Monday, April 22, 2013

PKR TERENGGANU BERI LALUAN KEPADA CALON PAS

Muhammad Faizal HARAKAHDAILY, 22 Apr 2013
KUALA TERENGGANU: Pengerusi PKR Terengganu, Azan Ismail mengumumkan memberi laluan kepada kesemua calon PAS untuk bertanding di tiga Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Bukit Besi, Kota Putera dan Seberang Takir.

Beliau juga turut memberitahu perkara itu telah dimaklumkan kepada calon PKR dan ia disambut baik oleh ketiga-tiga mereka iaitu Mohd. Shamsul Mat Amin (Bukit Besi), Mohamed Abdul Ghani Ibrahim (Kota Putera) dan Ahmad Nazri Mohd. Yusof (Seberang Takir).

"Saya telah menerima keputusan ini pada jam 11 pagi tadi dan bersetuju memberi laluan kepada PAS untuk terus bertanding di ketiga-tiga Dun yang bertindih, ketiga-tiga calon PKR menyambut baik keputusan tersebut.

"Perkara ini diambil bagi memastikan jalinan kesepakatan di dalam Pakatan Rakyat itu di utamakan dan bukannya berbentuk agenda peribadi serta memastikan Barisan Nasional (BN) dapat kita kalahkan," jelas Azan (gambar) kepada Harakahdaily.

PAS telah meletakkan calonnya Roslan Ismail (Bukit Besi), Adam Mat Said (Kota Putera) dan Zakaria Dagang (Seberang Takir).

Pada sidang media di Pejabat Agung Pas pagi tadi, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang turut memberitahu, PAS akan menyerahkan kerusi Parlimen Labuan, DUN Sungai Aceh di Pulau Pinang dan Panti di Johor kepada PKR.

Manakala kerusi DUN Kota Damansara di bawah Parlimen Subang akan dirundingkan antara PAS dan PKR.

Pertindihan kerusi antara PAS dan PKR melibatkkan satu kerusi Parlimen dan enam kerusi Dun, perkara itu diselesaikan dengan kerjasama dari parti-parti di dalam Pakatan Rakyat.

Sunday, April 21, 2013

ULAMA 3 BERADIK BERKUMPUL PASTIKAN ARAU UNTUK PAS

Harakahdaily, 21 Apr 2013

ARAU: Tiga beradik ulama hebat berkumpul pagi semalam pagi memberikan sokongan untuk membolehkan Pakatan Rakyat berjaya ke Putrajaya.


(Abu Hassan dan Ishak Din bersama Haron Din sebelum perarakan calon pagi semalam)

Ustaz Ishak Din dan Datuk Abu Hassan Din Alhafiz berkumpul di Arau semalam bagi memberikan sokongan moral kepada abang mereka Datuk Dr Haron Din.

"Beruntung si ibu melahirkan mereka dan bertuah si ayah membesarkan 3 beradik ini," tulis seorang pengguna facebook melihat gambar ini.

Haron Din bertanding di Arau bertembung dengan  bekas MB Perlis, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Turut menyekat Shahidan untuk menyertai politik semula secara aktif adalah pemimpin Umno tempatan, Zainuddin Yom.

Zainuddin juga bertanding tiket bebas di DUN Sanglang menentang Mohd Shukri Ramli (PAS) serta Ustaz Fathul Bari Mat Jaya (BN).

Beliau dikatakan kesal dengan pemilihan Fathul Bari sebagai calon Umno.

Saturday, April 20, 2013

MANIFESTO : KATA AKAN BANKRAP, CIPLAK PULA

Harakahdaily, 08 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Sejak Pakatan Rakyat melancarkan manifestonya pada 25 Februari 2013, para pemimpin Umno-BN telah menyerang bahawa tawaran Pakatan Rakyat akan menyebabkan negara muflis.

Tapi, Sabtu lepas, BN melancarkan manifesto yang hampir sama dengan apa yang ditawarkan Pakatan Rakyat.

Rakyat, terutamanya anak-anak muda dan warga internet terus menuduh BN menciplak manifesto PR dengan hanya mengubah ayat-ayat supaya tidak kelihatan sama.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali menunjukkan sembilan perkara yang diciplak oleh Barisan Nasional dari manifesto Pakatan.

