Thursday, January 24, 2013

MARI KITA IKUT NABI

Nik Abdul Aziz Nik Mat, HARAKAHDAILY24 Jan 2013
PERUTUSAN MAULIDUR-RASUL 1434H


Dengan nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang


Firman Allah SWT yang bermaksud :

Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang) - Surah al-Ahzab, ayat 21

Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih lagi berpeluang untuk berada di dalam bulan Rabiul Awwal tahun 1434 Hijrah ini.
Sekali lagi kita sama-sama berada dalam suasana menyambut Maulidur-Rasul yang merupakan satu rutin tahunan kepada umat Islam bukan sahaja di Malaysia bahkan di seluruh dunia.

Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah contoh yang terbaik untuk manusia dalam menjalani kehidupan seharian. Sengaja Allah SWT, melantik rasulNya dari kalangan manusia agar boleh dicontohi dan dijadikan tauladan.

Allah SWT tidak melantik rasulNya dari kalangan malaikat kerana malaikat ialah makhluk yang tidak mempunyai nafsu. Bagaimana manusia yang mempunyai nafsu mahu menjadikan malaikat yang berlainan fitrah sebagai tauladan?

Sesungguhnya, apabila Rasulullah SAW menjadi tauladan, ia bukan sahaja contoh di dalam ibadat tetapi dalam semua apsek kehidupan.
Aspek rumahtangga sebagai contoh, Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang suami yang suka bergurau dengan isterinya.

Gurauan ini tidak pernah melunturkan nilai nubuwwah yang ada pada diri Baginda bahkan ia merupakan penyeri kepada kehidupan berumahtangga yang diperlukan oleh setiap manusia.

Kadang-kadang sudut ini yang dicuaikan oleh sebahagian daripada kita yang menjadikan kehidupan kita kaku dan beku tanpa gurau senda.

Demikian juga dalam aspek muamalat dengan rakyat. Rasulullah SAW terkenal sebagai seorang yang gemar menuturkan kata-kata manis sehingga menyenangkan pendengar.
Bahkan terdapat juga situasi Rasulullah SAW bergurau dengan gurauan yang benar sehingga menjadikan dirinya lebih dikagumi dan disayangi.

Apa yang lebih penting ialah kejayaan Rasulullah SAW merubah paradigma pemikiran masyarakat jahiliyyah yang tebal dengan tradisi karut dalam tempoh perjuangan baginda selama 23 tahun.

Sekalipun baginda merupakan seorang nabi yang juga kekasih Allah SWT, tetapi tempoh yang diambil oleh baginda untuk menjayakan misi dakwah di Mekah dan Madinah tidak mengambil masa sekelip mata.

Sirah inilah yang mengajar kita bahawa setiap perjuangan memerlukan tempoh masa yang tersendiri. Inilah lumrah dalam perjuangan yang wajib diterima oleh semua pendokong perjuangan Islam hari ini.

Hakikatnya, maulidur-rasul bukan hanya setakat meraikan kelahiran baginda Rasulullah SAW tetapi juga menjunjung tinggi syariat yang dibawa olehnya.

Syariat ini perlu diletakkan di tempat yang tertinggi dalam pelbagai aspek kehidupan. Jika semangat ini dipupuk, insya-allah kita akan melihat suasana sambutan Maulidur-rasul yang benar-benar bermakna akan wujud di negara ini, Insya-Allah.

Sekian.

Selamat Menyambut Maulidur Rasul 1434H
Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat,
Al-Mursyidul Am,
Parti Islam Semalaysia (PAS)
Bertarikh : 12 Rabiul Awwal 1434H

