Sunday, September 22, 2019

Jenazah Raja Iskandar selamat disemadikan












KUALA KANGSAR: Jenazah mantan Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob telah selamat disemadikan di Makam Diraja, Al-Ghufran, Bukit Chandan di sini sebentar tadi.
Almarhum yang juga dikenali dengan nama Raja Iskandar al-Hiss serta panggilan Ku Is telah menghembuskan nafas terakhir sekitar jam 2 pagi tadi di Hospital KPJ Ipoh setelah 2 tahun menghidap barah usus.
Beliau yang juga mantan Ketua Pemuda PAS Negeri Perak dan mantan Yang DiPertua PAS Kawasan Kuala Kangsar telah meninggalkan seorang balu dan lima cahaya mata.
Terdahulu jenazah beliau disolatkan di kediamannya sebelum Zohor dan sekali lagi disolatkan di Masjid Ubudiah selepas Zohor dengan diimamkan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad.
Menurut Ketua Pemuda PAS Kuala Kangsar, Ustaz Omar Adam, pemergian tersebut pasti amat dirasai para Pemuda PAS Kuala Kangsar khususnya atas tunjuk ajar taktikal dan strategi mengembangkan gerakan Islam pernah diberi almarhum.
Almarhum juga menurut beliau sangat aktif menggerakkan agenda kebajikan bersama PAS Kuala Kangsar dengan masyarakat setempat selain juga diperingkat nasional dan antarabangsa.
Beliau berharap keluarga almarhum menerima ketentuan Allah ini dengan sabar dan redha serta mendoakan agar rohnya ditempatkan bersama kalangan syuhada' dan solihin.
Proses pengkebumian almarhum telah disempurnakan oleh anggota-anggota Jabatan Amal Malaysia Kuala Kangsar serta turut dihadiri ramai pimpinan PAS antaranya Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria.
Juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Misbahul Munir Masduki dan Ketua Penerangan PAS Perak, Ustaz Hafez Sabri serta Ketua Pemuda PAS Perak, Ustaz Ahmad Faisal Mohd Puait dan Adun Selama, Ustaz Mohd Akmal Kamarudin.
Termasuk yang kelihatan adalah Ahli Parlimen Kuala Krai, Ustaz Abdul Latiff Abdul Rahman dan pendakwah selebriti, Ustaz Syed Abdul Qodir al-Jofree. - HARAKAHDAILY 7/9/2019

Sunday, April 7, 2019

MB terima maaf Pengerusi SPR

SALMAH MAT HUSAIN  
HARAKAHDAILY

KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan bersyukur di atas permohonan maaf Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Harun berkaitan kenyataannya sebelum ini terhadap rakyat di negeri ini.
Menteri Besar, Ustaz Dato' Ahmad Yakob juga berkata beliau menerima kemaafan itu.
"Alhamdulillah, kita terima dan terima kasih," ujarnya ringkas sebagai mengulas kenyataan Azhar yang mendakwa rakyat Kelantan pulang mengundi untuk kekal kerajaan Kelantan.
Namun menurut Azhar lagi pada masa yang sama mereka pergi ke kelab malam ketika berada di luar negeri itu.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Majlis Seminar Hala Tuju Industri Mineral Negeri Kelantan di Dewan Teratai, di sini hari ini.
Mengulas perkara yang sama, timbalannya Dato’ Mohd Amar Abdullah pula mengingatkan Azhar berhati hati dengan setiap kenyataannya selepas ini.
Jelasnya, sebagai orang penting di Malaysia kenyataan sedemikian amat tidak wajar dikeluarkan.
"Kita memang tak setuju dengan kenyataannya itu, tetapi bila dia minta maaf, takkan kita nak kata kita tidak terima," ujarnya. – HARAKAHDAILY 7/4/2019

Friday, April 5, 2019

PAS hantar Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza, 27 April

 

KUALA  LUMPUR: PAS telah menggerakkan kempen dan mengumpulkan sumbangan bagi Misi Bantuan Kemanusiaan Gaza di mana akan diserahkan langsung oleh delegasi yang akan ke Palestin.
 
