Saturday, February 27, 2010

PROGRAM MAKAN MALAM PAS TELUK INTAN BERJAYA

Alhamdulillah program makan malam anjuran Pas Kawasan Teluk Intan berjaya dengan cemerlangnya.. untuk berita selanjutnya sila kunjungi intanhijau.blogspot.com

JANGAN SAMBUT KELAHIRAN NABI SEKADAR COGANKATA

MARANG, 26 Feb: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan umat Islam agar tidak menyambut kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. sekadar dengan cogan kata atau lambang-lambang kemegahan.

Apa yang penting, katanya, mengambil kefahaman serta pengajaran dari kelahiran Nabi s.a.w. dengan menghayati ajarannya yang sebenar.

“Marilah kita mengambil kefahaman dari kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. dan kerasulannya ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut peristiwa yang besar ini bukan hanya sekadar mengagungkan cogan kata dan lambang-lambang yang dimegahkan tanpa menghayati ajarannya yang sebenar,” ujarnya ketika menyampaikan khutbah Jumaat di Masjid Rusila, hari ini.

Bahkan, katanya Allah SWT mewujudkan keadaan dunia yang benar-benar berhajat kepada petunjuk daripada Allah yang dibawa oleh seorang rasul yang paling hebat di kalangan rasul-rasul yang diutuskan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menambah, cahaya Allah Taala (Islam) itu tidak akan dapat dipadamkan oleh sesiapa sahaja termasuk kuasa besar dunia.

Menurutnya, meski pun umat Islam mengalami ‘hakisan’ serta kekurangan yang lemah hingga berlaku pasang surut tetapi agama Islam itu tetap akan terpelihara serta tidak boleh dihapuskan pada hari ini hingga ke hari kiamat.

HARAKAHDAILY

Thursday, February 25, 2010

PERSIAPAN TERAKHIR PROGRAM MAKAN MALAM


Persiapan jamuan makan malam ( 26 Feb 2010 ) bersama YAB Dato' Seri Hj Nizar sedang rancak berjalan.. Sudah pastinya YB Hj Mohd Anuar orang yang paling sibuk.. Siang malam YB bertungkus lumus menjayakan program ini sambil dibantu oleh rakan-rakan AJK yang lain.

Wednesday, February 24, 2010

JANGAN NAIKKAN TARIF ELEKTRIK


KUALA LUMPUR, 24 Feb: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menasihatkan kerajaan supaya tidak meningkatkan tarif elektrik kerana kenaikan tarif tersebut bakal membebankan rakyat kebanyakan, walaupun kabinet petang ini dilaporkan tidak membuat keputusan sama ada untuk menaikkan tarif elektrik atau tidak.

Menurutnya, kerajaan tidak seharusnya berfikiran simplistik menaikkan tarif elektrik disebabkan kenaikan bahan bakar di peringkat antarabangsa.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, kerajaan dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) boleh untuk tidak menaikkan tarif elektrik dengan menguruskan sumber tenaga domestik secara kreatif.

“Walaupun kos bahan bakar sedunia (seperti) minyak, gas dan arang kian meningkat, kalau kerajaan (dan) TNB kreatif, mereka tak perlu menaikkan tarif elektrik,” jelasnya.

Teroka tenaga hidro dan angin

Kretiviti dalam pengurusan sumber tenaga tersebut, menurut Mahfuz termasuk meneroka sumber tenaga yang baru atau tenaga yang diperbaharui seperti tenaga hidro.

“Saya akui memang kerajaan telah pun menjana tenaga hidro seperti di Bakun, Bakun dan dua tiga empangan yang lain, bagaimana dengan sungai yang begitu banyak di Malaysia.

“Tak cukup kerajaan bina empangan di Sungai Balui (Sarawak) saja, bagaimana dengan sungai-sungai yang begitu banyak khususnya di Pantai Barat Semenanjung kerana keperluan sumber tenaga lebih besar berbanding di Borneo.

“Sekiranya kerajaan atau TNB sendiri kreatif, mereka akan membina janakuasa hidro kecil-kecilan atau tenaga angin untuk menampung keperluan sumber tenaga nasional,” jelasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengkritik cadangan kerajaan era Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membina Empangan Bakun di Sarawak.

Menurut beliau, Dr. Mahathir sepatutnya membina empangan tersebut di Pantai Barat Semenanjung kerana keperluan perindustrian yang menggunakan sumber tenaga terbanyak menumpu di garis geografi tersebut.

Ekoran itu, Mahfuz tidak menafikan bahawa pemilihan Bakun itu mungkin untuk mencipta bajet perbelanjaan yang lebih tinggi untuk kroni-kroni tertentu dalam parti pemerintah.

“Tidak termasuk kos pembinaan empangan bakun yang bernilai RM6 bilion, beberapa pihak mendapat manfaat bernilai lebih kurang RM2 bilion lagi dalam projek menanam kabel elektrik di dasar Laut Cina Selatan hingga ke Tanjong Sedili (Johor) supaya elektrik boleh dibekalkan ke Semenanjung.

“Kenapa tidak dibina terus empangan Pantai Barat Semenanjung saja, sebab itu saya tak mahu menafikan kalau ada yang mendakwa pembinaan Empangan Bakun tersebut untuk mengkayakan kroni-kroni tertentu saja,” ujarnya.

Tenaga Hijau

Selain meneroka tenaga hidro, Mahfuz juga menasihatkan kerajaan supaya menggalakkan penggunakan tenaga solar sebagaimana yang diamalkan oleh negara-negara maju.

