Thursday, July 29, 2010

FDI : Mustapa tidak bertanggungjawab, hina rakyat



Abdul Aziz Mustafa HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR, 29 Julai: Jawapan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed mengenai kejatuhan pelaburan langsung luar (FDI) ke negara ini adalah tidak bertanggungjawab dan menghina pemikiran rakyat, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.
Mustapa mendakwa, FDI ke negara ini merudum begitu teruk ke tahap terburuk sehingga 81 peratus kerana Malaysia berada pada tahap pembangunan yang berbeza dengan jiran-jirannya.
"Mustapa enggan mengakui kegagalan kerajaan khususnya Kemneterian Perdagangan Antarabangsa dan Industri mencipta peluang-peluang pelaburan di negara ini dengan berdalihkan ketiadaan pembangunan infrastruktur di negara ini seolah-olah negara ini maju sangat berbanding India atau Vietnam.

"Kalau Malaysia hebat sangat dari segi infrastruktur dan berada pada tahap pembangunan berbeza berbanding jiran-jirannya seperti Vietnam dan Indonesia, mengapa pembinaan kemudahan asas seperti jalan, bekalan elektrik dan air, serta jaringan komunikasi kepada kawasan luar bandar menjadi fokus Rancangan Malaysia Ke-10?" Mahfuz mempersoalkan.
Mahfuz juga menolak dakwaan Mustapa yang cuba mengaitkan kejatuhan terburuk FDI itu kerana kerajaan tidak berminat menarik pelaburan kategori rendah seperti pemprosesan dan pemasangan.

"Kerajaan yang tak berminat atau pelabur yang sebenarnya tidak berminat untuk melabur di negara ini yang terkenal dengan budaya rasuah parti pemerintahnya?
"Tidak cukup dengan kegagalan dan ketiadaan kebolehan menjalankan tugas, cakap berlagak pula untuk mewajarkan kegagalan. Inilah akibat dari sindrom DBS Umno - dah bodoh, sombong.
"Sebab itulah saya sifatkan jawapan Mustapa bukan sahaja tidak bertanggungjawab malah menghina pemikiran rakyat kerana nampak sangat beliau cuba memperbodohkan rakyat," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
Sepatutnya, kata beliau, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan timbalannya mengakui kelemahan mereka untuk menarik kemasukan FDI ke negara ini dan memohon maaf dari rakyat kerana tidak berkebolehan menjalankan tugas mereka.
"Reaksi menteri (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan timbalannya tak ubah seperti yang disebutkan pepatah Melayu, diri sendiri tak tahu menari, salahkan tanah tinggi rendah - mereka menyalahkan segala-galanya termasuk blog kecuali diri mereka sendiri," katanya.
Sepatutnya lagi, kata Mahfuz lagi, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serta Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan timbalannya meletakkan jawatan kerana kegagalan yang amat memalukan itu.

Perangai enggan mengaku kelemahan diri sendiri yang sudah sebati dengan Umno itu, katanya lagi. akan menghancurkan negara.
Mahfuz mengaitkan sikap itu dengan keyakinan bahawa mereka tidak akan dibuang.
"Tidak hairan kalau tidak ada accountability dan responsibility langsung di pihak menteri (Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dan timbalannya kerana mereka yakin sangat mereka tidak akan dibuang kerja.

"Tambahan pula Najib sering dikaitkan dengan sikap yang lebih mengutamakan ‘tukang kipas’ daripada kepandaian dan kerajinan membuat kerja.
"Beliau juga dikatakan membuat perlantikan untuk mengambil hati dan menutup mulut pengkritik yang ditakutinya.

"Dan, lebih dari semua itu, kegagalan mereka adalah kegagalan Najib sendiri, takkan Najib nak membuang mereka dan dirinya sendiri," kata Mahfuz.

Tuesday, July 27, 2010

FDI MERUDUM ANGKARA PENTADBIRAN ANAK BERANAK


HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR, 27 Julai: Penjelasan Ketua Eksekutif CIMB Group Holdings Bhd (CIMB Group), Datuk Seri Nazir Tun Razak mengenai merudum pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini mengingatkan rakyat kepada pentadbiran nepotisme, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar (gambar).


"Kenyataan jurucakap baru kabinet (Datuk Seri) Najib, iaitu adiknya sendiri, mengingatkan rakyat Malaysia kepada budaya pentadbiran nepotisme yang dipelopori di zaman Tun Dr Mahathir atau pentadbiran 'anak beranak' yang dipraktikkan oleh Tun Abdullah (Ahmad Badawi).


"Mungkinkah Kerajaan Umno Barisan Nasional (BN) ini wajar dipanggil 'pentadbiran adik beradik' pula?" katanya.
Kenyataan dari jurucakap baru kabinet Najib itu juga, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu, menunjukkan bahawa anggota-anggota kabinet serta Najib sendiri telah bankrap atau muflis idea bagaimana hendak menjanakan ekonomi Malaysia.


"Mereka adalah ibarat burung unta yang menyembunyikan kepala masing-masing dalam tanah. Tunggu masa sahaja sebelum mereka ditendang keluar oleh rakyat," katanya.
Menurutnya, memandangkan tidak ada komen atau apa-apa kenyataan langsung daripada anggota-anggota kabinet Najib atau beliau sendiri berkenaan kejatuhan pelaburan langsung asing sehingga 81 peratus itu, sekurang-kurangnya kenyataan Nazir itu menunjukkan, maka kerajaan Najib mengakui benarnya kejatuhan itu.


"Jelaslah ia ia bukan rekaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu atau sebab-sebab yang tidak munasabah lain yang diberi," katanya.
Mahfuz bagaimanapun mengucapkan tahniah kepada Nazir kerana perlantikannya sebagai jurucakap kerajaan abangnya.

Monday, July 26, 2010

PELABURAN MERUDUM SEBANYAK 81 PERATUS



Abdul Aziz Mustafa HARAKAHDAILY


KUALA LUMPUR, 26 Julai: Kejatuhan pelaburan langsung asing (FDI) sebanyak 81 peratus ke negara ini menghilangkan kelayakan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.


Merudumnya pelaburan asing itu menunjukkan betapa buruknya tahap pencapaian Indeks Prestasi Utama (KPI) dan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, katanya.


"Dalam sebuah negara Perdana Menteri adalah Ketua Pegawai Eksekutuf (CEO) yang bertanggungjawab untuk membawa pulangan yang lumayan pada negara dari sejumlah wang yang telah dibelanjakan.


"Kejatuhan kedatangan pelabur asing sebanyak 81% telah menghilangkan kelayakkan Najib sebagai Perdana Menteri dan Menteri Kewangan.
"Najib seharus berundur secara terhormat demi untuk menyelamatkan satu Malaysia "rakyat didahulukan pencapaian diutamakan," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.
KPI dan NKRA diperkenalkan oleh pentadbiran Najib untuk mengukur adalah pencapaian dalam pengurusan.


"Dalam sektor korporat perkembangan begini adalah gambaran gagalnya seorang CEO. CEO seperti ini akan dipecat kerana tidak produktif dan gagal membawa pulangan keuntungan kepada syarikat. Kejatuhan 81% kemasukan pelabur asing adalah satu pencapaian buruk dan memalukan.


"Bersediakah Najib untuk berundur?
"Tentu tidak dan Najib akan kata business as usual. Inilah budaya 'tidak apa' Umno yang merosakkan negara," kata Mahfuz.


Beliau melihat kejatuhan pelaburan asing yang begitu teruk itu adalah akibat dari gejala rasuah dan kepincangan sistem perundangan negara sehingga persepsi pelabur antarabangsa terhadap Malaysia begitu buruk sekali.


Menurut beliau, bagi pelabur asing, mereka akan melabur di tempat lain selain Malaysia apabila di Malaysia mereka berhadapan dengan rentetan birokrasi yang kronik dan juga terpaksa membayar tukang-tukang lobi yang mewakili ahli-ahli kabinet dan isteri serta keluarga mereka.
"Fenomena ini membawa kepada rasuah berleluasa. Di Malaysia Umno mengamalkan konsep who you know, not what you know. Kalau hendak kelulusan menteri, perlu bekerjasama dengan balaci-balacinya." kata beliau.


