Tuesday, May 31, 2011

ELEKTRIK: BN MAIN SILAP MATA DENGAN RAKYAT



Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 31 Mei: PAS menganggap kerajaan BN bermain silap mata dengan rakyat isu kenaikan tarif elektrik.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sedangkan pada 25 Mei lalu kabinet memutuskan petrol RON 95 tidak naik dengan alasan prihatin kerajaan kepada rakyat.

Tiba-tiba, katanya rakyat dikejutkan dengan pengumuman kerajaan mengenai kenaikan tarif elektrik 7.12% bermula 1 Jun (esok).

Katanya, menjadi kebiasaan akhbar Umno, Utusan Malaysia dengan tajuk "Tiada Kenaikan Guna 300 kWj".

“Inilah kerja Utusan Malaysia yang mencari apa sahaja hujah untuk membela penguasa yang tidak berhati perut terhadap rakyat.

“Tidak hairanlah kepada kita jualan semakin merudum, terpaksa ditaja oleh GLC dan korporat Umno untuk diberi percuma sahaja,” katanya kepada Harakahdaily.

Menurutnya, rakyat sedang menghukum Utusan dengan tidak membeli, kerana ia bukan suara hati rakyat, tetapi suara Umno.

Katanya lagi, menjadi kelaziman biasa kepada pemimpin BN setiap kali berlaku kenaikan keperluan rakyat maka hujah mereka tidak terjejas rakyat bawahan.

Ketika menaikan tarif elektrik, tambahnya pemimpin BN berhujah 75% isi rumah rakyat Malaysia tidak terjejas.

“Mereka cuba menyembunyikan kepada rakyat ‘kesan berantai’ kerana kenaikan tarif elektrik,” ujarnya.

Beliau berkata, hujah mereka kenaikan tarif baru hanya membabitkan industri, tidak melibatkan pengguna biasa sedangkan kenaikan tarif akan terbeban kepada rakyat walaupun bil elektrik dirumah tidak naik, tetapi barang keperluan akan naik.

Tambahnya, hujah yang sama juga penerangan Umno BN menipu rakyat ketika kerajaan menaikkan tol, dengan hujah rakyat biasa tidak terjejas kerana tidak ada kenderaan.

Menurutnya, mereka berhujah seolah-olah rakyat tidak beli sayur dan barang keperluan, sedangkan keperluan dapur dibawa melalui tol.

“Harga tol akan ditanggung oleh rakyat sebagai pengguna. Fakta ini disembunyikan kepada rakyat untuk menghalalkan tindakan mereka,” katanya.

Menurut Ketua Ekonomis Ratings Agency Malaysia, Yeah Kim Leng akan berlaku kenaikan harga barang makanan kerana industri pengeluaran makanan menggunakan sebahagian besar tenaga elektrik.

Menurutnya, walaupun 75 peratus isi rumah terlepas daripada kesan langsung kenaikan tarif elektrik, tetapi mereka akan menghadapi bebannya apabila pengeluar memindakah kos yang lebih tinggi kepada pengguna,"

Kemungkinan tarif elektrik akan dinaikkan setiap enam bulan kerana menurut Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Peter Chin kerajaan pada dasarnya telah bersetuju mematuhi mekanisma 'Fuel Cost Pass Through' (FCPT) yang akan menentukan kadar tarif pada masa hadapan.

“Kuantum kos bahan api (cent/kW unit) akan disalurkan kepada pengguna berdasarkan harga sebenar bahan api iaitu gas dan arang batu yang digunakan bagi menghasilkan tenaga bagi tempoh enam bulan,” kata Chin di Putrajaya semalam.

Monday, May 23, 2011

MUNAJAT ANAK MUDA DI KELANTAN MENDAPAT SAMBUTAN


HARAKAHDAILY
KOTA BHARU, 23 Mei: Kenyataan NGO tajaan Umno, Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mengutuk kerajaan negeri Kelantan membayangkan ketakutan Umno terhadap kejayaan program Munajat Anak Muda Kelantan.

Demikian kata Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan yang juga Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari (gambar bawah).


Beliau mengulas laporan akhbar Umno, Utusan Malaysia hari ini yang menyiarkan berita mengutuk Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz yang kononnya menggunakan pelajar pondok dan tahfiz.

Yang Dipertua JMM, Azwanddin Hamzah dilaporkan berkata bahawa Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat sebagai seorang yang bertopeng imej warak kerana sanggup memperalatkan pelajar sekolah agama di Kelantan untuk menghadiri program politik.

Fadhli berkata, hakikatnya, Umno dan Barisan Nasional gerun dengan kehadiran begitu ramai anak muda di dalam program tersebut.

Bahkan, katanya, jika Umno dan Barisan Nasional dengan segala kekuatan jentera yang ada berusaha untuk mengadakan himpunan seperti itu, ia tidak akan berjaya.

"Ini kerana budaya ‘upah dan suap’ yang sudah sebati dalam darah daging perjuangan mereka.

"JMM hanyalah merupakan ‘budak suruhan’ kepada UMNO dan hanya akan bercakap untuk kepentingan politik UMNO dan Barisan Nasional," kata beliau dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily.

Program Munajat Anak Muda Kelantan yang mensasarkan 10,000 anak muda berjaya menghimpunkan 15,000 anak muda seluruh Kelantan di Stadium Sultan Mohamad baru-baru ini.

Antara pengisiannya adalah bacaan Al Quran dengan sasaran khatam 100 kali bagi memohon perkenan Allah untuk selamatkan perjuangan Islam di Kelantan.

Bagi Fadhli, Azwanddin jelas sekali keliru apabila menyatakan bahawa pelajar-pelajar yang hadir diperalatkan.