Mengambil contoh negara Jerman, Mahfuz berkata, kerajaan mereka akan memberi insentif kepada rakyat yang menjana kuasa solar untuk keperluan harian.

“Maksimum kuasa yang boleh dijana (adalah) 6 megawatt sedangkan keperluan sumber tenaga harian kurang (dari) 1 megawatt, maka tenaga itu dijual semula kepada syarikat tenaga atau kerajaan yang memberi insentif.

“Agak-agak rakyat di sana sanggup tak berbelanja lebih 20 ribu dolar suatu satu janakuasa solar yang mini, kalau pembayaran tersebut dilakukan secara ‘auto-subsidi’ di mana lebih sumber kuasa solar yang dijana dikira sebagai bayaran balik,” ujarnya.

Di sampung itu, Mahfuz menjelaskan bahawa kerajaan dengan kerjasama beberapa syarikat yang menjana sumber kuasa memperkenal polisi-polisi sampingan supaya sesuai dengan budaya menggalakkan rakyat menggunakan tenaga dari kuasa solar.

“Mereka perkenal potongan harga 20 peratus hingga 35 peratus, umpamanya pagi konsumer yang menggunakan sumber tenaga elektek antara jam 12 tengah malam sehingga 6 pagi umpamanya untuk mengurangkan penggunaan ‘tenaga secara mendadak’ khususnya pada waktu bekerja.

“Tengah malam sampai pagi, sekeluarga yang di rumah betul-betul menggunakan alat elektronik seperti mesin basuh, seterika, pendingn hawa dan sebagainya secara maksimum kerana harga lebih murah, maka secara tak langsung mengurangkan mereka menggunakan tenaga pada siang hari atau waktu pejabat.

“Kalau kos penyaluran mendadak (cost of distribution) boleh dikurangkan, bermakna kos pengurusan tenaga pun boleh dikurangkan kerana kos ini merupakan salah satu faktor yang digunakan oleh TNB atau kerajaan dalam menentukan tarif elektrik semasa,” jelasnya.

Tambah Mahfuz lagi, pengenalan ‘Polisi Mampan’, iaitu polisi ‘menang sama menang’ tersebut sekaligus mengubah paradigma rakyat dan kerajaan dalam menggunakan sumber tenaga elektrik dan tenaga yang diperbaharui.

“Sekarang, penggunaan solar sudah menjadi suatu status di kalangan rakyat pertengahan, kerana rakyat mampu menggunakan (tenaga solar) kerana kerajaan sendiri mengiktiraf mereka dan memang kerajaan berjaya mengubah paradigme mereka dengan pengiktirafan itu,” jelasnya.

Membandingkan dengan kerajaan Jerman, Mahfuz menganggap kerajaan Malaysia bukan sahaja tidak mempunyai kreativiti dalam menangani masalah bahan bakar dunia yang kian meningkat, malah kerajaan juga gagal merancang polisi penggunaan tenaga yang diperbaharui seperti di semua negara dalam Kesatuan Eropah (EU).

“Kalau di negara-negara EU, memang kerajaannya mensasarkan 25 hingga 45 peratus penggunaan tenaga domestik pada tahun 2020 kelak mesti dari sumber tenaga yang diperbaharui, kita hanya ada Wawasan 2020 saja sebab kerajaan kita tidak kreatif dan TNB kita juga mungkin tidak kreatif,” jelasnya.

Di mana biodiesel kerajaan

“Dulu kerajaan bising dengan projek biodiesel sebagai tenaga alternatif, apabila bahan bakar dunia meningkat, di mana projek-projek ini untuk membantu TNB menguruskan sumber tenaga domestik,” soalnya.

Mengakui bahawa kerajaan dan TNB terpaksa menanggung subsidi disebabkan harga arang batu sedunia yang kian meningkat, beliau turut mencadangkan kerajaan menjana tenaga bioethanol menggunakan bahan buangan domestik.

“Kerajaan selalu kata mereka perlu beri subsidi lebih untuk arang batu dalam (mata wang) USD sedangkan mereka menanggung kos akhir yang lebih kerana rakyat membayar tarif elektrik menggunakan mata wang RM (Ringgit Malaysia),” jelasnya.

“Tapi, kalau kerajaan guna tenaga bioethanol, iaitu tenaga yang diperbaharui menggunakan hampas kelapa sawit, adakah perlu menggunakan USD lagi sedangkan ia boleh diperoleh di Malaysia sendiri.”

Disebabkan itu, Mahfuz berkata, kerajaan seharusnya menggunakan bioethanol bagi menggantikan biodiesel kerana sumber tenaga yang diperbaharui itu boleh dijana menggunakan bahan buangan, sedangkan biodiesel adalah sebaliknya.

Beliau juga meminta kerajaan menjalinkan hubungan dengan Mitsui Corp., iaitu syarikat janakuasa dari Jepun yang sekarang ini sedang giat menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama-sama Sime Darby Berhad, iaitu syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam menghasilkan bioethanol menggunakan hampas kelapa sawit.

Kos perbelanjaan

Bercakap tentang kos perbelanjaan (cost of financing) yang juga merupakan salah satu faktor dalam menentukan tarif elektrik semasa, Mahfuz turut mempersoal tindakan kerajaan memberi konsesi jana kuasa kepada Kumpulan YTL milik Tan Sri Francis Yeoh.