Usaha dan persiapan tersebut telah diadakan menerusi Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief) di bawah Lajnah Antarabangsa PAS Pusat yang dijadualkan berlepas ke sana pada 27 April nanti.
 
Terdahulu, diketuai Timbalan Presiden PAS, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, telah diadakan mesyuarat bersama International Parlimentarians For Al-Quds di bangunan Parlimen, di sini.
 
Mereka diketuai Presidennya, Syeikh Hamid Abdullah Al-Ahmar dari Yaman bersama Ahli Jawatankuasa yang lain, manakala pihak PAS juga dihadiri beberapa Ahli Parlimen, semalam.
 
Turut serta pada mesyuarat itu adalah Presiden Palestinian Cultural Organization Malaysia (PCOM), Muslim Imran dan juga Pengarah PASRelief, Muhammad Sanusi Md Nor.
 
Malah, melalui Lajnah Penerangan PAS Pusat telah dianjurkan Malam Solidariti Palestin yang diadakan di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad, Gombak pada Selasa lalu.
 
Menurut Ahli Jawatankuasa PASRelief, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman, PAS istiqamah bersama Palestin dan sentiasa bersuara membelanya di peringkat antarabangsa dan Parlimen Malaysia.
 
Malah maklumnya, bersama usaha-usaha yang sentiasa diadakan ke arah mengembalikan hak ke tangan Palestin dan peranan berkaitan, PAS telah mencadangkan Kaukus Parlimen Untuk Palestin.
 
Sementara itu Muhammad Sanusi pula memaklumkan, sasaran awal sumbangan dibawa delegasi nanti adalah RM200,000 bagi membantu keperluan khususnya di Gaza dan Tebing Barat.
 
Perinci beliau, situasi genting umat Islam Palestin yang dizalimi tentera rejim Zionis Israel amat memerlukan kepada makanan, air bersih, ubatan serta keperluan harian lainnya.
 
Sumbangan masih dibuka di mana orang ramai boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank Islamic 5640 7061 2333 (PASRelief) atau 5640 7061 1352 (Tabung Kemanusiaan Antarabangsa). HARAKAHDAILY 5/4/2019



DILARANG MEMBUANG SAMPAH DI HADAPAN KOMPASTI


Keadaan di hadapan kompasti,
Sampah berselerakan,
Tindakan segera perlu diambil bagi mengatasi masalah ini.




Ulamak PAS Perak kenang Almarhum Ustaz Norazli





IPOH: Dewan Ulamak PAS Negeri Perak telah menyerahkan sumbangan kepada keluarga Almarhum Ustaz Norazli Musa sempena majlis tahlil dan Yaasiin yang diadakan di Kampung Tasek, di sini.
 
Sumbangan tersebut disampaikan oleh Penolong Setiausaha Ulamak PAS Perak, Ustaz Muhdalihelmy Md Yaakob pada majlis dianjurkan NGO Geng Ustaz (GU) di kediaman balu almarhum itu, semalam.
 
Ustaz Norazli telah kembali ke rahmatullah di Madinah semasa menunaikan umrah serta menghadiri konvokesyen anakandanya di Universiti Madinah serta dikebumikan di sana 12 Mac lalu.
 
Semasa hayatnya, almarhum adalah Presiden GU atau nama penuhnya Pertubuhan Pendukung dan Pencinta Ulamak, juga Ketua Penerangan Ulamak PAS Perak, selain Yang DiPertua PAS Kawasan Ipoh Barat.
 
Ramai kalangan asatizah dari kalangan Ahli Jawatankuasa GU mengimarahkan majlis tersebut di mana turut dihadiri Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria yang juga Bendahari PAS Pusat. - HARAKAHDAILY 4/4/2019