Tuesday, January 22, 2013

PEGAWAI PUKUL PELAJAR

Kalam YDP : Pegawai Pukul Pelajar



KRONOLOGI  PEGAWAI PUKUL PELAJAR PERAK MESIR
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang.
Segala puji bagi Allah S.W.T yang memberikan nikmat hidup bagi menyempurnakan amanah sebagai hamba. Selawat dan salam kepada junjungan besar nabi Muhammad S.A.W yang memandu manusia ke jalan yang benar bagi mengikuti  perintah Allah dan meninggalkan segala laranganNya.
Perjuangan menegakkan agama Allah SWT adalah satu tugas yang mencabar, memerlukan kepada kesabaran. Pengorbanan pula adalah sangat-sangat dituntut. Dan perjuangannya penuh dengan mehnah dan tribulasi.
Sahabat-sahabat yang dirahmati Allah S.W.T sekalian,
Pada 19 Januari 2013, kita telah dikejutkan dengan perilaku Pegawai Hal Ehwal Pelajar Perak Mesir, Encik Abdul Muhaimin bin Abdul Majid yang telah melakukan satu tindakan yang kurang profesional bermula dengan mengunci surau Wisma Darul Ridzuan B dengan tanpa ada apa-apa perbincangan.
Perkara ini disedari apabila beberapa orang pelajar yang ingin mengadakan mesyuarat di tempat tersebut mendapati pintu surau telah dikunci. Setelah gagal mendapat respon yang baik dari pihak HEP Perak, beberapa orang pelajar terpaksa mencari inisiatif lain bagi membuka pintu tersebut dengan baik.
Setelah beberapa minit mesyuarat dijalankan, secara tiba-tiba pegawai HEP Perak bertindak dengan menghalau semua ahli mesyuarat daripada menggunakan surau tersebut. Dengan tindakan tersebut, dua orang pelajar yang juga merupakan AJKT KPIPM terus berjumpa dan cuba berbincang dengan memohon penjelasan daripada beliau di pejabatnya.
Setelah perbincangan dilakukan, Pegawai HEP tidak dapat memberikan alasan yang munasabah bagi menyokong tindakan yang beliau lakukan. Namun, perkara amat dikesali adalah apabila ketika perbincangan tersebut, beliau gagal menunjuk akhlak dan syakhsiah sebagai seorang pegawai yang professional.
Setelah itu, kedua-dua pelajar tersebut mengambil keputusan untuk beredar dari pejabat HEP tersebut. Dengan secara tiba-tiba beliau sekali lagi melakukan tindakan yang tidak sesuai sebagai seorang pegawai dengan keluar daripada pejabatnya dalam keadaan beremosi dan memarahi kedua-dua pelajar tersebut.
Dengan tidak semena-mena beliau menampar salah seorang daripada pelajar tersebut tanpa menyatakan sebarang sebab. Setelah itu, pelajar tersebut terus beredar daripada Wisma Darul Ridzuan B.
Rentetan daripada itu, saya selaku Yang Dipertua KPIPM mengambil tindakan dengan berjumpa sendiri pegawai HEP Perak bagi mendapatkan maklumat sebenar. Di dalam perjumpaan tersebut beliau sendiri menyatakan bahawa beliau memang memukul pelajar tersebut. Namun yang mendukacitakan adalah tiada sebarang permohonan maaf di atas kelakuan beliau.
Seluruh tindakan yang telah dilakukan oleh beliau itu, tidak sedikit pun menunjukkan beliau mempunyai kredibiliti serta moral sebagai seorang pegawai yang diamanahkan oleh pihak kerajaan. Ini juga tidak sehaluan dengan laungan “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”. Laungan ini juga seperti dibakul sampahkan sekiranya laungan itu hanya retorik semata-mata.
Saya sebagai Yang Dipertua Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir melahir perasaan dukacita saya terhadap apa yang berlaku semalam. Kami sebagai mahasiswa di bumi Mesir ini ibarat dinafikan hak kami sebagai rakyat Malaysia apabila dilakukan sebegini rupa.
Harapan kami adalah, hak yang selama ini dicanang-canangkan kepada kami semasa menuntut ilmu di sini diberikan kepada kami. Mahasiswa berhak mendapat layanan yang baik dan tidak disekat sedemikian rupa.
Mari sama-sama kita teguhkan ukhuwah, satukan fikrah demi mencapai cita-cita dalam mendalami ilmu dan menjadi penyambung mata rantai perjuangan Rasulullah S.A.W.
BERILMU, BERAMAL, IKHLAS
MUHAMMAD HANIF BIN ABDULLAH
Yang Dipertua
Keluarga Pelajar-pelajar Islam Perak Mesir sesi 2012/2013

 http://kpipm64.blogspot.com

Sunday, January 20, 2013

KALIMAH ALLAH APA PULA PENDIRIAN UMNO

Abdul Aziz Mustafa, HARAKAHDAILY 19 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempersoalkan mengapa kerajaan Barisan Nasional sendiri tidak menyatakan pendirian berhubung isu kalimah Allah.