“Kenapa mesti beri konsesi janakuasa elektrik kepada Francis Yeoh dan janakuasa itu tiba-tiba dibina di Kerteh (Terengganu) sedangkan keperluan sumber tenaga terbanyak sebenarnya lebih diperlukan di Pantai Barat Semenanjung,” soalnya.

“Adakah kedudukan janakuasa di Kerteh itu supaya memudahkan YTL mendapatkan sumber gas yang telah pun kerajaan subsidikan untuk YTL bagi menjana tenaga elektrik domestik.”

Demi meletakkan pusat janakuasa tersebut di Kerteh, Mahfuz turut memaklumkan bahawa kerajaan era 1980-an dahulu telah pun memberikan RM800 juta wang rakyat kepada MRCB untuk menyalurkan sumber tenaga ke Pantai Barat Semenanjung.

“Lebih kurang RM800 juta digunakan secara membazir untuk memberi subsidi kepada YTL, sedangkan kerajaan hari ini berniat meningkatkan tarif elektrik dan menarik beberapa subsidi yang nyata membebankan rakyat,” tegasnya.

Dalam pada itu, beliau turut mempersoalkan niat kerajaan dan TNB sebelum ini untuk membangunkan sumber tenaga yang diperbaharui dengan menggunakan nuklear.

“Baru-baru ini, kerajaan kata nak guna nuklear pula menggantikan arang batu, adakah kerana kos pembinaan prasarana yang begitu besar, lebih kurang RM4 bilion menyebabkan kerajaan dan pihak tertentu begitu berminat untuk menghabiskan wang rakyat,” soalnya.

Tenaga berteknologi baru

Sekiranya kerajaan jujur mahu membangunkan tenaga alternatif berteknologi baru, Mahfuz sekali lagi mencadangkan kerajaan supaya meneroka sumber tenaga hasil teknologi geothermal.

“Kalau kita guna nuklear yang ditanam dalam bumi, 20 tahun akan datang pun belum tentu akan hilang kesan radiasi.

“Kalau guna teknik geothermal iaitu tenaga dihasilkan dengan air yang diwapkan di perut bumi, ia lebih selamat untuk manusia,” jelasnya.

Cadangnya lagi, kerajaan atau TNB juga boleh menjana tenaga ‘gassification’, iaitu tenaga yang diperbaharui menggunakan tinja manusia sekiranya kerajaan kreatif.

“Kalau kreatif, tahi pun boleh diperbaharui, tak perlu naik tarif elektrik,” ujarnya.

HARAKAHDAILY

Monday, February 22, 2010

KEMENANGAN TIDAK SEMESTINYA BENAR

oleh Roslan Harun

SEDANG anda memandu menghampiri sebuah persimpangan berlampu isyarat, anda terdengar bunyi siren. Anda pun mengerakkan kereta anda ke tepi, memberi laluan kenderaan yang anda sangkakan sebuah ambulans.

Bagaimanapun andaian anda salah. Kenderaan yang melepasi anda itu sebenarnya membawa orang besar dan berkuasa. Pegawai pengiring mengarahkan anda ke tepi dan kemudian konvoinya berdesup sekalipun lampu isyarat berwarna merah.

Demikianlah contoh menunjukkan bahawa ada orang lebih hebat daripada undang-undang. Mereka mengatasi undang-undang. Kisah 'The Emperor's New Clothes' (Pakaian Baru Raja) menceritakan bagaimana seseorang yang berkuasa itu sentiasa dikatakan betul sekalipun dia tidak betul (raja berbogel tetapi dikatakan berpakaian paling cantik dan hebat).

Anda benar kerana anda berkuasa. Yang penting di sini bukannya lojik sesuatu perkara itu tetapi siapa yang mengutarakan pendapat atau kata-kata tersebut.

Kata-kata seorang pengemis atau tukang sapu sampah mengenai politik sudah tentu tidak akan dipandang dengan sebelah mata walaupun apa yang mereka katakan itu ada kebenaran dan lojiknya.

Keadaan sebaliknya akan berlaku jika seorang raja atau mengemukakan pandangan. Walaupun kadang-kadang hal itu tidak masuk akal, disebabkan begitu berpengaruhnya orang tersebut, maka hal itu diterima juga orang awam kerana masing-masing terpaksa atau dipaksa mengakuinya.

Situasi ini berlaku dalam kehidupan kita sehari-hari. Kita tidak lepas bebas kerana ada pihak yang mengikat diri kita. Dalam dunia hari ini, di mana terdapat aneka kemudahan dan penciptaan, dikatakan kehidupan kita semakin aman, hakikatnya mungkin tidak begitu.

Kita semakin takut, takut akan bayang-bayang kita sendiri dan juga takut kepada orang di atas kita kerana bagi mereka segala yang mereka utarakan kepada orang bawahan itu mereka anggap benar walaupun tidak benar.

Kisah pertarungan Hang Tuah dan Hang Jebat dalam dunia lama Melayu mungkin boleh dijadikan contoh mengenai apa yang didakwa betul dan tidak betul. Pada mulanya, Sultan mendapati Hang Tuah tidak betul dan perlu dihukum.

Hang Tuah disembunyikan Bendahara Tun Perak di Ulu Melaka. Selepas Hang Jebat mengamuk dan Hang Tuah diperlukan untuk menghapuskannya, Hang Tuah dikatakan tidak bersalah pula. Hari ini Hang Tuah bersalah, esok Hang Jebat pula bersalah yang yang sentiasa betul adalah Sultan.

