Sunday, January 30, 2011

MESIR DAN TUNISIA : BEBASKAN SPR DAN MEDIA


HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 29 Jan: PAS meminta pemerintahan BN segera membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia dengan membebaskan SPR dan media daripada cengkaman parti pemerintah seterusnya bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat di padang yang sama rata.

"Kita tidak mahu situasi tegang sedemikian (di Mesir dan Tunisia sekarang) berlaku di negara ini," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dalam kenyataannya bagi mengulas apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir sekarang.

"Tetapi dunia membuktikan ketegangan di antara rakyat dan pemerintah itu berpunca daripada sikap pemerintah itu sendiri," kata Abdul Hadi.

Rentetan dari perkembangan kebangkitan kuasa rakyat di Asia Barat secara umumnya dan di Mesir khususnya di waktu ini, Parti Islam SeMalaysia (PAS) mendesak semua kerajaan yang memerintah di waktu ini di Asia Barat agar segera menghentikan segala bentuk tindakan ganas kepada rakyat mereka sendiri yang terlibat dengan perhimpunan tunjuk perasaan.

Di Mesir, katanya, umum mengetahui bahawa demokrasi telah dicabul teruk dan pentadbiran Presiden Hosni Mubarak mesti bertanggungjawab terhadap pencabulan tersebut dan bersedia berhadapan dengan desakan rakyat supaya beliau meletakkan jawatan.

"Bagi pihak PAS, kami menyatakan solidariti bersama dengan rakyat Mesir yang bangkit menuntut keadilan setelah sekian lama berada dalam penindasan. Kami mendoakan kejayaan intifadha rakyat Mesir yang belum pernah disaksikan dalam sejarah Mesir moden ini.

"PAS juga mendesak supaya dibebaskan segera kesemua tahanan politik yang telah dipenjarakan sejak sekian lama di Mesir yang dihukum menerusi perbicaraan yang tidak adil," katanya.

Katanya, dunia khususnya OIC dan PBB didesak supaya memberikan tekanan kepada Presiden Hosni Mubarak dan kerajaannya yang telah melanggar hak asasi manusia apabila telah menyebabkan kecederaan kepada lebih seribu rakyat Mesir yang berhimpun dan juga lapan daripadanya yang terkorban.

"Penyelesaian terhadap kemelut ini boleh berlaku dengan dibukanya pintu demokrasi yang tulen dan diadakan pilihanraya yang telus di Mesir," katanya.

Kepada kerajaan Barisan Nasional di Malaysia, perlu diperingatkan supaya mengambil iktibar terhadap apa yang berlaku di Tunisia dan Mesir pada hari ini.

Apabila pemerintah mencabul amalan demokrasi, menyeleweng kewangan negara dan bersifat zalim terhadap rakyat, maka kebangkitan rakyat tidak dapat dibendung lagi.

Maka pemerintahan BN, katanya, perlu segera membuka ruang demokrasi yang adil di Malaysia dengan membebaskan SPR dan media daripada cengkaman parti pemerintah seterusnya bersedia untuk berhadapan dengan Pakatan Rakyat di padang yang sama rata.

"Kita tidak mahu situasi tegang sedemikian berlaku di negara ini. Tetapi dunia membuktikan ketegangan di antara rakyat dan pemerintah itu berpunca daripada sikap pemerintah itu sendiri," katanya.

Wednesday, January 26, 2011

TOLAK DEBAT : AHMAD MASLAN TAKUT BERDEPAN PENEROKA


Nazri Abdullah - HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 26 Jan: Mazlan Aliman menyifatkan penolakan debat oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan sebagai tidak berani bertanggungjawab kepada peneroka.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) berkata, Ahmad sepatutnya berani jika yakin kerajaan dan Felda tidak membuat sesuatu yang mengainaya peneroka.

"Jika selama ini dia kata dia bantu peneroka, dia menuduh Anak dan Pakatan Rakyat pemecah belah. Habis tu kenapa dia tolak," katanya kepada Harakahdaily sambil menyelar Ahmad sebagai penakut.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penolakan Ahmad untuk berdebat dengan beliau.

