Wednesday, May 29, 2013

PESAN SAFWAN ANANG BUAT RAKYAT MALAYSIA

Mohammed Bukhairy Mohammed Sofian, 29 Mei 2013
Semalam empat orang aktivis iaitu Haris Ibrahim (ABU), Safwan Anang (SMM), Tian Chua (PKR) dan Tamrin Ghaffar telah ditangkap untuk siasatan di bawah Akta Hasutan. Dakwaan ini berkenaan ucapan mereka pada program Malam Anak Bangsa Malaysia pada 13 Mei lalu.

Hari ini kesemua mereka telah  dibawa ke mahkamah untuk dibaca pertuduhan. Mereka semua tidak mengaku bersalah dan masing-masing dikenakan ikat jamin sebanyak RM5,000.

Namun Safwan Anang membuat keputusan di luar jangkaan bahawa dia enggan diikat jamin. Semasa pendengaran perbicaraan beliau menyatakan bahawa dia tetap menjunjung sistem raja berperlembagaan serta menghormati undang-undang dan keputusan mahkamah. Namun apa yang mendukacitakan ialah seluruh sistem di negara ini telah menjadi tunggangan untuk kepentingan politik Umno BN.

Beliau sempat memberi 3 pesanan penting kepada kami supaya disampaikan kepada rakyat seluruhnya;

1) Penahanan dan dakwaan ini bermotifkan politik. Tindakan saya ini sebagai protes dan memberi signal penolakan terhadap salahguna kuasa untuk kepentingan hayat Umno BN.

2) Tindakan saya juga demi sayangkan negara dan ingin pulihkan demokrasi yang makin tenat.

3) Dan ini juga mesej jelas kepada anak muda bahawa kita benar-benar serius perjuangkan hak kita. Saya di dalam tetapi saya yakin kalian di luar sana tetap akan terus bangkit brrjuang lawan penipuan! Dalam fasa kebangkitan anak muda hari ini, Umno BN jelas terdesak sehingga sanggup menggunakan apa cara sekalipun demi menjaga survival politik mereka yang kian rosak. Tangkapan kepada mahasiswa dan anak muda jelas bermotif politik demi menyekat kemaraan dan kebangkitan yang kian memuncak. Kerajaan minoriti ini jelas tergugat dengan kebangkitan rakyat.

Demi menyelamatkan demokrasi yang kian nazak di Malaysia, Safwan Anang rela untuk terus dikurung di lokap. Safwan Anang rela berhadapan dengan polis dan SB sepanjang di dalam lokap nanti. Safwan Anang rela untuk tidur beralas simen dan makan ala kadar seperti banduan. Safwan Anang berkorban masa untuk bersama isterinya yang sedang mengandung. Ini semua demi perjuangan menuntut keadilan.
Justeru saya seru seluruh mahasiswa, anak muda dan rakyat yang cintakan keadilan untuk sama-sama bangkit lawan regim yang jelas menindas rakyat dengan kekuasaan. Ayuh kita nyatakan solidariti untuk Safwan Anang dengan berhimpun secara aman di hadapan Lokap Sungai Buloh.

Penulis ialah Presiden PMIUM dan Sekretariat SMM.
 http://bm.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/19620-pesan-safwan-anang-buat-rakyat-malaysia

LAMPU PADAM: WAN AHMAD MALUKAN SPR

Harakahdaily, 28 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Tindakan Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang membuat penafian melulu terhadap dakwaan berlakunya 'lampu padam' di beberapa kawasan ketika pengiraan undi pada 5 Meli lalu, hanya memalukan bukan sahaja diri beliau malah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu sendiri.

Bagi Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Ramli, tindakan Timbalan Pengerusi SPR itu hanya menunjukkan sikap angkuh beliau seperti tidak mahu mangakui wujudnya kepincangan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.

"Saya nak ingatkan beliau (Wan Ahmad), jangan cepat sangat buat penafian, selidik lah dahulu dakwaan-dakwaan yang di kemukakan.

"Jangan ambil sikap mudah anggap semua dakwaan dari rakyat ini sebagai fitnah, sekurang-kurangnya dengar dan selidik lah dahulu sebelum buat kenyataan balas," katanya kepada Harakahdaily.