Hakikatnya, mereka hadir dengan kerelaan diri sendiri dan tanpa sebarang paksaan.

Tentunya sebagai sebuah negara demokrasi, pelajar-pelajar tidak dihalang untuk menghadiri program sedemikian yang tentunya lebih baik daripada program konsert hiburan yang dibenarkan oleh UMNO / Barisan Nasional.

Bahkan tindakan menyiarkan bahan lucah di dalam media eletronik dan cetak jauh lebih bahaya terhadap akhlak muda mudi dan ini langsung tidak ditegur oleh JMM, kata Fadli.

"Perlu diingatkan bahawa tidak menjadi amalan kerajaan negeri Kelantan memaksa pelajar-pelajar atau guru-guru datang ke program politik seperti yang diamalkan oleh Umno," katanya.

Apa yang berlaku ini, katanya, berlainan dengan Umno yang hanya berani menggunakan kuasa paksaan bagi meramaikan program mereka.

Contoh jelas antaranya ialah apabila Umno memaksa semua guru-guru di Merlimau hadir dalam program kempen pilihanraya kecil DUN Merlimau pada 14 Februari 2011 yang lepas. Surat arahan tersebut dilampirkan bersama untuk rujukan.

Demikian juga apabila guru-guru dipaksa untuk mendengar taklimat keselamatan yang antaranya diisi dengan ceramah yang memburuk-burukkan pemimpin Pakatan Rakyat, katanya.

"Jika JMM menyatakan Menteri Besar Kelantan sebagai pengecut kerana hanya berani berpidato di hadapan pelajar sekolah, maka JMM lebih pengecut apabila tidak berani untuk berdebat ekoran kenyataan seorang pemimpinnya yang menyamakan Menteri Besar Kelantan dengan Ayah Pin satu masa dahulu," tegas Fadli.

Antara pihak yang mencabar debat dengan JMM ialah Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan.

JMM perlu diingatkan bahawa berani berkokok di dalam akhbar sahaja tanpa berdepan dengan hujah adalah sebesar-besar sifat pengecut dan sifat ini ada pada pimpinan JMM, tegas Fadli.

Thursday, May 12, 2011

MENTERI 'GULA' PATUT LETAK JAWATAN


Hazayani Zakaria HARAKAHDAILY

GOMBAK, 11 Mei: Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor (DPPNS) mencadangkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Yaakob meletakkan jawatannya kerana gagal membendung kenaikan harga barangan keperluan asas khususnya harga gula.

Ketuanya, Hasbullah Ridzwan (gambar) berkata kenaikan harga gula sebanyak 20 sen menjadikannya RM2.30 sekilogram berkuatkuasa semalam menunjukkan satu lagi kegagalan besar BN mengurus tadbir negara.

Kenaikan harga gula kali ini adalah yang keempat selepas kerajaan berbuat demikian sebanyak tiga kali pada tahun lalu iaitu pada Januari (20 sen), Julai (25 sen) dan Disember (20 sen).

Minggu lalu, harga petrol RON97 turut mengalami kenaikan sebanyak 20 sen menjadi RM2.90.

Kerajaan bagaimanapun memberi jaminan bahawa harga barangan lain tidak akan naik ekoran kenaikan harga petrol ini.

Namun jaminan itu ternyata tidak boleh digunapakai apabila harga gula turut mengalami kenaikan.

Kerajaan memberi alasan bahawa ia akan menjimatkan wang negara sebanyak RM116.6 juta setahun.

"Alasan kerajaan untuk mengurangkan subsidi dan digunakan untuk pembangunan lain hanyalah menyerlahkan sikap berlepas tangan dan mungkin BN sudah tidak cukup duit maka rakyat dipaksa menanggungnya," kata beliau pada sidang media di pejabat PAS Kawasan Gombak, dekat sini hari ini.

DPPNS juga tidak menolak kemungkinan harga barangan keperluan asas lain turut dinaikkan atas alasan merasionalisasikan subsidi kerajaan.

Sehubungan itu, DPPNS menyeru rakyat negeri itu menolak Umno BN dalam pilihan raya umum akan datang.

"Terbukti walaupun dengan kuasa di hujung tanduk BN tetap membelakangkan kepentingan rakyat. Slogan rakyat didahulukan hanya tinggal slogan sahaja tapi taukeh dan kroni tetap diutamakan," katanya.

Sebelum ini, Setiausaha DAP kebangsaan, Lim Guan Eng berkata, jika nilai ringgit naik beerti harga barangan yang dimport akan turun. Ia termasuklah gula dan petrol kerana Malaysia menggunakan petrol yang diimport kerana minyak yang dikeluarkan berkualiti tinggi dan sesuai untuk dieksport.

Nilai ringgit naik kepada bawah RM3.00 untuk satu dollar Amerika minggu lalu iaitu kenaikan tertinggi sejak diikat pada kadar RM3.60 untuk satu dollar Amerika sebelum ini.

Bendahari PAS, Dr Hatta Ramli yang mengulas keniakan harga gula dari sudut kesihatan pula menolak pandangan sesetenagh pihak bahawa kenaikan harga ini akan mendorong rakyat mengurangkan pengambilan gula dan mengurangkan masalah kesihatan.

Katanya, rakyat akan tetap membeli gula walaupun harganya dinaikkan dan ini sudah tentu membebankan rakyat.

Sementara itu, Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyelar tindakan kerajaan memberi peruntukan RM111 juta untuk 2011 kepada Pusat Anak Permata Negara (PERMATA) yang dipengerusikan oleh Datin Seri Rosmah Mansor tapi sangat berkira dalam soal pemberian subsidi kepada rakyat.

Followers