Ahmad hari ini menolak cabaran Mazlan untuk berdebat mengenai masalah yang dihadapi oleh peneroka Felda.

Sebaliknya, beliau mengemukakan cabaran kepada Mazlan untuk berdialog secara tertutup bersama beliau dan pegawai Felda dengan harapan dapat menyelesaikan 20 perkara yang dibangkitkan oleh Presiden Anak itu.

Mengulas lanjut, Mazlan yang juga Timbalan Pengarah Jentera Operasi Pilihan Raya PAS bagi PRK Tenang tetap dengan keputusan mengajak Ahmad berdebat dan memberi masa sampai esok kepada Ahmad.

"Kalau dia nak ajak dialog tertutup, tak payah la saya susah-susah cabar debat. Saya ada nombor telefon dia, sembang kedai kopi pun boleh," katanya.

Namun jelasnya, tujuan lebih besar cabaran debat terbuka tersebut adalah mahu rakyat khususnya peneroka mendengar sendiri penjelasan Ahmad, dan boleh bertanya terus tentang masalah yang dihadapi peneroka.

"Saya tunggu sampai esok, kalau dia tak terima juga, maknanya dia pengecut dan perlu letak jawatan.

"Rakyat tak perlu timbalan menteri yang takut berdepan dengan rakyat sendiri," katanya.

Anak sebelum ini menyerahkan 20 perkara itu kepada Ahmad Maslan pada November tahun lalu yang mana antara lainnya melibatkan isu peneroka yang disingkir, isu hutang dengan Felda sehingga mencecah RM80,000 dalam masa tujuh tahun, dan masalah pembahagian pusaka oleh generasi kedua Felda.

NGO tersebut kemudiannya menghantar surat tawaran kedua kepada Ahmad Maslan semalam untuk berdebat mengenai isu tersebut.

Sunday, January 23, 2011

CHUA HINA QUEEN ELIZABETH DAN PM INDIA?



HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 23 Jan: Serangan peribadi Presiden MCA, Datuk Seri Chua Soi Lek terhadap calon PAS, Normala Sudirman kononnya 'kalau dia bersalam pun dengan memakai sarung tangan' adalah sesuatu yang tidak boleh diterima.

(Gambar atas: Queen Elizabeth bersalam dengan Perdana Menteri India Manmohan Singh dalam keadaan bersarung tangan.)

Bahkan ia dianggap merendah-rendahkan pengetahuan dan budaya orang Cina sendiri seolah-olah mereka bodoh untuk menerima pandangan bekas menteri kesihatan itu.

Ini kerana bersalam dengan memakai sarung tangan bukannya merendahkan martabat mana-mana pihak dan tidak ada kesalahanpun dari segi moralnya.

Bagi kebanyakan pihak, kenyataan Chua ini sesuatu yang sangat naif dan menyerang pribadi pihak lain ketika moral beliau sendiri sangat dipertikaikan sehingga terpaksa melepaskan jawatannya sebagai Menteri Kesihatan sebelum ini.

"Baginda Queen Elizabeth, Ratu England juga memakai sarung tangan ketika bersalam dengan mana-mana pihak hatta pemimpin negara lain.

"Adakah Chua Soi Lek mahu berkata, Queen Elizabeth mahu menghina Perdana Menteri India, Manmohan Singh ketika bersalam dengan beliau dalam keadaan memakai sarung tangan," kata seorang pemerhati politik.

Bagi keluarga diraja British, tidak memakai sarung tangan ketika bersalam dengan pihak lain adalah satu yang tidak beradab.

Bagi Islam pula, bersalam dengan lelaki atau perempuan yang boleh dinikahi (bukan muhrim) adalah satu kesalahan (dosa).

Normala Sudirman pula menyifatkan Umno telah gagal membantu MCA memahami konsep Islam yang sebenar sehingga menyebabkan parti komponen BN itu tidak dapat menghormati nilai dan tertib orang Islam khususnya kaum wanita.

Merujuk kepada isu tidak bersalam yang ditimbulkan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Normala meminta MCA memahami adat dan tatatertib orang Islam terutamanya wanita Islam sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan yang boleh menimbulkan kontroversi.