Ia termasuklah menaikkan royalti minyak kepada negeri-negeri pengeluar minyak dari 5 ke 20 peratus, penurunan harga kereta dan juga lebuhraya di Sabah dan Sarawak.

Ketua Pengarah Strategi PKR Rafizi Ramli pula berkata 22 perkara dalam manifesto PR diceduk BN.

Media antarabangsa Bloomberg juga memandang perkara ini dalam sudut yang sama.

“Semua janji ini dibuat oleh Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar ketika membentangkan manifesto Pakatan Rakyat enam minggu sebelum Barisan Nasional membentangkannya dalam perhimpunan hujung minggu lalu," lapor Blomberg.

Jadi apakah hikmah di sebalik semua ini.

Menurut Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, semua ini menunjukkan bahawa janji-janji PR sememangnya boleh dilaksanakan tanpa memufliskan negara sebagaimana yang didakwa BN.

“Sebelum ceduk, Umno-BN kata akan bangkrapkan negara. Selepas ceduk, Umno-BN kata mampu lakukan.

"Tersiratnya ialah Umno-BN mengakui manifesto Pakatan Rakyat sememangnya boleh dilaksanakan. Betul tak?” tulis Tuan Ibrahim di Facebooknya.

Tuan Ibrahim juga menyindir dengan serangkap pantun buat BN.

Rendang ayam lauk lazat,
Terlampau banyak jadi biasa,
Mulut jangan cepat sangat,
Kerana mulut diri binasa.



Friday, April 19, 2013

AKHIRNYA ROKET MENDARAT DI BULAN - TG NIK AZIZ

Harakahdaily, 19 Apr 2013
KOTA BHARU: "Kesediaan DAP menggunakan logo PAS ini saya sifatkan sebagai detik bersejarah dalam perjuangan PAS semenjak lebih separuh abad ia ditubuhkan," kata Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat.

(Gambar...Roketkini ‏@roketkini dalam Twitternya menulis, "Roket sudah sampai ke bulan. Anda masih nak guna timbang dacing?")

Beliau mengulas keputusan DAP menggunakan logo PAS setelah Pendaftar Pertubuhan memutuskan untuk tidak mengiktiraf barisan kepimpinan DAP yang ada sekarang.

"Saya ingin melahirkan simpati kepada DAP di atas tragedi yang menimpa mereka di saat-saat akhir penamaan calon besok hari.

"Sudah tentu tidak dapat dibayangkan kesedihan yang melanda ekoran terpaksa mengenepikan lambang rasmi yang telah digunakan zaman berzaman," kata Tuan Guru Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dalam kenyataannya hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh Tuan Guru Nik Aziz.



Penggunaan Logo PAS Oleh Calon DAP: Akhirnya Roket Mendarat Di Bulan
Saya membaca kenyataan yang dikeluarkan oleh Pengerusi DAP Karpal Singh pada petang ini bahawa calon-calon DAP akan menggunakan logo PAS di Semenanjung Malaysia dan logo PKR di Sabah dan Sarawak di dalam pilihanraya umum 5 Mei ini.

Ini berikutan sehingga jam 3 petang hari ini, DAP belum mendapat mendapat sebarang respon penarikan balik surat penggantungan jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) parti itu daripada Pendaftar Pertubuhan (ROS) dan juga tiada tanda-tanda surat itu akan tiba.

Saya ingin melahirkan simpati kepada DAP di atas tragedi yang menimpa mereka di saat-saat akhir penamaan calon besok hari. Sudah tentu tidak dapat dibayangkan kesedihan yang melanda ekoran terpaksa mengenepikan lambang rasmi yang telah digunakan zaman berzaman.

Isu logo sekalipun mungkin nampak kecil bagi sesetengah pihak, tetapi ia melambangkan maruah dan harga sebuah perjuangan.

Dari sudut yang lain, kesediaan DAP menggunakan logo PAS ini saya sifatkan sebagai detik bersejarah dalam perjuangan PAS semenjak lebih separuh abad ia ditubuhkan.

Dalam melayari bahtera politik tanah air, PAS dan DAP sering dilagakan oleh UMNO/Barisan Nasional. Di hadapan bangsa Melayu, pemimpin UMNO menakut-nakutkan mereka dengan bahaya DAP dan begitu juga sebaliknya di hadapan bangsa Cina, mereka digembar-gemburkan dengan imej PAS sebagai taliban, radikal dan sebagainya.