Sebelum ini beberapa pihak memuat naik sekeping gambar di internet mendakwa berlaku insiden lampu padam ketika proses pengiraan undi pada PRU13 lalu.

Tidak berapa lama kemudian, Wan Ahmad tampil dengan kenyataannya bahawa gambar tersebut adalah fitnah.

Malah beliau dengan tegas mendakwa gambar itu hanya lakonan pihak tertentu yang dirakamkan sebelum PRU-13 lagi.

Sehari selepas penafian Wan Ahmad itu, Adun PAS Seri Serdang Noor Hanim Ismail mengadakan sidang media mengatakan sememangnya insiden lampu padam itu berlaku di salah satu pusat mengundi di kawasannya.

Menurut Noor Hanim, kejadian itu berlaku pada 5 Mei lalu di Sekolah Kebangsaan Serdang, dan dirakam oleh ejen penjumlahan undi dari parti tersebut.

Selain beliau, satu lagi bukti laporan polis turut ditampilkan ketua pasukan #SiasatPRU13 Rafizi Ramli dengan mendakwa insiden sama turut berlaku di Parlimen Kulim Bandar Baharu.

Hari ini pula, Wan Ahmad dengan nada berbeza membayangkan kenyataannya sebelum ini tidak tepat kerana penafian itu dibuat berdasarkan laporan 24 yang diterima selepas hari pengundian.

Katanya, pihak SPR telah menghubungi pegawainya, polis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan dimaklumkan tiada laporan lampu padam diterima.

Mengulas lanjut, Mohd Hatta yang juga Ahli Parlimen Kuala Kerai berkata, SPR jangan menganggap bahawa PRU13 kali ini paling 'perfect'.

Sebaliknya segala dakwaan kepincangan serta bukti yang ditampilkan oleh rakyat harus didengar dan disiasat dengan baik.

Friday, May 24, 2013

TANGKAP, RAMPAS AKHBAR : CUKUPLAH TINDAS RAKYAT

Harakahdaily,HARAKAHDAILY 24 Mei 2013
KUALA LUMPUR: PAS mendesak Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi menghentikan segera segala tindakan yang cuba untuk menzalimi rakyat.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan menangkap pemimpin politik dan aktivis rakyat, serta merampas akhbar parti dalam Pakatan Rakyat adalah tindakan tidak wajar sekalipun tidak berpuas hati dengan kemerosotan BN pada PRU13 lalu.

Zahid juga katanya tidak wajar untuk menggunakan pihak polis di bawak kementeriannya untuk berdepan dengan rakyat yang dianggap musuh politik BN.

"Saya mewakili Parti Islam Se-Malaysia (PAS) mendesak segala tindakan zalim ini dihentikan serta merta.

"PDRM di bawah teraju Ketua Polis Negara yang baru tidak seharusnya menjadi perkakas politik Umno BN," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penangkapan empat orang aktivis rakyat dan pemimpin Pakatan Rakyat sebelum ini termasuk terbaru semalam di bawah akta hasutan.

Mereka termasuk aktivis pelajar Adam Adli , aktivis PAS Tamrin Ghafar, Naib Presiden PKR Tian Chua dan penggerak Asalkan Bukan Umnu (ABU) Haris Ibrahim.

Semalam juga menyaksikan ketiga-tiga akhbar milik parti PAS, PKR dan DAP iaitu Harakah, Suara Keadilan dan The Rocket, dirampas oleh KDN di beberapa buah negeri.

"Tugas kerajaan dan polis adalah melindungi dan menghormati rakyat, bukannya menindas seteru politik untuk menutup kepincangan yang dilakukan Umno BN," kata Mahfuz lagi.

Menurut Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga, BN terus berselindung disebalik undang-undang malah menyalahgunakan akta hasutan dijanjikan akan dimansuhkan sebagai senjata untuk menakutkan rakyat.

Sedangkan pada masa yang sama katanya, perbuatan jenayah mengapikan-apikan isu perkauman dan tindakan-tindakan berbaur ugutan yang dilakukan oleh pemimpin-pemimpin Umno dan akhbar Utusan Malaysia terus didiamkan tanpa sebarang tindakan diambil.