Menurut Normala, 38, sepatutnya setelah 53 tahun merdeka MCA yang dipimpin Dr Chua sudah memahami tertib seorang wanita Islam.

"Saya secara peribadi berpendapat bahawa sudah tiba masa pihak lawan (BN) matang setelah 53 tahun kita merdeka... apa yang paling penting adalah dasar-dasar atau komitmen perkhidmatan yang mahu dibawa kepada rakyat khususnya pengundi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tenang.

"Bukan menyentuh isu peribadi atau serangan peribadi yang saya kira ia satu perkara yang sangat jauh daripada apa yang kita fokus.

"Saya kira perkara yang paling penting adalah setelah 53 tahun merdeka, MCA sepatutnya sudah lama memahami konsep sebagai individu Muslim yang perlu kerana mereka berkawan dengan komponen BN iaitu Umno," kata beliau dalam temu bual ekslusif bersama The Malaysian Insider hari ini.

Exco Dewan Muslimat PAS pusat ini berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Dr Chua mengenai Islam apabila secara sindiran membuat perbandingan cara Normala bersalaman dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail semasa berkempen di Tenang.

"Dia tidak akan datang ke sini (tokong Cina), (dan) dia langsung tidak bersalam dengan orang. Saya sudah terima aduan mengenai hal ini.

"Dia seperti isteri Anwar Ibrahim. Dia memakai sarung tangan ketika bersalam. Jika anda boleh menerima cara Islam sebegini, pergilah undi PAS," kata Chua.

Tuesday, January 18, 2011

96.61% SETUJU MAHASISWA URUS PILIHANRAYA KAMPUS


Hazayani Zakaria HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 18 Jan: Majoriti mahasiswa Universiti Putra Malaysia (UPM) bersetuju terhadap cadangan Pro-M UPM agar pilihan raya kampus diuruskan sendiri oleh mahasiswa.

Menurut Pengarah Strategik Pro-M UPM, Muhammad Azril Alias, berdasarkan kepada 724 orang respondan yang ditemubual, sebanyak 94.61% ataupun 685 orang responden bersetuju dengan cadangan ini.

Manakala, sebanyak 5.39% iaitu 39 orang responden menolak kerana tidak yakin mahasiswa berkemampuan untuk menguruskan pilihan raya kampus.

"Kebanyakkan respondan yang bersetuju dengan cadanagn tersebut menganggap sudah tiba masanya untuk mahasiswa diberi kebebasan menguruskan pemilihan wakil mereka," kata Azril dalam satu kenyataan kepada Harakahdaily.

Selain itu katanya, mereka turut mempertikai pengurusan pilihan raya kampus yang dikatakan tidak telus serta pelbagai peraturan kempen yang tidak munasabah diperkenalkan.

Rabu lepas, pengerusi Pro-M UPM, Syed Syafiq Syed Hashim menghantar memorandum kepada Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar (TNC HEP), Prof Dr Fauzi Ramlan bagi menuntut pihak pengurusan universiti membenarkan pilihan raya kampus diuruskan oleh mahasiswa.

Sementara itu, Syed Syafiq yang dihubungi hari ini berkata, pihaknya sebelum ini memberikan tempoh seminggu kepada pihak universiti untuk menimbang cadangan itu

"Kita bagi tempoh seminggu kepada TNC HEP maksudnya sampai esoklah. kalau tidak ada apa-apa jawapan daripada beliau, kita akan mengatur pertemuan berikutnya dengan beliau," katanya.

Menurutnya, pilihan raya kampus UPM akan berlangsung pada minggu ketiga Februari depan.

Bagaimanapun, tarikhnya belum ditetapkan pihak universiti.

Ditanya calon yang akan diletakkan oleh Pro-M, beliau berkata, perkara itu sudah selesai dan menunggu hari penamaan calon.

"Kita sudah selesai memilih calon yang disenarai pendek, cuma menunggu hari penamaan calon nanti untuk diumumkan," katanya.

Friday, January 14, 2011

LAMAN HARAKAHDAILY ANTARA PALING POPULAR - AIM



KUALA LUMPUR, 14 Jan: Harakahdaily telah disenaraikan oleh Institut Akhbar Malaysia (IAM) atau Malaysian Press Institut - MPI sebagai laman web Malaysia yang paling tinggi jumlah muka yang dibaca bagi setiap pelawat laman web negara ini.