"Amat pelik apabila kerajaan, BN dan parti-parti komponennya terutama Umno hanya pandai mendesak pihak lain sahaja menyatakan sebarang pendirian rasmi berhubung isu kalimah Allah.

"Sekarang, rakyat hendak tahu apa pendirian kerajaan, BN dan setiap satu komponennya mengenai isu itu," kata beliau.

Mahfuz berkata, sudah sampai masanya kerajaan, BN dan setiap satu komponennya menyatakan pendirian berhubung isu kalimah Allah.

"Rakyat ternanti-nanti apakah pendirian kerajaan, BN, Umno, MCA, MIC, Gerakan, PBS dan setiap satu parti komponen BN berhubung isu itu.

"Jangan hanya pandai desak orang lain sahaja menyatakan pendirian," katanya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menekankan, kerajaanlah pihak yang sepatutnya menyatakan pendiriannya mengenai isu itu kerana permintaan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng ditujukan kepada kerajaan.

Isu kalimah Allah itu dibangkitkan Guan Eng dalam perutusan sempena sambutan Hari Krismas hujung bulan lalu apabila beliau menggesa kerajaan Persekutuan membenarkan pengunaan kalimah berkenaan di dalam kitab Bible versi bahasa Melayu.

Majlis Syura Ulamak PAS baru-baru ini memutuskan sesiapapun boleh menggunakan kalimah Allah namun kalimah itu tidak boleh diterjemahkan ke dalam mana-mana bahasa dunia kerana tidak menepati kehendak sebenar maksud kalimah ini.

Tuesday, January 15, 2013

MALAYSIA HILANG KEPENTINGAN PADA MATA JEPUN

Harakahdaily, 15 Jan 2013
KUALA LUMPUR: Malaysia disifatkan telah hilang kepentingan pada pandangan gergasi ekonomi dunia iaitu Jepun apabila tiada dalam pilihan lawatan pertama Perdana Menteri Jepun yang baru, Shinzo Abe (gambar).

Demikian kata Datuk Kamarudin Jaffar dalam kenyataanya kepada Harakahdaily ketika mengulas langkah PM baru Jepun yang tidak menyenaraikan Malaysia dalam negeri pertama yang hendak di lawati.

Bagi beliau, selaion hilang kepentingan, boleh jadi juga tindakan ini diambil ekoran Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR112) baru-baru ini.

"Mungkin himpunan yang sangat hebat baru-baru ini menyebabkan Jepun tidak mahu membuat apa-apa komitmen dengan kerajaan yang ada sekarang," kata Kamarudin, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS.

PM Jepun yang baru, Shinzo Abe memilih untuk melawat Asia Tenggara berbanding Amerika Syarikat minggu depan sebagai negara pertama yang hendak dilawatinya.

Beliau memilih Indonesia, Thailand dan Vietnam dan mengenepikan Malaysia dalam senarai negeri pertama yang hendak dilawatinya.

Bagi Kamarudin, hilangnya Malaysia dalam senarai negeri pertama yang hendak dilawati membayangkan kepentingan negara ini pada mata gergasi ekonomi dunia itu.

Thursday, January 10, 2013

PESERTA HKR JANGAN TAKUT, POLIS JAGA KESELAMATAN

Salmiyah Harun,HARAKAHDAILY 10 Jan 2013


KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) meminta rakyat agar tidak takut untuk menghadiri himpunan itu pada Sabtu ini kerana polis telah memberi jaminan keselamatan sepanjang perhimpunan berlangsung.

