Sunday, August 26, 2012

HUDUD : PAS AKAN LAKSANA IKUT SALURAN DEMOKRASI

Harakahdaily, 25 Ogs 2012
KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata PAS akan melaksanakan hukum hudud melalui proses demokrasi yang sedia ada.

Malah ujarnya, usaha itu telah dimulakan sejak tahun 90-an lagi apabila Enakmen Jenayah Syariah II Kelantan 1993 dan Enakmen Jenayah Syariah Terengganu 2003 diperkenalkan dikedua-dua negeri itu.

Sebelum itu lagi katanya, mereka telah memperkenalkan draf undang-undang itu kepada NGO Islam dan bukan Islam dan pernah mengemukakan usul agar isu perlaksanaan hudud dibincangkan di parlimen.

"PAS terima hudud secara positif dan hudud ini kewajipan orang Islam.

"Kita akan terus langsungkannya melalui ruang demokrasi," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Biro Politik dan Pilihan Raya PAS di Pejabat Agung parti itu petang ini.

Ditanya berhubung Pengerusi DAP Karpal Singh yang sering mengeluarkan kenyataan menentang perlaksanaan hudud, presiden PAS itu berkata ianya bukan sesuatu yang pelik bagi PAS.

"Masalah Karpal lawan tak pelik. Sebab itu Allah menurunkan surah Al-Maidah yang mana orang Yahudi dan kafir tidak menyokong Islam dan Allah turunkan ayat itu.

"Yang kita peliknya Umno yang lawan. Malah ambil langkah-langkah yang menyekat," katanya.

Beliau turut memberi contoh surat amaran dari pusat yang dihantar kepada kerajaan Kelantan apabila menyatakan hasrat mahu melaksanakan hudud di negeri itu.

Malah katanya Umno sanggup kempen kepada pelabur asing agar tidak datang melabur kerana negeri ini akan dilaksana hukum hudud.

"Karpal bukan kerajaan, tidak ada kuasa, yang ada kuasa ni BN yang dikuasai Umno. DAP berhak berhujah dan PAS mendokong demokrasi.

"Bahkan kalau PAS ada kuasa (memerintah) macam Umno sekarang, PAS tak akan tutup mulut sesiapa yang nak tegur termasuk kakitangan kerajaan," katanya.

Tuesday, August 14, 2012

ETNIK ROHINGYA DI ARAKAN MAKIN KRITIKAL

Harakahdaily, 14 Ogos 2012
KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) mendapat berita terkini dari Arakan berkenaan nasib umat Islam Rohingya tertindas menjelang Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut dalam seminggu lagi.

 Menurut Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid, sejak dari Ramadhan umat Islam di sana tidak boleh solat hampir semua di masjid pada semua waktu terutama di bandar.

“Hanya masjid di kampung sahaja yang dibenarkan solat Zohor dan Asar sahaja. Solat Jumaat tidak dibenar sama sekali.

“Hanya dibenarkan 10 orang sahaja, itu pun perlu bagi senarai nama kepada pihak polis. Solat tarawih tidak dibenarkan sama sekali di semua masjid,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, di daerah Maungdaw terdapat 178 masjid dan surau sementara di kawasan bandar ada lebih kurang 20 masjid.

Menurutnya, hampir semua harta di rumah etnik Rohingya yang diserang dirampas terutama di kawasan kuarter 5, selatan Maungdaw.

Beliau menjelaskan, kebanyakan mereka tidak dapat berpuasa kerana  ketiadaan makanan sama sekali.

Tambahnya lagi, jika ada yang berpuasa hanya memakan nasi sahaja tanpa sebarang lauk dan meminum air telaga dan air hujan kerana sekarang musim hujan.


Menurut Azmi, makanan tidak dapat dibeli kerana tidak selamat untuk membeli di kedai etnik Rakheine dan memang, tidak dibenar menjual makanan kepada orang Islam, jika ada yang menjual dijual dengan harga dua kali ganda.


“Kesengsaraan kaum Rohingya pada bulan Ramadhan kali ini amat meruncing. Laporan yang Mapim terima jelas menunjukkan bahawa mereka tidak akan menikmati Aidil Fitri untuk tahun ini,” ujarnya.


Justeru, kata Azmi, Mapim sangat mengharapkan semua pihak dari kalangan umat Islam di seluruh negara tidak melupakan penderitaan saudara Islam di Arakan.

“Mereka sangat mendambakan sumbangan bantuan dengan kadar segera,” ujarnya.


Sehingga ini, kata Mohd Azmi bantuan makanan sebanyak 5 kontena sudah siap dihantar.

Menurutnya, Mapim hanya menunggu kebenaran masuk ke Arakan dan kesediaan pihak kerajaan untuk kapal kargo masuk ke pelabuhan.

Thursday, August 2, 2012

'SEBANGSA, SENEGARA, SEJIWA' TEMA MERDEKA PAKATAN

Harakahdaily, 01 Ogs 2012
PETALING JAYA: Pakatan Rakyat hari ini memutuskan untuk memilih tema ‘Sebangsa, Senegara, Sejiwa’ sebagai tema Hari Kemerdekaan ke-55 menggantikan tema ‘Janji Ditepati’ oleh kerajaan.

Pengumuman itu dibuat oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Tema Hari Kemerdekaan Pakatan Rakyat, Datuk A Samad Said pada sidang media di Ibu Pejabat PKR, Tropicana di sini hari ini.

“Kita harus bermula dengan bangsa untuk membina negara. Jadi negara, bangsa dan jiwa itu diambil seringkasnya, dengan tidak ada apa-apa niat kecuali itulah niatnya – untuk menyatakan secara kudus dan tulus.

“Kami rumus dan ranumkan sehingga kami memilih “Sebangsa, Senegara, Sejiwa,” kata Pak Samad yang juga Sasterawan Negara.

Turut serta pada sidang media itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Presiden Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, Ahli Jawatamnkuasa Bersih, Dr Toh Kin Woon dan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai.

Jawatankuasa itu turut dianggotai bekas Pengarah Eksekutif  Women’s Aid Organisation (WAO), Ivy Josiah dan bekas Pengerusi Proham, Tan Sri Simon Sipaun

Menurut Pak Samad, tema itu menurutnya diambil daripada cadangan yang diilhamkan Alhaimi Adam yang diterima daripada jawatankuasa itu melalui emel bersama 250 cadangan lain.

Ditanya sama ada tema baru itu akan dicadangkan kepada kerajaan, Pak Samad berkata ia terpulang kepada kerajaan sama ada mahu mengambil tema baru itu atau sebaliknya.

“Dia (kerajaan) kena ingat, (tema ini) datang dari rakyat sendiri. Kalau dia tak nak dengar kita (Pakatan Rakyat) tak apa…tapi dengar kata rakyat,” ujarnya.

Mustafa Ali pada sidang media sama pula berkata, pemilihan tema oleh Pakatan Rakyat lebih inklusif, ada semangat kebersamaan, merangkumi sentimen dan jiwa seluruh rakyat Malaysia.

Ianya juga jauh berbeza dengan tema Janji Ditepati yang lebih mirip kempen politik Umno BN.

“Kita turut cadangkan logo dan lagu mesti serasi dan selari dengan tema yang dicadangkan. Kami akan hantar secara rasmi kepada kerajaan Malaysia,” katanya.

Followers