Wednesday, June 30, 2010

LEBIH BAIK SAYA BERSALAM DENGAN TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ


Ismail Hashim - HARAKAHDAILY

SHAH ALAM, 30 Jun: “Tentang hendak bersalam dengan Najib, adalah lebih munasabah saya pergi ke Kelantan bersalaman dengan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, itu lebih baik dari bersalaman dengan orang yang didakwa,” jelas Ustaz Mohd Hosni Mubarak Abdul Hamid al-Hafiz (gambar).
Ini susulan respons Umno menafikan empat sahabat lulusan Jordan tidak dijemput menghadiri majlis 40 ulama muda menyertai parti itu Jumaat lalu, sebaliknya hanya dijemput oleh orang kuat Umno disifatkan sebagai amat melucukan.
Beliau juga menolak dakwaan mereka beria-ia untuk hadir ke situ untuk bersalaman dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Menurutnya, satu malam sebelum itu, seorang orang kuat Umno telah memujuk beliau untuk menyertai Umno dan mengajak hadiri majlis tersebut dan kebetulan merupakan bapa kepada kawan rapatnya, beliau tidak dapat menolak jemputan itu.
“Logiknya bagaimana kami boleh hadir jika tidak mendapat sebarang jemputan malah cara masuk juga ditipu, dari bangunan sebelah Mall, naik escalator, turun tangga, tiba-tiba muncul di Bangunan Umno.
Beliau yang sebelum ini mendedahkan penipuan Umno ini di dalam majlis Pentas Pemuda anjuran Dewan Pemuda PAS Shah Alam di TTDI, dekat sini menyatakan, mereka dijemput datang ke majlis itu kerana Perdana Menteri hendak bertemu dengan lulusan Jordan.
Dalam pada itu, Hosni berkata, beliau mendapat maklumat terdapat seorang lagi lepasan Madinah yang dijemput ke majlis berkenaan kerana terdapat majlis diskusi sebaliknya yang berlaku adalah penyerahan borang menyertai Umno oleh beberapa orang yang digelar sebagai sebagai ulama muda yang ‘ori’.
Katanya, seorang di Perlis, Ustaz Abdul Wahab Abdullah berkata, beliau hadir untuk bertemu dengan perdana menteri bagi membersihkan nama kumpulan mereka yang dikaitkan dengan keganasan.
“Terbukti Umno menggunakan banyak cara untuk menarik ulama muda menyertai mereka kerana jika untuk alasan biasa pasti mereka tidak didekati, lalu mereka gunakan berbagai cara,” ujarnya.
Menjawab hasrat mereka untuk membuat laporan polis terhadap penafian beliau yang disiarkan oleh Harakahdaily, dua hari lalu, Hosni bersetuju, artikel tersebut langsung tidak menyebut nama orang berkenaan

Tuesday, June 29, 2010

KENYATAAN NISBAH DAFTAR PEMILIH BERSIFAT PERKAUMAN

Hazayani Zakaria HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 29 Jun: PAS menyifatkan kenyataan Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Pemuda Umno yang dikeluarkan akhbar Berita Harian bahawa nisbah 1 orang Melayu dan bukan Melayu mendaftar sebagai pemilih sebagai bersifat perkauman bagi mewujudkan rasa tidak senang di antara kaum.
Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, kenyataan itu hanyalah agenda politik Umno untuk menakut-nakutkan orang Melayu.
"Kenyataan ini merupakan agenda politik menakut-nakutkan masyarakat Melayu seolah-olah meletakkan kaum Cina ini sebagai ancaman terhadap kelangsungan kuasa politik orang-orang Melayu," katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.
Ujarnya, angka yang dinyatakan itu tidak tepat dan dikeluarkan kerana menyedari sokongan rakyat terhadap parti itu semakin berkurangan.
"Angka pun tidak tepat. Ini agenda politik perkauman untuk menarik orang-orang Melayu kembali menyokong mereka sebab mereka sedar semua kaum sedang menolak mereka," katanya.
Ahli Parlimen Pokok Sena itu berkata, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar disalahkan kerana gagal menjalankan kempen bagi menggerakkan daftar pemilih di kalangan semua kaum.
"Dari segi SPR harus menyalahkan diri mereka sendiri bahawa masalah kekurangan dalam daftar pemilih ini ialah lemahnya gerak kerja SPR dalam menggerakkan kempen kesedaran untuk masyarakat Malaysia membuat pendaftaran pemilih termasuk pengundi Melayu," katanya.
Baginya juga, SPR wajar dilabelkan sebagai ‘Suruhanjaya Perkauman Rakyat’, bukan lagi Suruhanjaya Pilihan Raya.
Mahfuz turut menggesa kerajaan melaksanakan pendaftaran automatik bagi remaja yang berumur 21 tahun bagi mengatasi masalah pengundi tidak berdaftar.
"Sepatutnya kerajaan termasuk Umno sudah boleh membuat pindaan sama ada kepada perlembagaan atau kepada apa-apa perundangan berkaitan pilihan raya iaitu untuk mengadakan pendaftaran automatik bagi remaja berumur 21 tahun," katanya.
Nada yang sama turut disuarakan Pemuda Sosialis DAP (Dapsy) pada sidang media yang berasingan.
Ketuanya, Anthony Loke berkata, pemuda Umno tidak wajar menyalahkan DAP kononnya mendaftarkan pemilih muda Cina sahaja sebaliknya harus lebih giat menjalankan kempen untuk mendaftarkan pengundi Melayu.
"Nisbah pengundi Melayu kepada bukan melayu ialah 1:40 selepas 2008, ini satu kenyataan palsu kerana ini tidak mungkin berlaku. Pada 2009 daftar pemilih terbanyak ialah Umno.Takkan Umno daftar pemilih bukan Melayu.
"Kalau Pemuda Umno, Khairy Jamaludin kata beliau berwibawa, sepatutnya beliau memikirkan untuk menggerakkan kempen untuk mendaftar pemilih," katanya yang juga Ahli Parlimen Rasah.

Monday, June 28, 2010

TAMBAH 1000 PASTI LAGI PADA MASA DEPAN


Mohd Sabri Said HARAKAHDAILY
KEPALA BATAS, 28 Jun: Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Azman Shapawi Abdul Rani mahu Pasti dikembangkan menjadi 1,000 buah lagi pada masa depan berbanding hari ini yang mencecah 1,000 buah di seluruh negara termasuk Sabah.
Justeru itu, beliau berharap semua jentera Pasti negeri serta guru-guru supaya memastikan pusat asuhan itu terus matang dan cemerlang pada tahun-tahun akan datang.
Beliau juga berkata, Sukan Pasti Malaysia yang diadakan setiap tahun mulai tahun 2005 berjaya membuka mata masyarakat.
Ini, katanya kerana melalui sukan itu masyarakat tahu bahawa Pasti bukan sahaja mengajar Al-Quran dan pembelajaran awalan Islam lain tetapi mengambil berat soal kemahiran permainan sukan seperti bola sepak dan bola jaring sejak kecil lagi.
Kehadiran Pasti, tambahnya, di tengah masyarakat kini kian menyerlah bukan kepada masyarakat Islam sahaja bahkan di kalangan masyarakat bukan Islam.
"Inilah nilai Pasti sejak ditubuhkan 20 tahun lalu di mana kemunculannya di tengah masyarakat berjaya mengubah senario politik dan anggapan Pasti semata-mata mengajar Islam dengan membelakangkan sebarang bentuk kesukanan terutamanya bola sepak yang menjadi sukan kegemaran rakyat negara ini," jelasnya ketika merasmikan Majlis Penutup Pesta Sukan Pasti Malaysia 2010 di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), di sini petang semalam.
Hadir sama menyaksikan pesta sukan kali keenam itu ialah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Pasir, Ustaz Saleh Man, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Ustaz Yusni Mat Piah, Pengarah Pasti negeri, Mohd Asri Harun, Ketua Majlis Guru Pasti Malaysia, Puan Saadiah Abu Bakar serta kepimpinan Pasti yang turut memberikan sokongan padu kepada pasukan yang bertanding.
Terengganu bakal menjadi tuan rumah pesta sukan itu pada tahun depan.
Sementara itu, pasukan bola sepak Selangor sekali lagi menunjukkan taring apabila berjaya mengekalkan kejuaraan apabilan mengalahkan Kelantan 2-1 pada perlawanan akhir.
Pasukan merah kuning itu nyata gah di padang kerana sekaligus memenangi ketogari penjaring terbanyak, Adik Lokman Hakim dan pemain terbaik, Mohd Fakrulrazi Ahmad Shamsuri.
Piala kemenangan disampaikan oleh Ketua Pengarah Pasti Malaysia, Azrin Abdul Majid kepada semua pemain, juru latih dan ketua kontinjen Selangor.
Pasukan Perak menduduki tempat ketiga mengalahkan Terengganu dengan lambungan syiling apabila kedua-dua pasukan berkesudahan seri 7-7.
Dalam acara bola jaring pula, pasukan Terengganu menang besar mengalahkan Kedah dengan jaringan 10-1 bagi memastikan pasukan mereka paling hebat berbanding kontinjen lain.
Tempat ketiga Selangor yang mengalahkan pasukan tuan rumah juga dengan jaringan besar 12-1.
Bagi ketogari bola jaring, Adik Siti Ainun Majah Zulkifli berjaya menjadi penjaring terbanyak dengan 25 gol manakala Adik Adlin Aqilah Kamarulhisyam mendapat anugerah pemain terbaik.
Sebanyak 13 buah negeri mengambil bahagian iaitu Melaka, Pahang, Johor, Negeri Sembilan, Perak, Perlis, Kelantan, Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Selangor, Kedah, Terengganu dan Sabah.

Saturday, June 26, 2010

FRIENDS OF PAKATAN DITUBUH DI LONDON

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 25 Jun: Friends of Pakatan, sebuah persatuan penyokong dan pendokong Pakatan Rakyat telah ditubuhkan di kota raya London, kata Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa.
Beliau yang baru sahaja pulang dari London berkata, persatuan tersebut adalah gabungan profesional rakyat Malaysia yang menginap dan bekerja di United Kingdom yang mewakili semua kaum Melayu , Cina dan India.

