Tuesday, January 28, 2014

KANGKUNG TURUN HARGA KERANA TIADA PEMBABITAN KRONI

KOTA BHARU:  Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa, mengakui sayur kangkung turun harga sebagaimana diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap di Kemaman, baru-baru ini.
Menurutnya, kenaikan harga kangkung tidak berlaku kerana tiada seorang pun menteri kabinet atau kroni mereka terlibat dengan perniagaan kangkung.
“Sekiranya sayuran itu dimonopoli oleh syarikat mereka sudah tentu ianya akan naik harga sebagaimana gula, minyak masak,  gas, petrol dan lain-lain,” ujarnya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk "Ibrah dari kisah Nabi Yusof: Perancangan Kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat” pada Kolokium Agenda Kesejahteraan Rakyat di Dewan Teratai, dekat sini hari ini.
Program sehari itu dianjurkan Urusetia Pembangunan Wanita, Keluarga, kebajikan dan Kesejahteraan Rakyat.
Ucaptama majlis disampaikan bekas Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Husam menambah, akibat tiadanya agenda kesejahteraan dan kebajikan rakyat, kepentingan kroni dan peribadi membuatkan rakyat menderita.
“Kerana itu kehidupan rakyat pelbagai peringkat, apa lagi yang berpendapatan rendah dihimpit kenaikan harga barang khususnya keperluan harian,” ujarnya.
Turut hadir pada majlis itu wakil-wakil rakyat, pegawai kanan kerajaan negeri,dan para pelajar sekolah Yayasan Islam Kelantan (Yik).

Friday, January 24, 2014

CINTA NABI , SARANAN AL QURAN YANG DITINGGALKAN

Dewasa ini ramai yang membicarakan topik ‘Cinta Nabi’. Satu perkembangan baik yang berlaku di kalangan umat Islam. Cuma terkadang, kita tercari-cari metodologi yang tepat bagaimana menyintai Rasulullah SAW. Sehingga kita terlupa al-Quran telah membicarakan soal ini secara jelas dan langsung.

Manhaj Al-Quran

Di dalam surah ali-Imran, Allah Taala telah menyatakan kriteria golongan yang layak bersama dengan Rasulullah SAW;

“Dan berapa banyak Nabi yang berjuang bersama-samanya sejumlah besar pengikut yang bertaqwa. Sifat mereka tidak menjadi lemah dengan ujian yang menimpa mereka di jalan Allah, dan mereka tidak lesu dan tidak pula menyerah kalah. Allah menyintai golongan yang sabar.” (Ali-Imran:146)

Secara jelas Allah menyatakan sifat utama pencinta-pencinta Nabi SAW seperti berikut :

i.Al-Quran telah menggazetkan bahawa golongan yang layak bersama dengan Nabi SAW adalah di kalangan mereka yang sangat sensitif terhadap maruah Islam. Mereka tidak akan membiarkan Nabi SAW berjihad seorang diri, sedangkan mereka duduk sebagai pemerhati. Sebaliknya mereka ada rasa tanggungjawab terhadap cinta Nabi SAW sebagaimana ikrar para sahabat, "Pergilah Engkau SAW bersama Tuhanmu berjuang, sesungguhnya kami bersama-sama denganmu turun berjuang."

ii.Mereka mestilah di kalangan orang-orang yang bertaqwa. Iman mereka dibuktikan dengan gigih berjuang menegakkan agama Allah. Kembali kepada tugas asal manusia sebagai khalifah iaitu ‘Mendirikan Islam, Memelihara Islam dan Mentadbir Dunia Dengan Islam’.

iii.Jatidiri mereka gagah perkasa, kalis tekanan. Apabila mengisytiharkan diri mereka untuk menyertai jihad perjuangan Islam, mereka bersedia berhadapan dengan risiko serta bersungguh-sungguh menongkah arus kejahilan manusia. Manakala golongan yang bacul dan penakut, Nabi SAW tidak sudi mengaku sebagai ummatnya (maksudnya), “Apabila kamu melihat ummatku kecut untuk menyatakan kepada sang zalim “Wahai Si Zalim”. Sesungguhnya diucap selamat tinggal kepada mereka” HR Tabarani.

