Tuesday, December 27, 2011

KERAJAAN TIDAK BOLEH LARI DARI URUSAN TAPIS FILEM

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 27 Dis: Gesaan Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPP) agar urusan penafisan filem terus dengan kerajaan untuk mengelakkan pihak berkepentingan mengambil kesempatan.

Sehubungan itu, mereka menggesa Kementerian Dalam Negeri (KDN) menarik balik keputusan untuk menyerahkan tugas menapis filem kepada penerbit dan pengimport filem mulai tahun hadapan.

Sebelum ini penapisan filem adalah di bawah tanggungjawab Lembaga Penapis Filem (LPF).

Pendirian Muslimat PAS ini dibantah oleh Wanita MCA dengan andaian ia menggambarkan kerajaan di bawah PAS mahu menyekat kebebasan penerbit filem.

Namun bagi timbalan ketua Muslimat PAS, Dr. Siti Mariah Mahmud (gambar) , pandangan ini dibuat kerana pihaknya bimbang penerbit dan pengimport mengambil kesempatan untuk sengaja "terlepas menapis" dan menayangkan filem-filem yang mempunyai unsur negatif dan bercanggah dengan norma masyarakat majmuk di Malaysia.

"Kerajaan tidak boleh lari dari tanggungjawab sebagai “gate keeper” kepada Industri Perfileman kerana sebahagian penerbit dan pengimpot filem tidak mempunyai nilai yang sama dengan majoriti rakyat," katanya.

"Sementara menunggu KDN bertindak ke atas penerbit atau pengimpot filem untuk memberi penjelasan sekiranya filem yang ditayangkan tidak menepati syarat-syarat tayangan, pihak-pihak ini sudah pun mengaut keuntungan," kata beliau kepada dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Siti Mariah juga menyifatkan keputusan itu sebagai menidakkan peranan dan tujuan LPF ditubuhkan dan menggambarkan sikap flip flop, ketidaktegasan dan lepas tangan kerajaan BN dalam menangani isu yang amat penting ini.

"Ianya bercanggah dengan semua keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan sebelum ini. Kerajaan sekali lagi menunjukkan sikap yang tidak konsistan apabila berubah kepimpinan utama negara.

"Dasar kementerian yang tidak konsistan ini menyebabkan segolongan masyarakat yang berkepentingan mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan dan melupakan kesan jangka panjang kepada masyarakat terutamanya aspek nilai kehidupan murni, moral dan keagamaan rakyat terbanyak," kata beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Raja.

Tegas beliau juga, jika LPF sudah tidak menjalankan tanggungjawab menapis filem lagi, pihak-pihak terlibat akan mudah terlepas daripada tindakan undang-undang atas alasan mereka tidak tahu bahawa sesuatu adegan dalam filem mereka dianggap menyalahi peraturan penapisan.

"Penghapusan penapisan oleh LPF dilihat sebagai jalan mudah yang diambil oleh pihak kerajaan bagi menghadapi segelintir pengkritik, penggiat seni dan rakyat yang terlalu longgar dan liberal dengan nilai mereka dan menganggap yang rakyat semuanya matang untuk menilai sendiri kesemua perkara," tegasnya.

Sehubungan itu ujarnya, DMPP akan menyerahkan memorandum bantahan kepada KDN dalam masa terdekat dan akan melancarkan Kempen Tanda Tangan Protes Rakyat Malaysia yang tidak bersetuju dengan langkah terbaru ini.

Saturday, December 24, 2011

SOLAT JUMAAT : UMNO TERENGGANU DENDANG ISU LAPUK

Khairul Azlam Mohamad

BESUT, 24 Dis: PAS Terengganu menyifatkan Umno dan kerajan Barisan Nasional (BN) Terengganu ketandusan isu serta menggunakan isu lapuk bagi menutup kelemahan pentadbiran di negeri ini.

Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Datuk Husain Awang (gambar) berkata, Umno sengaja membangkitkan isu lama yang sudah tidak menjadi masalah tetapi sengaja meresahkan masyarakat umum.

Katanya, masyarakat Islam di negeri ini telah dapat menerima keadaan dua solat Jumaat dalam satu kariah.

“Umno sengaja membangkitkan isu ini untuk menghadapi pilihan raya sedangkan isu ini telah lama selesai dan tidak menjadi masalah dalam masyarakat setempat,” jelasnya.

Malah, katanya hampir kesemua masjid yang digunakan bagi solat Jumaat itu bukan terletak berdekatan dengan masjid kerajaan.

Menurutnya, masjid di Kampung Padang Landak yang dijadikan isu oleh Umno terletak lebih satu kilometer dengan masjid kerajaan di Kampung Lak Lok.

Manakala, Yang Dipertua PAS Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad mendakwa pemimpin Umno Terengganu memalu gendang berirama songsang bagi mengheret rakyat.

Katanya, isu lapuk berkait dengan solat Jumaat berasingan dalam satu kariah tidak timbul lagi kerana telah selesai ketika pemerintahan PAS sebelum ini.

“Kita hairan di saat masyarakat umat Islam berada dalam keadaan tenang dan harmoni untuk menghadapi pilihan raya, tiba-tiba Umno Terengganu kembali memalu gendang berirama songsang.

“Mereka cuba mengheret rakyat berbicara sesuatu yang terpisah dari realiti sebenar kerana isu solat Jumaat itu tidak timbul lagi di negeri ini,” ujarnya.

Menurutnya, Umno sengaja menimbulkan isu sembahyang berasingan dalam satu kariah dan solat dua imam sepertimana yang dilaporkan oleh sebuah akhbar harian pada 19 November lalu.

Katanya, laporan tersebut jelas berniat jahat apabila memaparkan masjid di Kampung Padang Landak sebagai lokasi penyokong PAS melakukan solat Jumaat berasingan.

Sedangkan, kata beliau itulah satu-satunya masjid di Kampung Padang Landak yang mengadakan solat Jumaat dalam kariah tersebut.

“Umno tidak wajar memberi gambaran yang salah apa lagi berbohong dalam melaporkan sesuatu hingga meresahkan masyarakat umum.

“Kita bimbang kebiasaan ini akan menjadi ‘style’ bicara mereka secara bersahaja sehingga tidak dapat membezakan maklumat yang benar kepada Tuanku Sultan Terengganu,” ujarnya.

Tuesday, December 13, 2011

TRAGEDI NFC : MUHYIDDIN TAK LAYAK JADI PM

Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 12 Dis: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku Menteri Pertanian yang menganugerahkan projek Pusat Fidlot Kebangsaan (NFC) kepada keluarga Menteri Wanita, Keluarga dan Komuniti Datuk Seri Shahrizat Jalil adalah lebih bersalah daripada segi pentadbiran kerajaan dan etika kebertanggungjawaban seorang menteri.

“Ya, keluarga Shahrizat menerima dan tidak mengendalikan projek tersebut dengan baik, bahkan terdapat unsur-unsur penyalahgunaan dana wang rakyat, akan tetapi siapa yang meluluskan projek sebesar RM250 juta kepada orang yang tidak berpengalaman dan tidak layak mengendalikannya sepatutnya mendapat hukuman yang lebih berat,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Oleh itu, Pesuruhjaya PAS Pahang itu juga berkata adalah tidak adil untuk mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk bersifat pilih kasih dalam menyerang Shahrizat, dengan menyuruhnya ‘untuk berundur sebelum beliau diundurkan’ tapi tidak pada Muhyiddin.

“Dr Mahathir tidak sepatutnya pilih kasih dalam menegur Shahrizat dan tidak kepada Muhyiddin yang meluluskan projek ini. Sekiranya sikap Muhyiddin ini dibiarkan berterusan semasa beliau menjadi timbalan perdana menteri dan seterusnya perdana menteri, berapakah lagi wang rakyat yang bakal terkorban?” soal Tuan Ibrahim.

