Saturday, April 12, 2014

PEMERGIAN PAK HAMID : GUGURNYA SEBUTIR BINTANG

Saya mendapat khabar sedih pemergian mengejut Abdul Hamid bin Abdul Kadir (Pak Hamid) Ketua jurulatih kawad kebangsaan Jabatan AMAL dari Johor ke rahmatullah pagi tadi jam 10 pagi.
Beliau dikatakan sedang mengadakan latihan kepada anggota AMAL dalam program kursus kepimpinan AMAL di Sepang  dan rebah secara tiba-tiba dan kemudiannya disahkan meninggal dunia.

Dalam usianya 59 tahun  beliau mengabadikan dirinya kepada perjuangan Islam dan memilih AMAL sebagai medan kebaktiannya. Beliau adalah anggota AMAL terlatih, dedikasi, sabar dan komited terhadap tugasannya.

Beliau sanggup meredah hutan, mengharungi banjir dan lumpur untuk hadir dan bertugas di mana lokasi di arahkan.
Menjaga lalulintas, parkir, menjaga keselamatan dan kebersihan dalam sesuatu program besar PAS tidak menjadikan beliau kekok dan jemu dengan tugasannya itu.
Demi jemaah, dalam usia senja itu beliau gagahkan diri bersama anak-anak muda yang jauh 20 tahun dari usianya.

Allahyarham Pak Hamid adalah ikon anak-anak muda. Beliau jugalah ikon kebanggaan AMAL. Beliau adalah contoh insan ikhlas berjuang demi Islam.
Tanpa nama dan kedudukan tinggi, Pak Hamid tidak kejarkan pangkat, kedudukan dan jawatan dalam PAS.
Perjuangan Islam dengan mencapai keredhaan Allah adalah matlamat utama PAS dan Pak Hamid telah membutikannya.

Bertepatan dengan slogan yang selalu didendangkan AMAL iaitu Allah matlamat kami, Rasulullah pedoman kami, Al Quran panduan hidup kami, jihad adalah jalan juang kami dan mati di jalan Allah adalah cita-cita kami dan Pak Hamid telah membuktikan kata-katanya untuk hidup dan mati di jalan Allah.

Pemuda PAS Malaysia (PPM) mendoakan semoga Allah menerima amal Allahyarham dan diangkat sebagai para syuhada di jalanNya.
Semoga keluarga Almarhum Pak Hamid tabah menghadapi ujian yang melanda ini. Berehat dan bergembiralah almarhum di alam sana dengan nikmat yang dijanjikan setelah menumpahkan seluruh kehidupan untuk Islam dan kami sentiasa mencemburui kehidupan beliau.

*Penulis adalah Ketua Pemuda PAS Malaysia

Wednesday, April 9, 2014

TARIK BALIK PERTUDUHAN TERHADAP MEJAR ZAIDI - HANIPA

KUALA LUMPUR: Ekoran keputusan mahkamah tentera semalam yang menerima lima daripada tujuh bantahan awal pertuduhan terhadap Mejar Zaidi Ahmad, peguamnya Hanipa Maidin menyeru pihak terbabit menarik balik kes itu.

Beliau berkata, Yang Dipertua Mahkamah Kolonel Saadon Hasnan semalam menerima bantahan lima pertuduhan itu dengan alasan ianya tidak mendedahkan kesalahan.

Kesemua bantahan itu akan dirujuk kepada "pihak berkuasa sidang" untuk menentukan semula pertuduhan.

"Saya rasa pertuduhan tak perlu dibuat. Kepada pihak terbabit kalau boleh tarik balik.

"Dia (Mejar Zaidi) hanya laksana tanggungjawab sebagai seorang rakyat. Itu hak warganegara," katanya ketika ditemui di Parlimen hari ini.

Hanipa sebelum ini mengemukakan bantahan itu mengikut Kaedah 62 Kaedah-kaedah Acara Angkatan Tentera (Mahkamah Tentera) 1976.

Beliau ketika mengemukakan hujahnya semalam berkata, lima pertuduhan yang dibantah itu mengandungi kecacatan dan tidak betul kerana ia tidak wujud dalam Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972.

Meja Zaidi dihadap ke mahkamah tentera dengan tujuh pertuduhan berhubung kesalahan memberi kenyataan kepada media mengenai isu dakwat kekal semasa pilihan raya umum ke-13 lalu.

Lima daripada tuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 50(2) Akta Angkatan Tentera 1972 dan dua lagi mengikut Seksyen 51 akta sama, berhubung kesalahan menghantar pesanan SMS berbaur politik dan hasutan.

Pertuduhan berkenaan dijalankan ke atas Juruterbang Tentera Udara Diraja Malaysia itu pada 7 Februari lalu.

Mahkamah semalam turut menetapkan tarikh 10, 11 dan 12 Jun sebagai tarikh baru untuk mahkamah bersidang semula sementara menunggu pertimbangan dari pihak berkuasa sidang.

Selain Zainurin dan Saadon, empat orang lagi ahli mahkamah yang mendengar kes ini adalah Mejar Khuzairi Mohd Arshad, Mejar Khairul Nizam Taib, Mejar S Nadzeer Sallehuddin dan Mejar Noor Azman Ahmad.