Menurutnya, satu pertemuan bersama jawatankuasa penaja persatuan tersebut telah diadakan di kotaraya London baru-baru ini sempena dengan lawatan beliau ke United Kingdom (UK).
Katanya, majlis pelancaran Friends of Pakatan akan dilakukan pada awal Julai depan dengan dihadiri oleh pemimpin Pakatan Rakyat.
Menurutnya, Friends of Pakatan adalah satu lagi perkembangan positif tanda sokongan rakyat Malaysia terhadap Pakatan Rakyat.
“Ini adalah kerana persatuan ini menggabungkan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa di luar negara,” katanya kepada Harakahdaily.
Tambahnya, dalam pertemuan bersama jawatankuasa penaja persatuan tersebut, mereka telah memberikan komitmen yang cukup tinggi untuk bersama Pakatan bagi menyumbangkan kepakaran mereka membangunkan negara bersama dengan Pakatan.
“Selepas dari UK, mereka bercadang untuk melebarkan lagi Friends of Pakatan ke negara-negara lain seperti di Eropah dan juga di Amerika Syarikat,” ujarnya lagi.
Menurutnya lagi, pengerusi jawatankusa penaja persatuan tersebut, seorang juruterbang sebuah syarikat penerbangan di UK memaklumkan bahawa setakat ini mereka telah berjaya menghimpunkan seramai tiga ratus penyokong dan yakin lebih ramai akan menyertainya selepas majlis pelancaran nanti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok baru kembali dari lawatan selama seminggu ke UK bagi menghadiri beberapa siri jemputan organisasi Islam di sana.
Beliau telah dijemput berucap pada seminar The Future of The Muslim Ummah; Hopes and Challenges anjuran Islamic Unity Forum di London.
Nasharudin juga dijemput sebagai tetamu di Muslim Council of Britain di London.
Timbalan Presiden PAS itu kemudiannya ke bandar Nottingham sebagai tetamu kepada sebuah badan kebajikan Islam yang dikenali sebagai Muslim Hands International.
Di Nottingham, beliau turut diminta berucap di Masjid University of Nottingham.
Ustaz Nasharudin juga turut ditemubual selama satu jam oleh TV Al-Hiwar, sebuah rancangan TV berbahasa Arab yang berpusat di London.

Friday, June 25, 2010

KALAU PRESIDEN PAS PENGGANAS, SUDAH LAMA NEGARA HURU HARA


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 25 Jun: Kalau Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang seorang pengganas, maka sudah lama negara ini menjadi huru-hara, tegas Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan at-Tantawi (gambar).
Baginya, jika Tuan Guru Abdul Hadi pengganas, sudah pasti ada kejadian membakar dan mengebom bangunan seperti yang berlaku di Indonesia dan Thailand.
Katanya, pengikut PAS dan penyokong Tuan Guru Abdul Hadi ada di mana-mana di Malaysia ini.
“Boleh dikatakan bukan setakat umat Islam, bahkan bukan Islam pun ramai yang menjadi penyokong beliau. Populariti beliau lebih daripada Perdana Menteri sendiri.
“Beliau dikenali di dunia Islam antarabangsa, walaupun beliau bukan Perdana Menteri. Ucapan dan tulisan beliau disukai oleh setiap lapisan masyarakat, ujarnya dalam satu kenyataan.
Jelasnya lagi, semua tulisan dan ucapan beliau tidak pernah menjuruskan ke arah keganasan.
Tegasnya, beliau tidak pernah meminta umat Islam Malaysia berperang dengan kerajaan Malaysia.
Tambahnya, semua ucapan dan penulisan Tuan Guru Abdul Hadi adalah berbentuk dakwah dan tarbiyah yang menjurus persoalan akidah dan tauhid, akhlak dan syariat yang menjadi pedoman umat Islam.
Beliau berkata, Presien PAS itu selalu meluruskan umat Islam yang bengkok dan lari dari landasan perjuangan.
“Apakah kerana ketegasan Presiden PAS terhadap isu umat Islam di Palestin, Afghanistan, Iraq, Kashmir, Chehnya, Selatan Filipina dan Thailand ini dianggap sebagai pengganas?” tanya Nasrudin.
Sedangkan, ujarnya itulah sikap sebenar sebagai pemimpin umat Islam yang tulen di mana sewajarnya pemimpin umat Islam yang lainnya bersikap keras sekiranya ada negara-negara umat Islam yang diserang dan dicerobohi.
Beliau menegaskan, keganasan bukan sikap PAS dan cara PAS mendapatkan kuasa di mana sejak tahun 1951, PAS telah menyertai pilihan raya.
Katanya, kaedah demokrasi berparlimen yang diamalkan sekarang itulah yang diamalkan oleh PAS dan tidak pernah mengajak mana-mana ahli dan penyokongnya bertindak ganas dalam mana-mana aktivitinya.
“ Mengaitkan Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan keganasan adalah satu penghinaan terhadap beliau, PAS serta pendokong dan penyokong PAS yang berjumlah hampir sejuta orang ini.
“Tindakan yang mengaitkan beliau dengan keganasan tidak lain hanyalah sikap manusia yang desperate serta dengki terhadap populariti beliau. Bahkan orang sebegini hanya bencikan pengaruh PAS yang semakin diterima oleh kelompok bukan Islam.
Beliau menjelaskan, Tuan Guru Abdul Hadi adalah pemimpin PAS sejak tahun 1980-an lagi yang pernah menjadi Naib Yang Dipertua PAS Pusat, Timbalan Presiden sehingga kini menjadi Presiden PAS sejak tahun 2002, yang juga Ahli Parlimen Marang dan Adun Rhu Rendang di Terengganu.
Katanya, mana mungkin seorang pengganas bergerak atas platform rasmi negara.
“Semua aktiviti beliau diketahui sama ada dalam negara mahupun luar negara. Jadual beliau sendiri dimaklumkan kepada media.
“Pengganas tidak bersifat demikian. Seorang pengganas akan bertindak secara senyap-senyap dan tidak berani menzahirkan diri di khalayak. Beliau takut dirinya akan ditangkap. Segala aktivitinya juga tidak akan didedahkan,” kata beliau lagi.
Justeru, Nasrudin menyeru pihak berkenaan supaya mengambil contoh beberapa figur yang dianggap pengganas dan segala aktiviti hidupnya yang tentunya sudah pasti amat jauh berbeza dengan peribadi Presiden PAS.

Thursday, June 24, 2010

9 SYUHADA KAPAL MAVI MARMARA

1. Ibrahim Bilgen, 61, seorang jurutera elektrik dari Siirt, Turki. Ahli Chamber of Electrical Engineers di Turki, berkahwin dan mempunyai enam orang anak.
2. Ali Haydar Bengi, 39, dari Diyarbakir. Graduan Universiti Al-Azhar, Kaherah, Mesir. Telah berkahwin dan mempunyai empat cahaya mata.
3. Cevdet Kiliçlar, 38, Seorang wartawan dari Kayseri, Turki. Telah berkahwin dan mempunyai dua orang putera.
4. Çetin Topçuoglu, 54, dari Adana, Turki. Pemain bola amatur dan jurulatih taekwondo yang melatih atlet taekwondo Turki. Berkahwin dan mempunyai seorang cahaya mata.
5. Necdet Yildirim, 32, dari Malatya, Turki. Berkahwin dan mempunyai seorang anak perempuan berusia tiga tahun.
6. Fahri Yaldiz, 43, seorang ahli bomba di Adiyaman, Turki. Telah berkahwin dan mempunyai empat orang anak.
7. Cengiz Songür, 47, dari Izmir, Turki. Berkahwin dan mempunyai tujuh orang anak.
8. Cengiz Akyüz, 41, dari Iskenderun, Turki. Berkahwin dan mempunyai anak berusia 14, 12 dan 9 tahun.
9. Furkan Dogan, 19, as-syahid termuda dalam kalangan yang syahid, merupakan pelajar Kayseri High School. Anak kepada Dr. Ahmet Dogan, seorang professor di Erciyes University. Warganegara Turki-Amerika dan mempunyai dua adik beradik.-Harakahdaily / Herman Samsudeen

Wednesday, June 23, 2010

ULAMA MASUK UMNO, AHLI KITAB PUN TAK BERSAMA ISLAM

Nazri Abdullah HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 23 Jun: Tindakan 100 ulama berpendidikan tinggi termasuk mempunyai Phd yang didakwa akan menyertai Umno Jumaat ini bukan sesuatu yang pelik, kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Pada zaman Rasulullah s.a.w dahulu, katannya, ahli kitab juga tidak bersama Islam.

"Tak pelik, zaman Nabi dulu ahli kitab, tak masuk Islam pun. Orientalis, buat pengajian agama Islam, tapi tidak masuk Islam pun," katanya ketika ditemui di parlimen hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, isu sebenar bukan tahap pendidikan, tetapi persoalan hidayah.

"Masalah ini masalah hidayah, orang buta huruf pun kalau dapat hidayah, akan bersama Islam," katanya lagi.

Jika benar dakwaan laman web Umno berhubung perkara itu, Tuan Guru berkata, ulama tersebut membuat sesuatu yang bercanggah dengan pengajian mereka.

Ulama, jelasnya mesti mempelajari tentang Islam dengan berpandukan al-Quran dan Hadis dan semestinya tahu membuat perbezaan baik buruk.

"Kalau dia mengaji matang, rujuk al-Quran dan Hadis, dia boleh menilai mana parti yang berjuang ikut al-Quran dan Hadis," jelasnya.

Yang lebih penting katanya, mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri pernah melabelkan ulama Umno sebagai penakut kerana menolak debat politik dengan PAS.

"Dr Mahatir dalam ucapannya tahun 1995 ketika himpunan bahagian-bahagian Umno, sebut ulama Umno penakut.

"Mereka tahu mana betul mana salah, tapi kerana mengejar kepentingan dunia," katanya.

Ulama Umno juga, jelas Tuan Guru, menyokong siapa sahaja pemerintah, bukan berdasarkan siapa benar, siapa salah.

Tuesday, June 22, 2010

ISU JI ; PAS CABAR KERAJAAN DEDAH BUKTI DI PARLIMEN


Dzulfikar Mashoor HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 22 Jun: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mencabar Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein supaya mengeluarkan kenyataan rasmi di Dewan Rakyat dalam masa terdekat berhubung kewujudan semula gerakan pengganas Jemaah Islamiah (JI) di beberapa universiti tempatan.

“Kami semua selaku Ahli Parlimen PAS kesal dan kami minta suatu kenyataan rasmi oleh menteri dibuat di Parlimen dalam kadar segera yang kononnya wujud JI ini yang melibatkan pelajar-pelajar IPTA kita,” jelas beliau yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian mewakili Ahli Parlimen PAS pada sidang media di lobi Parlimen, pagi tadi.