Sultan akan sentiasa betul kerana baginda mempunyai kuasa. Kerana kuasa di tangan baginda, orang bawahan tiada hak untuk menyatakan sesuatu itu betul atau sebaliknya.

Dunia ini memang aneh. 'Kebenaran' dapat dibeli dengan wang ringgit. Dengan itu siapa yang banyak wang dan berkuasa, dialah yang 'benar'. Dan orang yang membenarkannya mempunyai kepentingan sendiri.

Bagaimanapun 'kebenaran' yang dibeli dengan wang ringgit ataupun yang ada udang di sebalik batu tidak bertahan lama.

Dalam kisah 'The Emperor's New Clothes' sendiri memperlihatkan kebijaksanaan seorang budak yang dapat mengalahkan raja; memang raja bersalah dan tidaklah payah untuk diselindungkan keaiban raja seperti dilakukan menteri-menterinya.

Mengenai kebenaran dan kemenangan, bijak pandai mengungkapkan "kebenaran itu tidak semestinya menang, dan kemenangan itu tidak semestinya benar."

Harakahdaily

GURU TAKMIR MAKIN DIHINA

oleh Ustaz Kamarudin Sidek

Saya baru buat kenyataan akhbar tentang isu penarikan elaun guru agama (takmir ) masjid-masjid Melaka.

Ini berdasarkan surat pekeliling yang dikeluarkan oleh Jaim dan telah diserahkan seorang sahabat kepada saya sebelum berceramah bersama Ketua Pemuda PAS Pusat tempoh hari.

Pada asalnya setiap guru takmir diberikan sebanyak rm50 setiap kali mengajar (rm40 dari Jakim, rm10 dari Jaim ) tetapi bermula Januari 2010, rm40 telah dipotong dan berbaki rm10 sekali mengajar .

Kerajaan Melaka tidak ambil tindakan drastik untuk selamatkan sektor agama seperti Ali Rustam segera keluarkan duit RM5.7 juta untuk selamatkan Yayasan Basmi Kemiskinan Selangor ( YBK ) yang tak ada kena mengena dengan rakyat negeri Melaka.

Saya sudah menjangka Ali Rustam dari awal lagi tidak berminat dengan perkembangan agama walau pun beliau Pengerusi Maim, baginya industri pelancongan perlu diutamakan kerana mendatangkan duit.

Jadi saya menyeru guru - guru agama agar bermuhasabah diri dan jangan tertipu.

harakahdaily

Sunday, February 21, 2010

MESYUARAT AGUNG PAS CAWANGAN

Sabtu 20 Februari 2010 telah berlangsung dengan jayanya Mesyuarat Agung Pas Cawangan Kampung Padang Tembak kali ke 20 . Mesyuarat ini telah dirasmikan oleh YB Hj Mohd Anuar b.Sudin. Dalam ucapan YB menekankan agar ahli terus istiqamah dalam perjuangan. Disamping itu YB menerangkan antara strategi pihak lawan dalam PRU 13 nanti. semua ahli dipastikan mula bergerak dari sekarang untuk mengekalkan kemenangan DUN Changkat Jong.
Pengerusi Tetap mesyuarat agung Ustaz Haji Husin telah mengendalikan mesyuarat agung dari awal hingga akhir. Mesyuarat ditamatkan pada jam 12.45 malam..

Saturday, February 20, 2010

PROSES KEHAKIMAN NEGARA BANYAK YANG TIDAK KENA


KUALA TERENGGANU, 20 Feb: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menekankan bahawa tentu proses kehakiman dan perundangan dalam negara ini sekarang banyak yang tidak kena sehingga orang luar memprotes.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang semasa bercakap kepada media selepas merasmikan Himpunan Pemuda Islam Kawasan Kuala Terengganu (Pemikat) 2010 di sini, semalam berkata, situasi itu mesti diperbetulkan supaya proses keadilan wujud.

Begitupun, beliau bukan ‘menyelar’ tetapi tidak bersetuju terhadap campur tangan asing dalam sebuah negara berdaulat di atas kaedah secara umum, iaitu atas prinsip hubungan luar dan diplomasi antarabangsa.

Berikut ialah jawaban beliau kepada soalan pihak media.

Wartawan: Dalam isu campur tangan asing, apakah pandangan PAS. Sebab, ada pihak yang membantah campur tangan tersebut?
Abdul Hadi: Pertama, PAS sebagai sebuah parti Islam dari segi dalaman PAS mahu proses kehakiman berlaku dengan adil dan baik, khususnya mengikut konsep Islam itu sendiri yang perlu diberi hak kepada orang yang dituduh, hakim dan yang menuduh. Semua pihak mempunyai perhitungan dosa dan pahala, bukan sahaja undang-undang yang lahir undang-undang Barat. Sekiranya, masalah ini tidak selesai di atas dunia ini dengan betul, Tuhan akan selesai juga di hari kiamat. Saya beri peringatan kepada semua pihaklah. Sebab itulah, dalam Islam ini ada undang-undang hudud yang termasuk di dalamnya undang-undang qazaf, dengan saksi-saksi yang betul, yang cukup jumlahnya empat orang saksi, yang budiman, yang beriman dan berakhlak. Hakim pula mestilah orang yang beriman dan bertaqwa.