Natijahnya, Melayu Islam dan bukan Melayu terus hidup dalam keadaan syak wasangka antara satu sama lain.

Hari ini, benteng tersebut telah runtuh sepenuhnya. DAP tanpa takut-takut lagi telah merobohkan persepsi ini apabila bertindak berani memilih logo PAS untuk bertanding di kawasan-kawasan yang telah diperuntukkan kepada mereka khususnya kawasan yang mempunyai majoriti pengundi Cina.

Saya kira, inilah saat di mana perjuangan PAS sudah tidak menjadi kegerunan lagi kepada bangsa Cina. Sekalipun ia masih belum diterima sepenuhnya, namun sedikit demi sedikit ia telah hilang.

Saya mengimbau kembali saat ketika Perjanjian Hudaibiyyah dimeterai antara Rasulullah SAW dan orang-orang Musyrikin Mekkah.

Kabilah-kabilah Arab di sekitar Madinah yang masih belum memeluk Islam mengambil keputusan untuk bernaung di bawah naungan kerajaan Islam Madinah.

Di saat itulah, sahabat-sahabat Rasulullah SAW diuji dengan rasa terhina akibat melihat secara zahir bagaimana perjanjian tersebut berat sebelah.

Namun kesabaran mereka segera diganjari oleh Allah SWT apabila perjanjian tersebut membuka peluang Rasulullah SAW menakluki kota Makkah apabila perjanian tersebut dilanggar di mana Bani Khuzaah yang masih belum memeluk Islam dan berlindung di bawah naungan Islam diserang oleh kaum Musyrikin.

Alhamdulillah, ketika UMNO masih menjaja keris tumpulnya merata-rata, perjuangan PAS sudah mula diterima di kalangan non muslim. Ketika UMNO main kayu tiga dengan perjuangan bangsa Melayu, PAS terus ke hadapan membawa misi dakwah dengan slogan PAS for All.

Non Muslim di sana sini tidak lagi segan silu membawa bendera PAS dan sebaliknya tidak pernah kita saksikan mereka membawa bendera keris tidak bersarung milik UMNO.

Saya yakin, benih Islamphobia yang disemai UMNO semakin mati tunasnya. Keputusan DAP ini insya-Allah satu rahmat besar buat PAS. Ia sebenarnya rezeki buat perjuangan Islam.

Mungkin Barisan Nasional merasakan langkah ini bakal membantutkan gerak langkah Pakatan Rakyat, namun sesungguhnya ia mengandungi rahmat yang sangat besar.

Jika Perjanjian Hudaibiyyah membuka jalan kepada pembukaan kota Makkah, maka tidak mustahil langkah kerajaan Barisan Nasional ini sedang membuka kepada pembukaan Putrajaya dan pembinaan Malaysia Baru.

Tidak mustahil tarikh 6 Mei 2013 nanti, perayaan besar-besaran kemenangan rakyat akan berlangsung di seluruh negara menyaksikan keruntuhan Barisan Nasional.

Yakinlah keputusan ini membuka pintu sejarah yang akan dikenang zaman berzaman. Inilah saatnya di mana akhirnya roket berjaya mendarat di bulan!

Salam hormat,

NIK ABDUL AZIZ BIN NIK MAT,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)


Bertarikh : 8 Jamadil Akhir 1434H bersamaan 19 April 2013M

Sunday, April 14, 2013

AKAL MENJADI KEUTAMAAN DALAM MENTADBIR - TG NIK AZIZ

Rizal Tahir, 14 Apr 2013

(Tg Nik Aziz bersama para pemimpin Pakatan di Johor)


PULAI: Untuk mentadbir negeri atau negara tidak memerlukan peruntukkan dan modal yang besar semata-mata, sebaliknya akal fikiran yang lebih berharga dari wang ringgit.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata sewaktu mula menerajui pentadbiran Kelantan, Umno mendakwa kepimpinannya hanya bertahan tiga bulan sahaja.

“Memang betul jika diukur dari segi kewangan, sebab Angkatan (Angkatan Perpaduan Ummah) menang ketika tabung kewangan begitu kecil, tetapi untuk mentadbir negeri atau negara tidak memerlukan wang yang banyak, sebaliknya akal.

“Kalau mentadbir negara tidak guna akal sebaiknya, wang yang banyak tidak ada gunanya, alhamdulillah kita menang di Kelantan hampir 23 tahun lamanya,”ujarnya lagi.