Bahkan di dalam Ayat 142 sebelumnya, Allah SWT mencabar pendukung-pendukung agama Nabi SAW agar jangan mudah perasan masuk syurga selagi mana tidak berjihad. Ingatan itu disertakan isyarat dari Allah bahawa pencinta-pencinta Nabi SAW mestilah meletakkan misi mati syahid sebagai cita-cita yang tertinggi di dalam ayat 143.

“Adakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk Syurga padahal belum lagi nyata kepada Allah (wujudnya) orang-orang yang berjihad (yang berjuang dengan bersungguh-sungguh) di antara kamu, dan (belum lagi) nyata (wujudnya) orang-orang yang sabar (tabah dan cekal hati dalam perjuangan)?” (Ali Imran:142)

“Dan sesungguhnya kamu telah mengharap-harapkan mati Syahid (dalam perang Sabil) sebelum kamu menghadapinya. Maka sesungguhnya kamu (sekarang) telahpun menyaksikannya dan kamu sedang melihatnya (dengan mata kepala sendiri).” (Ali Imran:143)

Golongan pencinta Nabi SAW mempunyai daya tahan yang kuat. Sedikit pun tidak menyerahkan kalah berhadapan dengan musuh. Dalam konteks realiti Malaysia sekarang yang ujiannya adalah perang pemikiran, mereka mestilah tidak menyerahkan kepercayaan  mereka kepada ideologi-ideologi lain selain Islam.

Cinta Nabi SAW Gaya Sahabat

Kita perlu kembali meneladani gaya para sahabat menyintai Nabi SAW. Hal ini kerana, mereka merupakan generasi yang diasuh dari air tangan Nabi SAW. Kelebihan tersebut menjadikan mereka merupakan golongan yang paling menyintai Nabi SAW dan yang paling faham terhadap mesej-mesej wahyu dari Baginda SAW.

Seperti yang telah dikisahkan oleh Imam Ibnu ‘Asakir di dalam karyanya Tarikh Dimasyq, bagaimana manifestasi cinta Saidina Bilal Bin Rabbah terhadap Rasulullah SAW adalah dengan jihad. Setelah kewafatan Baginda SAW, Bilal tidak mampu meneruskan tugasnya sebagai juru azan. Apabila disebut sahaja nama kekasihnya Muhammad SAW, suara Bilal tersekat dan menangis. Maka bermulalah riwayat hidup Bilal Bin Rabbah berendam air mata sepanjang berada di Madinah selepas kewafatan Baginda SAW. Untuk menyelesaikan derita kerinduan yang amat menebal, akhirnya Bilal meminta izin Abu Bakar untuk keluar dari Madinah menuju ke Sham bergabung dengan tentera Islam dalam misi membebaskan Baitul Maqdis. Bilal pergi berjuang demi mendapatkan cintanya kepada Rasulullah SAW.

Begitu juga kisah dua kanak-kanak yang amat ghairah menyintai Nabi SAW. Ketika perang Badar, Abdul Rahman Bin ‘Auf ditemui oleh dua orang kanak-kanak yang melapor diri lantas menyuarakan hasrat ingin mencari Abu Jahal yang telah mencaci Nabi SAW. Mereka bertekad sekiranya terserempak dengan Abu Jahal, mereka akan pastikan si bedebah tersebut segera dibunuh. Akhirnya  misi tersebut berjaya dan dipuji oleh Nabi SAW.

Begitu juga cinta Khubaib yang diseksa teruk kerana mempertahankan Islamnya. Sehingga musyrik yang menyeksanya menawarkan pelepasan dari seksaan dengan syarat, Khubaib dapatkan Rasulullah SAW sebagai galang gantinya. Maka Khubaib membenarkan cintanya kepada Nabi SAW dengan penegasannya, “Demi Allah, aku benci bersama bersenang-lenang di dunia dengan keluargaku dan anak-anakku sedangkan Rasulullah SAW ditinggalkan diseksa oleh kamu semua...” al-Bukhari

Di sini kita lihat, cara para sahabat berinteraksi dengan cinta Nabi SAW adalah dengan perlaksanaan. Bukan dengan puji-pujian lisan semata-mata. Lebih dari itu, mereka jadikan jalan jihad sebagai cara menterjemahkan rasa cinta kepada Baginda SAW.