Dari segi campur tangan asing, saya sebagai rakyat Malaysia mahu negara kita sebuah negara yang berdaulat dan tidak perlu kepada campur tangan asing, apa lagi dari negara-negara barat, negara yang bukan Islam. Campur tangan ini mungkin kerana ada tempat-tempat yang boleh ditembusi oleh campur tangan asing. Saya merasakan sekiranya kita berlaku dengan adil mengikut konsep yang tepat, ada kehebatan kita dan pihak asing tidak berani hendak campur. Ini mungkin kerana ada kelemahan-kelemahan yang memberi ruang kepada pihak asing hendak campur tangan. Dengan sebab itu, kita perlu memperhebatkan kehakiman kita sendiri dan sistem kita sendiri supaya disegani oleh semua pihak termasuk pihak asing.

Jadi, pada pandangan Datuk Seri, campur tangan asing itu tidak bolehlah?
Campur tangan tidak boleh tetapi dari dalaman sendiri mesti perbaiki, mesti ada kehebatan. Ini kerana, apa yang berlaku hari ini timbul krisis ‘keyakinan’ terhadap sistem kehakiman. Dengan sebab itu, selesaikan krisis keyakinan ini dahulu. Barulah kita ada kehebatan. Jika tidak, hilang kehebatan kita.

Jadi, PAS sendiri melihat sistem kehakiman kita tidak berjalan lancar dan dipengaruhi?
Sistem kehakiman kita masih berada di bawah Jabatan Perdana Menteri, di bawah mereka yang ada kepentingan politik dan tidak ada pemisahan kuasa di antara ‘legislatif, eksekutif dan kehakiman’. Pemisahan kuasa itu tidak berlaku, sudah jadi bercelaru dan ini yang menyebabkan hilang keyakinan. Dengan sebab itu, kita mahu pemisahan kuasa itu berlaku dan barulah kehakiman itu ada kewibawaan dan ada kehebatan.

Maksud Datuk Seri, ada campur tangan dalam ‘legislatif, eksekutif dan kehakiman’ dan menyebabkan krisis
Ya, krisis, krisis keyakinan yang berlaku.

Jadi, maksudnya badan kehakiman mesti jadi badan bebas dan tidak dipengaruhi?
Ya, bebas dan pemisahan kuasa itu ada, dengan sebab itu, kehakiman patut diletak di bawah Parlimen secara langsung atau di bawah Majlis Raja-Raja Melayu, supaya yang disebut Raja Berperlembagaan itu dipraktikkan dengan cara yang tepat.

Datuk Seri, ekoran campur tangan Australia, ada kemungkinan atau tidak PAS mengambil langkah membuat bantahan?

Itu kita belum lagi membuat keputusan dan kita kena kaji dahulu, kita lihatlah. Sebabnya, dalam masa yang sama kita rasa malu nak bantah orang campur tangan jika kita sendiri, tangan, jika kita sendiri ada keaiban. Cara yang lebih berkesan ialah kita memperbaiki diri kelemahan kita sendiri. Itu cara yang tepat. Dan kita kena siasat secara adil terhadap diri kita sendiri. Sebabnya, Islam mengharamkan kita membela kezaliman walau pun dari kalangan puak kita sendiri, negara kita sendiri. Konsep keadilan Islam adalah sejagat.

Datuk Seri, tadi kata kita rasa malu sebab ada keaiban. Apa yang dimaksudkan dengan keaiban itu?

Keaibannya ialah kita melihat tidak ada pemisahan kuasa di antara semua pihak iaitu ‘legislatif, eksekutif dan judiciary’ dan Nabi kita Muhammad s.a.w. sendiri mengajar kita pemisahan kuasa ini dalam kes yang banyak dan dalam yang mengaibkan diri Nabi sendiri. Di mana Nabi s.a.w. tidak menggunakan kuasa dia tetapi dia melantik hakim untuk menyelesaikan masalah dia sendiri. Dan hakim itu diberi hak untuk menghukum jika dia salah.

harakahdaily...

Friday, February 19, 2010

PAS jangan terperangkap isu sebat wanita


KUALA LUMPUR, 19 Feb: Pengarah Penyelidikan PAS Pusat, Dr. Dzulkifli Ahmad meminta parti itu tidak terperangkap dengan isu hukuman sebat yang sedang dimainkan Umno Barisan Nasional untuk menunjukkan mereka lebih ke hadapan dalam menonjolkan agenda Islam.

Dzulkifly ketika diminta mengulas mengenai hukuman sebat yang dikenakan terhadap tiga wanita dan empat lelaki yang melakukan kesalahan jenayah syariah pada 9 Februari lepas berkata, Umno ketika ini sangat tertekan untuk meraih sokongan rakyat menggunakan isu ini untuk menunjukkan bahawa Malaysia sedang mengalami proses Islaminisasi yang serius.

"Saya melihat ada politik di sebalik penonjolan perkara (hukuman sebat) ini.Kita jangan terperangkap dalam kerangka pemikiran mereka (Umno-BN) ini.

"Negara ini ada undang-undang, mengamalkan apa yang dikatakan pelaksanaan undang-undang yang selari iaitu mahkamah sivil dan mahkamah syariah.Yang dikatakan sebagai kedaulatan undang-undang ialah apabila kedua-dua mahkamah sivil dan mahkamah syariah yang dibina melalui proses legislatif iaitu penggubalan undang-undang yang tertakluk kepada perbahasan di Dewan Rakyat dan dewan Negara.ketika semua ini sudah termaktub, maka inilah undang-undang yang menjadi undang-undang dalam perlembagaan persekutuan," katanya ketika dihubungi Harakahdaily pagi tadi.

