Monday, June 27, 2011

ISTIKHARAH : KEJAHILAN ZAHID TERSERLAH


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Jun: Gesaan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya pemimpin PAS solat istikharah berhubung video seks menyerlahkan lagi kejahilannya terhadap hukum feqah di dalam Islam.

Demikian Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Aman Razali sebagai respons kepada laporan Utusan Malaysia hari ini yang bertajuk “Nik Aziz digesa solat istikharah”.

Kenyataan itu memetik kata-kata Zahid selaku Naib Presiden Umno yang berkata: Saya fikir mereka (pemimpin Pas) perlu melakukan solat sunat istikharah untuk memohon hidayah Allah sama ada segala kebenaran di sebalik video seks itu berpihak kepada Anwar atau tidak.

Khairuddin berkata, kenyataan itu menunjukkan Umno semakin tersepit pada hari ini.

“Tidak cukup dengan kebiadapan Utusan yang menyiarkan karikatur yang menggambarkan persepsi yang negatif terhadap Islam, pada hari ini kita membaca pula kenyataan Naib Presiden Umno yang menggesa supaya pemimpin PAS melakukan solat istikharah dalam menangani isu seks yang dikaitkan dengan seorang pemimpin pembangkang,” katanya.

Jelasnya, solat istikharah tidak dilaksanakan untuk bertujuan yang bertentangan dengan hukum syarak.

Dalam isu ini, katanya seseorang itu tidak dianggap bersalah melakukan kesalahan zina selagimana tidak didatangkan dengan empat orang saksi.

Ini, ujarnya adalah peraturan yang telah ditetapkan oleh Allah SWT secara jelas di dalam Al-Quran dan Al-Hadis.

Ianya merupakan kaedah keterangan yang dipegang di dalam Islam.

Katanya, selagi mana tidak di datangkan 4 orang saksi maka sesorang itu adalah tidak bersalah dan tidak melakukan zina.

“Tiada seorang Islam pun yang berhak untuk keluar daripada ketetapan Allah SWT ini,” tegasnya.

Justeru, beliau meminta para alim ulama di dalam Umno seharusnya menasihatkan pemimpin mereka supaya berhati-hati sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan yang berkaitan dengan urusan agama sebelum masyarakat turut menjadi haru biru dek kerana kenyataan tersebut.

Sunday, June 19, 2011

UTUSAN : KALAU JAHIL JANGAN PULA BERLAGAK ALIM


Aziz Muda HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 18 Jun: Utusan Malaysia dinasihatkan agar jangan terus berlagak alim dengan membuat ulasan demi ulasan mengenai sistem perundangan Islam, tetapi menyedari keadaan diri yang sememangnya amat jahil dalam agama.

Sekiranya tidak sedar diri, akhbar milik Umno itu pasti melakukan kesilapan demi kesilapan sehingga sanggup mempersendakan hukum Allah yang boleh pula merosakkan akidahnya sendiri.

Naib Ketua Dewan Musllmat PAS Pusat (DMPP), Senator Mumtaz Md Nawi (gambar) berkata, tindakan terbaru Utusan yang menyiarkan kartun yang mengulas kes rogol amat jelas memperlihatkan kejahilan akhbar itu mengenai sistem perundangan Islam.

Menurut beliau, namun dalam masa yang sama akhbar itu tetap juga mahu mengulas perkara itu dari sudut agama sehingga menyebabkan mereka amat jelas mempersendakan hukum Allah, memperlekehkan umat Islam, menghina ulama dan mempermainkan sistem mahkamah syariah.

Katanya, tindakan Utusan itu ternyata telah mengelirukan umat Islam mengenai perlaksanaan hukum Islam, lebih-lebih lagi dalam masa yang sama, semua orang tahu kerajaan BN yang ditunjangi Umno tidak pula berhasrat untuk melaksanakan hukum hudud di tanah air.

"Dengan itu, amat jelaslah, Umno sememangnya berniat jahat dengan penyiaran kartun itu. Ia ternyata hanyalah untuk memperlekahkan hukum hudud dan sistem perundangan Islam serta mempermainkan perasaan umat Islam," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Akhbar Utusan Malaysia beberapa hari lalu telah menyiarkan lakaran kartun yang menggambarkan seorang wanita yang mendakwa dirogol mengadu kepada orang agama dengan bukti rakaman menerusi handphone, tetapi pengaduannya tidak diterima.

Selepas itu wanita tersebut membuat pengaduan kepada pihak polis dan rakaman beliau dirogol yang terdapat dalam handphone itu diterima oleh pihak polis sebagai bukti.

Menurut Mumtaz,sikap keterlaluan Utusan itu sememangnya membangkitkan kemarahan umat Islam, tetapi dal hal ini, akhbar itu masih bernasib baik kerana masih diberi ruang sehingga tempoh tertentu untuk memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam.