Tuesday, April 2, 2019

Nasihat Syeikh Mustafa Bugho kepada Dr SAMSURI


(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 2/4/2019

اهلا وسهلا ومرحبا بكم يا فضيلة الشيخ الشامي...
USAI Syeikh Mustafa Dib Bugho sampai ke Terengganu, terus bawa berjumpa tuan rumah, MB Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Kebetulan waktu itu baru sahaja selesai majlis Pembukaan Sidang Dun Terengganu.
YAB Dr Samsuri menyuarakan kebimbangan akan amanah besar yang dipikul sebagai seorang pemimpin, bagaimana dia untuk menjawab di hadapan Allah nanti. Justeru beliau meminta nasihat dari Syeikh.
Syeikh memulakan nasihatnya dengan Hadis:
إن أعطيتها عن مسألة وكلت إليها وإن أعطيتها عن غير مسألة أعنت عليها
"Sekiranya kamu diberikan jawatan kerana memintanya, Allah akan serahkan kepada kamu (tanpa sebarang pertolongan). Namun sekiranya kamu diberikan tanpa memintanya, kamu akan dibantu (oleh Allah) memikul tanggungjawab tersebut."
[HR Bukhari]
Syeikh berpesan agar: 
1.     Sentiasa meminta pertolongan daripada Allah.
2.     Tunaikan hak setiap yang berhak.
3.     Jangan menzalimi sesiapa.
Di hujung nasihat, Syeikh menutup dengan sepotong lagi Hadis:
سبعة يظلهم الله في ظله يوم لا ظل إلا ظله...(اوله) إمام عادل
"Tujuh golongan yang Allah akan naungi pada hari tiada naungan melainkan naunganNya..
Yang pertama sekali adalah pemimpin yang adil."
 [HR Bukhari & Muslim]
Tiadalah nikmat yang lebih besar selain dari seorang pemimpin yang senantiasa menerima nasihat dari alim Ulama'. Dan tiadalah kemuliaan terbesar selain dari seorang Ulama' yang berani menasihati pemimpin terang-terangan.
Semoga negeri ini terus dilimpahi rahmat dan keberkatan dariNya.
28 Rejab 1440
2 April 2019
(ALANG IBN SHUKRIMUN) - HARAKAHDAILY 2/4/2019

Sunday, March 31, 2019

EKONOMI MENCABAR - SDR MOHD SYAHIR


MAT Lenggong temukan dua 'musuh' sekampung



 

LENGGONG: Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAS Kawasan Lenggong Kali Ke-16 yang sedang berlangsung sekarang ini, mencipta sejarah apabila dihadiri dua pemimpin sekampung berlainan parti politik.
 
Bendahari PAS Pusat yang juga Adun Gunung Semanggol, Razman Zakaria dalam ucapannya, menerima kehadiran Ketua Penerangan Umno Malaysia yang juga Ahli Parlimen Lenggong, Dato' Dr Shamsul Anuar Nasarah.
 
Kedua-dua mereka dilahir dan dibesarkan di Kampung Luat dekat sini, tetapi 'bermusuhan' dalam perjuangan sejak sekian lama kerana berbeza fahaman politik.
 
Hari ini kedua-dua mereka bertemu dalam Mesyuarat Agung PAS Kawasan apabila kedua-dua parti PAS dan Umno telah mengadakan ta'awun  siyasi dari peringkat Pusat hingga Cawangan.
   
Mesyuarat agung yang dirasmikan oleh Ketua Penerangan PAS Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya itu diadakan pula di Musolla Ma'ahad Tahfiz al-Quran lid-Dakwah wal-Imamah (MTQDI) Kampung Luat.
 
Razman yang juga Pesuruhjaya PAS Perak, turut ditamui oleh Pengerusi Umno Perak yang juga Adu  Kota Tampan, Datuk Saarani Mohamad dan Adun Kenering, Toh Syahbandar Hulu, Tarmizi Idris.
 
Hadir sama Timbalan Yang Dipertua, Naib Yang Dipertua PAS Lenggong, Ustaz Drs Mohd Hanafiah Idris, Mohd Nor Hamat, Ketua Dewan Pemuda dan Ketua Dewan Muslimat, Ustaz Muhammad Rifaat Razman dan Ustazah Fauziah Musa.
 