Sebaliknya, beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor menegaskan, PAS berpendirian bahawa segala bentuk undang-undang syariah dan sistem perundangan yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Malaysia mesti dilaksanakan secara telus dan adil terhadap sesiapa jua yang melakukan kesalahan, tanpa mengira jantina.

"PAS tetap mengatakan bahawa apa jua undang-undang syariah walaupun sedikit dalam sistem perundangan yang ada di Malaysia ini hendaklah dilaksanakan.

"Sia-sialah kalau ada undang-undang tapi tidak dilaksanakan atau dikesampingkan.Ini menjadikan ia satu bahan lawak.

"Jangan apabila berlaku sedikit penghukuman ini,yang ditonjolkan adalah tiga wanita disebatsedangkan lelaki pun ada yang menerima hukuman itu," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan, pelaksanaan undang-undang jenayah Islam perlu didahului oleh suasana sosio politik yang baik dan adil,di mana keadilan, kemakmuran, dan kesejahteraan dikecapi oleh rakyat seluruhnya.

Dalam konteks negara ini katanya, Kerajaan haruslah memastikan kebajikan dari segi kos sara hidup, pekerjaan, taraf pendidikan rakyat terpelihara.

"Sebelum datangnya sesuatu hukuman itu, Kerajaan harus menitik beratkan semua aspek dalam kehidupan rakyat," katanya.

Menurutnya juga, sebelum seorang pesalah itu dijatuhi hukuman menurut undang-undang Islam, ianya harus melalui proses pengadilan yang benar-benar adil dan telus bagi mengelakkan kesilapan dalam menjatuhkan hukuman.

Orang yang dibicarakan itu mesti mendapat keadilan yang sewajarnya. Biar cukup bukti, baru boleh kenakan hukuman sebat. Jangan terus jatuhkan hukuman begitu sahaja.Diam-diam, tiba-tiba jatuhkan hukuman," katanya.

PAS juga tegasnya, bukan sahaja serius dalam isu hukuman sebat terhadap wanita seperti yang cuba dimainkan Umno BN,namun apa yang lebih penting, PAS bersama Pakatan Rakyat menuntut agar kerajaan tegas dalam membasmi segala perbuatan jenayah yang melanggar prinsip Islam zseperti rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang semakin berleluasa.

"PAS menekankan bahawa yang lebih penting sekarang ini,perjuangan PAS bersama Pakatan Rakyat, khususnya PAS yang memperjuangkan islam adalah menuntut supaya negara negara ini bebas dan serentak membanteras segala perbuatan jenayah yang melanggar perinsip islam iaitu rasuah, kezaliman, penyalahgunaan kuasa dan membolot kekayaan negara dengan mengagihkan kekayaan kepada suku sakat dalam amalan kronisme dan pelbagai keruntuhan akhlak,"tegasnya.

Sehubungan itu ujarnya, PAS tetap dengan pendiriannya untuk membersihkan negara dan menentang segala amalan kerajaan yang melanggar syariah dan menentang kehendak rakyat yang mahukan kerajaan yang bersih dan adil.

"saya sekali lagi menegaskan bahawa yang paling mustahak bagi pandangan PAS adalah terus membersihkan negara dan menentang segala amalan kerajaan selama ini khususnya kezaliman yang bertentangan dengan syariah, dengan dasar-dasar pakatan rakyat dan bertentangan dengan kehendak rakyat yang mahukan kerajaan yang bersih adil dan telus," katanya.

harakahdaily.

Thursday, February 18, 2010

Thursday, February 11, 2010

LAHIRNYA RASA KEINSAFAN



Selama hampir satu minggu saya berulang alik ke wad 18 hospital Taiping... Menjaga bapa yang sakit.... berada di dalam wad tersebut melihat berbagai jenis penyakit yang ada, yang boleh menimpa kita tanpa kita duga.. Timbul rasa keinsafan betapa perlunya bersyukur di atas nikmat kesihatan yang telah ALLAH anugerahkan.. nikmat kesenangan dan kesihatan itu bila-bila masa saja boleh ditarik oleh ALLAH .. Oleh itu janganlah kita lalai dan alpa dalam beribadah kepada ALLAH s.w.t...



Sekadar gambar hiasan saja antara bangunan yang bersejarah di bandar Taiping..





Bangunan Penjara Taiping yang dibina pada tahun 1879

Tuesday, February 9, 2010

MESYUARAT AGUNG CAWANGAN

Insya Allah mesyuarat Agung Pas Cawangan Kampung Padang Tembak akan diadakan pada 20 Februari 2010 sabtu jam 9.30 malam.... semua ahli dijemput hadir...

Thursday, February 4, 2010

MARKAZ PAS KAWASAN TELUK INTAN BAKAL BERUBAH WAJAH





*Insya Allah Markaz Pas kawasan yang terletak di Kpg Pdg Tembak Teluk Intan akan berubah menjadi lebih selesa sedikit masa lagi.
* Ini berikutan dengan pembelian tanah bersebelahan markaz.
* Pembelian ini adalah dengan usaha gigih seorang aktivis PAS yang berusaha bersungguh-sungguh membeli lot tanah tersebut dengan dibantu oleh rakan jamaah yang lain memandangkan harga tanah dipasaran sekarang ini terlalu mahal.
* Dengan cara pembelian secara kongsi ini masalah itu dapat di atasi.
* Walaupun cadangan untuk membeli tanah telah dicadangkan hampir 12 tahun yang lalu kini tercapai juga.
* Diharap kepada semua pemilik tanah tersebut dapat mengusahakannya untuk kebaikan jamaah. Kesatuan fikiran amat diperlukan..