Kejahilan Utusan mengenai sistem perundangan Islam dengan membuat ulusan mengenai kes rogol dan zina menerusi penyiaran kartun itu, katanya, terbukti dari beberapa sudut.

"Seperti yang dijelaskan oleh Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, robot boleh basuh pinggan, robot boleh jaga mesin, komputerpun robot juga, tapi kalau ada kes dan perlukan keterangan dan kesaksian, mahkamah tak boleh panggil robot kerana ia barang kes dan tetap bukan saksi.

"Untuk bicara tetap kena panggil saksi iaitu pengendali robot yakni manusia. Maksud Al-Quran, saksi, manusia, itulah. Tapi tak tahulah kalau Utusan cukup dengan robot jadi saksi," katanya.

Perkara itu, tegasnya, samalah juga dengan handphone. Jadi untuk perbicaraan di mahkkamah syariah, tidak memadai dengan bukti kejadian rogol menerusi rakaman dalam handphone itu sahaja, tetapi mesti dipanggil orang yang melakukan rakaman itu sebagai saksinya.

"Dalam Islam, sistem perundangannya lebih kepada pencegahan. Dalam Islam, kejadian rogol dan zina mesti dihalang. Pertanyaan yang timbul dari lakaran kartun itu pula, siapakah yang melakukan rakaman itu? Di mana? Bila? Berapa orang yang melakukan rakaman itu? Adakah hanya seorang? Dua orang? Tiga orang? Atau empat orang?

"Kalau dirakam, perakamnya buat apa ketika kejadian itu berlaku? Kenapa perakam tak halang? Cukupkah perlakuan perakam dengan hanya merakam kejadian itu sahaja? Sedangkan perakam sepatutnya bertindak menghalang kejadian itu bukan dengan hanya merakam sahaja," katanya.

Semua itu, katanya, boleh menjadi pertikaian kerana sistem perundangan Islam sebenarnya amat halus, menyeluruh dengan melibatkan semua aspek dan adil kepada semua pihak termasuk kepada orang yang dirogol dan perogol.

"Sebab itulah dalam Islam perlukan empat orang saksi dan saksi itu pula mestilah yang layak diterima sebagai saksi dalam Islam. Perkara itu amat jelas dalam Islam kerana sudah tersurat.

"Utusan ternyata tak faham semua itu. Dalam masa yang sama, Umno BN tak pula nak laksanakan hudud di negara kita. Jadi kenapa dipertikaikan tentang empat orang saksi dan hukum hudud.

"Bila pertikai itu semua bererti pertikai hukum Allah. Sedangkan setiap hukum Allah tak boleh dipertikaikan. Ini samalah juga dengan hukum nikah yang memerlukan saksi ketika akad nikah. Solat Zohor sebanyak empat rakaat tetapi Subuh hanya dua rakaat sahaja.

"Semua itu tak boleh dipertikaikan tetapi mesti dipatuhi kerana itu semua adalah hukum Allah yang telah dijelaskan dalam Al-Quran.

"Jika tentang keperluan saksi dalam hukum nikah, solat Zohor empat rakaat dan Subuh dua rakaat sebagai sebahagian contoh tidak dipertikaikan dan dipatuhi, kenapa tuntutan terhadap empat ortang saksi dan hukum hudud dipertikaikan?" katanya.

Selain itu, katanya, kejahilan Utusan amat terserlah apabila menyiarkan kartun yang hanya memadai dengan membuat laporan polis mengenai kejadian itu.

"Pada hal dengan jumpa polis tak selesai masalah. Malah banyak perkara yang telah dilaporkan oleh pelbagai pihak kepada pihak polis tetapi tak juga dapat diselesaikan. Polis tak boleh selesaikan perkara itu. Tetapi polis perlukan siasatan.

"Manakala untuk menyelesaikan kes rogol dan zina, mangsa atau pihak terbabit tidak perlu jumpa tokoh agama atau polis, tetapi jumpa hakim syarie atau qadi," ujarnya.

Amat dikesali, katanya, Utusan yang ternyata tidak memahami semua itu kerana kejahilannyan dalam hukum Allah tetap juga berminat untuk mengulasnya sehingga boleh mendatangkan kesan buruk kepada masyarakat.

Katanya, kalau tidak faham, Utusan sepatutnya tidak masuk campur untuk mengulasnya dengan menyiarkan kartun seperti itu.

"Kepada Utusan dan kartunis terbabit, nasihat saya, kalau tak pandai, belajarlah dulu sebelum membuat sebarang ulasan mengenai hukum Allah. Kalau tak pandai, janganlah hukum Allah pula yang dipertikaikan.