(TG Nik Aziz memberikan ucapan di Pulai)

Tuan Guru berkata demikian ketika berucap di Majlis Hi Tea Bersama Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pemimpin Pakatan Rakyat (Johor), semalam.

Pada masa yang sama beliau berkata perjuangan Pakatan Rakyat (PR) bukan hanya untuk membela satu kaum iaitu Melayu sahaja, sebaliknya bangsa lain Cina, India dan sebagainya akan diperjuangkan bersama.

Katanya,  semua bangsa perlu memerlukan antara satu sama lain.

Ia seumpama  satu anggota pada sebuah badan sekiranya tidak cukup ianya akan menjadi cacat.

“Saya bersyukur  masyarakat Cina dan India kini sudah boleh menerima perjuangan PAS,”ujarnya.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula berkata orang Cina merupakan satu bangsa yang sejak awal bertamadun.

Kerana itu mereka bijak serta mampu berfikir khususnya dalam politik.

Jelasnya, kerana rekod perjuangan PAS di samping kerajaan yang ditadbir PR tiada rekod penyelewengan, membuatkan mereka semakin yakin dengan Pakatan Rakyat.

Pada masa yang sama Salahuddin turut mengumumkan calon yang bakal dicalonkan pada PRU-13 ini merupakan pemimpin PR yang  tiada rekod penyelewengan.

Sama ada di Selangor,  Kelantan, Kedah atau Pulau Pinang, keterampilan calon yang berwibawa menjadi pilihan pimpinan untuk mencalonkan mereka.

Katanya, ianya untuk memastikan Johor mendapat perubahan yang sebaiknya sebagaimana di negeri-negeri lain.

“Kerana itu saya sanggup meninggalkan kerusi yang selamat sebelum ini Parlimen Kubang Kerian untuk berpindah ke Johor demi untuk masyarakat negeri ini yang lebih baik,”ujarnya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Ketua Penerangan PAS Johor, Haji Ghazali Ayob dan Pengerusi DAP negeri Johor, Dr Boo Cheng Hau.

Friday, April 12, 2013

Dr Mahathir sedang usaha hancurkan negara - Salahudin

Harakahdaily, 12 Apr 2013
KUALA LUMPUR: Saranan Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa akan berlaku konfrantasi kaum jika Lim Kit Siang menang di Gelang Patah boleh menghancurkan negara ini, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Jika hancur negara ini kerana tercetusnya konfrontasi kaum akibat hasutan secara tidak langsungnya itu, Dr Mahathirlah yang bertanggungjawab.

"Kalau berulang lagi rusuhan kaum 13 Mei 1969, Dr Mahathirlah pencetusnya," tegas beliau.

Bagi Salahuddin, bekas Presiden Umno itu amat jelas anti-perpaduan dan sangat tidak bertanggungjawab apabila mendakwa kononnya konfrontasi kaum akan menggantikan kerjasama Melayu Cina di negara ini jika Lim Kit Siang menang di Gelang Patah.

Malah, katanya lagi, semakin terbukti dengan amat jelas kepada rakyat bahawa perbuatan mengapi-apikan kebencian antara kaum adalah satu-satunya senjata Umno untuk menghadapi kebangkitan rakyat dalam dalam Pilihan Raya Umum Ke-13 ini.

Menulis dalam blognya, Perdana Menteri keempat itu berkata, "Apabila Kit Siang memutuskan untuk bertanding kerusi majoriti Cina di Gelang Patah, ia adalah disebabkan beliau mahu orang-orang Cina di situ dan di Johor menolak untuk berkerjasama dan berkongsi dengan orang-orang Melayu.

"Konfrontasi kaum yang tidak sihat akan menggantikan kerjasama Cina-Melayu yang menyebabkan Malaysia stabil dan makmur. Kerjasama itu akan berakhir jika Kit Siang menang di Gelang Patah".

Salahuddin menyifatkan tulisan Dr Mahathir itu secara tidak langsung menghasut supaya dicetuskan konfrontasi antara kaum jika Kit Siang menang.

"Walaupun beliau tidak menghasut secara langsung, tetapi apa yang ditulisnya jelas merupakan taktik untuk menghasut secara tidak langsung.

"Ia taktik lama yang sudah biasa kita lihat," katanya.