Wednesday, February 3, 2010

BILA MANA UMNO TIDAK MENYERANG PAS

oleh : DATO'TUAN IBRAHIM B TUAN MAN

Berada di kerusi Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Parti bukanlah sesuatu tempat yang mudah dan selesa. Ia adalah tempat yang akan menerima pelbagai kecaman dan kritikan, dan di waktu yang sama saya tidak boleh membela diri kerana sebarang jawapan kepada kritikan berhubung keputusan JK Disiplin, akan mendedahkan beberapa maklumat sulit parti, yang tidak perlu diketahui oleh umum.

Sewaktu saya ditawarkan jawatan ini, saya merayu beberapa kali agar melantik orang lain, bukan untuk lari dari amanah, tetapi ianya tidak sesuai dengan jiwa saya. Saya tidak suka menghukum orang, apa lagi untuk menjatuhkan hukuman ke atas sahabat satu jamaah. Bahkan saya sangat bersetuju suatu pindaan Perlembagaan parti perlu dibuat agar Pengerusi JK Disiplin tidak diambil dari kalangan AJK Pusat; kerana ia akan dilihat ‘tidak adil’ terutama bilamana kita terpaksa membicarakan AJK sendiri atau pemegang jawatan parti. Undang-undang bukan sahaja perlu adil, tetapi juga perlu dilihat adil. Mungkin satu masa yang terdekat perkara itu akan dipinda, dan itulah harapan saya. Bukan untuk lari dari amanah, tetapi untuk kebaikan parti yang terus berkembang dan akan pasti berhadapan dengan lebih banyak karenah dalaman.

Bilamana saya dihadapkan dengan kes membabitkan dua tokoh di Selangor , Dato’ Dr Hassan Ali dan YB Khalid Samad, kedua-duanya adalah sahabat baik yang semua orang tahu. Saya mempunyai hubungan yang sangat akrab dengan Khalid Samad, bahkan kalau ke Shah Alam, Markaz PAS Seksyen 18 adalah tempat penginapanan saya. Di situlah saya berehat dan tidur selepas program di Shah Alam, dan Khalid Samad antara orang terawal saya hubungi, memaklumkan bahawa saya masuk kawasan jajahan takluknya, sebagai Ahli Parlimen. Biasa kami akan berjumpa, minum-minum berbual-bual. Bahkan selepas hukuman dijatuhkan kepada beliau saya hubunginya di luar Negara, memaklumkan keputusan, dan memohon keampunan Allah kalau saya tersilap dalam membuat keputusan kepada sahabat sendiri.

Tapi apakan daya, hukuman dan keputusan terpaksa dijatuhkan. Hanya saya rasa kurang terbeban bilamana keputusan dibuat dengan sebulat suara oleh semua Ahli JK Disiplin. Di kalangan kami ada bekas hakim dan peguam veteran PAS, Dato’ Abd Mutalib Embong dan Tuan Guru Hj Osman, seorang ulamak terkenal yang pernah menuntut di Makkah al-Mukarramah dalam bidang syariah.

Saya memaklumkan kepada YB Khalid Samad, agar menggunakan peruntukan perlembagaan untuk membuat rayuan kepada JK Pusat dan Syura, sekiranya beliau rasa hukuman tidak berpatutan. Saya masih ingat kata-kata beliau sebelum beliau ke luar negara, dalam pertemuan sewaktu membincangkan isu kalimah Allah, beliau berkata: “Kalau ana bersalah, hukumlah, jangan anta rasa berat pulak.” Saya menjawab : “ InsyaAllah, semoga Allah memudahkan urusan ini.” Beliau menyatakan dengan keputusan ini beliau sukar untuk merasmikan mesyuarat agung cawangan –cawangan yang telah membuat jemputan tetapi beliau boleh hadir atas sifat sebagai Ahli Parlimen, dan aktiviti beliau boleh berjalan macam biasa.

Saya teringat bila mana Umar al-Khattab melucutkan jawatan Khalid al-Walid ( bukan menggantungnya ) sedangkan Khalid tidak melakukan apa-apa kesalahan. Khalid terus berjuang sehingga penyokong hairan dengan tindakannya. Mereka bertanya: “Kenapa kamu tidak nampak apa-apa perubahan?” Beliau menjawab: “Aku bukan berperang kerana jawatanku, tetapi kerana Allah!” Bahkan beliau terus mengemukakan cadangan kepada penglima baru bilamana melihat tentera Islam hampir kalah. Inilah semangat Khalid al-Walid. Saya yakin kita perlu mencontohinya.

Kami tidak ada agenda untuk menjatuhkan seseorang atau menaikkan seseorang. Hukuman berdasarkan fakta yang ada di hadapan kami adalah hasil soal siasat dan penghujahan yang lama dan panjang, semata-mata untuk memberi keadilan kepada tertuduh. Kami tidak boleh mengikuti kehendak orang ramai yang hanya berdasarkan andaian, bukan fakta siasatan. Saya yakin pengumuman keputusan akan menjadi tajuk utama berita, kerana media perdana telah memainkan isu ini beberapa waktu sebelumnya dengan pelbagai andaian hukuman. Mereka telah berjaya membawa pemikiran massa kepada satu hukuman jangkaan yang mereka ada agenda tersendiri.