"Kalau awak memang tak nak laksanakan hudud, jangan persendakan orang yang nak laksanakan hudud. Kalau orang Islam yang terbabit dengan penyiaran kartun itu, apa agenda mereka mempertikaikan hukum hudud dan empat orang saksi itu?" ujar beliau.

Sebagai bantahan umat Islam terhadap penyiaran kartun yang tidak bertanggungjawab itu, Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) yang diketuai Ketuanya, Nasruddin Hassan Tantawi semalam telah menghantar memorandum ke ibu pejabat Utusan Malaysia bagi mendesak akhbar itu memohon maaf secara terbuka kepada umat Islam.

DPPP memberi tempoh seminggu kepada Utusan berbuat demikian. Jika tidak, tindakan lebih keras akan dilakukan termasuk mengadakan demonstrasi besar-besaran.

Friday, June 10, 2011

NEGARA BERKEBAJIKAN TURUT FOKUS GOLONGAN MUDA


Aziz Muda HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 10 Jun: Golongan muda di negara ini tidak perlu ragu-ragu untuk menyokong PAS kerana agenda Negara Berkebajikan yang diperjuangkan oleh PAS meliputi kesemua golongan, dengan sebahagian daripadanya turut terfokus kepada golongan muda.

Antara fokus untuk golongan muda dalam agenda negara berkebajikan PAS termasuk usaha-usaha yang akan dilakukan bagi membolehkan mereka, termasuk lepasan universiti, mendapatkan pekerjaan.


Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) menjelaskan, selain itu, antara agenda negara berkebajikan yang diperjuangkan oleh PAS akan turut berusaha mendapatkan rumah kepada golongan muda dan membantu para pelajar mendapatkan biasiswa.

Menurut beliau, kepada para nelayan dan petani, PAS akan turut membantu mereka menerusi skim-skim tertentu yang akan diperkenalkan, manakala golongan miskin pula akan dibantu menerusi skim kebajikan khas kepada mereka.

Katanya, negara berkebajikan adalah penyusunan strategi PAS bagi melepaskan rakyat dari mengalami bebanan hidup dan ia akan dilaksanakan secara adil selaras dengan tuntutan Islam.

"Ini jelas menunjukkan golongan muda juga tidak diketepikan, sehingga tiada pihak yang terkecuali untuk menikmatinya," katanya pada program Analisis Astro Awani yang disiarkan 5.00 petang semalam dan diulang tayang sekitar jam 11.30 pagi ini.

Barisan kepimpinan baru PAS yang dipilih oleh para perwakilan PAS pada Muktamar PAS Ke-57 pada 3 hingga 5 Jun lalu, menurut beliau, akan mengadakan mesyuaratnya hujung minggu ini.

Katanya, antara perkara yang akan dibincangkan pada mesyuarat itu termasuklah yang menyentuh tentang strategi pelan bernegara, sejajar dengan perjuangan PAS untuk melaksanakan negara berkebajikan sekiranya diberikan mandat oleh rakyat memerintah negara pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-13 nanti.

Sehubungan itu, beliau berharap agar golongan muda yang mewakili pengundi-pengundi muda turut bangkit bersama PAS untuk menerokai politik baru di tanah air.

"Jadi, kita amat berharap agar golongan muda akan turut meninggalkan politik fitnah dan politik penuh tipu daya yang diamalkan oleh Umno BN selama ini," katanya.

Menyentuh tentang permintaan Pemuda PAS Pusat yang mahukan PAS memberikan kuota 40 peratus kepada golongan muda dalam parti di semua peringkat termasuk dalam pilihan raya yang disuarakan oleh Ketuanya, Nasrudin Hassan Tantawi, beliau yakin PAS akan memberikan pertimbangan sewajarnya mengenai tuntutan itu.

"Pada saya, tuntutan Pemuda yang disuarakan oleh Ketuanya, Nasrudin itu bukanlah perkara asing kerana sebelum ini saya juga pernah memimpin Pemuda PAS dan turut mempunyai pengalaman seperti itu.

"Sekiranya Pemuda berjaya menunjukkan prestasi yang baik dan dapat mempertahankan prestasinya, saya yakin parti akan memberikan tempat kepada mereka seperti yang dikehendaki itu," ujarnya.

Strategi PAS sekarang, tegasnya, adalah untuk mencipta satu gelombang kebangkitan untuk membolehkan PAS dan Pakatan Rakyat menuju ke Putrajaya, bagi membolehkan agenda negara berkebajikan dilaksanakan di tanah air demi kepentingan negara dan seluruh rakyatnya.

Sejajar dengan itu, PAS pasti akan menggembleng seluruh tenaga dalam parti dengan turut memberikan ruang sewajarnya kepada Pemuda yang berkebolehan serta berkelayakan, dengan gabungan kalangan profesional, ulama dan aktivis yang terdapat dalam PAS sendiri.

Followers