Menurut IAM, purata muka surat yang dibuka oleh setiap pelawat Harakahdaily adalah adalah 38 muka berbanding portal berita paling popular di Malaysia iaitu Thestar.com.my iaitu 18 manakala Malaysiakini 33.

Ini bermakna, setiap pelawat Harakahdaily, secara puratanya membuka 38 muka laman web itu.

Angka ini diperolehi oleh IAM berdasarkan maklumat pada bulan Julai 2010.

IAM juga menyenaraikan Harakahdaily sebagai salah satu laman portal berita yang paling popular.

Menurut buku daftar media edisi 2011 yang dikeluarkan oleh MPI itu, Harakahdaily berada di tempat ke lapan dalam senarai laman portal berita dari Malaysia.

Laman portal berita Malaysia paling popular berdasarkan jumlah Unique Visitors adalah milik akhbar The Star iaitu thestar.com.my dan diikuti oleh Malaysiakini. Ia dibuat berdasarkan jumlah Unique Visitors untuk laman berkenaan.

Menurut MPI, Harakahdaily mempunyai 200,000 Unique Visitors berbanding dengan laman paling tinggi The Star iaitu 788,000 Unique Visitors manakala Malaysiakini 547,000.

Bagaimanapun, tempoh masa yang diambil oleh setiap pelawat Harakahdaily bagi setiap minit lebih tinggi berbanding The Star. Purata masa setiap minit bagi setiap pelawat bagi Harakahdaily adalah 19.1 manakala The Star adalah 16.2 dan Malaysiakini 16.3.

Menurut Datuk Chamil Wariya, Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah IAM dalam kata pengantar buku ini, angka yang diperolehi ini bergantung kepada angka yang disahkan oleh dua badan iaitu Audit Bureau Circulation (ABC) dan Nielson Media Research.

Dalam buku itu, IAM juga menyatakan, akhbar paling laris di Malaysia pada tahun 2009 adalah Metro Ahad iaitu sebanyak 404,994 purata naskah sehari diikuti oleh akhbar Cina, Sin Chew Daily (380,742).

Metro Ahad juga mengungguli dalam kelas Akhbar Bahasa Malaysia yang paling laris.

Untuk Bahasa Inggeris pula, akhbar paling laris adalah Sunday Star iaitu sebanyak 295,815 naskah.

TV3 pula, menurut IAM adalah saluran tv yang paling popular iaitu menguasai sebanyak 30.3 peratus penonton pada tahun 2009. Namun peratusannya semakin menurun berbanding tahun-tahun sebelum ini iaitu 33 peratus (2007) dan 32 peratus (2008).

Ia diikuti oleh saluran TV2 iaitu menguasai 10.3 peratus pada tahun 2009, TV9 (8.7 peratus) dan NTV7 (6.1 peratus). TV1 berada ditangga ke enam dalam senarai IAM itu.

Saturday, January 8, 2011

PENGARAH PELAJARAN BERKEMPEN, PAS BUAT LAPORAN POLIS


Harakahdaily

LABIS, 7 Jan: PAS Johor hari ini membuat laporan polis mendakwa Pengarah Pelajaran Johor, Markom Giran mengajak pengetua dan guru sekolah di sekitar DUN Tenang merayu undi untuk membantu BN dalam pilihan raya kecil hujung bulan ini.

Laporan polis itu dibuat oleh timbalan pesuruhjaya PAS Johor Zulkefly Ahmad di Balai Polis Labis kira-kira jam 10.45 pagi ini.

Turut hadir bersama-samanya, pesuruhjaya PAS negeri Datuk Mahfodz Mohamed dan ketua penerangannya Mazlan Aliman.

Mazlan memberitahu wartawan, dalam laporan polis itu Markom telah didakwa menyalahgunakan kuasa sebagai pengarah pelajaran Johor untuk berkempen secara terang-terangan untuk BN.

