAK

KOTA BHARU, 8 Mei: Para mufti di negara ini diminta mengulas dan menyatakan hukum berhubung cadangan kerajaan meluluskan lesen pertaruhan judi sempena kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 khususnya dari sudut agama Islam.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Husam Musa, berkata sekiranya terdapat seorang mufti mengulas dari sudut hukum terhadap calon Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini, Datuk Zaid Ibrahim, yang pernah meminum arak sebelum ini sebagai haram, PAS dan rakyat meminta mufti mengulas dari sudut yang sama berhubung perkara itu.

Katanya, mufti jangan berdiam diri dalam soal itu kerana sudah jelas dan nyata Allah telah berfirman dalam al-Quran melalui ayat yang sama bahawa minum arak dan berjudi adalah haram dan dosa besar.

Katanya lagi, keputusan kerajaan itu telah diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussin dan ianya telah disiarkan oleh televisyen.

Kelmarin, Awang Adek dilaporkan berkata, kerajaan mempertimbangkan kemungkinan mengeluarkan lesen untuk membenarkan pertaruhan dilakukan semasa kejohanan bola sepak Piala Dunia 2010 berlangsung awal bulan depan bagi mengelak berleluasanya aktiviti perjudian dan pertaruhan haram di negara ini.

Tambahnya, jika kerajaan tidak mengeluarkan lesen kepada pihak yang memohon, aktiviti perjudian dan pertaruhan haram tetap berlaku tanpa kawalan dan pemantauan pihak berkuasa.

Beliau mengakui sudah ada pihak yang membuat permohonan untuk mendapatkan lesen itu, tetapi enggan mendedahkan lebih lanjut maklumat itu sehingga kerajaan membuat keputusan mengenainya.

“Saya sebenarnya tidak menonton televisyen, sudah hampir 10 tahun saya tidak menontonnya, saya mengetahuinya melalui satu sms.

“Antara yang terkandung dalam sms itu, apa sudah jadi Datuk? Awang Adek dah lulus lesen judi sempena pertandingan bola sepak Piala Dunia 2010, kononnya tidak mahu adanya aktiviti judi haram tanpa lesen,” ujar Husam.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan itu juga seterusnya membertahu, malang sekali rakyat Kelantan khususnya sekiranya masih memberi undi kepada Awang Adek sehingga tidak tahu perjudian tetap haram biarpun berlesen.

Sambungnya, perkara yang sedemikian (haram dianggap halal) akan berlaku dan terus berlaku sekiranya Umno memisahkan agama dengan politik.

“Adakah rakyat di negara ini masih memandang remeh terhadap keputusan kerajaan ini apa lagi ianya membabitkan soal agama, tak rasa sensitif dan jijik ke terhadap tindakan itu?

“Malang sungguh kita sekiranya membiarkan perkara ini berlaku,”ujarnya lagi.

Husam memberitahu, berikutan keputusan kerajaan meluluskan lesen tersebut, ada seorang wanita Cina menghubunginya supaya bertindak menahan agar lesen tersebut tidak berjaya dilaksanakan.

Katanya, menurut wanita Cina itu lagi, masyarakatnya akan lebih kemaruk sekiranya aktiviti itu dibiarkan sehingga akan berlaku huru hara dalam keluarga.

“Kalau orang Cina boleh berfikiran sedemikian, kenapa kita orang Islam memandang remeh serta turut menyokong apa yang dibuat oleh kerajaan BN,” ujarnya lagi.

Thursday, May 6, 2010

PENGURUSAN CUAI PUNCA POS RUGI BESAR

HARAKHADAILY

KOTA BHARU, 6 Mei: Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, akibat kecuaian pengurusan Pos Malaysia menyebabkan syarikat milik kerajaan itu terpaksa menanggung kerugian besar.


”Kerajaan seharusnya bertangungjawab di atas kerugian terbabit. Pos Malaysia sebagai sebuah syarikat milik kerajaan (GLC) seharusnya diurus dengan berhemah.