Barisan kepimpinan Umno Bahagian Lenggong serta Pemuda, Wanita dan Puteri turut mengiringi pemimpin mereka menghadiri mesyuarat berkenaan. - HARAKAHDAILY 31/3/2019

Friday, March 29, 2019

PROTAPAS LAHIR PELAPIS PENERUS PERJUANGAN



 
HARAKAHDAILY

TELUK  INTAN: Dewan Pemuda PAS Kawasan Teluk Intan bersama Ameerah Teluk Intan telah menjayakan program PROTAPAS Marhalah Ta'arif yang diadakan sempena cuti persekolahan.
Program melibatkan anak-anak ahli dan pimpinan PAS itu tahun yang dilangsungkan di Sekolah Rendah Agama Rakyat Al-Khairiah Kampung Padang Tembak, di sini 25 Mac hingga kelmarin.
Menurut Pengarah PROTAPAS, Ustaz Khalid Munir program yang menerima 23 peserta berusia 12 hingga 16 itu bertujuan melahirkan pelapis masa depan dengan mengikuti pentarbiyahan tersusun.
Maklum beliau, pengisian program menekankan konsep kehambaan kepada Allah, akidah Islam, kemaskini perlakuan ibadah dan kefahaman pentingnya berada dalam jamaah Islam.
Para peserta juga katanya, diberi tugasan menghafaz ayat al-Quran dan hadis pilihan selain pelbagai aktiviti fizikal seperti riadah dan 'explorace'.
Timbalan Ketua Pemuda PAS Teluk Intan, Ustaz Nurhafizul Badrul Hisham yang juga Penasihat PROTAPAS telah hadir menyampaikan sijil penyertaan kepada peserta.
Berucap pada perasmian penutup, beliau berharap agar peserta dapat mengikuti PROTAPAS tahap berikutnya dan bersiap sedia menjadi kader pelapis petugas dan pimpinan masa depan. - HARAKAHDAILY 29/3/2019





KERANA ALLAH PAS KAWAN UMNO



HARAKAHDAILY

PAS dan Umno memeterai taawun - kerjasama – membentuk jawatankuasa teknikal bagi semua pilihan raya kecil (PRK) selepas ini dan moga-moga seterusnya PRU15.
Demi penyatuan ummah. Itulah kunci keramat persetujuan itu.

Ia suatu yang tidak terfikir sejak PAS diterajang dari Barisan Nasional pimpinan Tun Hussein Onn yang di belakangnya Dr. Mahathir menjelang tahun 80 dulu.

Menjelang PRU14 Pakatan Harapan menyediakan ruang untuk PAS supaya bersamanya dan Dr Mahathir mengajak PAS supaya bersama PH.

Sepuluh bulan selepas PRU14 PAS bersama Umno capai taawun.

Apa yang Umno dan PAS buat itu?

Saya harap Umno setuju dengan saya tidak lain demi memenuhi saranan Allah antara orang yang Allah kasih ialah dua pemuda yang bertemu kerana Allah dan berpisah kerana Allah.

Pada kempen PRK Semenyih dalam Hi-Tea bersama Assabiqun dan veteran Umno dengan warga emas Semenyih, demi sedih dan pilu tidak terhingga kerajaan, negara, bangsa Malaysia dan politik pasca PRU14 saya datang untuk bersama yang saya tidak pernah suka sebelum ini.

Adapun segala dukacita yang melanda bangsa Malaysia itu tidak akan menyelesaikan masalah dan beban yang dideritai semua melainkan bertindak sesuai dengan hasrat majoriti rakyat pra PRU14 sekalian umat dalam politik dan luar politik, bersama mengembalikan kedaulatan yang mulai terhakis.

Jika Umno tidak mahu kepada muafakat itu, saya mahu PAS mahu dan pergi kepada Umno, ibarat gunung tidak datang kepada Muhammad, maka Muhammad pergi kepada gunung.

Tiada rugi dan malunya PAS bertemu Umno justeru ia seperti ajaran bertemu dengan pemuda kerana Allah. Saya kira kita tidak bertepuk sebelah tangan. Moga-moga tidaklah lain niat Umno melainkan seperti niat PAS.

Jika tidak bertemu selama ini justeru apa? Saya hanya boleh becakap sebagai orang PAS, tidak menjawab bagi pihak Umno, demi Allah jua. Jika berdosa saya tidak bersama Umno dulu, saya mohon Allah ampunkan saya!

Jika ada Melayu tidak bersama taawun PAS dan Umno sedang masing-masing ummah juga, biarkan mereka meneruskan apa yang umat Melayu/Islam mengiranya rugi dulu. Kita tidak menghalang Luncai meninggalkan labunya.