Menurut beliau, dari maklum balas yang diberikan oleh universiti, KDN dalam suatu taklimat bersama Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) berkaitan isu JI, pihak KDN gagal menjelaskan bukti-bukti wujudnya gerakan bawah tanah tersebut di beberapa universiti tempatan.

“Dalam satu taklimat tentang terorisme pada KPT, saya diberitahu bahawa tidak ada satu pun bukti yang kukuh tentang isu wujudnya JI ini, semuanya lebih untuk mewujudkan persepsi kononnya ada gerakan keganasan di negara kita,” tegas beliau.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa akan wujud tangkapan tanpa bicara menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) ke atas ahli politik pembangkang dan tokoh-tokoh agama.

“Mungkin akan ada tokoh-tokoh tertentu, tokoh politik atau tokoh-tokoh agama tertentu yang akan ditangkap disebabkan isu ini (JI) dan itulah yang menjadi kebimbangan kami semua,” ujar beliau.

Senada dengan beliau, seorang lagi Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Hishammuddin turut dicabar mendedahkan di Dewan Rakyat berhubung aktiviti pihak pengganas sebenar yang mahu menyerang berhala Dewi Kuan Yin di Air Itam serta berhala Dewa Murugan di Batu Caves, sebagaimana yang beliau jelaskan kepada media massa sebelum ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena mendakwa, tindakan Hishammuddin bersama-sama Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan itu semata-mata mencerminkan budaya politik menggila di kalangan orang-orang gila.

“Inilah yang saya panggil amalan politik menggila-gila oleh orang gila, kegilaan mereka semata-mata untuk menakut-nakutkan rakyat,” ujar beliau sebagai menjawab tohmahan Hishammuddin sebelum ini kononnya pembangkang adalah gila kerana menganggap tujuan kerajaan mendedahkan isu JI semata-mata suatu sandiwara untuk mengelirukan rakyat.

Bercakap pada sidang media yang sama, Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta kerajaan menyelesaikan dahulu kes demonstrasi mengarak kepala lembu di Shah Alam beberapa bulan lalu.

Menurut beliau, mereka yang terbabit dalam aktiviti keganasan itu rata-ratanya didalangi oleh pemuda Umno Shah Alam sendiri.

Bagi beliau, isu JI yang digembar-gemburkan kebelakangan ini sebenarnya bertujuan untuk mewujudkan kondisi Islamphobia serta budaya takut di kalangan rakyat.

Isu tersebut, menurut dakwaan beliau lagi, merupakan persiapan Umno BN dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Katanya lagi, langkah memetakan lanskap politik negara dengan menimbulkan isu JI dan anti-keganasan tersebut seakan sama dengan kondisi anti-Islam yang pernah dicetuskan di Amerika Syarikat pasca tragedi perlanggaran WTC pada tahun 2001 lalu.

Sehubungan itu, beliau tidak menolak kemungkinan bahawa di sebalik isu JI itusebenarnya didalangi oleh syarikat komunikasi penuh lantikan kerajaan, iaitu Firma Perunding Antarabangsa APCO Worldwide (IAC) yang nyata diketahui umum sebagai proksi pada Amerika Syarikat dan Zionis Israel.

Dari segi yang lain, beliau berkata, tindakan kerajaan mencipta isu JI akhirnya merugikan negara.

Ini kerana, katanya lagi, kenyataan tidak bertanggungjawab oleh Hishammuddin dan Musa sudah tentu menghalang minat para pelabur asing, khususnya dari Timur Tengah untuk datang melabur di tanah air ini.

“Mereka mungkin tak sedar yang isu ini (JI) sebenarnya mengakibatkan para pelabur dari Timur Tengah tak berminat untuk melabur di dalam negara kita kononnya ada pengganas dan sebagainya,” ujarnya.

Monday, June 21, 2010

JANGAN KAITKAN ISLAM DENGAN KEGANASAN


Nazri Abdullah HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 21 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan pemimpin Umno BN supaya tidak sewenang-wenangnya mengaitkan Islam dengan keganasan.

Beliau ketika ditemui di Parlimen hari ini berkata, melabelkan Islam sebagai ganas berdasarkan tindakan beberapa individu, adalah sikap yang tidak bertanggungjawab dan menghina agama sendri.

"Jika ada beberapa individu buat silap dilabelkan dengan Islam, itu satu tindakan tidak bertanggungjawab terhadap agama sendiri," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berhubung isu ancaman keselamatan yang didakwa dilakukan kumpulan Jemaah Islamiyah (JI) yang didedahkan baru-baru ini.

Tegasnya, pemimpin negara sewajarnya menjaga nama baik Islam apatah lagi Malaysia meletakkan Islam sebagai agama persekutuan.

Sehubungan itu, katanya, mereka perlu cermat dalam memberi kenyataan dan tindakan agar Islam tidak disalah faham oleh orang bukan Islam sebagai penaja keganasan.

"Menganggap Islam dikaitkan dengan pengganas adalah termasuk agenda musuh, dan fenomena keganasan tidak boleh dikaitkan dengan Islam.

"Islam adalah agama bersifat sederhana," tegasnya.

Sunday, June 20, 2010

SEDIA PERUNTUKAN BELI BUKU AGAMA


Muhammad Yusri Amin HARAKAHDAILY

KOTA BHARU, 19 Jun: Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar) menyeru umat Islam memperuntukkan sejumlah pendapatan bulanan bagi membeli buku pengetahuan khususnya buku agama bagi mewujudkan perpustakaan mini di rumah.

Katanya, koleksi buku itu penting untuk bacaan dan rujukan seisi keluarga.

“Ini kerana umat yang maju serta meningkat ilmu pengetahuannya adalah umat yang gemar membaca, dengan menghabiskan masa lapang dengan membaca walau pun agama mereka tidak menggalakkan pembacaan, namun sebaliknya umat yang mundur dan ketinggalan zaman adalah umat yang tidak gemar membaca.

“Bahkan mereka lebih cenderung mengisi masa lapang dengan kegiatan hiburan, berbual kosong dan melepak,” katanya pada Majlis Perasmian Pesta Buku Islam Antarabangsa Kelantan 2010 yang berlangsung di Balai Islam, Lundang dekat sini hari ini.

Teks ucapannya dibacakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi negeri, Dr Mohd Fadhli Hassan.

Pesta buku bertema “Kelantan Memimpin Budaya Ilmu” itu bermula 18 hingga 22 Jun, anjuran bersama Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Dewan Ulama PAS Pusat, Management Sdn Bhd dan Alfa Event & Entertainment Sdn Bhd.

Menteri Besar berkata, walau pun agama Islam telah memberi penekanan khusus kepada kegiatan membaca sejak awal turunnya wahyu yang pertama, tetapi malangnya pada hari ini masih terdapat umat Islam yang sanggup membelanjakan beratus ribu ringgit pada setiap bulan bagi membeli perkara yang tidak bermanfaat.

Justeru, anjuran pesta buku antarabangsa itu bagi menarik lebih ramai masyarakat khususnya di neger ini agar menjadikan budaya dan amalan membaca sebagai amalan harian.

“Marilah sama-sama kita menukarkan tradisi bahawa umat Islam adalah umat yang tidak jemu-jemu belajar, mengkaji dan mendalami ilmu pengetahuan yang bermanfaat dalam semua aspek kehidupan.

“Sesungguhnya semua kemajuan itu hanya dapat dicapai oleh umat manusia dengan ilmu pengetahuan, yang hanya diperolehi menerusi pembacaan serta pengkajian yang mendalam dan berkesan, insya Allah,” katanya

Friday, June 18, 2010

JANGAN JADIKAN DEWAN NEGARA 'PUSAT BUANG SAMPAH'


Dzulfikar Mashoor HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 18 Jun: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya tidak menjadikan Dewan Negara sebagai ‘pusat pembuangan sisa pepejal dan sampah’ yang tidak berguna dari kilang Umno BN.

Desakan itu berikutan tindakan Najib melantik Timbalan Presiden MIC, Datuk G. Palanivel menjadi senator dan Timbalan Menteri di Dewan Negara walaupun veteran MIC itu telahpun ditolak sendiri oleh kepemimpinan parti perkauman India untuk menjadi calon BN dalam pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor yang lalu.

"Bagaimana Najib boleh bertindak sedemikian dengan melantik Palanivel jadi senator dan Timbalan Menteri walhal masyarakat India dalam MIC sendiri tolak timbalan presiden itu di Hulu Selangor.

"Takkan Najib nak jadikan Dewan Negara ini sebagai tempat longgokan sampah sarap dan sisa-sisa dari kilang BN," ujar beliau yang juga Ahli parlimen Kubang Kerian lewat petang semalam di lobi Parlimen.

Pun begitu, beliau menyuarakan penghargaan kepada para senator Pakatan Rakyat kerana masing-masing berperanan memartabatkan Dewan Negara sebagai dewan yang mulia.

Beliau mendakwa pelantikan Palanivel menyertai kebinet baru Najib bukanlah berasaskan pada kebolehupayaan serta merit pemimpin pro Presiden MIC, Datuk Seri S.Samy Vellu.

Sebaliknya, katabeliau perlantikan itu sebagai 'pampasan politik' kepada MIC disebabkan kesediaan Samy menerima calon kesukaan Najib, iaitu P. Kamalanathan.

"Perlantikan ini sekadar pampasan politik buat MIC walaupun Najib memberitahu rakyat bahawa kebinetnya menggunakan KPI (aras tanda utama) dan pelbagai sistem merit yang lain," tambah beliau.

Sehubungan itu, tindakan Najib menurut beliau, mencerminkan bahawa jawatan senator serta jawatan menteri/timbalan menteri dalam kebinet semata-mata untuk menangani konflik kepentingan dalam parti-parti komponen BN semata-mata.

Tindakan Najib, menurut beliau, sekaligus langsung tidak mencerminkan wawasan Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan.

Dalam pada itu, tindakan Najib mengetepikan Kamalanathan walaupun pemimpin MIC itu telahpun menjadi Ahli Parlimen Hulu Selangor seakan memberi isyarat bahawa Kamalanathan adalah calon proksi Najib.

"Kalau tidak, tentu dia (Kamalanathan) dilantik mengisi mana-mana jawatan menteri atau timbalan Menteri, mungkin dia calon proksi Najib atau Najib sendiri mungkin tidak yakin dengan dia untuk menyertai kabinetnya," ujarnya lagi.