"Janji Perdana Menteri untuk melaksanakan rekonsiliasi nasional selepas BN mencatat keputusan terburuk dalam sejarah pilihanraya terbukti palsu dan tak lebih dari sekadar kata-kata yang dilafazkan oleh orang yang sedang mabuk," katanya.

Wednesday, May 22, 2013

TAK PERLU JK KHAS, SPR SENDIRI PERLU DISIASAT

Salmiyah Harun,HARAKAHDAILY 22 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu menubuhkan pasukan khas untuk mengenal pasti punca menyebabkan dakwat tidak kekal sebaliknya badan itu perlu disisasat pihak berkuasa kerana ternyata wujudnya penyelewengan.

Demikian tegas Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Dr Hatta Ramli hari ini.

Menurut Hatta, dari awal lagi SPR telah menyatakan pihaknya sudah mendapat penjelasan daripada jabatan kimia, Jakim dan kementerian kesihatan berhubung penggunaan dakwat kekal yang akan digunakan dalam PRU13.

Sebaliknya, kata beliau, hari ini SPR baru hendak tubuhkan pasukan antara lain akan mengkaji aspek ramuan, syarat Kementerian Kesihatan, cara penggunaan dakwat kekal dan kaedah calitan dakwat kekal di jari.

"Apa sebenarnya yang telah berlaku? Adakah mereka tidak kisah membeli dakwat kekal atau ambil sahaja asalkan dakwat yang ada?

"Apabila timbul bukti-buti dakwat kekal yang tidak kekal baru hendak tubuh pasukan mahu kaji balik. SPR buat kerja yang betul-betul tidak profesional!," tegas Hatta kepada Harakahdaily.

Tindakan SPR hari ini, katanya ternyata badan itu telah menipu rakyat dengan menggunakan dakwat kekal kononya sebagai cara untuk mengawal undi lebih dari satu malangnya ia meleset sama sekali.

"Kita sudah lama nyatakan kebimbangan terhadap ketelusan SPR dalam mengendalikan PRU, akhirnya ia berlaku apabila SPR sendiri mahu tubuhkan pasukan mengkaji punca dakwat tidak kekal," katanya

Justeru, tegas Hatta, SPR telah melakukan kesalahan besar dalam PRU13 baru-baru ini dan badan itu harus bertanggungjawab terhadap penyelewengan yang berlaku.

"Saya minta Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof letak jawatan," katanya.

PRU13 merupakan kali pertama SPR memperkenalkan penggunaan dakwat kekal, malangnya dakwat yang didakwa kekal sebaliknya terus hilang sebaik dibasuh menggunakan sabun.

Ekoran itu, ramai di kalangan rakyat negara ini memuat naik video dan gambar bukti dakwat yang boleh luntur begitu mudah di dalam laman Facebook, malah ada yang turut mencemuh ketelusan SPR.

Semalam,  Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memutuskan untuk menubuhkan 'Pasukan Khas Menyemak Masalah-Masalah Penggunaan Dakwat Kekal PRU Ke-13' untuk meneliti hal-hal berkaitan dakwat kekal itu.

Abdul Aziz berkata pasukan khas itu dijangka menyiapkan penyiasatan dalam tempoh sebulan dan ia diharap dapat membantu SPR mengenal pasti perkara-perkara yang menyebabkan dakwat itu tidak kekal lama di jari selepas dicalit.

Monday, May 20, 2013

MAHKAMAH PILIHANRAYA LAWAN MAHKAMAH RAKYAT

* Mohamed Hanipa Maidin,HARAKAHDAILY 20 Mei 2013
PENGERUSI Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata mereka yang tidak berpuas hati dengan keputusan pilihan raya umum ke-13 (PRU13) boleh memohon semakan supaya pilihan raya diadakan semula dengan mengemukakan petisyen selepas pewartaan keputusan oleh SPR, mengikut undang-undang.

"Selepas diwartakan dalam tempoh 21 hari, mereka boleh buat petisyen, itu yang betul dan kalau bukti-bukti itu jelas serta lengkap dan pihak hakim mengakui wujudnya perlakuan rasuah, penipuan atau menyalahi undang-undang, maka mungkin Hakim Mahkamah Tinggi berkenaan akan memutuskan bahawa keputusan pilihan raya itu tidak sah," kata Aziz.