Apa yang kedua-duanya capai itu, bukan kehedak Umno saja, tapi ia juga kehendak PAS. Kemenangan di Cameron Highlands dan Semenyih itu bukan kemenangan Umno saja, tapi kemenangan semua termasuk PAS selepas Islam seolah di hujung tanduk selepas PH berkuasa.

Berkata PM Mahathir, PAS rugi dengan taawun itu, yang untung Umno. Tanpa taawun, yang tetap untung PH terutana DAP dan bukan Melayu dalam PKR. PAS tidak untung, Umno pun tidak untung. PAS macam lama dan Umno pun macam PAS lama juga.

Tapi dengan taawun, Umno tidak untung seperti dulu lagi. Ia tidak untung semua tetapi tidak rugi semua. Tanpa taawun PAS rugi semua. Dengan taawun PAS sekalipun tidak dapat semua, tapi tidak hilang semua.

Dari hilang semua kepada PH, baiklah Umno bagi setengah kepada PAS. Dari PAS tidak dapat apa, baiklah PAS dapat setengah dan Umno dapat setengah.

Dengan taawun, Umno tidak dapat semua dan PAS pun tidak dapat semua. Dan yang mungkin tidak dapat semua ialah Melayu dalam PH.

Tanpa taawun Umno tidak mungkin kembali ke Putrajaya. Dengan taawun, PAS yang tidak pernah sampai ke Putrajaya, akan sampai bersama Umno. Kerana Allah PAS untung, Umno tidak lagi rugi. – HARAKAHDAILY 29/3/2019

Thursday, March 28, 2019

MIC KERJASAMA DENGAN PAS DEMI RAKYAT

NUR HASMIRA MOHAMAD  
HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR: MIC secara rasmi mengesahkan bekerjasama dengan PAS dalam pelbagai aspek demi kepentingan rakyat di negara ini.
Pengumuman tersebut disahkan oleh Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran pada program kunjungan hormat Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang ke bangunan MIC di Jalan Raja Laut di sini, hari ini.
Kunjungan Presiden PAS disertai Setiausaha Agung PAS, Dato' Takiyuddin Hassan, Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Ustazah Nuridah Mohd Salleh, Timbalan DMPM, Dr Rosni Adam, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, N Balasubramaniam, dan beberapa lagi kepimpinan PAS Pusat ke bangunan MIC telah disambut meriah oleh Vigneswaran, Timbalan MIC, Datuk Seri M. Saravanan bersama barisan kepimpinan MIC.
Menceritakan lawatan pertama kali beliau ke Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut untuk bertemu dengan Tuan Guru Abdul Hadi, Vigneswaran berkata persepsi beliau terhadap PAS berubah serta-merta.
"Persepsi saya sebagai seorang yang telah berjumpa dan bercakap dengan Presiden PAS berubah dan pendapat saya bertukar pada hari itu.
“Saya berpendapat begini selepas mendengar penjelasan daripada Presiden PAS ini sendiri bahawa PAS memang sebuah parti yang politik dan juga parti yang berpegang teguh kepada kefahaman Islam.
"Tetapi yang menghormati prinsip perlembagaan Malaysia di mana Islam adalah agama Persekutuan dan lain-lain agama diberi kebenaran untuk mengamalkan ajaran mereka.
"Ujar Presiden PAS, kita (PAS) tidak pernah merobohkan mana-mana kuil di bawah pemerintahan kerajaan PAS seperti di Kelantan. Patung Buddha yang besar ada di Kelantan," katanya.
Tambah beliau, hasil pertemuan itu beliau juga mendapati bahawa tuduhan oleh parti-parti yang pernah bekerjasama dengan PAS sebagai sebuah parti radikal adalah persepsi yang salah.
"Ini satu sejarah yang baru di mana bukan hanya parti MIC telah membuat keputusan tetapi parti PAS dengan kebenaran Tuan Guru Abdul Hadi telah bersetuju untuk bekerjasama dengan MIC," katanya.
Beliau turut berbesar hati menerima jemputan dari pimpinan tertinggi PAS itu untuk hadir ke Muktamar Tahunan PAS yang bakal berlangsung tidak lama lagi. – HARAKAHDAILY 28/3/2019