Salahuddin berkata, sukar untuk ditolak kemungkinan mereka yang terpedaya dengan hasutan tidak langsung Dr Mahathir itu akan mengamuk dan mencetuskan konfrontasi antara kaum," katanya.

"Dr Mahathir mungkin memerah otak supaya tulisannya tidak dilihat menghasut tetapi semakin ia cuba untuk tidak kelihatan menghasut semakin terdedah niat yang cuba disembunyikannya itu.

"Kalau Dr Mahathir fikir cara dia menulis itu dapat menyembunyikan niatnya untuk mencetuskan konfrontasi kaum, ia tak ubah seperti menutup bangkai gajah dengan nyiru," katanya.

Bagi Salahuddin, Dr Mahathir hanya tahu melihat apa sahaja yang berlaku dari sudut pandangan perkauman Umno sahaja.

"Saya tidak mahulah kata Dr Mahathir menulis dari sudut pandangan perut busuk Umno tetapi bekas Presiden Umno itu sendiri pernah menulis Umno busuk hingga ke usus atau 'rotten to the core'.

"Dia hanya mampu melihat dari sudut itu sahaja dan tidak tahu apa-apa tentang perpaduan kaum yang semakin berjaya dibina oleh Pakatan Rakyat setelah dimusnahkan oleh sentimen perkauman yang tidak henti-henti diapi-apikan oleh Umno sejak selepas pilihan raya umum 2008 lalu," katanya.

Salahuddin menegaskan, tidak ada sebab sesiapa pun hendak berkonfrontasi jika Kit Siang menang di Gelang Patah.

"Kit Siang tidak membawa mesej perkauman sempit seperti Umno.

"Malah, beliau membawa semangat Datuk Onn Jaafar yang membuka keahlian Umno kepada semua kaum ketika beliau menjadi pemimpin parti itu," katanya.

Kit Siang sebelum ini menyeru semua pihak mencontohi pengasas Umno Datuk Onn Jaafar dengan bersikap melampaui sentimen perkauman dalam pilihan raya umum di Gelang Patah.

Calon Pakatan bagi Parlimen itu berharap "pertempuran" di kerusi itu merealisasikan "impian Malaysia" Datuk Onn ke arah penyatuan bangsa berbilang kaum, seperti tergambar daripada tindakannya untuk membuka keahlian Umno kepada semua pada 1951.

"Malah, saya merujuk kepada pengundi Gelang Patah sebagai rakyat Malaysia, bukan pengundi Cina, Melayu atau India demi mencapai 'impian Malaysia' masyarakat bersatu-padu," katanya.

JEMAAH MASJID AL FATAH 'MENANGIS'

Abu Musa, 12 Apr 2013 HARAKAHDAILY
Allahurabbi..rata-rata jamaah Masjid Al-Fatah tadi menangis dengan pengisian khutbah yg disampaikan oleh Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man:

1. Sekarang bukan lagi zaman menjadi penyokong, sekarang zaman semua kena menjadi petugas untuk menangkan Islam.

2. Jika ditakdirkan kita tewas, janganlah berasa dukacita diatas kekalahan, tapi berdukacitalah kerana kita tidak menyumbang kepada kemenangan. Yang telah bekerja keras tidak perlu bersedih, kerana itu adalah kehendak Allah.

3. Berilah sumbangan kepada perjuangan memenangkan Islam.

4. Di dalam sebuah peperangan yang sangat penting di zaman Nabi, Nabi menyuruh semua sahabat-sahabat menginfaqkan harta. Saidina Umar menyumbang separuh hartanya, Saidina Abu Bakar menyumbang semua hartanya termasuk jubah yg sedang dipakai, tetapi ada seorang jamaah yg kudung kedua dua tangan dan kakinya, menyumbang segantang kurma, hasil dia mengumpul setelah lama bekerja menjadi hamba mengangkat air dari perigi..

5.Yang kudung kaki dan tangan pon menyumbang untuk Islam, takkan kita setakat jadi penyokong, bila kalah nanti sedih, sedangkan orang lain berjaga sampai lewat pagi untuk gerakerja Islam, dia di rumah menonton tv!

6.Perjuangan ibarat sebuah bangunan.. semuanya saling memerlukan.. siapa yang jadi atap, jangan komplen kepada lantai..yang jadi tangga jangan komplen kepada dinding..yang jadi tiang jangan komplen kepada tingkap..

Sekarang, kita di mana sebenarnya.

Followers