Muhasabah

Berdasarkan potongan ayat al-Quran surah Ali Imran ayat 142 hingga 146, kita perlu meneliti dengan penuh insaf di mana kita. Bahkan kita perlu tanya pada diri kita sepanjang kempen Cinta Nabi SAW, adakah kita telah menjalankan beberapa kempen berikut:

i.Syurga tidak diperoleh semata-mata dengan memuja memuji Nabi SAW sahaja. Sebaliknya syurga hanya boleh dicapai apabila seseorang terlibat dalam perjuangan menegakkan Islam sebagai aqidah dan syariat.
ii.Umat Nabi SAW mesti bercita-cita untuk mati syahid sebagai tanda benar-benar cinta kepada Nabi SAW. Barulah cita-cita tersebut memotivasi umat Baginda SAW supaya gagah mendepani cabaran mendatang.
iii.Tidak ada guna jika setelah kewafatan Nabi SAW, kita hanya merintih dan mengadu nasib bersedih akan pemergian Baginda SAW sedangkan tugas-tugas Baginda SAW kita tinggalkan. Lihat di dalam al-Quran, Allah menegur umat Islam agar jangan berpaling meninggalkan kerja Nabi SAW setelah kewafatannya. Begitu juga Bilal, bukti rindu dan cinta beliau adalah dengan jihad. Ingat, umat Islam sifatnya membina dan maju. Bukan statik dan mandom.

Sekiranya tidak dijumpai kempen-kempen tersebut sepanjang menyambut program Maulid al-Rasul atau seumpamanya, maka sedarlah bahawasanya kita masih gagal memenuhi piawaian Allah SWT dalam menyintai Rasulullah SAW dalam erti kata yang sebenar. Apakah cukup dengan mengingati tanpa melaksana? Cinta adalah tanggungjawab.

Sunday, January 19, 2014

PROVOKASI PERISTIWA 13 MEI

KUALA LUMPUR: Berhimpun dan berdemo tidak menjadi kesalahan dan ia mungkin salah satu cara meluahkan perasaan tetapi serangan yang dilakukan mestilah bijak.

Mengancam dengan peritiwa 13 Mei dalam isu kangkung dan kenaikan harga barang langsung tidak mencerminkan kematangan dan persembahan hujah yang baik dalam politik, tulis Shahbudin Husin.

Setelah lebih 40 tahun berlalu, beliau berpandangan peristiwa 13 Mei sepatutnya semakin dilupakan dan bukan sering diingati serta dijadikan alat provokasi terhadap kaum lain.

Tambahnya, terus-menerus membangkitkan peristiwa 13 Mei bukan saja merenggangkan lagi hubungan antara kaum, bahkan meretakkan hubungan sesama komponen BN sendiri.

“Masyarakat bukan Melayu pula akan terus menjauhi Umno, BN dan kerajaan selagi peristiwa 13 Mei ini sering diungkit dan dijadikan alat provokasi politik,” tulis beliau di dalam blognya.

Tuesday, January 14, 2014

BARANG NAIK ; APA LAGI YANG NAJIB NAK NAFI

KUALA LUMPUR: Kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Kemaman,Terengganu semalam ketika pemberian mangsa banjir adalah sangat mengejutkan kepada pelbagai.

“Ataukah juga ia tidak lagi mengejutkan kepada pihak yang lainnya,” tanya Pengarah Eksekutif Pusat Penyelidikan PAS, Dr Dzulkefly Ahmad.

Katanya, cubaan Najib untuk meyakinkan rakyat bahawa kenaikan harga barang atau ‘barang naik’ bukan disebabkan oleh kerajaan adalah melucukan.

Beliau berkata, sama ada Najib sengaja memberi jawapan politik dan cubaannya berdalih atau benar-benar beliau tidak tahu apa punca kenaikan kos mutakhir ini.

“Rakyat lebih suka membaca Najib sengaja berpolitik dan berdalih kerana almaklumlah apa lagi yang dia takut kerana kedudukan dia dan Umno BN di Putrajaya sudah ‘selamat’ walaupun dia wajar diingatkan bahawa Umno BN hanya mendapat 47% dari undi popular.

“Untuk mudahkan Najib faham saya sebutkan begini. Kalau Maybank Investment Bank (IB) pada Oktober lalu mengumumkan inflasi paling tinggi dalam tempoh 20 bulan kerana kenaikan 20 sen RON95 dan diesel pada September 2013 lalu, maka apakah laporan yang bakal dibuat oleh kesemua pihak analysts dan Investment Banks di negara?

“Ramalan IB-IB ini adalah inflasi tahun ini adalah 3% dan 2015 lebh parah lagi 3.5% hingga 4%,” jelasnya.