JABATAN AMAL MALAYSIA SERTAI KOLABORASI SAR MANGSA HILANG





HARAKAHDAILY


GOPENG: Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Gopeng turut sama dalam Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) peserta Gopeng Ultra Trail yang dilaporkan hilang sejak Sabtu lalu.
Mangsa, Mohammad Ashraf Hassan, 29, dari Muar, Johor adalah antara 485 peserta larian sejauh 25 kilometer acara tersebut yang bermula dan berakhir di Gua Tempurung, hari sama.
Kehilangan itu disedari rakannya, Mohd Farid Md Kamal, 32, setelah mendapati Ashraf tidak sampai selepas perlumbaan tersebut selesai, lalu kejadian tersebut dilaporkan kepada pihak berkuasa.
Operasi ini melibatkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).
Turut serta adalah Unit Anjing Pengesan (K9) dan NGO termasuk dari pelbagai persatuan pendaki, juga penduduk setempat yang gigih membantu dengan segala bentuk sokongan untuk kelancaran gerakan.
Menurut Komandan JAM Gopeng, Mohamad Hafiz Yahaya, pihak beliau yang berkekuatan 20 anggota telah bersepadu bersama semua agensi terbabit sejak tiga hari lalu dalam operasi itu.
"Kami menjejaki langkah terakhir mangsa di Checkpoint ke-10 atas Bukit Batu Putih di mana botol air mangsa ditemui di situ. Bagaimanapun, setelah dilakukan pemeriksaan, masih tiada petunjuk mengenai mangsa ditemui di sekitar kawasan berkenaan," ujarnya petang semalam.
Sementara itu, Ketua Pemuda PAS Gopeng, Ustaz Mohd Harith Hamzah bersama para Pemuda dan pimpinan PAS serta orang ramai telah mengadakan solat hajat dipimpin Ustaz Shahrizal Zainuddin di Masjid Lama Gopeng, di sini semalam.
Turut dihadiri Yang DiPertua PAS Gopeng, Ustaz Abu Bakar Hussein, pihak mereka berharap agar segala urusan berkaitan operasi dipermudahkan Allah S.W.T dan usaha gigih semua pihak tersebut akan menatijahkan kejayaan menemui mangsa dalam keadaan selamat. - HARAKAHDAILY 28/3/2019     
IMG 20190327 WA0052

IMG 20190327 WA0053

TAMADUN GALI KUBUR SENDIRI

 