Menurut beliau lagi, pelabur-pelabur asing juga tidak berminat kepada Malaysia apabila melihat kepincangan sistem perundangan dan keadilan negara.
"Kes Lingamgate, kes rampasan kuasa Umno Barisan Nasional (BN) di Perak, kes sodomi kedua dan lain-lain memberi gambaran law of rule bukan rule of law," katanya.


Begitu juga dengan kepincangan pengurusan di Sime Darby, Felda, Maybank dan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC) yang lain, kata beliau, kesemuanya memberi tanggapan buruk kepada pelabur-pelabur asing.


"Mereka melihat di Malaysia tidak ada budaya accountability dan responsibility.
"Sime Darby rugi berbillion, ahli lembaga pengarah masih ada, tidak ada sesiapa yang dikenakan tindakan undang-undang atau diberhentikan.


"Maybank buat pelaburan bodoh di Indonesia dengan membeli Bank Internasional Indonesia, CEOnya dilantik jadi menteri kabinet, sekarang jadi Pengerusi Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC). Felda susut rizab tunai berbillion ringgit, Najib terus jadi Perdana Menteri yang menguruskan Felda dan (Datuk) Ahmad Maslan terus jadi Timbalan Menteri.
"Mana dia accountability dan responsibility? Pelabur tidak akan melabur di negara yg tidak ada budaya accountability dan responsibility," tegas beliau.


Laporan Pelaburan Dunia 2010 yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu menunjukkan jumlah FDI ke Malaysia terus mencatatkan penurunan mendadak pada tahun lalu.


Jumlah itu berkurangan RM19.04 bilion berbanding RM23.47 bilion yang diterima pada tahun 2008 (Perangkaan diambil kira berdasarkan nilai US$1 = RM3.20650).
Perangkaan tahun lalu yang hanya bernilai RM4.43 bilion juga tidak mencerminkan separuh daripada apa yang lazimnya diterima oleh Malaysia pada 1995 hingga 2005.


Prestasi Malaysia juga dianggap memalukan jika dibandingkan dengan ekonomi Thailand dan Indonesia yang tidak mengecut dengan teruk di sebalik menerima tempiasan krisis kewangan dunia itu.


Thailand kehilangan RM14.24 bilion manakala Indonesia pula hanya berkurangan RM8.32 billion dalam FDI mereka, tahun lalu.


Kejatuhan mendadak itu yang dikatakan paling buruk dalam 15 tahun menyaksikan jumlah terkumpul FDI yang mengalir keluar melebihi jumlah pelaburan yang diterima sebanyak RM3.21 bilion.

Sunday, July 25, 2010

MALAM TAHAN TANPA BICARA SARAT DENGAN MESEJ BENCI ISA


Hazayani Zakaria HARAKAHDAILY


PETALING JAYA, 25 Julai: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mencipta sedikit kelainan dalam menyampaikan mesej bantahan terhadap akta itu dengan menyalurkannya melalui seni dan hiburan.


Meneruskan kempen 50 Tahun ISA: Mansuh Sahaja! Bukan Pinda!, GMI dengan kerjasama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara, Dr. Nasir Hashim, menganjurkan Malam Seni Tahanan Tanpa Bicara malam tadi yang diisi dengan pelbagai persembahan menarik termasuk deklamasi puisi daripada beliau sendiri.


Majlis sederhana di dewan orang ramai, Jalan Nuri, Seksyen 7, Kota Damansara itu sarat dengan mesej dan kritikan terhadap kerajaan yang masih berdegil mahu mengekalkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang menyaksikan penderitaan tahanan dan keluarga mereka.
Selepas ucapan Presiden GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dan Dr. Nasir, persembahan dimulakan dengan deklamasi sajak oleh bekas tahanan ISA, Rishamuddin Rais yang juga seniman yang lantang mengkritik kerajaan Umno/Barisan Nasional.


Dengan gaya bersahaja, beliau menyampaikan sajak bertajuk "Janji Lelaki Itu" yang mengisahkan kehidupan seorang tahanan ISA di Kem Kamunting dan bagaimana penderitaan yang terpaksa ditanggung keluarganya.


Turut mengambil tempat, penyanyi lagu-lagu reformasi, Meor dan Nik yang menyampaikan lima buah lagu yang sarat dengan mesej kritikan terhadap Umno/BN.
Kartunis Zunar juga tidak melepaskan peluang mempamerkan kartun-kartun terbaru ciptaannya yang dinamakan Karram iaitu kartun-katun yang haram, berkisar mengenai skandal dan salah guna kuasa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan bekas-bekas Perdana Menteri terdahulu.


Beberapa kartun yang dimuatkan dalam komik terbitannya telah diharamkan oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) atas alasan mengancam keselamatan negara.
Kartun yang berbentuk sindiran tajam terhadap kepimpinan Umno BN itu berjaya menggamatkan suasana dengan gelak ketawa kira-kira seratus yang hadir.


Turut mencuri perhatian hadirin, persembahan teater daripada rumah anak-anak teater yang bertajuk "Red Eyes".


Ia mengandungi mesej kebosanan dan tekanan yang dihadapi rakyat dengan pemerintahan Najib yang penuh retorik dan tidak pernah mengambil kira kesusahan yang ditanggung rakyat akibat penyelewengan dan salah guna kuasa kerajaannya.


Sementara itu, Syed Ibrahim yang ditemui selepas majlis berakhir berkata, program berkenaan merupakan salah satu cara yang digunakan GMI untuk mendesak akta zalim itu dimansuhkan memandangkan program sebelum ini banyak berbantuk ceramah dan penerangan tanpa hiburan.


Beliau juga memberitahu, pihaknya telah menghantar surat kepada parti-parti politik khususnya Pakatan Rakyat agar program GMI diperbanyakkan di setiap negeri.
"Desakan mansuhkan ISA ini bukan hanya tugas GMI tetapi perlu melibatkan semua pihak khususnya Pakatan Rakyat. Kita mahu Pakatan Rakyat lebih ke hadapan dalam membawa isu ini," katanya.


Bersempena Ramadhan yangakan tiba pada Ogos yang merupakan bulan ISA, beliau juga berharap agar program tidak dihentikan sebaliknya penerangan mengenai kezaliman ISA perlu diselitkan dalam tazkirah-tazkirah di surau dan masjid.

Thursday, July 22, 2010

KUASA POLITIK BARU PERLU GANTI UMNO


Dzulfikar Mashoor HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 22 Julai: "Kekecewaan orang Melayu terhadap Umno sudahpun diketahui umum, sebab itu perlu ada politik baru di kalangan Melayu yang tidak rela membiarkan kepimpinan ini terus merosakkan bangsa dan negara."

Demikian maklum balas Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar) petang tadi, mengulas rancangan 'Perpaduan Melayu' yang dipopularkan oleh beberapa pemimpin Umno belakangan ini.

Menurut beliau, budaya berpolitik yang diamalkan oleh Umno telahpun tergelincir dari landasan kebudayaan Melayu yang sebenar.

Katanya, perbincangan itu sudah tergelincir dari landasan yang sebenar kerana lebih untuk mempertahankan kepimpinan pemimpin dan parti politik tertentu walaupun mereka diketahui umum mengamalkan rasuah, pecah amanah, tidak menghayati keharmonian kaum dan tutup ruang demokrasi.

Sedangkan, katanya, kekuatan orang-orang Melayu yang sebenar adalah kembali berpegang teguh pada ajaran Islam.
"Kalau nak bincang tentang perpaduan Melayu, mengapa tidak pergi pada kekuatan sebenarnya, iaitu Islam," ujar beliau.

"Kekuatan Islam yang membentuk budaya orang-orang Melayu yang tinggi, tidak suka pada politik murahan dan pinggiran, amanah dan sangat menjaga maruah bangsa dari terjebak dengan politik yang tidak sihat."