“Bagaimanpun sikap pemimpin negara dan pengurusan Pos Malaysia yang cuai mengakibatkan kerugian besar terpaksa ditangung rakyat,” katanya di sini.


Kelmarin Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Dr Awang Adek Hussein menjelaskan kerugian yang ditanggung Pos Malaysia Berhad sebanyak RM227 juta dan bukannya RM546 juta.

Isu kerugian Pos Malaysia sebanyak RM546 juta tercetus berikutan pendedahan mantan Pengerusi Pos Malaysia & Services Holdings Bhd, Tan Sri Adam Kadir dalam majalah Malaysian Business baru-baru ini.

Beliau mendakwa tindakan Khazanah Nasional yang mempengaruhi Pos Malaysia melambatkan penjualan sahamnya dalam syarikat pengendali kargo yang bermasalah, Transmile Group Bhd telah menyebabkan negara rugi bila mana sahamnya jatuh.

Ahmad Fadhli berkata, pengakuan timbalan menteri terbabit tidak boleh dipandang ringan.

”Biarpun jumlah kerugiannya RM227 juta, itu masih besar berbanding dakwaan kerugian asal sebanyak RM546 juta,” katanya.


Oleh itu katanya, kerajaan perlu menyiasat segera dan menghukum pihak yang bersalah memandangkan jumlah tersebut cukup besar ketika negara dilanda krisis kewangan sekarang.

Menurutnya juga, Pemuda PAS bimbang nasib yang serupa akan menimpa wang ihsan sebanyak RM20 juta sekiranya kekal di bawah pengurusan Umno Kelantan.

Ketika kerajaan membeli saham Transmile Group Bhd pada 2004 harga saham RM6.25 seunit. Namun sekarang harganya menjunam kepada 13 sen.

Kerajaan membeli sebanyak 40 juta saham melibatkan peruntukan sebanyak RM250 juta ketika itu.

Hari ini nilai saham Transmile Group Bhd hanya berharga 13 sen seunit dan jumlah pegangan keseluruhan Pos Malaysia hanya RM14 juta sedangkan kerugian yang akan ditanggung Pos Malaysia boleh dikurangkan sekiranya pihak terbabit mengambil tindakan bijak menjual saham Transmile Group ketika harganya di paras RM14.40 pada 3 Januari 2007.

Dan ia akan mendatangkan hasil sebanyak RM576 juta atau setidak-tidaknya saham terbabit boleh dijual pada 14 Jun 2007 ketika sahamnya berharga RM6.60 atau paling tidak pada 5 Jun 2009 semasa harganya RM1.24 seunit.

Wednesday, May 5, 2010

APA SALAHNYA RM4 JUTA UNTUK KALAHKAN PAK LAH - MAHFUZ


HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 4 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) mempersoalkan, apa salahnya menggunakan wang RM4 juta untuk mengalahkan Umno dalam pilihan raya umum ke 12 lalu asalkan ia bukan dari sumber yang tidak betul.

Bahkan, beliau sendiri sanggup untuk melakukan kerja menjatuhkan Umno dan BN yang sememangnya tidak baik itu jika diberikan wang sebanyak itu.

Bagi Mahfuz, isu itu sebenarnya, tidak wajar dipolemikkan kerana sebagai sebuah parti, memang menjadi kerja dan tugas PAS melawan kerajaan yang ada untuk menubuhkan kerajaan yang lebih baik.

Katanya, ahli PAS sanggup menggadaikan apa sahaja yang mereka ada untuk memperjuangkan Islam yang dibawa oleh PAS.

Beliau mengulas dakwaan blogger Sheikh Kickdefella atau Syed Azidi Abdul Aziz yang mendakwa beliau diberikan wang RM4 juta untuk menjalankan operasi gerak saraf menjatuhkan Umno dan BN pimpinan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menjelang pilihan raya umum ke 12 lalu.