MANUSIA bermasyarakat madani adalah fitrah mengikut Islam, bukan sekadar istilah 'civil society' yang tidak tepat takrifannya oleh ilmuan Barat dan kalangan yang terpengaruh dengannya.
Maksud Islam adalah lebih tepat kepada sebahagian daripada perkataan Ad-Din yang lebih luas dan besar makna, dasar dan konsep sehinggalah objektifnya yang menepati naluri manusia.
Prinsip akidah dan konsep khilafahnya berlaku mengikut hikmah kejadian manusia dan peranannya di alam dunia. Maka manusia itu dibentuk kejadiannya mengikut keperluan berjasad, roh dan akal, merangkumi kehidupan diri, keluarga, masyarakat dalam satu negara sehinggalah ke alam sejagat yang luas. Kini menjadi tanpa sempadan sehingga ke angkasa lepas dan alam ghaib, serta berwawasan sehingga alam Akhirat yang kekal abadi.
Demi keperluan bertamadun mengikut konsep Barat yang sekular itu, manusia telah mencapai kemajuan dalam aspek kebendaan sahaja, bermula dari zaman menghasilkan keperluannya daripada makanan, pakaian, tempat kediaman dan pengangkutan, sehinggalah persenjataan bagi keamanan dan pertahanan diri.
Kemudian melalui zaman industri terciptanya mesin dan kini pula mencapai teknologi yang tercanggih, berlaku perlumbaan kecanggihan yang melampaui sempadan keperluan yang mencukupi, sehingga berlaku kerakusan yang melampaui fitrah yang ditetapkan oleh Tuhan Pencipta Alam yang diimani berkonsepkan Tauhid Rububiyyah (Tuhan yang Maha Esa mencipta alam dan mentadbirnya) yang Maha Adil lagi Maha Bijaksana dan rahmatNya yang melimpah ruah.
Sebenarnya Allah telah mengurniakan bahan yang cukup kepada manusia, namun mereka tidak berkonsep saksama dalam mengambil manfaatnya. Allah berfirman: 
وَلَوْ بَسَطَ اللَّهُ الرِّزْقَ لِعِبَادِهِ لَبَغَوْا فِي الْأَرْضِ وَلَٰكِن يُنَزِّلُ بِقَدَرٍ مَّا يَشَاءُ ۚ إِنَّهُ بِعِبَادِهِ خَبِيرٌ بَصِيرٌ (27) وَهُوَ الَّذِي يُنَزِّلُ الْغَيْثَ مِن بَعْدِ مَا قَنَطُوا وَيَنشُرُ رَحْمَتَهُ ۚ وَهُوَ الْوَلِيُّ الْحَمِيدُ (28
“Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya ia mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi melihat dengan nyata. (27); Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa, dan ia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata. Dan (ingatlah) Dialah pengawal (yang melimpahkan ihsanNya), lagi yang Maha Terpuji”. (28) (Surah As-Syura: 27-28)
Manusia dahulu yang telah bertamadun kebendaan sahaja tanpa roh dan panduan kepada akalnya, memusnahkan diri sendiri kerana meninggalkan petunjuk Allah dan tidak mengikut manual yang menjadi peraturan alam. Cerita benar kemusnahan berlaku dikisahkan di dalam Al-Quran:
أَلَمْ تَرَ كَيْفَ فَعَلَ رَبُّكَ بِعَادٍ (6) إِرَمَ ذَاتِ الْعِمَادِ (7) الَّتِي لَمْ يُخْلَقْ مِثْلُهَا فِي الْبِلَادِ (8) وَثَمُودَ الَّذِينَ جَابُوا الصَّخْرَ بِالْوَادِ (9) وَفِرْعَوْنَ ذِي الْأَوْتَادِ (10) الَّذِينَ طَغَوْا فِي الْبِلَادِ (11) فَأَكْثَرُوا فِيهَا الْفَسَادَ (12) فَصَبَّ عَلَيْهِمْ رَبُّكَ سَوْطَ عَذَابٍ (13) إِنَّ رَبَّكَ لَبِالْمِرْصَادِ (14
“Tidakkah Engkau perhatikan (dengan mengambil iktibar), bagaimana Tuhanmu telah melakukan terhadap kaum ‘Aad (6); Iaitu penduduk "Iram" yang mempunyai bangunan-bangunan yang tinggi dan besar tiangnya (7); Yang belum pernah diciptakan sepertinya (tentang besar dan kukuhnya) di seluruh negeri (pada zamannya)? (8); Dan (terhadap) kaum Thamud yang memahat batu-batu besar di lembah (Wadil-Qura iaitu tempat tinggalnya)? (9); Dan (terhadap) Firaun yang menguasai bangunan-bangunan yang handal kukuh (dan tentera yang ramai)? (10); (Semuanya itu ialah) orang-orang yang telah melakukan kerosakan di negeri (masing-masing). (11); Lalu mereka melakukan dengan banyaknya kerosakan dan kejahatan di negeri-negeri itu. (12); Dengan yang demikian, Tuhanmu mencurahkan ke atas mereka pelbagai paluan azab. (13); Sesungguhnya Tuhanmu tetap mengawas dan membalas, (balasan dunia dan Akhirat). (14) (Surah Al-Fajr: 6-14)
