Friday, October 17, 2014

JIKA ITU PILIHAN TAMRIN - TUAN GURU NIK ABDUL AZIZ

RIZAL TAHIR | .
KOTA BHARU: Mursyidul AM PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, adalah terserah kepada mana-mana pihak jika mahu memilih keluar dari parti itu dan parti tidak boleh menghalang.

Bagaimanapun katanya, jika ahli itu merasa tidak puas hati kerana terdapat perkara yang dianggap tidak betul, seharusnya mereka membaiki PAS dari dalam dan bukannya dengan keluar parti.

"Apa boleh buat jika itu pilihan Tamrin," kata ketika ditemui di pejabat Institut Pemikiran Tok Guru (IPTG), di sini hari ini.

Mantan Menteri Besar Kelantan itu berkata, PAS adalah sebuah parti yang memperjuangkan Islam dan sepatutnya ia dijadikan medan bagi umat Islam untuk berkhidmat kepada agamanya.

“Saya sendiri kenal dia (Tamrin) sewaktu dia membawa ayahnya (Allahyarham Tun Gafar Baba) datang berjumpa dengan saya dua kali sewaktu arwah masih hidup.

“Tun ketika itu telah berkerusi roda dan ditolak Tamrin. Datangnya hanya semata-mata datang dan tidak bercakap kerana mungkin beliau tidak mampu lagi untuk bercakap,” ujarnya

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Tamrin yang menghantar surat keluar dari PAS semalam. - HARAKAHDAILY 16/10/2014

Monday, October 13, 2014

KELANTAN BENTANG BELANJAWAN SEJAHTERA RAKYAT

SALMAH MAT HUSAIN | .
KOTA BHARU: Kelantan membentang Belanjawan 2015 bertema Kesejahteraan Rakyat Keutamaan Negeri bagi merancakkan pembangunan ekonomi rakyat.

Selain itu memperkasa pembangunan insan berteras Islam, pembelaan golongan dhaif, OKU, armalah dan warga emas dan mengukuhkan keupayaan institusi serta badan pelaksanaan.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, perolehan hasil tahun hadapan dianggar berjumlah RM530.82 juta, manakala perbelanjaan mengurus sebanyak RM601.51 juta.

“Bajet Kelantan tahun 2015 merupakan belanjawan defisit berjumlah RM70.69 juta. Ia meningkat berbanding dengan anggaran defisit bajet 2014 yang  berjumlah RM10.39 juta.

“Keadaan ini berlaku disebabkan penyediaan bajet 2015 berdasar pendapatan yang diyakini bakal diperolehi,” katanya ketika membentang Belanjawan 2015 di persidangan Dun hari ini.

Bagaimanapun kata beliau pendapatan jangkaan yang masih dalam proses penyelesaian iaitu royalti gas dan petroleum tidak dimasukkan dalam senarai hasil.

“Namun kerajaan negeri berharap royalti gas dan petroleum akan benar-benar menjadi punca hasil kepada Kelantan,” katanya.

Anggaran hasil negeri 2015 meliputi cukai sebanyak RM173.04 juta, hasil bukan cukai sebanyak RM222.21 juta dan terimaan bukan hasil - RM135.57 juta.

Menteri Besar berkata, jumlah tersebut menunjukkan berlaku penurunan hasil sebanyak RM18.44 juta atau sebanyak 3.36 peratus berbanding anggaran hasil 2014.

Hasil tanah akan menjadi penyumbang terbesar dengan jumlah RM129.57 juta atau 24.40 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil.

Ini berlaku peningkatan sebanyak RM24.13 juta dibanding anggaran belanjawan 2014.

Hasil tanah meliputi pungutan cukai tanah sebanyak RM42 juta, premium tanah  RM40 juta, bayaran pendaftaran RM6.74 juta serta bayaran gadaian sebanyak RM5.34 juta.

Manakala hasil perhutanan menyumbang sejumlah RM114.91 juta atau 21.65 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil.

“Ia juga menunjukkan peningkatan sebanyak RM47.5 juta jika dibandingkan anggaran belanjawan tahun 2014 yang berjumlah RM67.41 juta.