Pada 1 Jun lalu, Palanivel dilantik menjadi Timbalan Menteri Perusahaan, Perladangan dan Komoditi ekoran cadangan tidak langsung Samy kepada Perdana Menteri.

Perlantikan itu dibuat ekoran Samy sendiri bercadang untuk tidak bergiat aktif dalam kebinet demi memulihara tanggapan masyarakat India terhadap MIC yang dilihat kian terhakis

Thursday, June 17, 2010

ISTERI MOHAMAD SABU DIROMPAK

Dzulfikar Mashoor HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 17 Jun: Normah Alwi, 55, isteri kepada AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu petang ini dirompak di perkarangan tempat letak kereta berdekatan Bank Islam (M) Berhad (BIMB) cawangan Pusat Bandar Shah Alam.

Anak kedua Mohamad, Nurul Huda ketika dihubungi Harakahdaily memberitahu bahawa rompakan tersebut dilakukan oleh dua suspek pemuda.

"Yang masuk kereta rompak mak, baju kelabu, yang pandu motor berbaju merah," ujar beliau sebagaimana memetik aduan polis yang dibuat oleh ibunya.

Disebabkan rompakan tersebut, beliau memaklumkan bahawa ibunya kehilangan wang tunai RM4,000, kad kredit, telefon bimbit serta beberapa dokumen peribadi bapanya.

Pun begitu, beliau berkata, pihak polis sedang memburu dua suspek di persimpangan tol berdekatan Damansara.

"Sarjan Hamzah (pegawai penyiasat) kata ada nampak suspek bahagi-bahagi duit di simpang tol Damansara menaiki motosikal," ujar beliau lagi.

Mohamad turut dihubungi kemudian untuk mendapat maklum balas berhubung insiden tersebut, tetapi gagal.

Mohamad sekarang berada di universiti Frankfurt dan Berlin, Jerman untuk membentangkan kertas kerja akademik berkaitan demokrasi, dunia Islam dan Gaza.

Wednesday, June 16, 2010

PAS SARAN IMBUHAN KHAS ANGGOTA BOMBA SUKARELA


HAZAYANI ZAKARIA = HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 16 Jun: Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azamudden Mohd Taib (gambar) menyarankan kerajaan menyediakan imbuhan khusus kepada anggota bomba sukarela memandangkan tugas mereka semakin bertambah, bukan sekadar memadamkan kebakaran sahaja.

Beliau sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini berkata, pihak bomba sukarela wajar diberikan imbuhan khusus terutamanya apabila melakukan operasi bulanan di kawasan masing-masing.

"Umum mengetahui tugas bomba semakin banyak sekarang ini. Bukan setakat memadamkan kebakaran sahaja. Ular masuk rumah pun panggil bomba, pokok tumbang tepi jalan panggil bomba. Jadi apakah kerajaan boleh fikirkan imbuhan khusus kepada pihak bomba terutama apabila melakukan operasi bulanan," katanya.

Taib juga berkata, pihak bomba yang sering berhadapan dengan risiko membabitkan keselamatan diri sewaktu bertugas harus difikirkan untuk diberikan skim imbuhan sebagai persediaan jika berlaku sebarang kecelakaan.

"Malang memang tidak berbau dan boleh jadi juga bomba menerima malang ketika menjalankan tugas. Adakah kerajaan memikirkan untuk memberikan skim imbuhan kepada mereka?" soalnya.

Selain itu, beliau turut mencadangkan pihak bomba diberikan kad kuasa untuk menjalankan tugas kerana ada ketikanya mereka tidak memakai uniform dalam tugas-tugas tertentu.

"Saya juga cadangkan pihak bomba perlukan kad kuasa kerana dalam keadaan tertentu mereka tidak memakai uniform. Jadi mereka perlukan kad kuasa untuk masuk ke tempat-tempat tertentu," katanya yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat.

Beliau turut menegur keadaan bangunan dan kenderaan yang digunakan pihak bomba yang disifatkan sebagai daif.

"Saya lihat di beberapa tempat terutamanya di kawasan luar bandar, kedudukan bangunan dan kenderaan yang digunakan agak daif. Kenapa kerajaan tidak boleh peruntukan kepada mereka banguan dan kenderaan yang baik? Insentif sebegini akan memberi makna penghargaan kepada pihak bomba yang menjaga keselamatan rakyat selain daripada pihak polis," katanya.

Beliau dalam soalan asalnya meminta Menteri Perumahan dan dan Kerajaan Tempatan menyatakan sama ada kerajaan bercadang atau tidak untuk memberi insentif galakan kepada bomba sukarela di seluruh negara dengan peralatan-peralatan uatama bagi menampung khidmat mereka dengan bertambahnya kawasan perumahan dan penduduk sekarang ini.

GADAI PENGKALAN TUDM BAHAYAKAN NEGARA


Abdul Aziz Mustafa HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 16 Jun: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar) berkata, rancangan untuk menggadaikan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Sungai Besi kononnya untuk tujuan pembangunan membahayakan negara kerana ia bertentangan dengan konsep pertahanan menyeluruh.

"Tindakan itu akan menyebabkan negara akan kehilangan sebuah pangkalan pertahanan di tengah bandar sedangkan ia merupakan satu elemen penting kepada pertahanan nasional yang menepati konsep dan perlaksanaan pertahanan menyeluruh (Hanruh).

"Amat tidak wajar pangkalan pertahanan yang begitu strategik digadaikan semata-mata untuk memenuhi kepentingan kroni pihak yang berkuasa sedangkan pangkalan pertahanan udara seperti di Sungai Besi masih dikekalkan di kebanyakan negara maju," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menegaskan, pangkalan TUDM di Sungai Besi bukannya sekadar ruang-ruang pejabat malah ia adalah pusat operasi tentera udara serta pusat integrasi maklumat radar pertahanan udara di bawah tanah dengan hubungan terus dari Butterworth di utara, Kuantan di timur dan maklumat radar mobile dari Bukit Ibam yang mana masa yang begitu lama terpaksa diambil untuk memastikan sistem tersebut betul-betul berfungsi dengan baik dan tepat.

"Pangkalan itu juga merupakan pusat sistem MADGE (Malaysia Air Defence Ground Environment) yang menggunakan sistem Hughes Air Defence Radar," katanya.

Mahfuz juga mempersoalkan apakah jaminan kerajaan tentang jurang masa pemindahan (transfer gap time) yang mana akan melibatkan beberapa tahun lagi untuk proofing dan commissioning.

"Itu belum lagi diambilkira kosnya sedangkan segala kos yang tersembunyi dalam proses pemindahan itu akhirnya terpaksa ditanggung oleh TUDM, angkatan tentera dan rakyat Malaysia," katanya.

Beliau juga mempersoalkan tentang risiko pemindahan Electronic Warfare Support Centre (EWSC) memandangkan fasiliti tersebut amat sensitif dan kritikal sehingga terpaksa membuka kasut untuk masuk ke dalamnya.

"Mengapa kerajaan buat-buat tidak sedar mengenai perkara itu sedangkan electronic warfare amat penting dan kritikal untuk pertahanan masakini.

"Tidakkah pemindahan demi kepentingan komersil beberapa kroni itu akhirnya akan menjejaskan keupayaan sistem tersebut dalam mengumpul, menafsir, menyebar data-data dan memprogramkan semula electronic warfare termasuk dalam tindak balas elektronik dan langkah-langkah sokongan," Mahfuz mempersoalkan.

Beliau juga yakin, oleh kerana pengkalan tersebut merupakan pusat operasi tentera udara (POTU), akan wujud tempoh tertentu yang mungkin panjang di mana negara kehilangan kawalan semasa proses pemindahan fasiliti penting itu.

Beliau juga mempersoalkan mengapa tiada sebarang maklumat ke mana pemindahan akan dibuat dan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hanya mengumumkan pangkalan tersebut akan dipindahkan ke satu tempat yang telah dikenal pasti dan beliau akan umumkan apabila tiba masanya kelak.

"Bagaimana pula maklumat tentang kos perolehan , kos tidak langsung dan pampasan?" soal beliau.

Mahfuz juga mempersoalkan, adakah kerajaan akan mengulangi kesalahan yang dilakukan berkali-kali sebelum ini apabila ia menyisihkan komuniti tentera dari bandar seperti menjual Kem Majidee, Kem Transit Ampang, Markas 2 Div di Pulau Pinang, Kuarters Tentera di Batu Uban sehingga mengakibatkan negara ketiadaan fasiliti back up yang penting untuk keselamatan negara.

"Adakah tentera negara kita hanya layak tinggal di pedalaman dan dalam kuarters flat tanpa halaman?

"Mengapa hendak dimusnahkan keadaan pangkalan Sungai Besi yang kemas dan tersusun dengan binaan kuarters yang selesa dan dengan infrastruktur yang tersedia untuk memberi pulangan kepada beberapa kroni untuk membuat binaan konkrit yang bakal menjadi satu lagi projek gajah putih memandangkan ruang pejabat di Kuala Lumpur pun berlebihan tanpa mengambil kira ruang-ruang yang pejabat yang tidak digunakan di Bangsar South, Petaling Jaya, Cyberjaya dan lain-lain," Mahfuz mempersoalkan lagi.

Penggadaian pangkalan TUDM di Sungai Besi yang begitu established memusnahkan peninggalan sejarah yang penting dalam pertahanan negara sedangkan ia adalah pangkalan udara yang pertama di negara ini, kata beliau

Tuesday, June 15, 2010

USTAZ HASSAN KUTUBKHANAH ORGANISASI DAN PERLEMBAGAAN PAS


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 15 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, Ustaz Hassan Shukri adalah merupakan kutubkhanah organisasi dan perlembagaan PAS, terus berkhidmat dengan parti hingga ke saat beliau menemui Tuhan Rabbul Jalil.

Sehubungan itu, katanya PAS merakamkan ucapan takziah kepada seluruh anggota keluarga, ahli PAS, seluruh pendukung dan pejuang Islam yang dirundung kesedihan setelah pulangnya Ustaz Hassan ke rahmatullah pada petang semalam.

Menurutnya, sumbangan almarhum kepada perjuangan Islam di Malaysia dan dunia Islam tidaklah dapat diungkapkan dengan catatan tulisan yang memenuhi penulisan sejarah yang pernah dibukukan.