Selepas keputusan diumumkan saya menjangka UMNO akan memainkan isu ini bagi melemahkan pengaruh PAS, khususnya di Selangor. Ternyata andaian saya meleset. UMNO tidak menyerang sebaliknya saya diserang oleh ahli PAS dan rakan-rakan sendiri, yang hadir dalam mesyuarat bersama dan sering berjumpa sama. Kenapa mereka tidak datang jumpa dan bincang terus, kenapa perlu menggunakan media untuk menyerang JK Disiplin yang ditubuh oleh parti dan mempunyai hak dan kelayakan dalam perlembagaan parti? Apa untung bagi parti dengan tindakan tersebut?

Saya sebenarnya cuba untuk menjawab tohmahan itu, tetapi sebarang jawapan hanya akan menimbulkan polimik yang lebih besar dan berpanjangan. Tambahan pula ada beberapa fakta yang ditemui tidak sesuai jadi tatapan umum. Cuma saya bertanya sendirian, kenapa UMNO tidak mengambil kesempatan menyerang sedangkan mereka telah membentuk pemikiran massa ke arah itu. Bahkan yang hebat menyerang adalah ahli PAS atau penyokong PAS. Mungkin kerana simpati terhadap Khalid Samad, atau geram dengan Hassan Ali.

Komentar dari Abdullah Karim saya anggap melampau dan saya difahamkan Dewan Pemuda Pusat akan melakukan sesuatu, dan Pejabat Agong juga akan bertindak. Beliau sebenarnya telah menghantar surat memaklumkan akan mengikuti isteri ke luar negara dalam tempoh yang panjang, dan sehubungan itu beliau melepaskan semua jawatan dalaman parti dan jawatan di peringkat Negeri Pahang. Mesyuarat telahpun menerima permohonan beliau.sayangnya saat-saat akhir sebelum beliau keluar Negara, kesempatan diambil untuk menyerang JK Disiplin Parti. Kritik kemudiannya tinggal.

Saya dukacita kerana beliau seorang peguam, yang memahami prosedur hukuman dan siasatan. Kita tidak boleh menghukum berdasarkan andaian dan kehendak massa. Hukuman mestilah berdasarkan fakta yang kita temui dalam siasatan. Seandainya ada fakta yang terselindung atau yang tudak dikemukan sebagai bahan kes, maka kita tidak boleh mengambilnya sebagai alasan penghakiman. Memang saya akui bahawa beliau ada menghantar satu laporan kepada JK Disiplin, tetapi saya telah maklumkan prosidur bahawa dia kena hantar kepada SU Agong untuk dibuat penilitian, kesahihan penama-penama yang disebut, apakah ia benar ahli PAS atau bukan, sejauh mana ada kes yang boleh dirujuk kepada JK Disiplin atau kes hanya melibatkan urusan pentadbiran parti.

JK Disiplin adalah hakim, bukan badan untuk menyiasat. Takkan beliau tak faham, semua parti politik mempunyai mekanisma yang sama. Bahkan dalam prosedur perundangan biasa pun, mana ada seorang yang dituduh terus diheret di hadapan hakim untuk bicara. Pihak polislah perlu menyiasat, mencari bukti dan menentukan apakah ada kes sebagaimana yang dituduh atau tiada kes. Aduan yang dia buat hanya berupa ‘hear say’, dan dia juga faham dan sudah diberi tahu bahawa aduan beliau tidak boleh diambil tindakan, hanya dengar cakap, tiada bukti. Untuk memanggil orang yang berkenaan dalam pertuduhan beliau, penama tersebut bukan ahli PAS. Kita tiada kuasa memanggil bukan ahli dan apa jaminan ianya tidak bertindak merosakkan nama baik parti sekiranya dipanggil. Ini JK Disiplin parti, untuk menjaga ahli agar tidak melakukan tindakan merosakkan nama baik parti, dan bertindak diluar perlembagaan parti.

Apa yang mendukacitakan saya ialah saya telah jelaskan bahawa inilah prosedur laporan disiplin parti, yang telah diamalkan sejak awal penubuhan parti lagi, dan beliau memahaminya dan menerimanya pada waktu itu, tapi kenapa tiba-tiba dia sanggup mengeluarkan kanyataan menyerang prosedur tersebut. Soal dia tidak berpuas hati dengan hukuman ke atas tertuduh, saya pelik bukan dia yang kena tuduh. Bahkan kalau kita baca tulisan YB Khalid sendiri dia rasa puas hati bilamana segala dakwaan beliau terhadap Hassan Ali dibuktikan benar oleh JK Disiplin, sehingga Hassan Ali didapati bersalah dan dilarang mengeluarkan sebarang kenyataan yang merugikan PR dan parti. Yang kena hukum berpuas hati, yang tak ada kena mengena pulak tak puas hati.

Sebagai pimpinan kita sepatutnya menyalurkan komentar melalui saluran parti dan memelihara adab dalam jamaah. Semua harus fikir apakah tindakan yang kita lakukan itu menguntungkan parti atau sebaliknya, kerana kenyataan kita bukan keputusan perbicaraan, yang terpaksa berdasarkan fakta dan bahan yang ada di hadapan kita.

Kepada Allah saya memohon ampun andainya tindakan yang diambil tidak tepat dengan apa yang sepatutnya; dan semoga Allah tidak membebankan saya dengan bebanan yang lebih berat di akhirat. Ingatlah, kalau anda tidak boleh membantu jamaah, jangan menyusahkan jamaah.

Wassalam.

HARAKAHDAILY.NET

Followers