Jika sekiranya tidak benar pun dakwaan Kickdefella itu, beliau berkata, PAS sebagai sebuah parti politik akan tetap berkempen supaya rakyat menolak politik perkauman dan kezaliman yang dilaksanakan oleh para pemimpin Umno dan BN yang menggunakan prasarana kerajaan untuk melawan rakyat.

“Benar tidak benar dakwaan RM4 juta itu, memang saya tidak tahu, tetapi kalau tak benar pun, PAS tetap buat kerjanya berkempen supaya Umno BN kalah dalam pilihan raya depan,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena.

“Kalau betul pun, apa salahnya, memang keberadaan PAS dan parti-parti pembangkang yang lain sejak PRU 12 lalu adalah untuk pertahan kerajaan negeri (Kelantan), kuasai negeri-negeri (hatta) kerajaan Persekutuan sendiri,” tegas beliau.

Menurut Mahfuz, imej Abdullah sememangnya buruk bukan sahaja di kalangan pembangkang, malah di kalangan ahli-ahli Umno.

Maka, media-media pro Umno tidak seharusnya menyalahkan PAS dan pembangkang, sekiranya kelemahan Abdullah itu dijadikan modal berkempen pada PRU 12 lepas.

“Dia (Abdullah) sendiri memang lemah (dan) kelemahannya itu melengkapkan kelemahan yang sedia ada pada Umno itu sendiri (iaitu) mengamalkan rasuah, perkauman melampau dan sebagainya.

“Dia adalah simbol kepimpinan Umno, kalau kita berkempen menyerang Umno, tetapi tidak menyerang Abdullah, itu ajaib namanya,” ujarnya.

Seperti sekarang, fokus PAS sendiri, menurut beliau sudah tentu berkempen kepada rakyat supaya menolak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Sama juga sekarang, Najib adalah simbol kejahatan, simbol korupsi, simbol jenayah berprofil tinggi yang bukan saya saja pertikai, malah dunia sendiri sedang persoalkannya, kalau kita tak berkempen, itu kurang bijak namanya.”

Lanjutan itu, beliau turut meminta pihak berwajib yang dilihat cuba melaga-lagakan PAS dengan penulis Kickdefella, http://kickdefella.wordpress.com supaya menjelaskan motif di sebalik kenyataan masing-masing tentang senario politik tanah air belakangan ini.

“Berapa juta ringgit agaknya yang pemimpin Umno guna wang rakyat untuk rampas kerajaan negeri Perak?

“Benarkah RM100 juta duit rakyat dihabiskan oleh Umno BN untuk rampas semula Hulu Selangor baru-baru ini?

“Yang mereka (Umno) tahu memburukkan Datuk Zaid Ibrahim yang sudah pun bertaubat dengan pelbagai fitnah di media masa.

“Kenapa tindakan Umno menggadai dua telaga minyak kita (Blok L dan M) bernilai USD320 bilion pada Brunei tidak dilaporkan dengan baik?" soal beliau.

Menurut beliau, sepatutnya semua pihak lebih prihatin terhadap inisiatif kerajaan pusat membayar lebih RM77 juta pada firma perunding antarabangsa APCO Worldwide (IAC), firma yang dikaitkan dengan Zionis-Israel demi memperbaiki imej seorang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“RM77 juta dibayar pada sebuah syarikat yang dikaitkan dengan Zionis-Israel, sepatutnya (isu APCO) ini yang lebih dipedulikan,” jelasnya.

Katanya lagi, sekiranya ada mana-mana jutawan sudi memberi sejumlah wang yang sama, RM77 juta kepada beliau untuk berkempen supaya Umno BN kalah dalam PRU13 kelak, beliau bersedia untuk mengambil duit tersebut.

“Iya...kalau ada jutawan mana-mana yang nak beri saya RM77 juta, bukan beri kepada syarikat pro Zionis-Israel, agar PAS boleh berkempen untuk mengalahkan Umno BN dalam pilihan raya (umum) ke-13 untuk dedah siapa Najib sebenarnya, saya akan terima,” ujarnya dalam nada berseloroh.