Baginya, orang-orang Melayu seharusnya dididik dengan budaya berfikir yang lebih dinamik supaya tidak terperngaruh dengan anasir-anasir tidak sihat ciptaan pihak tertentu yang berkuasa.

Melihat pada kemusnahan budaya Melayu dalam Umno, beliau berkata, orang Melayu tidak perlu menunggu perpaduan Melayu melalui parti perkauman itu demi melakukan perpaduan mahupun perubahan dalam masyarakat.

Sebaliknya, perubahan paradigma dan budaya orang Melayu seharusnya diperkasakan melalui badan bukan kerajaan (NGO) berwajib serta dalam parti-parti alternatif yang popular di kalangan Melayu.

"Perubahan ini tidak perlu Umno, perpaduan atau perubahan ini sebenarnya perlu (kuasa politik) yang lain, perlu dibuat berperingkat di semua peringkat," tegasnya.

Beliau turut menolak formula popular di kalangan pemimpin Umno kononnya orang-orang Melayu seharusnya mendahulukan perpaduan Melayu melalui Umno walaupun segelintir kepemimpinan parti perkauman tersebut dilihat tidak berbudaya Melayu yang sebenar.
"Bukan Umno sahaja yang Melayu," tegasnya.

Wednesday, July 21, 2010

JANGAN TERPERANGKAP MAINAN MEDIA



Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 21 Julai: Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Mat Isa (gambar) mengajak pemimpin dan ahli PAS di semua peringkat tidak terjerumus dalam mainan media Umno berhubung isu kerjasama Umno-PAS.

Peringatan itu dilontarkan bagi mengelakkan salah faham dan kekeliruan di kalangan rakyat berhubung kenyataan balas pemimpin yang sering diputar belit media arus perdana.

"Saya selaku Timbalan Presiden PAS ingin menegaskan bahawa semua ahli dan pimpinan PAS supaya jangan terikut-ikut dengan rentak yang dimainkan oleh media arus perdana.

"Kebelakangan ini, isu kerjasama antara PAS dan Umno kembali dipaparkan oleh media-media arus perdana sehingga mengelirukan sebahagian ahli PAS dan masyarakat Malaysia umumnya.
"Malah, pihak media telah mendapatkan beberapa pandangan daripada pemimpin-pemimpin PAS di peringkat pusat, negeri dan kawasan berhubung perkara ini," katanya dalam satu kenyataan.

PAS, katanya sangat percaya media-media pro-Umno ini akan menimbulkan persepsi baru sehingga boleh merapuhkan wehdah atau kesatuan dalaman PAS sendiri.
"PAS masih lagi berpegang dengan ketetapan yang telah dibuat dalam muktamar-muktamar yang lalu.

"PAS akan terus memfokuskan kepada gerak kerja mendepani Pilihanraya Umum Ke-13 untuk membentuk Kerajaan Persekutuan yang baru," katanya lagi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok menyeru kepada seluruh pimpinan dan ahli agar dapat melipatgandakan usaha untuk memantapkan organisasi terutama diperingkat cawangan dan kawasan serta menambahkan keahlian baru PAS semaksimum mungkin.

Isu kerjasama PAS-Umno terus dimainkan Umno dan juga media pro mereka dalam usaha memancing PAS dan mahu melihat PAS berpecah.

Terbaru, akhbar Utusan Malaysia hari ini sekali lagi memutarbelitkan kenyataan Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan sehingga menggambarkan beliau pro-kerjasama PAS-Umno.
Akhbar itu kononnya memetik tulisan dari blog Nasrudin namun secara jelas beberapa perkataan diubah bagi kepentingan politik Umno-BN.

Nasruddin ketika mengulas perkara itu berkata, beliau kesal dengan sikap akhbar tersebut yang cuba memesongkan maksud sebenar tulisannya dalam blog http://episodeperjuangan.blogspot.com/.

"Tulisan saya diambil secara tidak beramanah dan Utusan telah menjatuhkan etika kewartawanan."Saya memberi peringatan kepada pihak akhbar tersebut dan minta supaya membuat permohonan maaf secara terbuka," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.
Sehubungan itu beliau menasihatkan orang ramai khususnya ahli dan penyokong PAS merujuk sendiri tulisan asal di blog beliau dan tidak mudah menerima bulat-bulat laporan Utusan yang juga alat propaganda Umno BN.

Monday, July 19, 2010

MELAYU LEBIH MULIA TANPA UMNO



Nazri Abdullah HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 19 Julai: “Melayu akan lebih kukuh dan mulia tanpa Umno, dan Malaysia akan lebih maju tanpa Umno," kata Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana meyakini kuasa politik melayu akan hilang pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 nanti.

"Saya ucap terima kasih kepada Tan Sri Harussani kerana begitu kasyaf tentang politik negara yang nampak kuasa politik Melayu iaitu Umno akan hilang.

"Dan kita yakin kuasa politik baru akan wujud yang dikuasai Melayu serta semua kaum yang ditunjangi Pakatan Rakyat suatu masa nanti," katanya pada sidang media di Pejabat Agung PAS, pagi tadi.

Hadir sama ialah seorang lagi Naib Presiden PAS, Salahudin Ayub.

Menurut beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena, orang Melayu tidak perlu risau jika PAS dan Umno tidak bersatu kerana hak orang Melayu lebih terbela tanpa Umno.

Umno, katanya sudah jelas terbukti sebuah parti yang menghakis kepentingan Melayu bukan membela Melayu.

Salahudin pula memberitahu, PAS tidak pernah membuat sebarang keputusan untuk menghantar mana-mana pihak atas tujuan menjalin kerjasama politik dengan Umno.

"Kita dah tutup buku kerjasama dengan Umno.

"Dakwaan (kerjasama) itu satu ftnah, mereka cuba menghakiskan kepercayaan penyokong dan ahli PAS terhadap pemimpin PAS," katanya yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian.

Katanya, PAS sudah memutuskan akan tetap komited bersama Pakatan Rakyat dan isu kerjasama dengan Umno tidak berbangkit.

Dalam pada itu, mengulas dakwaan wujud perbezaan pandangan antara Muhyidin dengan Najib berhubung isu kerjasama ini, Mahfuz berkata Muhyidin seperti mempunyai agenda dalaman menjatuhkan Presidennya.

Muhyidin jelasnya sedang berusaha meyakinkan pemimpin dan ahli Umno lain bahawa Najiblah punca kuasa politik Melayu yang diperjuang parti itu terhakis.

"Muhyidin sedang bina imej untuk jadi hero Melayu dalam Umno.

"Dia sedang mengambil kesempatan mengajak pemimpin Umno lain tikam Najib daripada belakang," katanya.

Friday, July 16, 2010

UMNO SENTIASA SIBUK MINTA TOLONG PAS


Muhammad Yusri Amin - HARAKAHDAILY

KOTA BHARU, 16 Julai: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menegaskan PAS sejak ditubuhkan pada 1951 tidak pernah meminta pertolongan Umno, tetapi sebaliknya Umno sentiasa sibuk meminta pertolongan dari PAS.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengulas dakwaan Umno kini berada dalam keadaan lemah dan kritikal terutama dalam usaha meraih undi Melayu dan sokongan bukan Islam menjelang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) sehingga terpaksa mempelawa PAS menyertai Umno walau pun pada satu pihak menuduh PAS sesat.

“Kelemahan yang berlaku dalam Umno kini adalah masalah dalaman parti itu, tetapi kenapa dicampur dengan PAS. Kalau dia lemah, maka lemahlah, itu kelemahan dia.

“PAS ni sejak diwujudkan pada 1951 lagi tidak pernah meminta pertolongan Umno (tetapi sebaliknya), Umno duk sibuk nak minta tolong dengan PAS,” katanya kepada media selepas menyampaikan kuliah mingguannya di Medan Ilmu di sini pagi ini.

Ditanya mengenai penafian Presiden Umno yang juga Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini bahawa tercetus semula isu usaha kerjasama Umno dan PAS menunjukkan Umno kini berada dalam keadaan terlalu lemah sehingga terpaksa menjalin kerjasama dengan PAS, beliau berkata, “itu terserah kepada dia”.