Pendakwaan dijalankan oleh Mejar Ahmad Sanusi Ali, Kapten Fadzil Nor Alias, dan Kapten Ross Anuar Aripin.

Selain Hanipa, Zaidi turut diwakili barisan peguam Azhana Mohd Khairuddin, dan Nasar Khan Mirbaz Khan.

Tuesday, April 8, 2014

PAC: JANGAN HANYA PANGGIL TAPI TIADA TINDAKAN - SALAHUDDIN

KUALA LUMPUR: Hasrat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk memanggil lima kementerian berikutan Laporan Ketua Audit Negara 2013 janganlah sekadar satu formaliti sahaja, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin.

"Rakyat tidak mahu lagi ulang tayang apa yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini di mana tindakan PAC memanggil pihak-pihak yang ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara nampak sangat sekadar untuk melengkapkan siri tindakan formal sahaja dan selepas itu tidak kedengaran sebarang tindakan," katanya.

Semalam Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya akan memanggil lima kementerian untuk memberikan penjelasan dalam waktu terdekat berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.

Katanya, kelima-lima kementerian berkenaan adalah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan.

Salahuddin berkata, ramai yang masih ingat pengakuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa pihaknya hanya mengemukakan dua kes sahaja ke mahkamah ekoran pelbagai kes yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.

"Susah hendak dibayangkan apa tindakan berkesan yang mampu dibuat oleh PAC kalau SPRM pun hanya dapat mengemukakan dua kes sahaja ke mahkamah sedangkan kerugian negara yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 dahulu bernilai puluhan bilion ringgit," katanya.

Begitu juga, kata Salahuddin, apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meminta menteri-menteri yang diperlihatkan gagal dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 meletak jawatan.

"Di Jepun bila kapal terbang terhempas di landasan, menteri pengangkutan meletakkan jawatan. Di Malaysia jika kemalangan kapal terbang, itu bukan masalah saya.

"Saya berharap untuk melihat lebih banyak peletakan jawatan," Dr Mahathir dilaporkan berkata.

Salahuddin menambah, bukan sahaja tidak berlaku sebarang perletakan jawatan seperti diharapkan Dr Mahathir, malah tindakan yang diambil berikutan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 itu amat mengecewakan rakyat.

Ketika menyatakan hasratnya untuk memanggil lima kementerian itu, Pengerusi PAC berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu dipanggil berhubung kelewatan Empangan Paya Peda di Besut, sementara Kementerian Pendidikan perlu memberikan penjelasan mengenai pembinaan kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang didapati tidak mengikut spesifikasi mengakibatkannya gagal mendapat sijil layak menduduki (CF).

"Kementerian Kesihatan perlu menjelaskan isu perolehan serta penyimpanan rekod aset dan pengurusan program pembelian makanan manakala KDN akan diminta memberi penjelasan berhubung isu pengurusan Rela dan peralatan untuk Rela khususnya sepatu anggota," katanya.

Nur Jazlan berkata demikian dalam sidang media pembentangan Laporan Ketua Audit 2013 Siri 1 selepas bermesyuarat dengan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang di bangunan Parlimen semalam.

Jelasnya, Kementerian Pendidikan perlu memberi penjelasan mengenai dana penyelidikan asas untuk hasilkan teori, konsep dan idea baharu kerana berlaku ketirisan apabila dana berkenaan dibelanjakan namun tidak ada kajian yang dihasilkan.

Tambah Nur Jazlan selain kelima-lima kementerian berkenaan, PAC akan turut memanggil Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika waktu mengizinkan.

"Kementerian Sumber Manusia perlu memberikan penjelasan mengenai pusat latihan belia sementara Kementerian Pertahanan perlu menjelaskan isu pengurusan Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.

"Biarpun KWSP mempunyai prestasi yang baik, jumlah pelaburan antarabangsanya adalah besar dan bertambah dari tahun ke tahun. PAC perlu penjelasan daripada KWSP mengenai perancangan dan langkah-langkah kurangkan risiko dalam pelaburan antarabangsa," jelas beliau.

Mengenai hasil Laporan Ketua Audit Negara 2012 Siri 1, 2 dan 3 yang dibentangkan tahun lepas, Nur Jazlan berkata 71 peratus audit melibatkan penambahbaikan peraturan dan prosedur proses kerja sementara 29 peratus daripada audit melibatkan salah guna kuasa dan salah laku serta kecuaian dalam pelaksanaan tugas.

Jelas beliau, daripada 29 peratus kes punitif, sebanyak 121 kes dibawa untuk tindakan dengan 92 kes sudah selesai dan 29 kes belum selesai.

"Daripada 92 kes yang selesai,26 kes melibatkan prosiding tatatertib dikenakan ke atas pegawai sementara 53 kes tidak ada unsur 3P (pemantauan penyampaian perkhidmatan)," kata Nur Jazlan.

Mereka yang diambil tindakan melibatkan 152 orang dengan 76 orang dijatuhkan hukuman, seorang dibuang kerja, 41 dikenakan surcaj, dua didenda, 32 diberi amaran dan 76 lagi masih dalam prosiding tatatertib, katanya.