Sentimen yang sama juga diluahkan oleh Presiden Umno Najib Tun Razak. Najib menyatakan Umno akan terima apa sahaja keputusan mahkamah.

Inilah skrip basi SPR dan Umno. Bagi kedua-dua tokoh ini penyelesaian kepada kepincangan sistem pilihanraya adalah mahkamah. Hujah Najib dan SPR ini hakikatnya satu lagi bentuk penipuan halus pihak berkuasa untuk mengelirukan mereka yang jahil tentang petisyen pilihanraya.

Saya ingin nyatakan dengan tegas petisyen piliharaya dan mahkamah bukan penyelesaian kepada kepincangan pilihanraya. Alasannya cukup mudah. Mahkamah pilihanraya (election court)  beroperasi dalam ruang lingkup undang-undang pilihanraya yang digubal oleh rejim BN yang korup dan penipu. Jadi bagaimanakah undang-undang yang digubal oleh rejim yang penipu dapat menyelesaikan pilihanraya yang sarat dengan penipuan !!!

Ibarat yang mudah adalah bagaimanakah kita boleh mengharap kambing selamat dari serigala jika yang jaga kambing adalah serigala !!!

Dalam undang-undang pilihanraya, alasan pembatalan sesuatu pilihanraya hanya boleh dibuat oleh hakim pilihanraya melalui seksyen 32 Akta Kesalahan Pllihanraya 1954. Seksyen 32 menggariskan lima alasan [ 32 (a) hingga (e)] bagi pembatalan pilihanraya oleh Mahkamah Pilihanraya.

Najib dan SPR arif dan tahu berdasarkan seksyen 32 (a) hingga (e) Akta tersebut hampir mustahil untuk membatalkan sesuatu pilihanraya. Bagi memudahkan faham mari kita lihat bagaimana seksyen 32 (b) Akta tersebut digubal oleh rejim BN.

Berdasarkan seksyen 32 (b) tersebut sesuatu pilihanraya hanya boleh dibatalkan jika mahkamah pilihanraya berpuashati wujudnya perlanggaran undang-undang pilihanraya namun perlanggaran itu mestilah dalam masa yang sama menjejaskan keputusan pilihanraya.

Sebagai peguam yang banyak terlibat dalam petisyen pilihanraya saya ingin nyatakan membuktikan perlanggaran undang-undang atau peraturan pilihanraya bukan suatu yang susah kerana Umno dan SPR  seringkali langgar undang-undang pilihanraya. Malahan banyak kali kami peguam PAS dapat membuktikan hal tersebut.
Yang sukarnya hingga ke tahap hampir mustahil adalah membuktikan perlanggaran undang-undang oleh Umno dan SPR boleh menjejaskan keputusan pilihanraya.

Hakim–hakim di negara ini sehingga sekarang memilih tafsiran kuno tentang maksud menjejaskan keputusan pilihanraya. Di negara maju seperti di England para hakim di sana berpendapat jika berlaku perlanggaran undang-undang secara substantif maka pilihanraya adalah tidak sah tanpa mengira perlanggaran itu menjejaskan atau tidak menjejaskan keputusan pilihanraya.

Tafsiran mahkamah di Malaysia berdasarkan tafsiran matematik. Contohnya jika calon A yang kalah dengan majoriti 1000 undi dapat buktikan wujudnya perlanggaran undang-undang misalnya dakwat tidak kekal di jari pengundi, calon A kena buktikan 1001 pengundi yang dakwat dijari mereka tidak kekal dan kesemua 1001 pengundi itu kena juga dibuktikan telah mengundi dua kali.

Jika tidak dibuktikan meskipun calon A boleh buktikan penggunaan dakwat yang tidak kekal adalah bercanggah dengan undang-undang namun pilihanraya yang langgar undang-undang itu masih dikira sah dan tidak boleh dibatalkan.

Itulah yang hakim-hakim di negara ini akan putuskan. Jika hakim putuskan begitu Najib dan SPR secepat kilat akan berkata “lihatlah mahkamah telah pun memutuskan pilihanraya adalah sah..jadi mengapa Pakatan Rakyat masih tidak puas hati?”

Bagi saya ini satu muslihat licik Umno untuk menggunakan saluran mahkamah untuk menjustifikasi penipuan!!!