Banyak lagi tanda-tanda tamadun kebendaan peninggalan zaman purba bersifat monumen menjadi tempat pelancongan dijadikan kebanggaan bersifat kebendaan sahaja tanpa iktibar moral yang luhur sehingga melupai kezaliman yang berada di sebaliknya.
Islam adalah petunjuk Allah Pencipta Alam yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana dan Maha Rahmat kepada makhluk-Nya, termasuk manusia yang ditugaskan menjadi khalifah di alam dunia bersama para Rasul dan Nabi yang dilantik oleh Allah sendiri mengikut pilihan-Nya bersama kitab yang diwahyukan dan para sahabat mereka yang setia membantu untuk memakmurkannya dengan panduan dan manual melalui diri dan kitab petunjuk itu.
Allah mencipta manusia itu dengan ciri kemampuan jasad, akal, roh, diri dan bermasyarakat, sehingga mampu bertugas kepada diri manusia sendiri dan menakluk makhluk yang ada kaitan dengan tugas mereka daripada haiwan jinak dan liar, sehinggalah tumbuhan yang ada di atas muka bumi dan pelbagai jenis galian dalam perut bumi.
Al-Quran adalah kitab terakhir diwahyukan menjadi mukjizat ilmu yang terkandung di dalamnya ilmu petunjuk dalam perkara yang tidak mampu dicapai oleh kemampuan akal manusia.
Al-Quran juga memandu ilmu akal dan pengajaran daripada pengalaman dan kajian mengikut kemampuannya. Berfikir dengan akal yang bijak, kajian dan pengalaman yang diberi kemampuan secara tersendiri kepada manusia.
Islam menyenaraikan secara terperinci dalam aspek ibadat wajib dan sunat, keperluan makan dan minum mengikut sempadan halal, haram dan makruh. Begitu juga cara berpakaian sopan wajib menutup aurat, menjaga keselamatan diri, institusi keluarga dan masyarakat yang besar sehingga ke peringkat antarabangsa, negara dan global, sehinggalah diizinkan persediaan untuk berperang jika perlu demi menjaga keamanan dan keselamatan dengan syarat tidak melampaui batas kemanusiaan dan alam sekitar.
Pada awalnya semua keperluan itu dihasilkan dengan tenaga jasad manusia secara langsung, selepas itu dicipta mesin tanpa tenaga diri manusia sehingga ramai yang dibuang kerja menjadi penganggur tanpa penyelesaian, dan dicipta lagi yang lebih cepat dan canggih.
Kini kita sedang manyaksikan manusia menuju tamadun menggali kubur sendiri. Mewujudkan hasil makanan segera, tahan lama dan menggunakan bahan kimia sebanyak-banyaknya untuk subur dan mengawet sehingga dicampurkan bahan yang membarahkan penyakit dahulu dan kini seperti pelbagai jenis kanser. Merosakkan juga institusi kekeluargaan sehingga menubuhkan organisasi seperti LGBT di atas nama hak kebebasan yang melampau lebih daripada binatang.
Selain itu, mengejar pembangunan sehingga menebang pokok, menarah bukit dan menimbus kawasan tadahan, merosakkan paya, tasik, sungai dan laut. Mencipta senjata pemusnah sehingga lebih ganas daripada binatang liar dan buas, dan melakukan ujian sehingga merosakkan alam sekitar dan cuaca dunia sebelum berperang lagi.
Dunia Barat yang kononnya paling membela wanita, tiba-tiba dijadikan barang dagangan dan dipergunakan untuk apa sahaja perniagaan yang tiada kaitan langsung dengan wanita.
Ada pula yang membunuh diri walaupun hartanya banyak dan rupanya cantik, kerana perut sahaja kenyang dan nafsu kebinatangan sahaja yang dipuaskan tanpa makanan roh dan akal.
Masyarakat madani yang berilmu, beriman dan budiman sepatutnya melakukan kerjasama masyarakat majmuk di seluruh dunia ini, tetapi berkecamuk dengan perang ekonomi dan perang dingin politik. Kini berlumba pula mencipta senjata untuk peperangan dengan persediaan senjata pemusnah yang kalah menjadi abu dan yang menang menjadi arang.
Maka benarlah firman Allah:
ظَهَرَ الْفَسَادُ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ بِمَا كَسَبَتْ أَيْدِي النَّاسِ لِيُذِيقَهُم بَعْضَ الَّذِي عَمِلُوا لَعَلَّهُمْ يَرْجِعُونَ (41
“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan-tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)”. (Surah Ar-Ruum: 41)
“Islam Memimpin”
ABDUL HADI AWANG
Presiden PAS
Bertarikh: 21 Rejab 1440 / 28 Mac 2019 - HARAKAHDAILY 28/3/2019

Followers