Antaranya berkempen untuk Barisan Nasional, memberi tekanan kepada semua Pengetua dan Guru Besar dalam Dun Tenang agar mengundi Barisan Nasional, memberi tekanan kepada guru-guru kaunseling daerah Segamat agar berkempen dan mengundi Barisan Nasional dan berkempen kepada guru-guru di SMK Munshi Ibrahim Labis, SK Kg Tenang, SK Pekan Air Panas, SK Felda Chemplak dan SMK Tenang Station agar mengundi Barisan Nasional.

Zulkefli juga turut menyerahkan rakaman video yang didakwa menunjukkan Markom berucap kepada para guru untuk tujuan tersebut.

"Bagi PAS, tindakan Haji Markom sangat bertentangan dengan etika sebagai penjawat awam yang tertakluk kepada peraturan 21 bagi pegawai pengurusan tertinggi dan profesional.

"Bagi (jawatan berpangkat) DG 54, mereka tidak boleh membuat kenyataan yang menyebelahi mana-mana parti politik atau menerbitkan risalah, atau merayu undi atau bertindak merayu dalam pilihan raya," kata Mazlan seperli dilapor Malaysiakini.

Mazlan yang juga ahli jawatankuasa PAS Pusat mendakwa Markom turut berkempen di beberapa buah sekolah di sekitar DUN Tenang.

"Semua pertemuan ini, (guru-guru) diminta menyokong BN," kata Mazlan.

"Kita mempunyai rakaman video bagaimana beliau memberi tekanan kepada guru merayu undi untuk BN dalam pilihan raya kecil DUN Tenang," katanya.

Sehubungan itu, katanya, PAS meminta polis menjalankan siasatan dan mendesak supaya Markom dirujuk kepada jawatankuasa tatatertib.

Ini kerana, katanya, Markom "menjejaskan reputasi Jabatan Pelajaran dan menunjukkan contoh yang tidak baik kepada guru-guru".

Dalam perkembangan berkaitan, Mazlan berkata pihaknya telah menubuhkan satu pasukan khas untuk memantau pegerakkan agensi kerajaan yang berkempen dalam pilihan raya kecil tersebut.

"Sebanyak 20 pemantau telah dilantik yang diletakkan di bawah (pengawasan) saya (sebagai ketua penerangan). Kita sudah mula memantau aktiviti jentera kerajaan.

"Kita guna maklumat (yang diterima) dan serahkan kepada polis, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap minggu," katanya.

Thursday, January 6, 2011

MINYAK NAIK UNTUK BELA KORPORAT, RAKYAT MELARAT



Abdul Rahman HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 5 Jan: Tindakan kerajaan menaikkan harga minyak RON 97 sebanyak 10 sen bermula tengah malam tadi dilihat untuk membela korporat dengan membiarkan rakyat hidup semakin melarat.

Sehubungan itu, PAS merakamkan perasaan sedih yang menimpa kepada rakyat Malaysia kerana terpaksa membayar kos hidup yang mahal dengan kenaikan harga minyak RON 97 sebanyak sepuluh sen menjadikan sekarang harga RM2.40 sen seliter bermula tengah malam 4 Januari 2011.



Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad berkata, sebelum pilihan raya kecil (PRK) Galas, minyak RON 97 naik 15 sen, selepas BN menang pilihanraya kecil RON 95 pula naik 5 sen.

Katanya, senario yang sama juga akan berlaku sebelum dan selepas PRK Tenang pada 30 Januari 2011 jika BN menang.

Menurutnyas, menjadi kelaziman biasa, ketika minyak naik kerajaan memberi alasan untuk mengurangkan subsidi petrol untuk 27 juta rakyat sebanyak RM11 bilion, tetapi untuk penjana bebas (IPP) milik kroni tidak dikurangkan subsidi sebanyak RM19 bilion.

Rakyat Malaysia, ujarnya tidak dengar sepatah perkataan daripada pemimpin yang kononnya rakyat didahulukan akan menarik balik subsidi untuk IPP.

“Apa yang kita kedengaran ialah subsidi untuk rakyat ditarik setiap bulan dengan kenaikan harga minyak,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Katanya, kerajaan yang ada tidak pernah memikirkan penderitaan dan keperitan rakyat sehingga berkerut dahi membayar yuran sekolah anak di awal pengajian.