“Saya ingat, semua parti pembangkang pun sudi terima sumbangan ikhlas oleh mana-mana pihak kerana mereka pun mahu selamatkan Malaysia dari terus dimusnahkan oleh politik perkauman Umno ini,” katanya.

Beliau berkata, tanpa RM4 juta pun, ahli-ahli PAS tetap akan turun berkempen dalam pilihan raya demi menghadapi Umno BN.

“PAS bukan setakat RM4 juta, nyawa pun mereka akan wakafkan untuk perjuangan Islam, demi menjatuhkan kerajaan yang nyata menerima petunjuk APCO Zionis-Israel.”

Sejak beberapa bulan lalu, Kickdefella dilihat mengkritik Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat serta beberapa pemimpin PAS Kelantan secara terbuka menggunakan blog peribadinya.

Ekoran kritikan tersebut, beberapa pihak seperti Datuk Nik Mohd Amar Abdullah (Exco Kerajaan Kelantan), Fadli Shaari (Ketua Penerangan Pemuda PAS negeri) serta blogger Tulang Besi atau Abdul Rahman Talib (pemilik blog MalaysiaWaves) bertindak mencabar beliau mendedahkan dalang di sebalik aktiviti korporatnya melalui Global Media Channel.

Demi membuktikan diri terlibat mempertahan kerajaan negeri Kelantan dari jatuh ke tangan Umno, Kickdefella mendedahkan bahawa beliau menerima RM4 juta dari pihak tertentu untuk menjalankan kerja-kerja mempertahankan kerajaan negeri.

Kini beliau disiasat oleh SPRM dan telah mendedahkan bagaimana dan daripada siapa wang itu diterimanya.

Dalam sidang medianya tengah hari tadi, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menafikan PAS terlibat memberikan wang itu kepada Syed Azidi namun beliau tidak tahu kalau-kalau ada pemimpin PAS terlibat.

Monday, May 3, 2010

SERAH DUA TELAGA MINYAK SATU PENDERHAKAAN


HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 3 Mei: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Perlembagaan Malaysia tidak membenarkan mana-mana wilayah Malaysia diserahkan pada pihak luar, maka perbuatan kabinet menyerahkan dua blok pengeluaran minyak luar pantai Malaysia-Borneo kepada Brunei Darussalam dianggap perbuatan derhaka kepada kedaulatan negara.

“Kalau Perkara 2, Perlembagaan (Persekutuan) Malaysia sendiri pun tidak membenarkan mana-mana wilayah dalam kedaulatan kita (Malaysia) diserahkan kepada negara luar walaupun melalui Parlimen, inikan pula Blok M dan (Blok) L sewenang-wenangnya diserahkan pada Brunei hanya melalui kelulusan kabinet sahaja.

“Ini bagi saya suatu penderhakaan kepada negara kerana Perlembagaan memperlihatkan bahawa tidak pernah ada tolak ansur dalam melepaskan kedaulatan negara,” ujarnya pada sidang media di lobi Dewan Negara, tengah hari ini.

Turut serta ialah Senator Mohd Yusof Husin dan Senator Mumtaz Mohd Nawi.

Menurut beliau, Perkara 2 Perlembahaan Persekutuan hanya membenarkan Parlimen membuat ketetapan untuk menerima masuk mana-mana negeri dalam Persekutuan.

Perkara 2 juga, menurut Mahfuz, membenarnya Parlimen membuat persempadanan semula negeri-negeri di bawah Persekutuan, dengan syarat mesti terlebih dahulu mendapat persetujuan Dewan Undangan Negeri (Dun) serta Majlis Raja-raja.

Mengambil kes persempadanan semula Wilayah Persekutuan Putrajaya, beliau berkata, kerajaan Pusat akhirnya akur dengan mendapatkan persetujuan Dun Selangor dan Sultan Selangor, walaupun pada awalnya kerajaan Pusat terus masyhurkan suatu kawasan dalam negeri Selangor sebagai ‘Persekutuan’.