Tuan Ibrahim turut mempersoalkan tindakan Muhyiddin yang tidak lagi insaf dengan kesilapannya apabila menyatakan bahawa ‘NFC hanyalah isu politik yang dicetuskan Pakatan Rakyat’ dan terus mempertahankan projek tersebut walaupun kewujudan penyalahgunaan dana awam yang susah dipertikaikan.

“Bayangkan sekarang, Muhyiddin ialah bakal perdana menteri sekiranya apa-apa terjadi pada Datuk Seri Najib Razak, berapakah banyak projek di bawah kelolaan kementerian dan kuasa beliau yang akan berakhir seperti tragedi NFC. Bolehkah rakyat Malaysia menerima seorang bakal PM yang sedemikian?” soal beliau.

Selaku mentor Umno, Tuan Ibrahim berkata Dr Mahathir sepatutnya membantu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang tidak berani menegur timbalannya, untuk menegur Muhyiddin atas dasar membantu Najib membetulkan pentadbirannya.

Apa yang pelik, kata beliau ialah bila mana hanya Shahrizat sahaja yang diminta berundur, sedangkan Muhyiddin tidak diarahkan berbuat demikian.

“Begitu juga dengan beberapa orang yang lantang mempertahankan penyelewengan ini, juga sepatutnya merasa malu kerana ia nyata bertentangan dengan norma biasa.

“Sekiranya Shahrizat disuruh berundur, Muhyiddin pun harus menerima nasib yang sama. Jika Shahrizat saja berundur, tapi tidak Muhyiddin dan lain-lain, percayalah rakyat akan terus mencengkam isu NFC sehingga semua yang terlibat berundur,” tambah beliau.

Thursday, December 1, 2011

'Itulah tahap pemikiran sebenar Muhyiddin'

Nazri Abdullah HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 30 Nov: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub (gambar) menyifatkan ucapan Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin malam tadi yang sarat dengan mesej kebencian terhadap parti-parti dalam Pakatan Rakyat sebagai 'tidak sepatutnya diucap oleh bakal perdana menteri'.

Bercakap kepada Harakahdaily hari ini, Salahudin yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, ucapan Muhyiddin itu hanya 'memalukan dirinya' dan mencerminkan itulah tahap pemikiran sebenar beliau sebagai timbalan perdana menteri.

"Pada saya, ia tidak sepatutnya berucap begitu, sebab taraf dia timbalan presiden Umno dan timbalan perdana menteri.

"Sepatutnya sebagai bakal perdana menteri, ucapan beliau perlu penuh dengan gagasan dan wawasan membangunkan negara, bukan penuh dengan kecaman kepada Pakatan Rakyat," katanya.

Beliau mengulas ucapan Muhyiddin ketika merasmikan serentak Persidangan Perwakilan Pemuda, Wanita dan Puteri 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini malam tadi.

Dalam ucapannya, Muhyiddin tanpa segan silu membidas DAP, PKR dan PAS dengan kata-kata penuh penghinaan.

DAP dilabel parti cauvinis Cina yang jahat dan mahu menubuhkan negara republik.

PKR pula dituduh sebagai parti ultraliberal yang hanya berjuang untuk Datuk Seri Anwar manakala PAS pula bukan lagi memperjuangkan Negara Islam kerana mengangkat Negara Berkebajikan.

Mengulas lanjut Salahudin bagaimanapun mengucapkan terima kasih kepada Muhyiddin atas ucapannya itu yang secara tidak langsung mengakui PAS berada di persada politik tanah air.

"Apapun kita ucap terima kasih kerana menyebut tentang PAS dalam ucapan beliau.

"Maknanya mereka akui PAS berada di persada politik negara," katanya.

Followers