Baginya, belum sempat bernafas, datang pula berita kenaikan harga minyak RON 97.

“Layaklah singkatan BN, ialah barang naik, bila naik baru naik, berapa naik, banyak naik dan BN - Bala Nanti,” ujarnya.

Sunday, January 2, 2011

EKSPERIMEN POLITIK : SLOGAN RETORIK NAJIB


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 1 Jan: PAS berpandangan ucapan Datuk Seri Najib Razak sempena tahun baru 2011 satu pemikiran ke belakang bukan ke hadapan walaupun beliau ini terkenal dengan slogan retorik, namun dalam tindakan beliau masih berfikiran sempit seolah-olah negara ini hanya boleh ditadbir oleh BN sahaja.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata demikian sebagai mengulas gesaan Perdana Menteri itu supaya rakyat jangan membuat ekperimen dalam politik untuk menukar kerajaan yang sedia ada, kerana ia akan mendatangkan masalah kepada rakyat pada masa akan datang.

“PAS hendak mengingatkan kepada Datuk Seri Najib, tugas pemimpin ialah berfikir untuk menyenangkan rakyat bukan menyusahkan rakyat.

“Gaji yang sudah lumayan diberikan kepada kepada pemimpin negara adalah wajar dibalas balik dengan merangka strategi untuk kebaikan rakyat bukan sebaliknya,” katanya dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Tambahnya, PAS berpendapat rakyat yang membuat eksperimen untuk menukar kerajaan negeri dalam Pilihanraya Umum 2008 dahulu adalah tepat.

Katanya, kebahagiaan rakyat yang dapat diukur seperti banyak program-program kebajikan untuk rakyat seperti air percuma di Selangor, skim kifalah untuk warga emas, bantuan sekolah agama rakyat, tamil dan China, bantuan kemasukan universiti, walaupun menghadapi kekangan kewangan di peringkat negeri.

“Kesemua ini tidak pernah difikir oleh pemimpin Umno sepanjang 53 tahun memerintah,” katanya.

Beliau menambah, jika pemikiran yang ada pada pemimpin Pakatan Rakyat yang memerintah negara ini rakyat tidaklah susah sebegini rupa dengan tekanan hidup yang teruk, kuasa membeli semakin menurun, kualiti hidup sudah merosot.

Soalnya, apakah salah rakyat membuat eksperimen untuk beralih pemerintah yang selama ini megkhianat amanah rakyat.

Menurutnya, akibat rakyat masih belum buat ekperimen untuk menumbangkan Barisan Nasional di peringkat pusat maka rakyat dibeban dengan cukai perkhidmatan 6% daripada 5%, barang makanan naik 10% sementara Persatuan Peniaga Kedai Kopi Selangor dan Wilayah Persekutuan akan menaikkan kopi dan teh susu sebanyak 20 sen mulai 1 Januari 2011.

Katanya, apabila barang naik menteri cuba hendak tunjuk hero bela rakyat dan marah kepada peniaga, pada hal yang buat fasal ialah pemimpin BN yang bertindak menaikkan minyak petrol walaupun negara kita pengeluar minyak.

Baginya, eksperimen yang dibuat oleh rakyat sehingga menumbangkan kerajaan BN telah menyebabkan pelabur asing yakin dengan kemampun kerajaan Pakatan Rakyat.

Buktinya, kata beliau pada 21 Oktober 2010, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Mukhriz Mahathir mengakui "Negeri yang paling tinggi menerima kemasukkan FDI adalah selangor dengan pelaburan sebanyak RM5.66 bilion, yang kedua tinggi adalah Johor iaitu di bawah kerajaan Umno-BN, yang ketiga dan keempat adalah Pulau Pinang dan Kedah manakala Perak pula di tempat yang kelima”.

“PAS hendak berpesan kepada Presiden Umno sudah cukuplah Umno BN mengkhianat amanah rakyat, dan janganlah ugut rakyat, mereka sudah mempunyai jiwa merdeka dan tahu beza mana kerajaan yang amanah dan kerajaan yang bernanah,” katanya.

Followers