Disebabkan itu, dengan merujuk pada pengakuan mantan Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang menjelaskan bahawa penyerahan dua telaga minyak tersebut diluluskan oleh kabinet, beliau menggesa kerajaan Pusat menjelaskan kaedah yang digunakan oleh Kuala Lumpur ketika memeterai perjanjian persefahaman dengan Bandar Seri Begawan.

Tambahnya lagi, walaupun perjanjian dibuat pada 11 Februari 2009, iaitu era Abdullah menjadi Perdana Menteri, namun perjanjian persefahaman ditandatangani antara kedua-dua kerajaan pada 16 Mac 2009, iaitu ketika Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri menjadi Perdana Menteri.

Sehubungan itu, Najib selaku ketua kerajaan tidak seharusnya mengambil sikap berdiam diri serta menganggap bahawa isu terbabit adalah isu terpencil yang melibatkan Abdullah semata-mata.

Dari segi yang lain, Mahfuz turut mempersoal tindak-tanduk kerajaan membatalkan perjanjian persefahaman dengan Murphy Oil, iaitu syarikat perdagangan minyak antarabangsa demi memastikan hasrat menyerahkan kedua-dua telaga minyak tersebut kepada Brunei.

Menurut beliau, dengan pembatalan sedemikian, sekaligus mencalar reputasi Petronas, sebagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang bergiat dalam industri petroleum di peringkat dunia.

“(Dengan) pembatalan ini, bukan sahaja integriti kerajaan dilihat musnah, malah Petronas selaku GLC yang bergiat di peringkat antarabangsa pun turut dipersoal apabila mereka berurusan dengan negara-negara pengeluar minyak.

“Dunia akan tanya Patronas, sekiranya perjanjian dengan Murphy Oil pun kerajaan boleh batalkan, apakah jaminan Petronas sekiranya ia (Petronas) dilantik untuk membangunkan industri minyak di negara-negara yang dia berurusan,” beliau menambah.

Tuntas dari itu, beliau bercadang untuk mengetengahkan perkara itu kepada Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat dalam masa terdekat sebelum membuat usul supaya suatu sidang Dewan Rakyat tergempar diadakan demi membincangkan isu penderhakaan tersebut.

Sunday, May 2, 2010

SERAH WILAYAH : PERLU PENJELASAN KERAJAAN, BUKAN MP KEPALA BATAS

KUALA LUMPUR, 2 Mei: Kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mesti memberi penjelasan mengenai penyerahan dua blok pengeluaran minyak luar pantai kepada Brunei, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

"Setakat ini, yang memberikan ulasan agak panjang hanyalah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kita mahu penjelasan telus dan berterus-terang dari kerajaan, bukan sekadar ulasan Ahli Parlimen Kepala Batas," katanya.

Beliau menuntut kerajaan Najib menghentikan sikap tidak bertanggungjawab dan terus membisu mengenai hal itu walaupun sudah beberapa hari bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan perkara itu.

"Dr Mahathir mendedahkan jumlah kerugian dalam bentuk perolehan berjumlah AS$100 bilion (RM320 bilion) malah didedahkan juga bahawa kawasan yang kaya simpanan minyak di Laut Cina Selatan - Block L dan Block M - tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.

"Ini bukan setakat kehilangan khazanah negara malah kehilangan wilayah dalam negara ini," katanya.

Sebab itulah, kata Mohamad yang juga Pengerusi Mobilisasi Demokrasi PAS, kerajaan mesti memberikan penjelasan mengenai perkara itu.

"Rakyat juga mesti diberitahu apa yang dilakukan oleh anggota kabinet ketika perkara itu berlaku.

"Adakah mereka menjadi pak turut sahaja kepada tindakan Abdullah yang ketika itu menjadi Perdana Menteri?