Bagaimana pun beliau memberi kesanggupan untuk berjumpa dengan Timbalan Perdana, Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam mana-mana platform termasuk di luar Kelantan sekiranya beliau berada dalam keadaan sihat.

“Tetapi kalau perjumpaan itu hendak runding PAS dengan Umno, tidak ada sama sekali.

“Saya bagi tahu dah, kalau hendak berjumpa dengan saya hendak berunding persoalan PAS dengan Umno, tidak boleh sama sekali. Ini kerana barang yang sudah pun selesai. Sepuluh tahun lalu, dah selesai.

“Itu keputusan parti, bukan keputusan saya, tetapi kalau hendak berunding benda lain, petroleum atau masalah apa saja, boleh,” katanya.

Beliau mengulangi bahawa isu ‘perpaduan Islam’ tidak boleh dirundingkan, terutama apabila Umno menolak Islam dan mengambil ‘kebangsaan’.

Oleh itu, tegasnya, Umno perlu menukar ‘kebangsaan’ itu kepada ‘Islam’ dan akan boleh menyesaikan persoalan tanpa rundingan.

“Islam adalah ‘pasport’ untuk ke syurga, ‘Melayu’ tidak boleh ke syurga.

“Usahkan Melayu, bahkan bapa saudara Nabi Muhammad s.a.w. sendiri, Abu Lahab, seperti firman Allah (dalam Surah Al-Masad, ayat 1-6) binasa.

“Sedangkan Abu Lahab itu bapa saudara Nabi sendiri, orang Arab dan baka Quraisy, tok syed, tetapi rekod nama dia digazet dalam Al-Quran sebagai ahli neraka. Oleh itu, usahkan Melayu, bangsa Arab pun tidak boleh,” katanya.

Thursday, July 15, 2010

PERMIT PENERBITAN HARAKAH DIPERBAHARUI

Harakahdaily

PUTRAJAYA, 15 Julai: Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang berpuashati dengan penjelasan terhadap surat tunjuk sebab memutuskan untuk memperbaharui permit penerbitan Harakah dengan diberikan ‘amaran keras’ supaya hanya dijual di markas dan pejabat urusan PAS sahaja.

Demikian dinyatakan oleh Setiausaha Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks al-Quran KDN, Datuk Zaitun Ab Samad dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini, hari ini.

Berikut adalah kenyataan penuh beliau.

1. Kementerian Dalam Negeri ingin memaklumkan bahawa pihak penerbitan HARAKAH telah memberikan perhatian yang serius terhadap Surat Tunjuk Sebab yang dikeluarkan oleh Kementerian ini dan telah menunjukkan kerjasama yang baik kepada Kementerian.

2. Pengerusi Jemaah Pengarah HARAKAH, Dato’ Mustafa bin Ali dan Pengarah Urusan HARAKAH, Dato’ Kamarudin bin Jaffar telah datang berjumpa Ketua Setiausaha, Kementerian Dalam Negeri pada 12 JULAI 2010 (ISNIN) untuk memberikan penjelasan.

3. Pihak penerbitan HARAKAH juga telah menjawab Surat Tunjuk Sebab Kementerian pada 13 JULAI 2010 (SELASA) dengan mengemukakan penjelasan serta beberapa akujanji seperti berikut:-

i. Akan mematuhi semua syarat-syarat permit penerbitan, garis panduan dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (AMCP) 1984;

ii. Akan mencetak perkataan “UNTUK AHLI SAHAJA” di muka hadapan setiap keluaran dan naskhah penerbitan HARAKAH sebagai peringatan kepada pembeli; dan

iii. Akan menghantar lapan (8) naskhah setiap keluaran penerbitan HARAKAH ke Kementerian sebaik sahaja ianya dicetak.

4. Dengan mengambil kira kerjasama, penjelasan serta janji pihak penerbitan HARAKAH untuk mematuhi syarat-syarat permit penerbitan serta Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, Kementerian Dalam Negeri dengan ini berpuashati dan memutuskan untuk memperbaharui permit penerbitan HARAKAH dengan diberikan AMARAN KERAS supaya hanya dijual di markas dan pejabat urusan PAS sahaja.

5. Kementerian akan sentiasa memantau penerbitan HARAKAH untuk memastikan pemantuhan.

Wednesday, July 14, 2010

UMNO DEMAM : LEPAS TUDUH SESAT, PELAWA PULA


Nazri Abdullah HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 14 Julai: PAS sedia menyediakan pakar sakit jiwa kepada Umno dan Timbalan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ekoran masih membangkitkan isu kerjasama PAS-Umno biarpun PAS secara jelas menolak pelawaan Umno itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar ketika diminta mengulas perkara itu berkata, Umno juga seperti terkena demam panas yang kuat sehingga mengganggu fungsi otak mereka.

"Kita dah kata dah tak nak, duk bercakap lagi. Orang yang duk bercakap sorang-sorang ni ada problem la. Kita sedia sediakan khidmat pakar psikiatri untuk Umno dan Muhyiddin," katanya sinis.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, Umno secara jelas membuktikan mereka dalam keadaan kritikal dan sangat lemah sehingga terpaksa mempelawa PAS.

"Setelah tuduh PAS sesat, kemudian nak pelawa kerjasama pulak.

"Sekarang Umno melihat hanya PAS yang boleh jadi talian hayat kepada mereka tapi PAS sudah jelas, tidak mahu menanggung biawak hidup," katanya.

Umno, jelasnya sedang mengalami krisis sokongan Melayu terhadap mereka lebih-lebih lagi dengan penubuhan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia(Perkasa) yang dilihat telah merubah pemikiran Melayu Umno sehingga berani menentang Umno sendiri.

"Perkasa telah merubah mentaliti orang Melayu sehingga mereka berani mempersoal Umno yang dulu dianggap ‘tangan yang menyuap mereka’," katanya lagi.

Sementara itu beliau juga berkata, orang Melayu sebenarnya akan lebih maju tanpa Umno kerana selama ini yang merosakkan Melayu adalah Umno.

PAS juga, jelasnya akan mengambil peranan menjaga kepentingan Melayu dan Islam seperti termaktub dalam perlembagaan tanpa mengabaikan hak warganegara lain.

Ianya juga antara resolusi semua parti dalam Pakatan Rakyat yang dicapai pada konvensyen Pakatan Rakyat sebelum ini.

Muhyiddin kelmarin sekali lagi mengulangi kesediaan Umno untuk bekerjasama dengan PAS dengan alasan mahu menjaga kepentingan Melayu.

Tuesday, July 13, 2010

PERMIT : HARAKAH HANTAR JAWAPAN KE KDN HARI INI


Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 13 Julai: Pihak pengurusan Harakah hari ini telahpun menghantar surat jawapan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhubung surat tunjuk sebab kedua yang diberikan kementerian itu semalam.

Perkara itu disahkan Pengarah Urusan Harakah, Datuk Kamaruddin Jaffar (gambar) ketika ditemui Harakahdaily di parlimen hari ini.

"Hari ini sebagai penerusan daripada perjumpaan dan perbincangan semalam, kita menghantar jawapan kita tengah hari ini,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Tumpat.

Jawapan itu, katanya bagi menjawab persoalan yang dibangkitkan KDN berhubung penerbitan dan pengedaran Harakah.

KDN semalam memberi tempoh tujuh hari kepada lidah rasmi PAS itu, bagi menjawab surat tunjuk sebab terbaru yang dikemukakan.

Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam berkata tempoh itu bermula semalam dan jika gagal berbuat demikian tindakan tegas akan dikenakan termasuk menggantung penerbitan akhbar itu.

Semalam juga, Setiausaha Agung, PAS Datuk Mustafa Ali dan Kamaruddin hadir ke KDN bagi memberi penjelasan berhubung surat tunjuk sebab pertama KDN bertarikh 8 Julai lalu.

Ianya berhubung persoalan lambat menghantar lapan salinan Harakah kepada KDN setiap isu, menjual kepada bukan anggota PAS dan menjual di luar daripada tempat yang dibenarkan.

