Monday, May 19, 2014

USTAZ ABDUL GHANI KEMBALI KERAHMATULLAH

ANIS NAZRI | .

KUALA LUMPUR: Bekas AJK PAS Pusat dan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Abdul Ghani Abdul Rahman kembali ke rahmatullah kerana komplikasi darah tinggi dan buah pinggang di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM), Cheras 12.05 tengah hari ini.

Menurut menantu keempat Allahyarham, Mahazan Hashim, ketika ini jenazah masih berada di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) bagi urusan mengeluarkan jenazah.

Sejurus itu, jenazah Allahyarham akan dibawa ke rumahnya di Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, sementara nmenanti kepulangan seorang anaknya yang menuntut di Mesir.

Jenazah Allahyarham dijangka akan disempurnakan dan disolatkan pada jam 2.30 petang ini, di Surau Al-Mustakimah, Bandar Tun Razak, dan seterusnya dibawa ke Melaka untuk dikebumikan di kampung halamannya. di Tanjung Bidara.

Allahyarham sebelum ini hampir sebulan menerima rawatan di HUKM ekoran komplikasi penyakit yang dihidapinya.

Pada Khamis lalu, keadaan Allahyarham semakin merosot apabila doktor mengesahkan terdapat jangkitan kuman di dalam badan Allahyarham dan dipindahkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) hospital berkenaan.

Sejak Khamis lalu, Allahyarham sudah tidak sedarkan diri sehingga menghembuskan nafas terakhir di samping isteri dan anak-anaknya.

Allahyarham meninggalkan dua orang balu, Maya Sulaiman dan Aziah Saad, serta 13 orang anak. - HARAKAHDAILY 19/5/2014

Tuesday, May 6, 2014

AJK DEWAN ULAMAK PAS PAHANG MENINGGAL DUNIA


KHAIRIL ABDUL RAHIM | .
DEWAN Ulamak PAS Pahang hari ini kehilangan ‘sebutir bintang’ apabila seorang ahli jawatan kuasanya, Ustaz Ahmad Bedawi Abdullah al-Hafiz, 67, kembali ke rahmatullah kira-kira pukul 12 tengah malam tadi.

Menurut Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Temerloh Hassanuddin Salim, allahyarham dimasukkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) Isnin lalu akibat ketumbuhan dalam perut.

“Allahyarham sepatutnya menjalani pembedahan tetapi berlaku komplikasi jantung dan buah pinggang dan disahkan meninggal dunia sekitar jam 12 tengah malam tadi di sisi keluarga terdekat.

“Jenazahnya dibawa pulang ke rumahnya sekitar jam empat pagi di Kampung Desa Murni Sanggang sebelum disembahyang dan dikebumikan di kampung asalnya di Kampung Loyang,” katanya. (Gambar)

Ahmad Bedawi yang berkelulusan Tahfiz Qiraat dan Syariah daripada Universiti al-Azhar Mesir, sebelum bersara berkhidmat sebagai pensyarah di UKM Bangi.

Allahyarham sangat tegas dalam sudut agama dan keadilan. Antara yang diingati ramai ialah beliau pernah mendoakan penghapusan Akta Keselamatan Dalam ISA dalam satu majlis rasmi di UKM sehingga peristiwa itu menyebabkan beliau ditahan gaji dan pangkat sementara waktu.

Beliau juga pernah menjadi pengerusi kepada Pertubuhan Rumah Anak Yatim Darul Izzah Temerloh.

Selepas bersara, kebanyakan masanya dihabiskan dengan mengajar agama selain memimpin Dewan Ulamak PAS Temerloh.

Sementara itu, lebih 1,000 orang pemimpin PAS Pahang, anak murid dan kenalannya hadir solat jenazah dan mengiringi pengkebumiannya sekitar pukul 12 tengahari tadi.

Allahyarham meninggalkan seorang balu dan 11 orang cahaya mata

Followers