Justeru, beliau menggesa agar Najib cuba memikirkan lebih serius sedikit iaitu impak kali ini adalah akibat dinaikkan serentak dan kesan 'rantaiannya' kepada barangan dan servis adalah sangat berat kepada rakyat.

Baginya, adalah lucu dan aib bagi seorang PM untuk menafikan hakikat itu.

“Najib tarik 34 sen subsidi gula menjadi harga gula hari ini melonjak dari RM2.50 sekilogram ke RM2.84 sekilogram sebaik sahaja selepas pembentangan,” katanya lagi.

Di samping itu, ujarnya bermula Januari lalu tarif elektrik pula dinaikkan 15% di Semenanjung dan 17% di Sabah dan Labuan.

Kemudian, katanya pengumuman tentang kadar tol untuk 13 lebuh raya dibuat dan kos pengangkutan awam (LRT, Monorail, KTM, ERL dan ETS) serta bas sekolah mahu dinaikkan 40%.

“Najib menyebutkan tak semua kenaikan disebabkan oleh kerajaan BN. Dakwanya ada disebabkan cuaca buruk tangkapan ikan kurang dan hasil tanaman tak menjadi.

“Apakah Najib dapat meyakinkan dirinya sendiri tentang dakwaannya itu?” tanya Dr Dzulkefly lagi.

Sehubungan itu, sebelum rakyat hilang kesabarannya Najib patut tahu kesusahan yang ditanggung rakyat yang berpendapatan rendah semakin parah dan gesaan supaya merubah cara hidup seperti naik motor ke pejabat dan suami-isteri yang buat 2 atau 3 kerja membawa implikasi sosial yang berat seperti hal ehwal anak-anak terbiar menambah pelbagai gejala sosial dan juga kemalangan meningkat.

Bagi beliau, adalah tidak patut sama sekali Najib merendah atau perbodoh rakyat sebegini.

Katanya, rakyat juga tahu Najib tak mahu ambil tindakan merungkai atau memberhentikan monopoli yang merupakan antara sebab mengapa gula, beras, simen dan besi-keluli dan sebagainya.

Menurutnya, Najib takut bertindak memberhentikan konsesi-konsesi utiliti sperti air, IPP, lebuhraya, pelabuhan dan menamatkan keuntungan kroni yang lumayan tetapi sangat mudah untuk mengenakn apa-apa pun kepada rakyat.

Katanya, ini semua sebab mengapa kos ditentukan mereka.

“Daripada menangani ketirisan dan kebocoran, hentikan runding langsung dan mewujudkan tadbir-urus yang baik, Najib lebih suka mengenakan GST bagi menambah pendapatan Negara. Inflasi tentunya akan menjadi lebih parah lagi.

“Apa lagi yang Najib nak nafi?” ujarnya lagi.

Thursday, January 9, 2014

MENGAPA PAS MENENTANG GST?

Firman Allah:
أَمَّا السَّفِينَةُ فَكَانَتْ لِمَسَاكِينَ يَعْمَلُونَ فِي الْبَحْرِ فَأَرَدْتُ أَنْ أَعِيبَهَا وَكَانَ وَرَاءَهُمْ مَلِكٌ يَأْخُذُ كُلَّ سَفِينَةٍ غَصْبًا (79)الكهف.
Maksudnya:
Khadir berkata: “Adapun kapal (yang aku rosakkan) ini adalah kepunyaan orang-orang miskin yang bekerja di laut. Aku jadikannya rosak, kerana mereka akan melalui negeri yang Rajanya merampas setiap kapal yang tiba.”