Biarpun sudah diadakan pertemuan kedua dua pihak, KDN menyatakan mereka masih memerlukan penjelasan bertulis dari Harakah.

"Kita yakin penjelasan kita munasabah dan sepatutnya diterima oleh kementerian," jelas Kamarudin lagi.

Penerbitan Harakah tamat permitnya pada 7 Julai lalu dan belum diperbaharui oleh kementerian hingga kini.

"Kita harap pihak KDN membuat penilain positif dan kita juga berharap menerima jawapan positif," katanya.

Monday, July 12, 2010

SESAT : PRESIDEN PAS AJAK ULAMA UMNO MUZAKARAH


Nazri Abdullah HARAKAHDAILY

BANGI, 12 Julai: PAS mengajak biro agama dan mufti Umno bermuzakarah bagi menentukan perjuangan parti mana antara keduanya yang sewajarnya dilabel sebagai sesat.

"Dalam PAS ada Majlis Syura, ada Dewan Ulamak, dan dalam Umno ada biro agama dan ada mufti yang dilantik kerajaan, mari kita muzakarah untuk tentukan siapa yang sesat," kata Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang.

Beliau ditemui pada majlis makan malam bagi mengutip dana RM1.7 juta bangunan PAS Kawasan Putrajaya di Dewan Sri Cempaka, Kompleks PKNS di sini malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang mendakwa PAS sebagai parti ajaran sesat sewaktu berucap merasmikan mesyuarat perwakilan Umno bahagian Kulaijaya, Johor minggu lalu.

Menurut Tuan Guru lagi, yang menentukan sama ada sesebuah parti itu sesat atau tidak bukannya Umno, tetapi dasar dan prinsip parti tersebut.

"Yang menentukan sesat atau tidak, ini Al-Quran dan Hadis, kembali kepada Al-Quran dan Hadis. Kita sentiasa terbuka untuk muzakarah," ujarnya lagi.

Hadir sama pada majlis malam tadi, Yang Dipertua PAS Putrajaya, Mohamad Nazir Zakaria dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi, Dr Shafie Abu Bakar.

Dalam pada itu, sewaktu berucap pada majlis tersebut, Tuan Guru berkata PAS perlu menyelamatkan rakyat di negara dari ajaran perkauman Umno dengan menyeru mereka kembali kepada ajaran Islam.

Pemimpin Umno, katanya telah menjadikan Islam di negara ini mengikut arahan mereka dan bukannya mereka yang mengikut ajaran Islam.

"Jika Islam ditegakkan Melayu akan selamat dan jika Melayu ditegakkan, Melayu tak selamat, Islam pun tak selamat.

"Orang bukan Islam pula jangan takut, Islam tidak memaksa mereka," katanya.

Menyentuh isu kerjasama PAS dengan bukan Islam khususnya DAP yang sering dimainkan Umno beliau menjelaskan, hubungan tersebut berbentuk kerjasama politik yang tidak menggadai prinsip Islam dan berbeza dengan hubungan Umno dengan komponen BN.

"Kerjasama Umno dengan MCA, MIC, Gerakan adalah secara wala’ (semua parti komponen kena patuh kepada Umno), menggadai konsep dan menggadai Islam.

"Kita bekerjasama dengan DAP secara tahaluf (kerjasama atas perkara yang sependapat) dan tidak gadai perinsip dan konsep kita," jelasnya.

Saturday, July 10, 2010

NIK AZIZ : BOIKOT MEDIA PRO BN JIKA PERMIT TIDAK DIPERBAHARUI


Harakahdaily

KOTA BHARU, 10 Julai: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat meminta pemimpin dan penyokong Pakatan Rakyat memboikot semua media pro-BN jika permit untuk akhbar pro-Pakatan tidak diperbaharui.

“Saya harap permit Harakah dan Suara Keadilan di perbaharui. Bagaimanapun, jika kedua-dua akhbar yang menjadi suara rasmi Pakatan ini tidak diperbaharui, saya cadangkan arahan rasmi dikeluarkan kepada pemimpin dan penyokong Pakatan agar mula memboikot media pro BN," kata beliau melalui laman komuniti Facebook hari ini.

Beliau dipercayai mengulas tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang sehingga kini tidak menyambung permit Harakah dan Suara Keadilan yang telah tamat tempoh.

Turut tamat tempoh adalah permit akhbar Rocket versi Bahasa Inggeris yang dimiliki oleh DAP.

Permit akhbar Harakah tamat pada 7 Julai lepas. Pada 5 Julai, Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya telah dipanggil mengadap lapan pegawai KDN di Putrajaya.

Pada 8 Julai lepas, KDN menghantar satu surat tunjuk sebab kepada Harakah kenapa tindakan tidak boleh dikenakan ke atas akhbar itu.

Pada 9 Julai, Taufek sendiri telah ke pejabat KDN di Putrajaya menghantar jawapan Harakah ke atas surat tunjuk sebab itu. Ia dijawab sendiri oleh Pengarah Urusan Harakah yang juga AJK PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaffar.

Kamarudin dalam kenyataannya berkata, Harakah akan diterbitkan seperti biasa kerana permohonan penyambungan permit sudah dibuat kepada KDN dan Harakah memang menunggu kelulusan permit itu.

Sementara itu, KDN memberikan amaran kepada PKR agar jangan menerbitkan Suara Keadilan kerana pihaknya tidak berpuashati dengan jawapan PKR ke atas isu 'Felda Bangrap".

Dalam kenyataannya, Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan meminta KDN atau kerajaan mengambil pendekatan menyaman Harakah jika ada apa-apa kesalahan yang dibuat bukannya membatal atau menarik permit akhbar itu.

"Jika mereka rasa Harakah salah, mereka boleh saman dan memberikan bukti kesalahan Harakah jika ada," katanya.

Friday, July 9, 2010

BERSIH SERAH MEMO KEPADA SPR


Hazayani Zakaria harakahdaily

KUALA LUMPUR, 9 Julai: Gabungan Pilihan raya Bersih dan Adil (Bersih) hari ini tetap menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Pilihan Raya(SPR) meskipun gagal bertemu dengan pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Menurut Setiausaha Bersih, Faisal Mustaffa, memorandum mengandungi lima tuntutan itu hanya diserahkan kepada Pegawai Perhubungan Awam SPR, Sabri Said setelah permintaan untuk mengadakan pertemuan dan dialog dengan Abdul Aziz tidak diterima.

"Tidak ada pertemuan pun di antara kami dengan Pengerusi SPR. Alasan yang diberikan, beliau ada urusan lain dan tidak ada sebab yang menggesa beliau untuk bertemu kami. Tetapi kami telah pun menyerahkan memorandum kepada pegawainya," katanya ketika dihubungi Harakahdaily.

Bersih bagaimanapun katanya, akan terus untuk memohon untuk mengadakan sesi dialog dengan SPR untuk berbincang mengenai tuntutan-tuntutan yang masih belum mendapat perhatian pihak SPR.

"Kita memang memerlukan satu pertemuan dengan pihak SPR bagi mereka menjawab segala tuntutan Bersih dan selepas ini kita akan memohon lagi untuk bertemu SPR," katanya.

Mengulas lanjut mengenai memorandum yang diserahkan itu, Faisal memberitahu, perkara utama yang ditekankan adalah mengenai persempadanan semula pilihan raya yang masih tidak diketahui umum.

Sehubungan itu, Bersih katanya, memerlukan penjelasan daripada SPR kerana melihat pesempadanan semula yang dilakukan sebelum ini tidak dilakukan mengikut prosedur yang betul.

"Yang paling penting ialah mengenai persempadanan semula pilihan raya, yang banyak tidak diketahui secara umum. Kita juga berkerjasama dengan Merdeka Center mengadakan 'pilot study' berkenaan pesepadanan itu, dan ingin dapatkan penjelasan daripada SPR yang mana persempadanan SPR tidak dilakukan mengikut lunas-lunas yang betul. Kita juga ada proposal bagaimana sepatutnya persempadan ini harus dilakukan," katanya.