Sebab itu saya tegaskan mahkamah atau petisyen bukan jalan penyelesaian kepada kepincangan sistem pilihanraya. Mahkamah rakyat adalah penyelesaiannya.
Bagi rakyat jika SPR atau undang-undang kata dakwat yang digunakan adalah kekal maka SPR kena pastikan dakwat itu benar-benar kekal. Jika tidak kekal maka SPR tipu. Undang-undang juga tipu.

Inilah perbezaan mahkamah pilihanraya dan mahkamah rakyat. Di mahkamah pilihanraya hakim tidak boleh batalkan pilihanraya meskipun SPR tipu kerana hakim terikat dengan undang-undang yang digubal oleh rejim penipu.

Sebaliknya di mahkamah rakyat keadilannya lebih tulen. Jika SPR dan undang-undang tipu maka pilihanraya yang BN menang adalah pilihanraya tipu. Maka PM dan Menteri yang dilantik juga dikira oleh rakyat dikira sebagai PM penipu dan menteri penipu !!!!

Saturday, May 18, 2013

KENYATAAN SAIFUDDIN SAH BN TIDAK DEMOKRATIK

Abdul Aziz Mustafa, 18 Mei 2013
KUALA LUMPU: Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Khalid Abdul Samad menyifatkan kenyataan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Saifuddin Abdullah bahawa Barisan Nasional (BN) kalah di kawasan pengundi yang mengutamakan demokrasi mengesahkan bahawa parti tersebut tidak demokratik.

Dalam forum yang dianjurkan oleh Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) Rabu lalu, Saifuddin berkata, BN kalah di kawasan-kawasan di mana para pengundinya lebih mengutamakan demokrasi termasuk penyelesaian isu-isu yang berkaitan dengan ketelusan, rasuah serta pilihan raya yang bersih dan adil.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Saifuddin kerana kenyataannya yang mengesahkan kepada semua rakyat bahawa BN tidak demokratik," kata Khalid.

Malah, katanya, sejak zaman Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri lagi BN tidak bersifat demokratik dengan berdalihkan alasan "demokrasi ala-Malaysia".

Sependapat dengan Saifuddin, Ahli Parlimen Shah Alam itu berkata, kemenangan Pakatan Rakyat lebih didorong oleh isu di mana rakyat yang mengundi Pakatan bertekad mahu memulihkan demokrasi.

"Mereka juga mahu kerajaan yang komited untuk mewujudkan negara berkebajikan, bersifat telus, mengamalkan tadbir urus yang baik (good governance) dan lain-lain amalan yang pro-rakyat," katanya.

Khalid bagaimanapun tidak sependapat dengan pandangan bekas Timbalan Menteri Pengajian Tinggi itu yang menyatakan BN menang di tempat-tempat di mana pengundi mahukan pembangunan seperti jalan dan sekolah baru.

"Umno sebenarnya menang kerana kejayaannya mengapi-apikan perkauman.

"Orang-orang Melayu terutamanya yang tidak mendapat maklumat yang sebenarnya mengundi BN kerana takut orang-orang Cina akan memerintah Malaysia jika tidak mengundi BN," katanya.

Dengan kejayaan kempen perkauman Umno menakut-nakutkan mereka, kata beliau, pengundi-pengundi yang mendapat maklumat berat sebelah itu lebih sanggup mengundi BN "yang zalim".

"Ia sekaligus membuktikan hanya isu perkauman sahaja yang menjadi tempat Umno berpaut dan hanya perkauman sahajalah yang parti itu boleh gunakan untuk survivalnya," kata Khalid.

Bagaimanapun, di tempat-tempat di mana pengundi-pengundinya lebih bermaklumat dan peka terhadap perlunya negara yang lebih demokratik, mereka memberikan kepercayaan kepada Pakatan.

"Contohnya apa yang berlaku di Shah Alam di mana 70 peratus pengundi adalah orang-orang Melayu. Ia membuktikan kematangan pengundinya dan menolak kempen perkauman Umno serta lebih berminat kepada isu yang lebih besar dan penting.

"Mereka tolak calon yang dengan sengaja memakai imej pelampau Melayu untuk kepentingan dirinya," kata Khalid sambil mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi Pakatan.