Firman Allah:
قَالُوا يَا ذَا الْقَرْنَيْنِ إِنَّ يَأْجُوجَ وَمَأْجُوجَ مُفْسِدُونَ فِي الْأَرْضِ فَهَلْ نَجْعَلُ لَكَ خَرْجًا عَلَى أَنْ تَجْعَلَ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمْ سَدًّا (94) قَالَ مَا مَكَّنِّي فِيهِ رَبِّي خَيْرٌ فَأَعِينُونِي بِقُوَّةٍ أَجْعَلْ بَيْنَكُمْ وَبَيْنَهُمْ رَدْمًا (95) آتُونِي زُبَرَ الْحَدِيدِ حَتَّى إِذَا سَاوَى بَيْنَ الصَّدَفَيْنِ قَالَ انْفُخُوا حَتَّى إِذَا جَعَلَهُ نَارًا قَالَ آتُونِي أُفْرِغْ عَلَيْهِ قِطْرًا (96(الكهف.
Maksudnya :
Mereka berkata: "Wahai Zulkarnain, sesungguhnya kaum Yakjuj dan Makjuj sentiasa melakukan kerosakan di bumi; oleh itu, setujukah kiranya Kami menentukan sejumlah bayaran kepadamu (dari hasil pendapatan kami) dengan syarat Engkau membina sebuah tembok di antara kami dengan mereka?" (94)
Dia menjawab: "(Kekuasaan dan kekayaan) yang Tuhanku kurniakan kepadaku menguasainya, lebih baik (dari bayaran kamu); oleh itu bantulah aku dengan tenaga (kamu beramai-ramai) aku akan bina antara kamu dengan mereka sebuah tembok penutup yang kukuh." (95)
"Bawalah kepadaku ketul-ketul besi"; sehingga apabila ia terkumpul separas tingginya menutup lapangan antara dua gunung itu. Dia pun perintahkan mereka membakarnya dengan berkata: "Tiuplah dengan alat-alat kamu."  Sehingga apabila ia menjadikannya merah menyala seperti api, berkatalah dia: "Bawalah tembaga cair supaya aku tuangkan atasnya." (96)

Al Quran memaparkan dalam satu surah, dua kisah benar di zaman silam, supaya diambil iktibar. Ianya merupakan kisah perbandingan di antara kerajaan yang zalim yang merampas setiap kapal yang lalu ke negerinya tanpa mengira pemiliknya kaya dan meskin, lalu nabi Khaidir merosakkan kapal kepunyaan orang-orang miskin bagi menyelamatkannya. Berbeza pula kerajaan yang adil, Rajanya seorang yang soleh dan bijak bernama Dzulqarnain, membantu kaum yang lemah, kerana kewangannya surplus,  sehingga menolak tawaran untuk membayar cukai bagi membantu mereka menghadapi pencerobohan kaum yang ganas.
Teruskan membaca :

Monday, January 6, 2014

PETUGAS PAS USUNG RUMAH AHLI UMNO DIHANYUT BANJIR

KUANTAN: Bagi merealisasikan tema 'Rahmat Untuk Semua' berlainan anutan parti politik tidak menghalang PAS Kawasan Paya Besar melaksanakan kebajikan dengan bergotong-royong mengusung rumah hanyut akibat banjir besar yang bermula 3 Disember lalu.

Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Paya Besar, Mohd Tarmizi Yahaya, dalam gotong-royong tersebut PAS kawasan bersama 120 orang daripada Unit Amal, ahli PAS cawangan dan penduduk kampung berjaya mengalihkan semula rumah milik seorang ahli Umno di Kampung Bukit Rangin di sini.

Katanya, rumah tersebut hanyut daripada tapak asal sejauh kira-kira 15 meter akibat banjir paling buruk yang melanda ibu negeri Pahang ini bulan lalu dan tersadai di tanah jiran sebelahnya.

“Alhamdulillah, hari ini (semalam) hanya dalam tempoh dua jam kami telah berjaya mengembalikan semula rumah hanyut itu ke tapak asal dengan kerjasama semua.

“Kami membantu mereka yang memerlukan tanpa mengira parti, mana-mana pihak yang  memerlukan bantuan, kami sedia membantu sejak awal-awal banjir lagi,” katanya.

Menurut Tarmizi, daerah Kuantan dilanda bencana banjir paling buruk dalam sejarah sehingga hampir 30,000 penduduk terpaksa dipindahkan  ke pusat pemindahan banjir.

Tambahnya, Kampung Bukit Rangin antara yang paling teruk terjejas kerana berada tidak jauh dari Sungai Kuantan.

Mohd Tarmizi berkata, sejak awal banjir atas inisiatif Unit Amal PAS Kawasan Paya Besar telah turun membantu seperti menyelamatkan nyawa dengan memindahkan mangsa, mengagihkan makanan kepada yang terputus hubungan hinggalah kepada banjir surut dengan bergotong-royong pula mencuci rumah mangsa dan memberi bantuan persekolahan.

“Ini ujian Allah kepada kita, tetapi dari sudut positif, kita dapat mengeratkan hubungan serta menjalin kerjasama antara satu sama lain," katanya.