Selain itu, Bersih meneruskan empat tuntutan sebelum ini yang belum dilaksanakan iaitu penggunan dakwat kekal, akses kepada media secara adil, penghapusan undi pos dan pembersihan daftar pemilih.

"Ia juga termasuk demokrasi pelbagai parti dan juga pentadbiran pilihan raya itu sendiri," katanya.

Bersih juga mengambil serius mengenai kekangan yang dihadapi SPR kononnya mereka tidak ada kuasa untuk melakukan reformasi dalam proses pilihan raya.

"Isu yang penting kekangan atau alasan yang diberi SPR ialah undang-undang tidak membenarkan mereka untuk melaksanakan reformasi begini. Tapi kita sudah jelaskan dalam memorandum bahawa SPR mengikut perlembagaan mempunyai kuasa untuk mengusulkan pindaan kepada akta berhubung pilihan raya," jelasnya.

Turut hadir di pejabat SPR tadi ialah Pengerusi Bersih, Datuk Ambiga Sreenevasan, ahli-ahli jawatankuasa induknya, Maria Chin Abdullah dan Wong Chin Huat.

Thursday, July 8, 2010

HARAKAH NAFI TERIMA SURAT TUNJUK SEBAB KDN

Nazri Abdullah HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 8 Jul: Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya memberitahu beliau tidak pernah diberi apa-apa surat termasuk surat tunjuk sebab oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN) sewaktu pertemuan dengan pihak kementerian itu Isnin lalu.

Menurutnya, agenda pertemuan itu hanya berkisar kepada perbincangan biasa berhubung isu yang dilapor Harakah dan beberapa ingatan dari KDN agar pihak akhbar itu berhati-hati dalam melaporkan isu yang dianggap sensitif.

Turut dibangkitkan berhubung kelambatan harakah menghantar lapan salinan ke KDN setiap kali selesai dicetak.

Tegasnya, isu surat tunjuk sebab dan permit penerbitan Harakah tidak pernah timbul dalam perbincangan tersebut.

"Saya tidak pernah menerima apa-apa surat dari KDN untuk tunjuk sebab.

"Saya hadir hanya memenuhi jemputan untuk berbincang dengan KDN," katanya.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Setiausaha KDN, Datuk Seri Mahmood Adam yang mendakwa Harakah telah diberi surat tunjuk sebab berhubung beberapa isu termasuk kegagalan menghantar lapan salinan kepada KDN setiap kali dicetak.

Menurut Mahmood, kegagalan membuat penjelasan dalam tempoh tujuh hari bermula kelmarin akan membawa masalah kepada pembaharuan permit penerbitan akhbar itu.

"Dakwaan itu tidak betul. Kita bukan gagal hantar lapan salinan tersebut, kita cuma lewat sahaja," jelasnya lagi.

Permit penerbitan Harakah berakhir pada semalam 7 Julai 2010.

Isnin lalu, Harakah dipanggil ke KDN untuk satu perbincangan "saling faham memahami" yang dipengerusikan Pemangku Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abd. Rahim Mohd Radzi.

Turut hadir ialah Datuk Zaitun Ab Samad, Setiausaha Bahagian, Bahagian Penerbitan dan Teks Al Quran.

Sementara itu, pihak pengurusan Harakah ketika dihubungi hari ini memaklumkan surat permohonan pembaharuan permit telah dikemukakan kepada KDN April lalu.

Difahamkan, ketika kali terakhir dihubungi pihak Harakah kelmarin, pihak KDN memaklumkan urusan permohonan permit tersebut belum siap.

Wednesday, July 7, 2010

MIKE TYSON MENANGIS DI RAUDAH


HARAKAHDAILY
MADINAH, 7 Julai: Bekas juara tinju heavyweight dunia, Mike Tyson, kelihatan menangis ketika berada Raudah semalam dan menganggap dirinya bertuah kerana berada di satu daripada taman syurga.

(Gambar:TYSON dengan pakaian ihram bersiap untuk ke Makkah bagi menunaikan umrah, dua hari lepas.)

Lawatan Tyson ke Arab Saudi untuk mengerjakan umrah ditemani Ketua Persatuan Dakwah Kanada, Shahzad Muhammad.

Kata Shahzad, Tyson menjadi begitu emosional ketika mengucapkan salam kepada Rasulullah (SAW) “Dia menangis lebih setengah jam ketika berdiri di depan makam Nabi sambil mengangkat tangannya.

“Tyson terus berada di kawasan Raudah selama beberapa jam untuk bersolat, membaca al-Quran dan berzikir,” katanya.

Dia kemudian menukar pakaian untuk mengenakan ihram sebagai persediaan mengerjakan umrah.

Sementara itu, kedatangan Tyson menarik perhatian orang ramai yang berpusu-pusu untuk melihatnya dari dekat.

Sesetengah pihak sanggup menunggu berjam-jam di hotel didiaminya berhampiran Masjid Nabawi semata-mata mahu mengambil gambarnya. Malah, dia terpaksa diiring pengawal keselamatan untuk ke masjid bagi menunaikan solat Zuhur kerana orang terlalu ramai berada di laluan berkenaan.

Tindakan Tyson mengenakan tutup kepala bagi mengelak daripada dikenali juga gagal dan dia terus diekori peminatnya. Tyson berkata, dia memang gembira diterima baik orang ramai di Tanah Suci.

“Cuma, saya harap tidak diganggu dan biarkan saya menikmati pengalaman beribadah di sini,” katanya.

Selain Masjid Nabawi, Tyson turut meluangkan masa menziarahi Masjid Quba, Masjid Qiblatain (Masjid Dua Kiblat) dan Universiti Islam Madinah. Tyson memeluk Islam ketika di penjara selepas didapati bersalah mencabul kehormatan seorang model kulit hitam.

Ketika berada di Kazakhstan minggu lalu, bekas peninju itu berkata, dia amat takut kepada Allah. - Agensi

Tuesday, July 6, 2010

KDN JUGA PERLU FAHAM PERANAN HARAKAH

Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 6 Julai: Pemangku Ketua Pengarang Harakah, Taufek Yahya menafikan beliau pernah menyatakan bahawa Harakah akan mematuhi apa sahaja perkara yang terkandung dalam akta penerbitan seperti dilapor laman web Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini.

Sebaliknya kata beliau, dalam pertemuan dengan KDN semalam, beliau hanya memberitahu menghormati fungsi KDN dan meminta KDN juga menghormati peranan Harakah sebagai salah satu suara alternatif.

"Saya cuma kata kami menghormati peranan KDN sebagai agensi kerajaan, dalam masa yang sama saya juga minta KDN faham peranan Harakah sebagai akhbar oposisi dan juga penyalur suara alternatif," katanya ketika dihubungi.

Menjelas lanjut Taufek berkata, pertemuan hampir setengah jam di pejabat KDN semalam lebih tertumpu kepada penghantaran 8 naskhah Harakah ke kementerian itu sebaik selesai dicetak dan sebelum diedarkan.

KDN juga katanya bersedia mengambil sendiri naskhah berkenaan di pejabat Harakah.

Selain isu 8 naskhah tersebut, KDN juga katanya meminta pihak Harakah lebih "berhati-hati" dalam melaporkan isu yang diklasifikasikan sebagai sensitif seperti isu judi bola, isu Felda dan Jemaah Islamiah (JI).

Bagaimanapun katanya, terserah kepada Harakah menetukan batas laporan tersebut.

"Saya juga minta KDN benar-benar memisahkan antara perkara berkaitan keselamatan negara dengan hal keselamatan parti pemerintah.

"Kita tidak mahu isu-isu yang kita bagkitkan berhubung keselamatan Umno BN dianggap sebagai menjejaskan keselamatan negara," katanya lagi.

"Sama juga akhbar arus perdana yang memburukkan Pakatan Rakyat, kanapa tidak diklasifikasikan sebagai mengancam keselamatan negara?" soalnya.

Pertemuan semalam dipengerusikan Pemangku Timbalan Ketua Setiausaha (Keselamatan) KDN, Datuk Abd. Rahim Mohd Radzi.