Friday, May 17, 2013

UNTUK APA 35 MENTERI BERBANDING 31 PADA 2008

Harakahdaily, 16 Mei 2013
KUALA LUMPUR: “Untuk apa kita mempunyai 35 menteri berbanding hanya 31 menteri pada tahun 2008?” tanya penganalisis politik, Prof Madya Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff di dalam Facebooknya.
Menurutnya, Kabinet Jepun dan AS cuma ada 16 dan 18 menteri sahaja; United Kingdom 23, Bolivia 27 dan Belgium 21 menteri kabinet. India pula dengan 1.1 bilion penduduk hanya mempunyai 32 menteri kabinet.

“Adakah Malaysia dengan jumlah menterinya yang ramai lebih baik dan lebih maju dari negara-negara di atas?” tanya beliau lagi.

Berikut ialah pandangan beliau.

Apabila PM DS Najib mengumumkan barisan kabinetnya, maka penganalisis yang bersetuju dengan barisan ini menyatakan inilah kabinet transformasi terbaik, kabinet gabungan muka baru dan lama, dan kabinet yang mampu melonjakkan negara ke depan untuk menghadapi saingan globalisasi.

Bagi yang tidak bersetuju pula menyatakan inilah kabinet DS Najib untuk menghadapi pemilihan Umno tahun ini, kabinet kitar semua dan kabinet kayu mati yang mudah dimakan anai-anai.

Saya tidak ada masalah dengan barisan kabinet ini. Mereka yang dilantik adalah hebat.

Namun, yang menjadi masalah kepada saya ialah bilangan kementerian dan menterinya yang ramai. Untuk apa kita mempunyai 35 menteri berbanding hanya 31 menteri pada tahun 2008? Kabinet Jepun dan AS cuma ada 16 dan 18 menteri sahaja; United Kingdom 23, Bolivia 27 dan Belgium 21 menteri kabinet. India pula dengan 1.1 bilion penduduk hanya mempunyai 32 menteri kabinet. Adakah Malaysia dengan jumlah menterinya yang ramai lebih baik dan lebih maju dari negara-negara di atas?
Meskipun Perlembagaan tidak menetapkan bilangan anggota kabinet, kita perlu bandingkan saiz kabinet Malaysia dengan kabinet di negara-negara lain. Kewujudan kementerian dan menteri adalah untuk menyempurnakan tugas dalam mentadbir negara, bukannya sebagai ganjaran kepada kawan-rakan yang menang.

Saturday, May 11, 2013

HUSAM PERSOAL KENAPA NAJIB TIDAK 'DITENDANG'

Muhammad Yusri Amin, 10 Mei 2013HARAKAHDAILY


(Husam berceramah di kampung di Pasir Tumbuh malam tadi)


KOTA BHARU: Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa mempertikaikan kenapa Datuk Seri Najib Razak tidak ‘ditendang’ dari Perdana Menteri  berikutan pencapaiannya dalam Pilihan Raya Umum ketiga belas (PRU-13) lebih lemah berbanding Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi dahulu?

Husam yang juga Adun Salor mendakwa dahulu pemimpin Umno ‘tendang’  Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi  daripada menjadi Perdana Menteri kerana pencapaian BN yang lemah pada PRU-12.

“Namun hari ini pencapaian Najib lebih lemah dari Pak Lah.  (Oleh itu) kalau dulu Pak Lah ‘ditendang’, kenapa Najib tidak ditendang?” Husam mempersoalkan.

Beliau berceramah pada majlis kesyukuran kemenangan calon PAS Parlimen Kubang Kerian pada PRU-13,  di Pasir Tumboh dekat sini malam tadi.

Turut menyampaikan ceramah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Hadir sama Ahli Parlimen baru Kubang Kerian Ahmad Baihaki Atiqullah, Adun baru Pasir Tumboh Abdul Rahman Yunus dan Adun baru Demit Mumtaz Md Nawi.

Dalam perkembangan berkaitan,  Husam mencadangkan Najib meletakkan jawatan dan memberi peluang kepada Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

“Saya bukan sokong Muhyiddin, tetapi bagilah peluang kepada Muhyiddin.

“Ini kerana jelas bahawa tanggungjawab politiknya begitu apabila Najib gagal, dia kenalah serahkan kepada timbalannya," katanya.