“Hasil hutan meliputi royalti kayu-kayan yang akan menyumbangkan sebanyak RM30 juta, bayaran Jabatan Hutan sebanyak RM10 juta, permit lesen perhutanan menyumbang RM1 juta dan premium perhutanan sebanyak RM70 juta.

“Hasil perlombongan pula meliputi cukai galian, barite, bijih besi, manganese, feldspar dan emas akan menyumbang sebanyak RM 71 juta.

“Ini menunjukkan hasil perlombongan meningkat berbanding bajet lepas iaitu sebanyak RM29.5,” katanya.

Menteri Besar juga berkata, selaras keputusan Kerajaan Persekutuan memperuntukkan Bantuan Khas Kewangan maka kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan serupa.
Bantuan khas RM500
Pada 15 Julai lepas kerajaan negeri membayar Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM500 kepada pegawai perkhidmatan awam sebagai menghargai khidmat mereka memacu program pembangunan negeri.

Kata beliau juga bangunan baru di Kompleks Kota Darulnaim yang membabit kos RM42.5 juta sedang giat dibangunkan dan dijangka siap tahun hadapan. Manakala pembinaan Pejabat Tanah dan Jajahan Kecil Lojing yang melibatkan kos sebanyak RM1.2 juta dijangka siap hujung tahun ini.

Selain itu kerajaan negeri menyediakan peruntuk sejumlah RM75.5 juta bagi menyedia kemudahan infrustruktur untuk keselesaan rakyat.

Peruntukan tersebut meliputi sebanyak RM54.5 juta bagi penyediaan infrastruktur asas dan RM21 juta disediakan kepada JKR Negeri.

“Kemudahan infrastruktur disediakan bagi merancakkan pembangunan ekonomi rakyat,” ujarnya. - HARAKAHDAILY 13/10/2014

Thursday, October 2, 2014

WARTA SEGERA BARANG DIKENAKAN GST

MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Pengarah‎ Pusat Penyelidikan PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad meminta kerajaan mewartakan segera senarai barangan yang dikenakan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) bagi memastikan rakyat tidak terperangkap dengan keadaan ekonomi.

Menurut beliau, pewartaan senarai berkenaan sepatutnya dilakukan pada Ogos lalu, namun sehingga sekarang kerajaan gagal berbuat demikian.

"Ini menimbulkan teka-teki kerana kerajaan sehingga sekarang gagal mewartakan penyenaraian barangan yang bakal dikenakan GST sebanyak enam peratus.

"Kelambatan ini akan menyebabkan rakyat berada dalam perangkap ekonomi, adakah bahan bakar seperti petrol dan diesel terlibat dengan GST atau pun tidak, ini perlu dijelaskan kerajaan," jelasnya pada program Bicara Harakah 'Bajet 2015: Cabaran Rakyat' di MyHarakah Bazaar hari ini.

Tambah beliau lagi, kebimbangan mula timbul apabila rakyat berdepan dengan kenaikan harga petrol RON95 sebanyak 20 sen mulai tengah malam tadi menjadi RM2.30 seliter dan adakah kenaikan terus meningkat apabila GST dilaksanakan nanti.

"Pakatan Rakyat kekal membantah pelaksanaan GST oleh kerana pendapatan rakyat yang masih rendah.

"Kalau sebelum ini cukai hanya dikenakan kepada golongan tertentu sahaja tetapi dengan GST ia meliputi kesemua rakyat dan tidak ada yang terkecuali.

"Kita membawa hujah tidak mengizinkan GST dilaksanakan kerana ia merupakan cukai yang dikenakan kepada semua rakyat tanpa mengira jumlah pendapatan mereka," sambung beliau.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat itu turut memberitahu, permentangan bajet 2015 nanti perlu menekankan sumber pendapatan baru negara dan bukannya melalui GST.

"Bajet 2015 merupakan cabaran tahun akhir kerajaan untuk Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10), sebelum beralih kepada RMK11.

"Kerajaan hanya melihat GST sebagai sumber utama sedangkan mereka tidak melihat pendapatan baru dari sumber yang lain," katanya lagi. -HARAKAHDAILY 2/10/2014

Followers