Beliau menambah, sesungguhnya, nadi perjuangan yang ditiupkan oleh almarhum akan terus berdenyut dalam PAS, merupakan satu contoh kepimpinan parti yang gigih dan istiqamah di kala senang dan susah, untuk memimpin ahli dan seluruh warga parti tanpa mengenal jemu dan lelah.

“Biar pun almarhum meninggalkan kita, tetapi jadikanlah ceramah, taklimat, perbualan beliau sebagai pemberi semangat kepada kita yang tinggal untuk meneruskan perjuangan Islam di muka bumi ini,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Bagi pihak seluruh kepimpinan dan ahli-ahli PAS, sekali lagi beliau merakamkan jutaaan takziah dan berharap seluruh keluarga, sahabat handai, pendukung dan penyokong PAS di serata tempat agar dapat bersabar dengan ketentuan Allah SWT itu.

“Saya berdoa semoga Allah SWT melimpahi rahmat ke atas roh beliau dan mudah-mudahan beliau ditempatkan bersama-sama roh para solihin dengan izin Allah SWT, insya Allah,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Sementara itu, jenazah Ustaz Hassan selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Selasih 2, Gombak kira-kira jam 10.25 pagi ini.

Sebelum itu, jenazah disolatkan di pekarangan Markas Tarbiah PAS Taman Melewar yang diimamkan oleh Tuan Guru Abdul Hadi yang disertai pimpinan utama PAS termasuk Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bersama kira-kira 1,000 orang.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk Seri Jamil Khir Baharom turut serta.

Monday, June 14, 2010

USTAZ HJ HASSAN SHUKRI DALAM KENANGAN


Azamin Amin HARAKAHDAILY

Pemergian Ustaz Hassan Syukri mengejutkan ramai pihak khasnya di dalam PAS. Ia merupakan satu kehilangan besar kepada PAS dan negara. Berikut adalah tulisan yang pernah dibuat wartawan AZAMIN AMIN yang disiarkan oleh akhbar Siasah Oktober 2009.

Belum sempat pun pejuang-pejuang Sungai Manik tiba di Kuala Selangor untuk turun ‘bermandi darah’ di Kuala Lumpur dalam peristiwa 13 mei, dia sudah terpacul tegap menantikan kedatangan mereka. Ketika berdiri di jeti Feri Kuala Selangor dengan badan tegap laksana panglima, dia secara tenang meminta para pejuang itu pulang semula ke Perak.

Niatnya hanya satu, mengelakkan lebih banyak nyawa yang terbunuh dan tidak mahu Sungai Klang bertukar merah. Tanpa perlu berpencak atau menghunus sunding yang tersisip di pinggangnya, dia bersuara penuh tertib dan tegas gayanya.

Tidak ada satu biji mata pun melainkandia yang mampu berdepan para pejuang yang digeruni itu. Bimbang suasana akan lebih kecamuk Pengerusi majlis Gerakan Negara ketika tragedi 13 mei 1969, Allahyarham Tun Abdul Razak secara peribadi meminta dia menahan pendekar-pendekar dari kumpulan ‘parang terbang dan selempang merah’ untuk mara ke ibu kota.

Dek kerana menghormati ayahnya yang pernah terlibat dan bertempur dalam beberapa siri dengan peperangan di Sungai Manik pada zaman dulu, para pejuang yang sedang mengelodak jiwa dan amarah itu akhirnya akur dengan permintaannya lalu kembali ke kampung halaman masing-masing.

Namanya cukup tersohor dan hebat di mata kawan dan lawan. malah ketika negara dilanda krisis, Tun Razak sendiri menghubunginya setiap
hari. Sehari kadang-kadang sampai dua kali! Kini nama Hassan Shukri yang selalu meniti di bibir pejuang dan penyokong PAS selama
ini agak kelam dan menyepi. entah mengapa, bekas Timbalan Presiden PAS yang juga antara pejuang terawal parti tertua di malaysia ini
umpama membawa diri. Namun rajuknya tidak ke mana kerana batang tubuhnya masih sebati dengan perjuangan ini.

Hassan Shukri yang dipanggil ‘ustaz’ masih dekat di hati kebanyakan ahli PAS malah kelibat beliau sering kelihatan, sekiranya ada acara rasmi dan majlis ilmu yang dianjurkan di markas PAS Taman melewar, Gombak. Kadang-kadang tanpa segan, beliau menebas dan mencangkul di depan markas walaupun para pemimpin dan ahli PAS sedang menyertai aktiviti di situ.

Baginya kerja-kerja kebun dan kampung sudah berakar umbi dalam dirinya apatah lagi kediaman dan lamannya pula bersebelahan markas itu. Markas yang dahulunya dikenali sebagai Pejabat Agung PAS dan Pusat Tarbiyah sebelum berpindah ke Jalan Raja laut Kuala lumpur, begitu sinonim
dengan Hassan Shukri.

Masakan tidak idea penubuhan markas itu, datang dari hati nurani ikhlasnya. Bermula dengan modal Rm20,000, beliau membeli sebidang tanah di situ, sebagai tapak awal untuk membina markas.

Kemudian beliau berbincang pula dengan Yang Dipertua PAS, Allahyarham Yusuf Rawa, Pesuruhjaya PAS Perlis, ustaz Hashim Jasin dan ustaz Nakhaei untuk mereka samasama membeli tanah dengan harga sekitar Rm26,000 bagi meluaskan kawasan markas sekitar tahun 1982. Selain menerima sumbangan wang, markas itu turut didirikan secara bergotong royong pada peringkat awalnya.

Kemudian dengan kebijaksanaan Hassan, beliau mengarahkan setiap satu cawangan PAS menyiapkan satu tiang bangunan tanpa menggunakan jengkaut untuk menggali lubang tapak asas.

Semenjak itu, markas PAS Taman melewar telah menjadi tempat persinggahan atau bermalam paling murah di Kuala lumpur kepada orang ramai yang mahu melancong atau berurusan di ibu kota malah hari minggu atau cuti sekolah, banyak bas persiaran serta bas sekolah singgah dan memenuhi laman markas itu.

Lebih menarik, ia menjadi persinggahan paling penting kepada rombongan haji sebelum melapor diri di lapangan Antarabangsa Subang sebelum wujudnya KlIA dan Pusat Transit Tabung Haji Kelana Jaya.

Cetusan idea Hassan itu kemudiannya menjadi buah mulut orang dan menjadikan PAS terkenal di setiap pelosok negara. Hassan dikenali sebagai tokoh yang membangunkan markas PAS dan ramai yang tidak tahu, beliau adalah individu penting di sebalik perlembagaan PAS dan merupakan “buku undang-undang PAS” yang masih hidup serta sentiasa menjadi rujukan.

Menceritakan kisah penyertaannya secara tidak rasmi dengan PAS sewaktu berusia 14 tahun pada 1951; Hassan memberitahu tindakannya itu didorong oleh satu peristiwa unik yang mencetuskan semangatnya untuk mendekati PAS.

“Sebabnya ialah loteri kebajikan yang saya terima daripada guru saya dan saya bawa pulang ke rumah.

“Akhirnya saya dimarahi dan dihamun oleh ayah saya...disebabkan itu, saya mula berjinak-jinak dengan mengikuti aktiviti PAS di kampung dan mula menyertai secara aktif pada tahun 1951,” ujarnya penuh semangat.

Hassan yang memegang nombor keahlian PAS 12,016 itu kemudiannya diberi peluang untuk bertanding di kawasan Parlimen Sabak Bernam pada pilihan raya umum tahun 1969.

Antara peristiwa yang tidak dapat dilupakan ialah usaha memujuk, mengugut, ancaman dan merasuah beliau untuk tidak bertanding, namun ditolak mentah-mentah Hassan dengan memberi kata dua yang cukup meninggalkan bekas kepada pencabar dan lawan politiknya. “Saya katakan kepada mereka, kalau nak masukkan guni, cubalah...!” katanya tegas laksana pahlawan yang bermaksud seolah-olah ‘jangan mencari pasal’ dengan beliau.

Beliau turut mengimbau kembali kejadian ceramahnya di Sabak Bernam didatangi oleh beberapa orang berketurunan Jawa Penegoro sambil
menghayunkan senjata parang.

Kebetulan kawannya, Hassan Adli boleh berbahasa Jawa, maka orang-orang yang berparang itu akhirnya “ditumpaskan” hanya melalui kata-kata berbisa.

Hassan juga menceritakan bagaimana musuh politiknya berusaha menjatuhkan maruah dan nama baiknya dengan cuba memerangkap beliau dengan dua orang wanita yang tidak dikenali di Kampung Parit, Sabak Bernam. Dengan kecekapan perisik-perisik PAS, beliau dinasihatkan untuk tidak memberhentikan keretanya suatu malam apabila diminta
oleh dua wanita terbabit.

“malam itu di tepi jalan berhutan, sudah siap kamera dan beberapa jurugambar mahu memerangkap jika saya memberhentikan kereta untuk ditumpangi oleh dua wanita itu,” katanya sambil menasihati bahawa insiden dan taktik musuh itu masih diguna pakai sehingga sekarang.

Oleh sebab itulah, setiap kali bermesyuarat di Pejabat Agung PAS Pusat di Jalan Raja laut, berdekatan lorong Haji Taib itu, Hassan tidak pernah menggunakan jalan belakang bangunan PAS itu, kerana bimbang ‘diperangkap’ oleh kamera-kamera musuh yang cuba mengaitkannya dengan
penghuni atau pekerja seks lorong hitam itu.

“Saya selalu menasihati beberapa pimpinan PAS untuk berhati-hati berjalan di lorong belakang itu bagi mengelakkan fitnah dan dimanipulasi oleh pihak-pihak tidak bertanggungjawab,” katanya tersenyum.

Setelah tewas dalam pilihan raya itu, beliau kemudiannya menunaikan haji di makkah dan kisah perjalanannya menuju tanah suci itu, penuh liku-liku dan peristiwa indah yang tidak upaya diluahkan memandangkan masa yang terbatas. memadai katanya, perjalanan itu memakan masa 6 bulan
3 hari!

“Dari Pulau Pinang naik kapal laut. Sampai di madras, kami terus menggunakan jalan darat untuk ke makkah. “Dalam perjalanan ke sana, saya sempat menubuhkan Persatuan melayu Iraq di Baghdad dan setelah menunaikan haji, saya mengahwini isteri tercinta dan dikurniakan 6 orang anak,” katanya bangga dengan pencapaian anak-anaknya itu, meskipun beliau bukanlah seorang yang berharta.