Turut hadir ialah Datuk Zaitun Ab Samad, Setiausaha Bahagian, Bahagian Penerbitan dan Teks Al Quran.

Taufek turut memberitahu, KDN ada memaklumkan bahawa pertemuan semalam bukan untuk berdebat, tetapi untuk saling faham memahami dan sekadar berbincang perkara berkaitan penerbitan Harakah.

Pertemuan itu juga katanya tidak menyentuh soal permit penerbitan akhbar tersebut.

Monday, July 5, 2010

JUDI CORETKAN SEJARAH CEMAR DAN JIJIK


Harakahdaily

KOTA BHARU, 5 Julai: Tindakan kerajaan cuba menghalalkan judi sukan membuktikan betapa sebahagian pemimpin Umno yang mengemudi kerajaan Pusat itu telah mencoretkan sejarah yang ‘cemar dan jijik’ di sisi maruah umat Islam.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, ia menjadi rosak lagi apabila langkah itu dibuat kononnya untuk memenuhi tuntutan orang bukan Islam.

Ianya memalukan apabila munculnya suara tegas pihak bukan Islam, khususnya masyarakat Cina yang menyangkal dakwaan pemimpin Umno bertaraf menteri kerana mengaitkan judi dengan masyarakat Cina.

Nik Aziz berkata demikian dalam tulisan terbarunya melalui blog beliau hari ini.

Menurut beliau, hukum judi itu telah terang dan terbukti haram. Sebagaimana firman Allah SWT:

“Mereka bertanya kepadamu tentang khamar(arak) dan judi (Al-Maisir), katakanlah bahawa pada keduanya terdapat dosa besar dan beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya”
- (Al-Baqarah 2:219)

“Wahai orang-orang yang beriman! Bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib dengan batang-batang anak panah, adalah (semuanya) kotor (keji) dari perbuatan Syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya”
- (al-Maidah 5:90).

Demikian juga, dari Ibnu Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda, “sesungguhnya Allah mengharamkan kepadaku, iaitu mengharamkan khamar, judi dan al-kubah. Setiap yang memabukkan adalah haram”. (Hadis riwayat Ahmad).

Menurutnya, berlatar belakangkan suasana dan penegasan hukum Islam tersebut, kebelakangan ini telah wujud keadaan seperti berita yang dibaca, hari-hari dimuatkan dengan cerita polis – menangkap penjudi-penjudi bola sepak.

"Ini menggambarkan pihak polis telah hadapi satu bebanan kerja baru kerana terpaksa ‘serbu sana, serbu sini’ untuk mencegah kegiatan judi bola!

"Sebelum ini, kerja polis tidaklah begitu teruk, tetapi sejak timbul cerita judi bola ini, maka bertambah sibuk lagi kerja polis.

"Kenapa jadi demikian, tidak lain kerana ada pihak yang tidak menghiraukan larangan Allah SWT yang telah mengharamkan judi ini," kata Nik Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan dalam tulisannya itu.

Menurut Islam, judi adalah sama dengan arak. Sama-sama melumpuhkan akal fikiran manusia, tulis beliau.

Kerana judi, katanya, manusia akan jadi tidak waras.

"Wajarlah dalam al-Quran disebut judi sebagai “rijsm” yang merujuk sebagai “najis.” Makna rijsm itu secara khusus merujuk kepada ‘kekotoran dalaman’ sementara najis itu pula bermaksud benda kotor yang keluar dinamakan tahi," katanya.

Atas sifat berjudi, kalau dia dapat hasil (menang), katakan duit maka duit itu adalah duit najis. Makan duit najis sudah tentu akan mengotorkan darah daging dia. Sampai satu peringkat akan turut mengotorkan pemikiran dia, katanya.

"Jelaslah akibat judi, akal fikiran jadi kotor, rosaklah akal fikiran itu. Bila akal fikiran rosak, kesannya berlakulah banyak perkara yang tidak diingini – rempuh orang, bunuh orang, tembak orang dan sebagainya," tambah beliau.

Bagi beliau, cara orang berjudi pun sudah menggambarkan fikiran yang tidak waras.

"Bila berjudi perlu pertaruh duit, katakan seribu atau sejuta ringgit. Letak seletak-letaknya. Kita tak boleh buat apa-apa, hanya menunggu nasib. Tauke judi juga yang kaya," tulisnya.

Bagi beliau, judi tidak sama dengan bertanding pilihan raya.

"Kita letak deposit, kita boleh kempen, jumpa pengundi boleh rayu dan boleh beri penerangan. Kita boleh berdakwah menyampai kebenaran perjuangan kita. Usaha kita boleh diukur sama ada boleh menang atau kalah. Ia tidak berlaku dalam berjudi. Maka, padanlah Allah SWT mengharamkan judi," terang beliau yang sejak sekian lama menyertai pilihan raya.

"Namun, atas semua suasana akibat cadangan meluluskan lesen judi bola itu, kita melahirkan rasa dukacita dengan tindakan orang kita Melayu dan bertaraf menteri pula yang beria-ia meluluskan judi," katanya.

Tindakan itu dilihat semacam mengajar rakyat Malaysia melakukan sesuatu yang melumpuhkan akal fikiran. Sedangkan akal fikiran adalah anugerah berharga yang sangat mustahak digunakan selari dengan kehendak Allah SWT, tambahnya.

"Sama-samalah kita mengambil pengajaran daripada apa yang berlaku. Semoga Allah memberkati ketegasan kita dalam menjalani kehidupan berteraskan agama," tulis beliau.

Sunday, July 4, 2010

MASJID TIDAK MAKMUR JIKA AJK TIDAK BERIMAN


Harakahdaily

PETALING JAYA, 4 Julai: Sesebuah masjid gagal dimakmurkan jika ahli jawatankuasanya tidak beriman kepada Allah, kata ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad.

Justeru, katanya, ahli-ahli jawatankuasa masjid mestilah memenuhi beberapa ciri dalam usaha untuk memakmurkan masjid, antaranya beriman kepada Allah.

“Macam mana nak makmurkan masjid kalau AJK tidak beriman kepada Allah,” ujarnya ketika berucap pada Masjid Hi-Tea sempena Karnival Masjid Kota Damansara 2010 di pekarangan masjid itu, petang ini.

Turut berucap ialah Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Negeri Selangor, Datuk Dr Hasan Mohd Ali.

Katanya, dalam konteks beriman kepada Allah, AJK hendaklah beriman sepenuhnya dengan apa yang diturunkan oleh Allah termasuk segala hukum hakam dan undang-undang-Nya.

Selain itu, jelasnya, setiap AJK juga mestilah beriman kepada hari akhirat, mendirikan solat, tidak takut kepada sesiapa melainkan kepada Allah semata-mata serta mampu mengajak masyarakat kepada Islam.

Sehubungan itu, tambahnya, jangan ada di kalangan AJK masjid yang mempunyai kecenderungan untuk mendapat habuan daripada sumbangan yang diterima termasuk mendapat kontrak untuk menyediakan jamuan mahupun pembangunan masjid.

“Jangan nak jadi AJK masjid kerana nak dapat kontrak buat bubur lambuk,” ujarnya seloroh.

Katanya lagi, sikap ahli jawatankuasa yang hanya pergi ke masjid setahun sekali juga antara punca sesbuah masjid itu gagal dimakmurkan.

Dalam nada sinis, katanya, kemungkinan ahli jawatankuasa masjid menunaikan solat kerana secara kebetulan telah masuk waktu semasa mesyuarat diadakan.

Beliau juga menyarankan supaya pihak masjid mengadakan banyak aktiviti untuk menjinakka golongan remaja dengan masjid.

“Kalau boleh, masjid perlu mengadakan program mingguan untuk kanak-kanak dan remaja seperti membetulkan solat, bacaan solat dan seumpamanya supaya mereka jinak dengan masjid,” ujarnya lagi.

Idris menekankan ibu bapa termasuk pihak masjid menitikberatkan anak-anak dan golongan remaja dengan solat bagi menghindari gejala sosial yang semakin para hari ini.