"Apa Najib buat untuk mempertahankan khazanah dan wilayah negara sedangkan ketika itu beliau adalah Timbalan Perdana Menteri?

"Sebahagian besar anggota kabinet ketika Abdullah menjadi Perdana Menteri masih lagi berada dalam pentadbiran Najib kini. Apa mereka buat untuk mempertahankan khazanah dan wilayah negara ini dari terlepas ke tangan Brunei?" beliau mempersoalkan.

Rakyat, katanya, mesti menuntut Najib bertanggungjawab ke atas perkara itu, begitu juga semua anggota kabinet ketika Abdullah menjadi Perdana Menteri.

"Jika mereka enggan bertanggungjawab atas kehilangan khazanah dan wilayah negara, rakyat mesti bangkit bersama mengajar mereka tentang erti tanggungjawab," tegas beliau.

Dr Mahathir mendakwa Abdullah telah menyerahkan kepada Brunei dua blok pengeluaran minyak luar pantai, sebelum bersara awal tahun lalu.

Menurutnya, perkara itu dilaporkan oleh The Edge Financial Daily (22 April) dan Brunei Times di mana kawasan yang kaya simpanan minyak di Laut Cina Selatan - Block L dan Block M - tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Menulis dalam blognya, Dr Mahathir mendakwa jumlah kerugian dalam bentuk perolehan berjumlah AS$100 bilion (RM320 bilion).

Menurutnya, Abdullah telah menyerahkan 'Blok L' dan Blok M' di Laut Cina Selatan, dikatakan sebagai pertukaran dengan Brunei supaya menggugurkan tuntutannya terhadap Limbang, Sarawak.

"Blok L dan Blok M dituntut oleh Malaysia berdasarkan kepada fakta sejarah. Menurutnya, Petronas menandatangani kotrak perkongsian pengeluaran dengan Murphy Oil (Corp) untuk memulakan pengeluaran minyak.Simpanan minyak di kawasan itu adalah hampir 1 bilion tong.

"Abdullah berunding dengan sultan (Brunei) untuk mengambil Limbang di Sarawak. Sebagai balasannya, beliau bersetuju untuk menyerahkan dua blok tersebut kepada Brunei.

"Tidak ada wakil Petronas yang hadir, hanya kakitangan pejabat luar dan pnasihat halehwal luar kepada PM," dakwa Mahathir.

Abdullah menolak dakwaan Dr Mahathir itu.

Dalam kenyataannya selepas pendedahan Dr Mahathir itu, Abdullah berkata sumber di 'blok L dan M' di Laut China Selatan yang dirujuk oleh Dr Mahathir, kini dikongsi bersama oleh Malaysia dan Brunei di bawah perjanjian wilayah dan komersil yang ditandatangani pada 16 Mac tahun lalu.

Walaupun blok L dan M kini berada di bawah kedaulatan Brunei, tetapi katanya, Malaysia akan dibenarkan mengambil bahagian dalam usaha bersama untuk memajukan pengeluaran minyak dan gas di situ untuk tempoh 40 tahun.

Menurut Abdullah, ia bertujuan untuk menyelesaikan isu sempadan antara kedua negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pula memberitahu media bahawa Malaysia tetap memastikan kawasan Limbang di Sarawak kekal sebagai hak milik negara ini walaupun konsesi Blok L dan Blok M menjadi milik Brunei dalam perjanjian persempadanan dengan Brunei pada Mac 2009.

Ditanya mengenai laporan bahawa Brunei telah membuat penafian bersetuju menyerahkan Limbang, Mohamed Nazri berkata, Brunei boleh membuat penafian itu, tetapi hakikatnya, Limbang tetap hak milik Malaysia.

"Kita akan pertahankan Limbang dan negara lain boleh kata apa pun, Limbang adalah hak Malaysia walaupun ada pihak yang akan mempertikaikan keputusan melepaskan Blok L dan Blok M itu," tegasnya.

Followers