Saturday, August 27, 2011

SENJATA DOA ATASI MUSLIHAT BN GUNA PROJEK IC


M Faqih HARAKAHDAILY

KOTA BHARU, 27 Ogos: Biar pun tanpa nasi bungkus percuma untuk bersahur, namun ribuan anak-anak muda memenuhi Qaryah Ramadan di perkarangan Stadium Sultan Mohammad Ke IV awal pagi tadi bagi mengikuti munajat pilihan raya.

Malah ada membawa beg galas besar, kemungkinan baru kembali ke kampung halaman, bercuti sempena Hari Raya Aidilfitri dua hari lagi. Ada juga yang keletihan tidur di belakang khemah solat tarawih.

Khemah gergasi tempat solat dan munajat itu penuh sesak dengan orang ramai. Khemah tersebut boleh memuatkan sehingga 3,000 orang. Sebahagian lagi terpaksa solat dan munajat di bahagian luar khemah.

Jumlah kehadiran itu dianggap luar biasa memandangkan bulan Ramadan sekarang lebih ramai memilih bersahur bersama keluarga. Malah program agak sendat apabila amanat pimpinan yang disiarkan secara langsung menerusi internet berakhir jam 12 malam tadi, disambung pula dengan munajat.

Sebahagian peserta yang hadir rata-rata golongan muda. Program bermula jam 3 pagi diimamkan Ustaz Hussin Ibrahim Masri dari Pondok Lubuk Tapah, Pasir Mas.

Bacaan zikir dan munajat pula dikepalai Ketua Pengelola Unit Dakwah Halaqat, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan, Ustaz Abdullah Abdul Razak. Hadir sama Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, anggota-anggota Exco dan wakil-wakil rakyat.

Program munajat berakhir kira-kira jam 4.50 pagi, bagi memberi peluang orang ramai yang hadir bersahur. Jualan nasi bungkus disediakan berhampiran Qaryah Ramadan.

Mubarak Kafe di sebelah khemah tarawih kelihatan penuh sesak dengan pelanggan. Beberapa kedai makan dan restoran di Dataran Usahawan juga masih beroperasi.

Berucap ringkas sebelum itu Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, Kelantan terus memancak Islam dalam segenap aspek kehidupan sejak mengambil alih pentadbiran negeri ini pada akhir 1990.

“Usaha itu berterusan dilakukan sehingga ke saat ini. Ketika ini merupakan saat yang paling baik bagi umat Islam beribadat di akhir Ramadan bagi membersihkan diri kita daripada segala dosa,” katanya.

Menurutnya, hanya doa sebagai senjata akhir bagi orang Islam ketika berdepan dengan kegentingan bagi menghadapi pilihan raya bila mana pihak lawan cuba menggunakan pelbagai taktik kotor untuk mengekalkan kuasa.

Ketika ucapan yang disiarkan secara langsung di 19 lokasi di seluruh negara termasuk boleh diikuti di Sabah dan Sarawak malam tadi Menteri Besar berkata, taktik buruk pihak lawan bagi mengekalkan kuasa hanya dapat dihadapi dengan munajat kepada Allah Taala.

Katanya di negara lain tentera digunakan bagi mempertahan kuasa pemimpin sedia ada, namun di negara kita pendatang diberi kad pengenalan bagi membolehkan pemerintah mengekalkan kuasa.

Kata beliau senjata doa tiada hijab yang boleh menghalang kerana ia akan terus sampai ke Allah Taala, lebih-lebih lagi kalau berkebetulan pula dengan Lailatul Qadar.

“Kita luahkan segala isi hati. Malam ini berkebetulan pula 27 Ramadan, iaitu malam-malam ganjil yang kemungkinan besar berlaku Lailatul Qadar. Allah Taala membuka pintu langit bagi membolehkan menerima terus doa daripada hambaNya,” ujarnya pada program yang diadakan di Dewan Zulkifli Mohamad , pejabat Perhubungan PAS Kelantan.

Program itu bermula jam 10 malam di mana siaran internet dipancarkan dari dua lagi lokasi iaitu Rusila, Terengganu dan Taman Melewar, Kuala Lumpur.

Sebanyak 19 tempat pemimpin dan penyokong PAS berkumpul bagi mengikuti program berkenaan. Siaran itu boleh diikuti dengan jelas gambar dan audionya. Pengerusi program, Ustaz Idris Ahmad berada di Taman Melewar.

Di Rusila dua pemimpin berucap iaitu Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Dewan Ulamak PAS Pusat, Dr Khairuddin Ahmad Ghazali.

Wednesday, August 10, 2011

WARGANEGARA: BN SEDANG MENJUAL NEGARA?


Salmah Mat Husain HARAKAHDAILY

KOTA BHARU, 10 Ogos: Tindakan kerajaan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mendedahkan pihak mereka telah mendaftar hampir 100,000 warga asing sebagai warga negara segaligus sebagai pengundi merupakan tindakan bahaya kerana menjual negara sendiri.

Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa (gambar), berkata kerana ingin kekal memerintah negara, kerajaan sanggup berbuat demikian melalui JPN.

Menurutnya, warga asing yang datang ke negara ini berbagai jenis serta latarbelakang hidup yang berbeza.

Beliau berkata demikian kepada media ketika diminta mengulas berhubung SPR dan JPN yang tidak mengeluarkan sebarang kenyataan berikutan pelbagai pendedahan dibuat oleh pemimpin Pakatan Rakyat di seluruh negara berhubung pendaftaran warga asing sebagai pengundi, pertindihan kad pengenalan dan berbagai lagi.

“Kalau di Singapura, kerajaan negara itu menapis terlebih dahulu mengikut kehebatan mereka khususnya dari golongan professional contohnya sebagai ahli sukan.

“Namun ianya berbeza di negara kita ni semuanya pakai ambil tangkap muat saja tanpa mengenali status individu warga asing terbabit asalkan boleh jadi pengundi pada mereka,”ujarnya .

Tegasnya, kenapa tiba-tiba sahaja mereka telah difaftarkan sebagai warga negara dan terus sebagai pengundi sekiranya tidak ada pihak tertentu mengaturkan usaha itu.

Menurut Husam, mereka hanya berminat untuk menjadi warga Negara dan bukannya sebagai pengundi, tetapi tiba-tiba pula mereka didaftarkan sebagai pemilih.

Menurutnya lagi, hasil maklumat yang diperolehi pihak tertentu menemui warga asing dari negara Bangladesh, China dan sebagainya dengan membawa borang untuk diisi sebagai warganegara tanpa menyelidiki latarbelakang golongan itu sama ada penjenayah atau sebaliknya.

Beliau menambah, konspirasi itu begitu membahayakan negara ini kerana ianya boleh mengancam keselamatan dan kestabilan negara pada masa akan datang.

Sehubungan itu parti-parti politik khususnya dari Pakatan Rakyat perlu merangka gerakerja yang lebih terkehadapan bagi menangi perkara ini.

“Ianya tidak begitu sukar memandangkan JPN sendiri telah mengakuinya sebelum ini berhubung pendaftaran terbabit,”ujarnya.

Beliau juga turut melahirkan dukacita di atas kegagalan JPN membuat kenyataan berhubung jumlah warga asing mengikut negara di samping tempoh permohonan sebagai pemilih sebelum ianya disahkan.

Katanya rakyat Malaysia perlu membuat bantahan berhubung perkara itu kerana ianya merupakan tindakan bahaya.

Followers