Semasa beliau penuh aktif dalam PAS, Hassan pernah menjawat jawatan Setiausaha Agung PAS di bawah tiga orang Presiden PAS iaitu Datuk Asri muda, ustaz Yusof Rawa dan Almarhum Datuk Fadhil Noor. Beliau merakamkan semula detik-detik manis selama berada dalam perjuangan
PAS ini sambil menceritakan beberapa kisah mencuit hati yang tidak dapat dilupakannnya.

Antaranya, beliau terpaksa mengendong atau mengangkut pembesar suara (speaker) sejauh empat batu menggunakan basikal, manakala ada perwakilan yang jatuh ke gaung dalam perjalanan ke muktamar PAS tapi tidak mengalami kecederaan.

“Saya pernah merasa pengalaman tidur di Balai Raya Datuk Keramat. Ahli-ahli di situ menyediakan segala kelengkapan seperti bantal, tilam dan selimut untuk para perwakilan dan ahli PAS yang menyertai muktamar ketika itu,” katanya lagi.

Pada sekitar tahun 50-an, muktamar pada ketika itu, nama awalnya lebih dikenali sebagai kongres dan ditukarkan supaya ia tidak menyamai dengan parti-parti lain pada masa itu.

Bezanya dahulu, apabila muktamar berlangsung, semua perwakilan dan ahli-ahli yang datang menumpang teduh di merata-rata sekitar madrasah, pondokpondok agama, balai raya berhampiran dan juga rumah-rumah ahli yang secara sukarela menjadikan rumah mereka sebagai tempat tumpangan.

Beliau dalam masa sama menasihati supaya pemimpin dan ahli melahirkan semangat persatuan dan berpasukan di samping kerjasama yang mantapdan ada peningkatan dalam soal pemikiran dan kerja di semua peringkat.

“Apa jua kekuatan adalah kesatuan dan sahabatsahabat (ahli-ahli PAS) kena tahu ‘style’. Kena faham cara orang kampung bekerja berbeza dan tidak sama dengan orang Shah Alam (bandar) bekerja. “Tulis khutbah pun kena beza. Takkan nak baca yang sama. Begitu juga pendekatan, ada
yang berhemah, tegas dan adakalanya secara berseloroh,” katanya lagi.

Beliau menasihati pemimpin PAS atasan atau pertengahan, mesti mengetahui serba sedikit suasana dan keadaan masyarakat di malaysia dan
menambah di Nusantara terdapat 6,832 suku seperti Jawa, mandeling, Banjar dan lain-lain yang berjaya disatukan melalui Islam.

“Jangan lupa turun padang dan dekati orang bawahan akar umbi ini. mereka ini kita sapa dan senyum cukup besar hati dah...” kata Hassan yang juga bekas Senator. Selain itu, Hassan sebagai orang lama dalam PAS menyarankan segala masalah atau perselisihan pendapat antara pimpinan-pimpinan PAS disuarakan melalui syura atau mesyuarat dan perbincangan agar ia tidak dipergunakan oleh musuh untuk melaga-lagakan antara satu sama lain.

“Dengan cara itu tidaklah keluar kenyatan yang bercanggah. Kenapa media memainkan isu tertentu, supaya orang Cina dan India berhenti menyokong PAS...itu saja. Jadi jangan biarkan kita terdedah dengan perkara macam itu,” katanya ketika diminta pandangan berhubung isu-isu
semasa.

“malah masuk PAS bukan kerana ikut orang, kalau ikut orang, sudah lama PAS ini terkubur. Sertai dan sokong PAS sebab hendakkan kepada Islam.

“Kita sudah lama tarbiyah ahli-ahli PAS bahawa jangan memuja pemimpin tetapi menjunjung perjuangan Islam,” kata bekas Timbalan Presiden PAS itu yang turut merujuk beberapa kepimpinan yang keluar parti itu seperti Datuk Asri muda dan Haji Ahmad Fuad yang tidak sedikit pun menjejaskan PAS sehingga kini.

Kini Hassan masih menyumbang buah fikiran dan pandangannya kepada PAS sebagai Ahli majlis Syura. Beliau juga masih lagi menyampaikan kuliahnya di Sabak Bernam serta memenuhi pelbagai jemputan majlis-majlis agama dan ceramah.

Walaupun usia telah menjangkau 70-an, Hassan masih kelihatan gagah dan berupaya mengingati satu persatu sejarahnya bersama PAS. Wawancara yang berlangsung hampir dua jam itu terasa begitu singkat, memandangkan kepetahan dan nada selorohnya, membuatkan penulis terpegun dan
asyik dengan kisah lamanya.

“Tulislah dan saya suka bila orang mahu tahu sejarah saya dan PAS. “Bukan apa, setelah saya tiada nanti, apa yang anda tulis itu akan jadi satu dokumentasi sejarah,” katanya tersenyum semula.

Mengakhiri perbualan yang “berlangsung” di kediamannya sendiri Jumaat, 2 Oktober lalu, Hassan sempat menyuntik semangat kepada ahli-ahli PAS seluruh negara supaya sentiasa mengukuhkan perjuangan dan menolak sama sekali fikiran jumud bahawa jika bersama PAS, mereka akan menemui kesukaran dan kepayahan hidup.

“Percayalah...sesiapa yang memperjuangkan Islam, dia tidak akan susah. mungkin tidak kaya tetapi tidak ada yang susah atau tidak makan...Saya sendiri tidak pernah rasa gaji besar tetapi kehidupan saya tidak susah dan alhamdulillah makin bertambah baik.

“Bagi pejuang Islam, apa jua cabaran dan dugaan akhirnya Allah akan tolong juga dan bantu kita untuk teruskan kehidupan...,” katanya sambil mencebiskan nasihat kepada pemimpin agar sentiasa merapatkan saf antara satu sama lain termasuk dengan golongan bawahan supaya parti
akan terus kukuh, disegani dan bertambah kuat di masa mendatang.

USTAZ HASSAN SHUKRI KEMBALI KERAHMATULLAH

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 14 Jun: Bekas Timbalan Presiden PAS, Ustaz Hassan Shukri meninggal dunia di Hospital Selayang kira-kira jam 2 petang sekejap tadi.

Beliau yang dimasukkan ke hospital Selayang pagi ini baru sahaja pulang dari Kota Bharu jam 10.30 malam tadi selepas menyertai Muktamar PAS ke 56 di sana.

Jenazah beliau masih lagi di hospital kini.

Tuesday, June 8, 2010

KECAM ZIONIS : JANGAN LIHAT NAJIB SEBAGAI JUARA


HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 8 Jun: Di dalam keghairahan rakyat negara ini membantah kekejaman rejim zionis Israel dan kehebatan 12 orang sukarelawan negara dalam misi kemanusiaan Gaza yang ditahan oleh tentera negara itu, jangan pula Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dilihat sebagai juara.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (gambar) berkata, sikap mengambil kesempatan dengan peristiwa besar itu, jangan pula rakyat lupa bahawa negara sedang berhadapan dengan kemelut lesen perjudian yang akan menghancurkan moral masyarakat.

Katanya, sikap pemimpin Umno BN yang seolah-olah memekakkan telinga dengan bantahan pelbagai pihak, nampaknya tidak banyak berbeza dengan sikap Israel yang memekakkan telinga dengan bantahan di seluruh dunia terhadap kekejamannya.

“Apakah ini kaedah yang dinasihati oleh APCO kepada pihak kerajaan?” tanya beliau.

Beliau juga mengingatkan rakyat agar dalam keghairahan menyokong usul di Parlimen bagi menyokong usul yang dibawa Najib yang mengecam zionis, jangan lupa bahawa negara baru kehilangan Blok L dan M kepada Brunei.

Katanya, kehilangan dua blok kawasan minyak itu memerlukan penjelasan terbuka kerajaan bagaimana kawasan yang sangat bernilai boleh diserah begitu sahaja dan apa pula yang terjadi dengan tanah KTM di Singapura.

Rakyat, ujarnya perlu tahu dan kerajaan jangan cuba menutup isu besar itu dengan mengambil kesempatan di atas kemarahan rakyat kepada Yahudi laknatullah.

Tegasnya, PAS menyokong sebarang tindakan kecaman dan usaha mengheret Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sementara negara Islam yang mempunyai hubungan diplomatik dan perdagangan dengan Israel mesti memutuskan segera termasuk Turki.

“Semua tindakan biadap Israel mesti ditentang. Tapi jangan keghairahan kita membantah sehinga lupa apa sebenarnya sedang berlaku dalam negara yang cuba ditutup oleh kerajaan Umno BN,” ujarnya lagi.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut menyentuh tindakan Tan Sri Vincent Tan yang memiliki syarikat perjudian mahu menyerahkan RM525 juta kepada kerajaan.

“Apakah ini merupakan habuan yang dijanjikan sehingga kerajaan sanggup menganugerahkan lesen perjudian tersebut walau pun mendapat bantahan dari pelbagai pihak.

“Apakah ini elemen rasuah yang dijanjikan oleh syarikat tersebut bagi mendapat lesen besar mengaut keuntungan hasil pertaruhan judi itu,” tanya beliau.

Menurutnya, jika itulah asas yang kerajaan BN fakir, bagaimana nanti kalau syarikat pengurusan pelacuran pula memohon lesen dan sanggup memberikan sumbangan kepada kerajaan yang jauh lebih besar daripada jumlah itu.

“Apakah ianya juga akan diluluskan oleh kerajaan,” soalnya lagi.

Tambahnya, ternyata dalam kesempitan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan sebelum bankrap pada tahun 2019, kerajaan BN akan melakukan apa sahaja tanpa mengira adakah halal dan baik untuk rakyat atau haram yang mengundang kehancuran moral rakyat.

Apa yang malang bagi umat Islam negara ini, katanya ialah pengisytiharan pengurniaan lesen judi dilakukan oleh orang Islam, manakala yang mengisytiharkan tidak membenarkan premis judi pula ialah Lim Guan Eng yang bukan Islam.

“Ini juga agaknya antara tanda-tanda kiamat,” katanya.

GAMBAR MENARIK DARI BLOG WARGAMARHAEN

NKRA BELUM MAMPU SELESAI ISU UTAMA RAKYAT


Hazayani Zakaria HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 7 Jun: Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub mendakwa Bidang Keberhasilan Utama Nasional (NKRA) yang diperkenalkan kerajaan belum mampu menyelesaikan isu-isu penting yang melibatkan kebajikan rakyat di negara ini.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini memberi contoh dua isu utama yang masih menjadi masalah utama iaitu pendidikan dan pengangkutan awam.