Husam mengulas perkembangan semasa ke arah pembentukan Kerajaan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas PRU-13.

Umum mengetahui pencapaian Datuk Seri Najib adalah jauh lebih rendah daripada pencapaian diperolehi Pak Lah pada PRU-12.

Naib Presiden PAS itu mendakwa undi keseluruhan BN di bawah kepimpinan Najib pada PRU-13,  5 Mei baru-baru ini adalah di bawah 50 peratus.

Pakatan Rakyat (PR) mendapat mejoriti seluruh negara ialah 250,000 lebih daripada BN di mana kerusi  BN kuang tujuh kerusi lagi iaitu daripada 140 kepada  133 kerusi.

Difahamkan, Kabinet baru akan dibentuk Isnin ini.

Dalam perkembangan ini, Husam mendakwa beliau difahamkan, Muhyiddin menuntut supaya dia dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan.

Justeru, dakwa Husam,  Najib rasa tergugat, bahkan Tun Mahathir sendiri menyebut bahawa dia tidak sangka yang pencapaian Datuk Seri Najib pada PRU-13 lebih lemah berbanding pencapaian Pak Lah pada PRU-12.

Husam mendakwa, dari segi Perlembagaan menurut Tun Mahathir bahawa Datuk Seri Najib adalah sebagai Perdana Menteri, namun dari segi amalan Umno maka terpulanglah kepada Umno sendiri sama ada Umno masih mahukan Datuk Seri Najib atau pun tidak.

Selain itu, Husam turut mengulas laporan dakwaan ‘tsunami Cina’ telah berlaku pda PRU-13.

Husam mendakwa kaum Cina bukan tidak mahu pemimpin Melayu tetapi mereka mahukan pemimpin Melayu yang bersih, kerajaan yang adil dan berjiwa rakyat, dan yang ada kedaulatan undang-undang.

Husam mendakwa itu yang ‘hilang’ dari negara kita sama ada di kalangan orang Cina, Melayu, India dan umumnya.

“Jadi jangan mengaitkan isu ini untuk menjadikan ketegangan kaum sama ada di Terengganu,  Kedah, Kelantan dan lain negeri di Malaysia,” ujarnya.

Monday, May 6, 2013

TERIMA KEPUTUSAN DENGAN SYUKUR DAN SABAR

Harakahdaily, 06 Mei 2013

MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (gambar) meminta semua pihak menerima keputusan pilihan raya ini dengan penuh kesyukuran dan kesabaran.

Beliau berkata, "Saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pengundi yang telah mengundi PAS dan Pakatan Rakyat.

"Terimalah keputusan ini dengan penuh kesyukuran dan kesabaran.

"Yakinlah sesungguhnya janji Allah pasti akan tiba," katanya sebagaimana yang disampaikan melalui Facebooknya.

Dalam pada itu ketika bercakap selepas keputusan pilihan raya ini, Ustaz Hadi berkata, "Kalau kita kalah, kita kena bertenang itu tanda orang yang beriman yang redha dengan segala ketentuan.

"Memang ada perjuangan ada kalah ada menang. Jika berlaku penipuan ingatlah kita ada akhirat sebagai medan kebenaran.

"Jangan lupa ada kerajaan yang lebih berkuasa iaini kerajaan Allah s.w.t. Kita tidak kalah..cuma belum menang," katanya selepas diumumkan keputusan BN berjaya membentuk semula kerajaan.

PAS menang 22 kerusi Parlimen dalam pilihan raya umum ke 13 ini berkurang satu kerusi berbanding pilihan raya ke 12.

Tuan Guru Abdul Hadi sendiri mengekalkan kerusi Parlimen Marang di samping DUN Rhu Rendang.

PAS Terengganu berjaya menambah tiga kerusi Parlimen di samping tujuh kerusi DUN dalam pilihan raya ini.

Kerusi Parlimen yang dimenangi adalah Marang (Tuan Guru Abdul Hadi), Kuala Terengganu (Datuk Raja Bahrin), Kuala Nerus (Dr Khairudin Aman Razali) dan Dungun (Haji Wan Hassan).

Mereka kekurangan dua kerusi untuk membentuk kerajaan di negeri itu apabila menang 15 kerusi berbanding BN 17 kerusi.

Followers