Sementara itu, pemilik rumah yang hanyut, Wan Badrol Shah, 25, berkata, kejadian banjir penghujung tahun lepas merupakan yang terburuk pernah berlaku di kampung tersebut yang menyebabkan kebanyakan penduduk tinggal sehelai sepinggang.

“Akibat arus deras, rumah milik keluarga saya hanyut, dan kami masih bersyukur kerana ia tidak dihanyutkan jauh.

“Sekurang-kurangnya ada harapan untuk kami membaiki dan berjayanya ‘meletakkan’ rumah ini ke tapak asalnya,” katanya. 
HARAKAHDAILY

Saturday, January 4, 2014

13 MAUT, 122 DITAHAN DALAM DEMO PRO MORSI SEMALAM

KAHERAH: Penyokong legitimasi dan pro Dr Mohamed Morsi bertekad tidak akan berhenti dari mengadakan bantahan terhadap kudeta di seluruh negara itu biarpun berdepan ancaman maut.

Semalam, himpunan Jumaat besar-besaran terus diadakan dengan menamakannya sebagai himpunan  Al Maadi.

Perhimpunan tersebut diketuai Perikatan Kebangsaan bagi Pertahanan Legitimasi , yang menuntut pengembalian semula Presiden Mesir Dr Mohamed Morsi itu.

Mereka mengadakan perhimpunan di beberapa kawasan di daerah-daerah Kaherah dari Helwan, Bandar Nasr dan Shubra .

Selain itu, mereka juga berhimpun di bandar pantai Alexandria dan bandar terusan Ismailia .

Mereka mengibarkan gambar Morsi dan foto rakan-rakan mereka yang syahid dalam serangan oleh pihak keselamatan kudeta ketika siri-siri perhimpunan sebelum ini.

Dalam pada itu, polis dan tentera kudeta seperti biasa menggunakan gas pemedih mata dan peluru hidup untuk menyuraikan perhimpunan pro-Morsi.

Menteri kesihatan Mesir dalam satu kenyataan menyebut, sekurang-kurangnya 13 terkorban dalam himpunan semalam manakala 122 lagi ditahan.

Wednesday, January 1, 2014

HANYA BUDAYA TIDAK BERCANGGAH SYARIAT DIBENARKAN


KOTA BHARU: Biar pelbagai usaha dilakukan bagi menarik pelancong ke Kelantan, namun budaya yang dipertonton dipastikan tidak bercanggah dengan syariat Islam.

Begitu juga persembahan kebudayaan atau permainan tradisional yang tidak berpijak di bumi nyata seperti wayang kulit dan permainan melibatkan unsur pemujaan tidak dibenarkan.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, kerajaan negeri telah menetapkan garis panduan sama ada sesuatu persembahan kebudayaan itu boleh diadakan atau sebaliknya.

“Mana-mana kebudayaan yang tidak bercanggah dengan nilai-nilai Islam dibenarkan, manakala kebudayaan yang bercanggah namun kalau boleh diubah dengan menerap unsur kebaikan dan kesedaran ia diterima.

“Misalnya wayang kulit ada versi baru yang disembahkan. Kalau boleh ubah kita boleh terima. Kita mahu rakyat selamat dunia dan akhirat,” katanya kepada pemberita pada acara sambutan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 di sini hari ini.

Program tersebut diadakan di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra. Program serupa turut diadakan di Rantau Panjang dan pintu sempadan lain.

Kerajaan Kelantan sebelum ini mengubal Enakmen Kawalan Hiburan 1998 bagi memperincikan garis panduan persembahan kebudayaan dan hiburan di negeri ini.

Menteri Besar bagaimanapun berkata, persembahan menora yang menjadi tradisi masyarakat Siam dibenarkan di kawasan wat mereka.

“Kita tidak halang persembahan tersebut diadakan di kawasan wat Siam,” ujarnya.

Menurutnya juga persembahan pentas bagi wanita hanya dibenarkan bagi mereka yang berusia bawah 12 tahun sahaja.

Selain itu kata beliau kerajaan negeri sentiasa mengawal tidak berlaku pergaulan bebas di tempat-tempat program yang diadakan.

Program tersebut dianjurkan Tourism Malaysia dengan kerjasama Pusat Pelancongan Negeri Kelantan.

Hadir sama Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan, Datuk Hassan Mohamood dan pegawai Tourism Malaysia.

Followers