"Isu pengangkutan awam masih menjadi masalah utama di negara ini. Dalam isu pendidikan, adakah Yang Berhormat sedar hari ini PIBG di sekolah-sekolah yang sepatutnya membincangkan isu bagaimana mahu menaiktarafkan guru, murid-murid dan mutu pendidikan terpaksa membincangkan bil elektrik dan air di sekolah. Ini sepatutnya tak berlaku kalau kita bercakap soal NKRA," katanya.

Beliau juga berkata, tidak cukup sekadar kerajaan membentangkan jawapan yang panjang lebar di Parlimen tanpa turun ke lapangan untuk mengambil tindakan bagi memastikan kebajikan rakyat terbela.

"Adakah kedua-dua isu yang saya bawa pada pagi ini di luar pengetahuan menteri dan saya mengharapkan supaya perkara ini mendapat satu perhatian daripada pihak kerajaan dan bukan hanya jawapan-jawapan yang panjang lebar yang semacam teori yang kita bincangkan namun di luar sana realitinya masih lagi rakyat mengharapkan yang terbaik," katanya.

Sebelum itu, wakil Arau, Datuk Ismail Kasim meminta Perdana Menteri menyatakan sejauh manakah pencapaian NKRA sejak ianya diperkenalkan Perdana Menteri dan apakah tahap pencapaian kakitangan kerajaan dalam mendukung NKRA itu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon dalam jawapannya memberitahu kerajaan amat menitikberatkan soal NKRA.

Monday, June 7, 2010

PAS CADANG WUJUD TENTERA OIC KAWAL MISI KEMANUSIAN

Nazri Abdullah HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 7 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mencadangkan agar diwujudkan pasukan tentera di kalangan negara-negara Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) bagi memayungi misi kemanusiaan ke Gaza.

Tegasnya, misi bantuan tersebut mesti diteruskan, namun perlu dipayungi oleh tentera yang diwujudkan oleh OIC atau pihak antarabangsa demi keselamatan anggota misi dan memastikan bantuan sampai ke Gaza.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang juga mahukan Malaysia menggunakan pengaruh OIC, NAM dan PBB bagi mengheret pemimpin rejim Israel ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) walaupun secara paksa.

Ini, katanya kerana tindakan kejam zionis Israel sejak sekian lama adalah tidak bertamadun, mencabul undang-undang antarabangsa, melampau fitrah kemanusiaan dan lebih teruk daripada binatang.

"Fitrah kemanusiaan ada kesihan belas terhadap manusia bahkan kepada binatang," katanya ketika membahaskan usul mengutuk keganasan rejim zionis Israel di Dewan Rakyat, sebentar tadi. Usul tersebut dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pagi tadi.

Tindakan Israel itu juga, katanya aalah manifestasi ideologi zionisme yang mahu membina sebuah negara Israel agung di bumi Palestin sehingga mengenepikan piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Kita mempunyai tanggungjawab bersama sangat besar, ketepikan kepentingan politik, bersatu atas sifat kemanusiaan," katanya lagi.

Sunday, June 6, 2010

PAS BANGGA KEBERANIAN SUKARELAWAN KEMANUSIAAN GAZA

Mohd Sabri Said HARAKAHDAILY
PULAU PINANG, 6 Jun: PAS berbangga dengan keberanian dan semangat kental yang ditunjukkan sukarelawan bantuan negara ke Gaza walaupun dikepung dan dipenjarakan di Israel namun semangat mereka tetap kental dan percaya pengalaman tersebut boleh dimanfaatkan kepada rakyat negara ini.


Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa (gambar) semasa ditemui selepas merasmikan Konvensyen PAS Pulau Pinang di Dewan Sunshine Square Bayan Baru pagi tadi menegaskan, apa yang mereka korbankan demi menyelamatkan rakyat Gaza di Palestin amat dihargai walaupun gagal untuk meneruskan perjalanan kerana diserang dan dikepung oleh tentera rejim Israel di laut antarabangsa.

Katanya, kepulangan mereka dianggap satu pengorbanan yang cukup besar dan bakal menambah semangat rakyat Malaysia untuk terus membantu dan menghantar misi bantuan sekerap mungkin.

"PAS ucap tahniah dan berbangga dengan semua aktivis sukarelawan yang telah mewakili berbagai agensi, persatuan dan badan bukan kerajaan (NGO) yang sanggup berhadapan dengan ancaman tentera Yahudi," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bachok.

Menurut beliau lagi, semua pengalaman tersebut akan dipersembahkan kepada rakyat yang cintakan keamanan di samping menerangkan saat-saat genting ketika berhadapan dengan tentera zionis.

Apa pun tambahnya, semasa pertemuan di meja bulat Majlis Pakatan Rakyat, Jumaat lepas beliau mencadangkan supaya misi bantuan ke Gaza dijadikan agenda tahunan bukan setakat melaksanakannya mengikut keperluan.

Ini kerana, ujarnya rakyat Malaysia khususnya amat prihatin apabila menyebut soal Palestin di mana mereka sanggup memberikan apa sahaja demi maruah umat Islam di sana.

"Memandangkan umat Islam di Malaysia prihatin terhadap kesengsaraan penduduk di Palestin, maka menjadi kewajiban kita teruskan usaha murni menghantar bantuan beserta dengan sukarelawan ke sana walaupun diancam keganasan Yahudi laknatullah," ujarnya.

Sementara itu, 12 sukarelawan negara ini yang ditawan oleh tentera rejim Israel pagi Isnin lepas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 5.45 pagi ini.

Mereka yang berlepas dari Istanbul, Turki adalah aktivis dan wakil media yang menyertai Misi Talian Hayat Untuk Gaza (LL4G) yang berada di kapal Mavi Marmara yang diserang dan ditawan tentera rejim Israel itu.

Mereka terdiri daripada ketua misi daripada HaluanPalestin, Noorazman Mohd Samsuddin bersama empat rakannya, Dr Mohd Arbai’e Syawal, Dr Syed Muhammad Haleem Syed Hasan al-Haddad, Al-Hami Husain Suhaimi dan Mohd Nizam Mohd Awang.

Selain mereka ialah Hasanuddin Mohd Yunus (Aqsa Syarif), Jamuliddin Elias (Yayasan Amal), Dr Selamat Aliman (JIM), Abdul Halim Mohd Redzuan (Muslim Care), Mustafa Mansur (Mapim) serta wartawan dan jurukamera Astro, Ashwad Ismail dan Shamsul Kamal Latif.

Saturday, June 5, 2010

SERANGAN REJIM ISRAEL MEMBUKA MATA PEMIMPIN UMAT ISLAM

Khairul Azlam Mohamad HARAKAHDAILY

MARANG, 5 Jun: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, sejak tragedi serangan ganas komando rejim Israel terhadap sukarelawan yang menyertai konvoi bantuan kemanusiaan Gaza Isnin lalu telah berjaya membuka mata pemimpin-pemimpin orang Islam.

“Alhamdulillah, tanda-tanda yang menunjukkan negara orang Islam mula hendak sedar dan insaf. Mudah-mudahan, Allah SWT akan memberi taufik dan hidayah kepada pemimpin-pemimpin orang Islam supaya balik ke pangkal jalan,” ujarnya ketika merasmikan Kembara Tarbawi 4WD Ke Blok 6 Air Putih, Kemaman di Rusila, semalam.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata, tindakan kejam tentera Israel itu juga turut menguji kekuatan umat Islam secara amnya.

Ini, katanya kerana bangsa Yahudi juga bercita-cita untuk menakluki wilayah Palestin serta menjadi kuasa besar dunia yang berpusat di Israel.

Tambah beliau, penganut agama Yahudi hari ini mempercayai empat rukun yang telah dipinda serta disesatkan.

Pertama, katanya orang Yahudi menganggap mereka adalah bangsa yang dipilih oleh Allah SWT manakala bangsa-bangsa lain adalah ‘binatang-binatang’ yang dijadikan rupa manusia yang membolehkan mereka melakukan apa sahaja termasuk membunuh bangsa lain.

Mereka juga, katanya berhasrat untuk mendirikan Haikal Sulaiman iaitu kuil yang mereka dakwa pernah didirikan oleh Nabi Sulaiman a.s. dan tapak kuil itu ialah Masjidil Aqsa yang menjadi tempat Israk Nabi Muhamad s.a.w.

Rukun ketiga, jelasnya bangsa Yahudi mahu mendirikan negara besar dunia yang berpusat di Israel di mana seluruh dunia akan tunduk kepadanya.

“Keempat, mereka menunggu al-Maseh. Al-Maseh ialah yang memimpin Yahudi untuk menakluk dunia. Kepada kita orang Islam, al-Maseh ialah ‘dajjal’ yang dijanjikan oleh Nabi s.a.w.,” jelasnya.

Beliau juga menjelaskan Masjidil Aqsa yang merupakan kiblat pertama bagi umat Islam kini menjadi rebutan dengan bangsa Yahudi.

Ekoran itu, katanya, orang Yahudi bertindak ganas dengan merampas tanah-tanah umat Islam di Palestin serta mengorek di sekeliling Masjidil Aqsa.

Justeru, beliau menegaskan bahawa tidak ada lagi rundingan atau perbincangan dengan negara haram Israel yang berhasrat untuk menakluk dunia.

“Hari ini, saya pakai baju ‘peluru’ bukan hendak berperang di sini. Tetapi hendak jadi simbol bahawa kita tidak boleh ajar Israel melainkan dengan peluru.

“Tidak ada lagi rundingan, tidak ada lagi perbincangan dengan negara yang berhasrat meluaskan wilayah mereka di seluruh dunia.

“Kita hendaklah mendidik diri kita menjadi umat yang kuat, umat yang gagah, umat yang bersedia untuk mati bagi menegakkan agama Allah SWT,” tegasnya.

Friday, June 4, 2010

50 RIBU SERTAI DEMO BANTAH ISRAEL


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 4 Jun: Lebih 50 ribu menyertai perarakan dari Kampung Baru ke Keduataan Amerika siang tadi bagi membantah kekejaman tentera Zionis Israel menyerang konvoi kemanusian antarabangsa ke Gaza awal minggu ini.
Himpunan anjuran Pakatan Rakyat bersama NGO itu diketuai Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.


3.48 petang: Perhimpunan disudahi dengan bacaan doa oleh Ustaz Nasharudin Mat Isa dan bersurai secara aman.