“Kita kena ingat, apabila solat diabaikan, mereka akan mengikut hawa nafsu,” ujarnya.

Saturday, July 3, 2010

HIMPUNAN TAK NAK JUDI


Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 3 Julai: Lebih 3 000 membanjiri perkarangan masjid negara hari ini bagi menyatakan bantahan tak nak judi kepada kerajaan.

Himpunan anjuran Gerakan Rakyat mansuh judi petang tadi bermula dengan soat Asar berjemaah di Masjid Negara. Mereka kemudian berhimpun di perkarangan masjid bagi mendengar ucapan dari penganjur dan pimpinan Pakatan Rakyat.


Turut berucap di perhimpunan tersebut Pengerusi GMJ Cikgu Azmi bin Abd Hamid, Setiausaha Suhaizan Kayat dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasruddin Hasan.

Pada himpunan itu juga turut dilancarkan kempen tak nak judi dan buku tak nak judi.

Friday, July 2, 2010

JUDI :VINCENT TAN LEBIH BERANI DARI NAJIB


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 2 Jun: AJK PAS Pusat, Datuk Husam Musa menyifatkan ahli perniagaan, Tan Sri Vincent Tan lebih gagah dan berani dari Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyatakan beliau memang mendapat surat untuk melaksanakan perjudian bola sepak dari Kementerian Kewangan.Vincent Tan, dalam pertemuannya dengan penganalisa pernigaan judi 29 Jun lalu menunjukkan surat kelulusan asal bertarikh 13 Januari tetapi Najib tidak pernah berani menyatakannya secara terbuka kerana takut tekanan politik.

Menurut Husam, Vincent Tan mengadakan perjumpaan dengan penganalisa perniagaan judi tiga hari selepas Najib umum lesen judi bola tak jadi lulus. Dalam perjumpaan itu, Vincent Tan tunjukkan surat kelulusan asal bertarikh 13 Januari tahun ini. Vincent Tan masih menekankan Kerajaan Najib telah pun memberikan kelulusan bertulis. Enam bulan kemudian, kerana desakan bertubi-tubi, barulah kelulusan itu ditarik balik, beritahu Husam dalam blognya hari ini."Syabas Vincent Tan! Lulus kata lulus," tulis Husam yang juga Exco ekonomi dan kebajikan kerajaan negeri Kelantan.

"Ternyata Vincent Tan tak peduli apa UMNO nak kata. Dia dedahkan keadaan sebenar. Ini baru betul-betul raja judi. UMNO terkebil-kebil dengan tindakan berani Vincent Tan. Tak ada siapa berani tegur. Lepas laku taukeh besar kita ini," tulis Husam.Namun begtiu, kata Husam, nasib baik ada rakyat yang sedar. Ada gerakan politik yang bersepadu.

"Dap yang memberikan ukuran moral yang memalukan UMNO. Ada UMNO Johor (atas pengaruh Muhyidin atau takut kalah pilihanraya?) turut sama akhirnya menolak kelulusan ini. "UMNO Kelantan dan Terengganu tak seberani UMNO Johor. Kelu membisu," kata Husam.Pagi sebelum Vincent Tan menemui para penganalisa industri perjudian dalam majlis makan tengahari, Vincent Tan melalui syarikatnya Berjaya Corp mengeluarkan satu kenyataan bertulis menyatakan kesal yang amat sangat di atas pembatalan itu.

Sekali lagi, dalam kenyataan bertulis itu, disebut bahawa 'pembatalan itu dibuat selepas sebelum ini Kementerian Kewangan telah meluluskan semula lesennya' - dan ayat berkenaan digaris untuk memberikan penekanan. "Maknanya, Vincent Tan bercakap benar dan beliau mahu buktikan beliau bercakap benar. Ada orang lain bercakap tidak benar," tulis Husam lagi.

Dalam pertemuan itu juga, Vincent Tan yakin pelan perjudiannya akan diperbahurui semula pada masa akan datang. "Bila? Selepas pilihanraya umum nanti? Selepas Pakatan Rakyat tak kuat?," tulis Husam.Husam juga berkata, Vincent Tan terang-terang salahkan Pakatan Rakyat atas pembatalan itu. Dia tak salahkan mufti-mufti atau Utusan Malaysia atau Perkasa. "Menarik juga," katanya."Apa yang Vincent Tan nak kata, kalau BN menang besar pilihanraya akan datang, hidup semula lah lesen judi bola beliau.

"Sekarang, kita nak siapa gagah? Rakyat gagah melalui Pakatan Rakyat sehingga lesen ini tak boleh lulus selama-lama atau nak Vincent Tan dan BN gagah untuk mereka laksanakan niat tertunda mereka?" soal beliau.Dalam perjumpaan sama, didedahkan bahawa Kerajaan pernah bayar ganti rugi kepada Berjaya Corp atas pembatalan lesen yang telah mereka perolehi sebelum itu.

Pembatalan tahun 1990 (masa DSAI jadi Menteri Kewangan?) bolehkan Berjaya Corp dapat ganti rugi sebanyak 18.9 juta. "Beliau nak kata, kali ini, Berjaya Corp akan dapat ganti rugi sekali lagi kerana Menteri Kewangan memang dah bagi kelulusan. "Vincent Tan nampaknya bukan sahaja kaya, tetapi pemimpin UMNO, tak ada yang dia segan atau takut...." tulis Husam lagi.

Thursday, July 1, 2010

NIK AZIZ ARAH SEMUA PENJAWAT AWAM BERDAKWAH


Zainal Abidin Husein HARAKAHDAILY
KOTA BHARU, 1 Julai: Penjawat awam di Kelantan diarah melengkapkan diri dengan kemahiran berdakwah bagi membawa kecemerlangan kepada seluruh masyarakat selepas terbukti dasar Islam yang dilaksanakan telah mencipta pelbagai kejayaan.Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam ucapan beliau di majlis perhimpunan bulanan penjawat awam kompleks Kota Darulnaim pagi ini mahu setiap anggota pentadbiran mendalami ilmu dakwah supaya penyebaran Islam di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam terus berkembang dan diterima dengan baik.Beliau yang membawa bersama sebuah buku karangan Dr. Yusuf Qardhawi bertajuk 'Thaqafatul Da'iyyah' meminta semua yang hadir membaca dokumen tersebut sebagai rujukan utama."Semua perlu telaah kitab ini, dan kepada yang tidak boleh berbahasa Arab bolehlah cari terjemahan," kata beliau di hadapan lebih 1200 penjawat awam yang bertugas di pusat pentadbiran kerajaan negeri Kelantan.Majlis turut dihadiri Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan, Setiausaha Kerajaan Negeri dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.Sebagai negeri yang telah mencipta kejayaan dalam soal pelaksanaan Islam, Nik Aziz mahu penyebaran Islam diusahakan dengan lebih gigih supaya penerimaan Islam tidak diragui oleh mana-mana pihak."Islam adalah agama dakwah dan tugas berdakwah terletak kepada setiap individu muslim," kata beliau.Rekod di Kelantan kata beliau menunjukkan Islam telah berjaya mewujudkan keadaan harmoni tanpa amalan buruk hasil kesedaran tentang wujudnya hubungan manusia dengan Allah."Tanpa kesedaran asas ini, kita tidak mampu berharap kepada mana-mana pihak termasuk polis, badan pencegah rasuah atau siapa pun bagi membendung sikap buruk manusia yang diruntun syaitan, " tambah beliau.Menyentuh tanggungjawab penjawat awam dalam melakukan tugas seharian, beliau mahu semua mengingati bahawa konsep ibadah dalam Islam adalah tidak terhad kepada ibadat khusus seperti solat dan puasa samata-mata."Segala aktiviti kita dalam menjalankan tugas di pejabat seperti datang mengikut waktu, menyiapkan tugas, menjaga amanah di pejabat adalah dikira ibadah yang akan dibawa bersama apabila bertemu Allah di akhirat nanti."Oleh itu kita mesti melaksanakan segala tugas dengan penuh kesedaran dan keikhlasan," ujar beliau lagi

Followers