Sunday, April 6, 2014

KITA TIDAK BERMUSIM CINTA PADA NABI - PRESIDEN PAS

BALING: PAS tidak bermusim dalam menunjukkan sayang kepada nabi sebaliknya membuktikan sayang kepada Nabi Muhammad s.a.w. dengan meneruskan perjuangan nabi menegakkan Islam.

Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, mengingati Nabi Muhammad dengan cara menganjurkan program berselawat adalah baik tetapi dalam masa yang sama mesti membuktikan kasih sayang kepada nabi.

"PAS cinta pada nabi. Nak sehidup semati dengan nabi. Nak berjuang, nak tunjuk ajaran nabi yang ditegakkan oleh nabi. Dengan pengorbanan dan perjuangan. Kita tak main-main. Kita tak bermusim dalam perkara ini.

"Ada orang ada masa sayang nabi, sayang nabi; masa rasuah - rasuah, masa umrah - umrah.

"PAS tak macam itu. Ini cakap kita, inilah amalan kita jika diberikan amanah untuk rakyat," katanya sewaktu berucap di Himpunan Derita Rakyat Baling 2.0 di Pekan Kupang, malam tadi.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan Kerajaan Negeri Kedah yang menganjurkan program Malam Cinta Rasul, malam tadi.

Katanya, kerajaan seolah-olah tidak memahami derita rakyat sebaliknya hanya mampu menganjurkan program agama sedemikian.

"Alhamdulillah bagus selawat. Selawat menandakan kasih kepada nabi. Sayang pada Nabi Muhammad. Sayang pada nabi bukan sahaja berselawat termasuk berjuang cara nabi.

"Teruskan perjuangan nabi, perjuangkan ajaran nabi. Pertahankan nabi, pertahankan ajaran yang adil untuk semua, menyenangkan rakyat

"Berselawat menyebut nama nabi tapi dalam masa yg sama tidak mengikut nabi ini mempersendakan nabi," katanya di hadapan kira-kira 50,000 hadirin.

Walaupun hujan lebat namun hadirin tidak berganjak dari tempat program yang bermula sejak petang lagi.

Rakyat yang majoritinya petani datang mendengar ucapan pimpinan parti politik dan NGO yang memperjuangkan isu kejatuhan harga getah.

Mereka menuntut kerajaan mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah berkaitan petani yang membelenggu mereka.

HIMPUNAN DERITA RAKYAT 2.0

BALING: Himpunan Derita Rakyat Baling 2.0 siang tadi mengimbau kembali sejarah Demonstrasi Baling tahun 1974 yang diadakan bagi mendesak kerajaan menyelesaikan masalah kejatuhan harga getah.

Rata-rata pemimpin dalam ucapan mereka menceritakan kembali kisah demonstrasi Baling yang berjaya menunjukkan kuasa rakyat miskin.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli berkata, walaupun sudah 40 tahun berlalu namun keadaan petani masih tidak berubah dan kerajaan masih gagal mengatasi masalah kejatuhan harga getah sehingga munculnya himpunan pada hari ini.

"Keadaan tak bertambah baik selepas 40 tahun peristiwa di Baling dahulu.

"Suara dari Baling hari ini akan menjadi suara keramat untuk menuntut kerajaan mengambil tindakan dalam isu harga getah ini," katanya yang juga Ahli Parlimen Kuala Krai.

Pengerusi PKR Kedah, Datuk Johari Abdul pula dalam ucapannya berkata, peranan mahasiswa 40 tahun dahulu sangat kuat sehingga berjaya menghimpunkan para aktivis turun ke Baling membela nasib petani.

Menurutnya, pada 1974, Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan demonstrasi besar-besaran apabila ada laporan media yang menyatakan bahawa penduduk di Baling mati kerana kelaparan akibat kemiskinan.

Hasil demonstrasi tersebut, beliau ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalan Negeri (ISA) selama 22 bulan.

"40 tahun lalu Anwar dan mahasiswa yang lain sanggup datang ke Baling untuk berdemo isu petani.

"Mereka datang bukan sahaja bas universiti tapi dengan motorsikal.

"Akibat demo ramai ditangkap termasuk Anwar dan Syed Husin Ali dan dikenakan ISA.

"Himpunan hari ini hantar mesej yang jelas bahawa kalau tak ambil tindakan segera banyak lagi himpunan akan berlaku," katanya di hadapan kira-kira 3,000 hadirin.

Himpunan bermula jam empat petang dan berhenti sebentar untuk solat Asar berjemaah dan disambung dengan ucapan wakil-wakil NGO berkaitan isu petani, penternak dan nelayan.

Sebelum itu, kira-kira 50 buah motosikal ditunggang anak muda berkonvoi mengelilingi pekan Baling sambil membawa kangkung sebagai sindiran kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Pekebun kecil, petani, dan nelayan dari beberapa daerah hadir membajiri padang bagi menyatakan kemarahan berhubung kejatuhan harga getah dan isu-isu petani yang lain. HARAKAHDAILY

Followers