3.38 petang: Ustaz Nasarudin Mat Isa dalam sidang medianya berkata, perhimpunan ini melangkaui agama dan kaum bagi menyatakan bantahan kepada Washington berhubung tindakan kejam Israel Zionis.
Perhimpunan ini juga katanya menunjukkan sokongan rakyat Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin yang tidak pernah rela di atas pengainayaan zionis Israel.3.32 petang: Penyerahan memorandum selesai dan delegasi keluar dari bangunan kedutaan.
Anwar dalam sidang media memberitahu, dalam pertemuan bersama Duta Besar Amerika Syarikat itu, Pakatan Rakyat dan NGO memohon untuk disampaikan memorandum tersebut secara terus kepada Presiden US, Barack Obama.
Dalam responnya, Duta Amerika itu kata Anwar berjanji akan menyerahkan sendiri memorandum tersebut kepada Obama minggu hadapan.
Pakatan Rakyat juga menjelaskan kepada duta besar tersebut bahawa tindakan kejam Israel terhadap konvoi kemanusiaan itu adalah disebabkan Amerika terlalu lembut menasihati israel.


3.30 petang: Turut berucap adalah Mohamad Sabu, Dr. Mahfodz Mohamad, Ustaz Azlee Musa dan Mustafa Akmil Ayub di hadapan menara See Hoy Chan berhampiran Kedutaan Amerika Syarikat.


3.25 petang: Sementara menunggu delegasi serah memorandum selesai, pimpinan pakatan rakyat yang lain sedang memberi ucapan di hadapan lebih 50 ribu peserta himpunan. Antara yang berucap adalah Salahuddin Ayub dan Dr. Hatta Ramli.3.10 petang: Polis membenarkan lima pimpinan utama iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ustaz Nasharudin Mat Isa, Lim Kit Siang, Azmin Ali dan Syed Husin Ali untuk masuk ke bangunan kedutaan menyampaikan memorandum kepada pihak kedutaan US.


3.00 petang: Perarakan tiba berada di hadapan kedutaan. Kumpulan perarakan ditahan pihak polis kira-kira 20 meter sebelum tiba di hadapan kedutaan. Pimpinan yang mengepalai perarakan kini sedang berbincang dengan pihak polis. Turut serta Timbalan Presiden PAS, Ust Nasharudin Mat Isa dan Lim Kit Siang.

Thursday, June 3, 2010

KULIAH ASAR OLEH DATO' TUAN IBRAHIM B TUAN MAN

Tarikh : 5 Jun 2010 ( Sabtu )
masa : Selepas solat fardhu Asar
Tempat : Surau Taman Desa Aman Batu 6
Muslimin dan muslimat dijemput hadir

Wednesday, June 2, 2010

GAZA : KENYATAAN RASMI MB KELANTAN

Nik Abdul Aziz Nik Mat - HARKAHDAILY


Bismillahir Rahmanir Rahim

Saya mewakili Kerajaan Kelantan dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Yahudi Israel yang menyerang kapal konvoi bantuan kemanusiaan ke Gaza dan sehingga mengorbankan dua puluh (20) nyawa.

Konvoi ini dilaporkan membawa kira-kira sepuluh ribu (10,000) tan barangan bantuan, seramai lebih lima ratus empat puluh (540) orang menaiki kapal Mavi Marmara, termasuk Ahli Parlimen, ahli akademik, ahli NGO petugas media, ulama’, seorang kanak-kanak berumur kurang daripada satu tahun dan juga seorang warga emas berumur lebih daripada lapan puluh tahun. Termasuk dalam rombongan tersebut juga ialah dua belas (12) orang rakyat Malaysia yang turut menjadi tawanan Yahudi Israel.

Sesungguhnya konvoi itu adalah bukan merupakan konvoi tentera dan tidak berangkat ke Gaza dengan tujuan ketenteraan, ia adalah misi kemanusiaan.

Paling penting ialah saya menyeru para ulama’ seluruh dunia dapat bangkit, tunaikan Solat Hajat dan mohon pertolongan Allah S.W.T. demi menyelamatkan umat Islam dan rakyat Palestin termasuk di Gaza.

Saya juga menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi teguran keras terhadap rejim itu. Saya juga menyeru agar Pertubuhan OIC dan negara-negara Islam turut menyertai bantahan ini bagi membuktikan kesungguhan membela nasib rakyat Palestin.

Hakikatnya tingkah laku biadab Israel ini berpunca dari kefahaman bahawa mereka merupakan bangsa yang terpilih dan mulia berbanding bangsa-bangsa yang lain. Bagi mereka, hanya mereka yang berhak hidup di bumi ini dan bangsa-bangsa lain hanyalah bertaraf hamba kepada mereka. Ekoran kefahaman sesat seperti inilah, mereka langsung tidak berasa bersalah melakukan kezaliman terhadap rakyat Palestin. Inilah bahayanya fahaman ‘asobiyyah melampau yang dianuti oleh Yahudi. Selagi fahaman kebangsaan melampau seperti ini menjadi anutan mana-mana pihak, keamanan tidak akan dapat dikecapi di bumi ini.

Oleh kerana itu, saya selaku Menteri Besar Kelantan akan menganjurkan satu Kuliah Pagi Jumaat, pada 21 Jamadil Akhir 1431 (lusa) khusus berhubung dengan isu tindakan tidak bertamadun rejim Israel itu. Disebabkan Kuliah Jumaat ini penting, maka kita akan adakan di pekarangan Stadium Sultan Mohd. Ke-IV, Kota Bharu.

Pihak Kerajaan Negeri juga akan mengadakan Solat Hajat berserta bacaan Qunut Nazilah ditempat yang sama. Maka saya harapkan kerjasama semua pihak, muslimin dan muslimat agar dapat hadir beramai-ramai sebagai tanda kita mengutuk perbuatan zalim Yahudi Israel itu dan dapat sama-sama kita berdoa ke hadrat Allah demi keselamatan, keamanan dan kesejahteraan umat Islam dari kerakusan Yahudi – Israel.

Saya juga akan mohon kerjasama pihak Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) agar mengarahkan semua masjid di Kelantan menunaikan Solat Hajat dan bacaan Qunut Nazilah serta dapat menyediakan satu Khutbah Khusus mengutuk Israel/Yahudi untuk para khatib persembahkan kepada semua ahli jemaah Sembahyang Jumaat yang terdekat ini (lusa).


Terima kasih.

YAB TUAN GURU DATO’ BENTARA SETIA NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT
Pejabat Menteri Besar,
Kota Darulnaim.
19 Jamadilakhir 1431
2 Jun 2010.

Tuesday, June 1, 2010

PAS SERAH MEMO KE KEDUTAAN AMERIKA, BANTAH ISRAEL


Nazri Abdullah HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 1 Jun: PAS hari ini meyerahkan satu memorandum ke Kedutaan Amerika Syarikat bagi mendesak negara itu menghentikan bantuan askar mereka kepada Israel untuk mencabul hak dan menzalimi rakyat Palestin.

Penyerahan memorandum tersebut diketuai Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa bagi mewakili Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Turut serta pada penyerahan itu termasuk Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahudin Ayub, AJK PAS Pusat, Dr. Syed Azman Syed Ahmad Nawawi, Dr. Dzulkifli Ahmad serta Dr. Lo' Lo' Ghazali.

Memorandum serupa turut diserahkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang diwakili Naib Presidennya Mustafa Kamil Ayub, R.Sivarasa Rasiah dan disertai Pengarah Strategik Tian Chua, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar serta Ketua AMK, Shamsul Iskandar Mat Akin.


Manakala memorandum dari Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) diserahkan oleh Setiausaha Agungnya, Mohd Azmi Abdul Hamid.

Lebih 200 warga perihatin turut berhimpun menyatakan bantahan di hadapan bangunan kedutaan tersebut dengan membawa sepanduk bantahan dan poster mengecam tindakan biadab rejim Zionis Israel.

Penyerahan hari ini ekoran serangan berdarah tentera rejim Zionis Israel terhadap kapal Konvoi Bantuan Antarabangsa ke Gaza pagi semalam yang mengorbankan sekurang-kurangnya 20 orang sukarelawan yang menyertainya.

Memorandum itu juga turut mendesak Amerika supaya memaksa sekutu kuat mereka Israel meletakkan senjata dari terus meratah nyawa dan darah umat Islam Palestin.

Nasharuddin sewaktu bercakap kepada media mengecam sikap Amerika yang dilihat merestui tindakan Israel apabila hanya diam membisu biarpun askar-askar sekutu mereka itu melakukan pembunuhan kejam terhadap peserta konvoi tersebut.

Selain itu Israel dan Amerika, kerajaan Mesir juga ujar Nasharuddin, perlu dikutuk oleh seluruh negara di dunia ini kerana menjadi penyebab bantuan terpaksa diserah melalui jalan laut setelah negara itu menutup laluan darat di sempadan Rafah.

Sebagai tanda bantahan, Malaysia digesa memutuskan hubungan dengan Mesir serta-merta demi nyawa dan darah rakyat Palestin serta aktivis yang menjadi mangsa serangan tentera Israel.

"Kita mahu kerajaan Malaysia menyatakan sikap dan pendirian dan memberikan tekanan kepada kerajaan Mesir yang merupakan penyebab utama kegagalan masuknya barang-barang bantuan ke Gasa setelah sempadan Rafah ditutup oleh Mesir," katanya.

Selain itu juga kerajaan Malaysia perlu proaktif menggesa Persidangan Negara-negara Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar segera bersidang.

Sementara itu lebih 50 ahli Pemuda Barisan Nasional berkumpul di ibu pejabat Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu di Jalan Dungun, Kuala Lumpur menyatakan kemarahan mereka.

Mereka juga memijak sebelum membakar bendera Israel sebelum menyerahkan memorandum yang mengecam tindakan Yahudi itu kepada penyelaras PBB di Malaysia, Kamal Malholtra.

Pada serangan ke atas kapal Mavi Marmara yang turut membawa 12 rakyat Malaysia pagi semalam, sekurang-kurangnya 20 aktivitis pro Palestin dibunuh manakala puluhan lagi cedera.

Kapal itu dan penumpangnya yang ditawan itu kemudiannya dibawa ke Haifa untuk dipenjarakan.

Sementara itu AFP yang memetik laporan radio awam Israel hari ini melaporkan sekurang-kurangnya 480 aktivis pro-palestin ditawan dan dihumban ke penjara Ashdod di selatan Israel.

Followers