Pengerusi HKR, Mohamad Sabu yakin keselamatan rakyat sepanjang himpunan itu akan terjamin memandangkan polis akan memberi kerjasama nanti.

Beliau dan beberapa orang lagi pimpinan Pakatan Rakyat mengadakan pertemuan dan perbincangan lebih satu jam bersama Ketua Polis Dang Wangi (OCPD) Zainuddin Ahmad.

"Pertemuan ini adalah peraturan biasa dalam Akta Perhimpunan Aman, dan ini sebagai memenuhi peraturan ini," katanya.

Beliau percaya para peserta himpunan tidak akan membawa sepanduk yang akan menghina agama orang lain.

Sehubungan itu, katanya, orang ramai boleh membawa sepanduk atau kain rentang bagaimanapun ianya tidak boleh menimbulkan sebarang provokasi.

"Syarat ini katanya, antara 27 syarat yang perlu dipatuhi oleh peserta HKR. Pada awalnya ia tidak dibenarkan membawa kain rentang tetapi kami membantah syarat itu, akhirnya polis membenarkan asal tidak menimbulkan sebarang ketidakpuasan hati sesetengah pihak," katanya dalam sidang media di perkarangan IPD Dang Wangi. (Gambar atas)

Sementara itu, Hishamuddin Rais yang juga jawatankuasa HKR meminta media melaporkan agar perserta himpunan menggunakan pengangkutan awam untuk ke Stadium Merdeka.

Beliau mengingatkan para peserta tidak merosakkan barang-barang serta padang Stadium Merdeka kerana ia adalah padang warisan yang perlu dipelihara.

"Kita juga dimaklumkan oleh pihak polis akan ada jalan-jalan ditutup untuk melancarkan perjalanan himpunan itu nanti.

"Dan kita juga meminta kereta tidak diletak di bahu jalan di sekitar stadium dan meminta polis membenarkan para peniaga berniaga di kawasan itu," katanya.

Beliau turut memberitahu beberapa lokasi berkumpul dan masing-masing akan diketuai oleh pimpinan Pakatan Rakyat serta NGO.

-         Masjid Negara (Hijau) akan diketuai oleh Dr Mujahid Yusof Rawa, Khalid Samad dan Azmin Ali.

-         Pasar Seni (Ungu atau jingga) akan diketuai oleh Dr Siti Mariah Mahmud, Teresa Kok, dan Elizabeth Wong.

-         Universiti Malaya (Anak Muda) akan diketuai oleh Raja Iskandar Al Hiss, Adam Adli, Nurul Izzah Anwar dan Saiful Anang.

-         KLCC akan dikepalai oleh Husam Musa dan Mazlan Aliman

-         Brickfield dan KL Central di kepalai oleh Zunar Kartunis, Arun dan Faizal.

Tuesday, January 1, 2013

2013 : RUNTUHKAN KEZALIMAN GANTIKAN KEADILAN

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, 31 Dis 2012
Harapan saya setiap hari hanyalah untuk melihat tertegaknya Islam sebagai agama yang syumul di bumi Malaysia ini. Sudah terlalu lama sekular berakar umbi dalam politik sehingga mengakibatkan kerosakan yang dahsyat. Jika dibiarkan berterusan, Melayu pun tidak terbela, Islam pun entah ke mana.
Sempena kedatangan tahun baru 2013 ini, saya menyeru semua pihak agar memperbaharui tekad untuk meruntuhkan kezaliman dan menggantikannya dengan keadilan. Perlihatkan keindahan Islam di dalam kehidupan di segenap sudut agar ia dipandang tinggi oleh orang lain. Saya optimis masa depan yang cerah untuk Islam di seluruh pelosok dunia. Insya-Allah.

Tahun 2013 ini juga akan menyaksikan berlakunya pilihan raya umum ke-13. Gunakanlah hak untuk memilih ini dengan sebaik-baiknya. Jangan silap membuat pilihan. Jika silap akan menyebabkan kita menyesal di hari Akhirat.

Yakinlah, setiap anggota badan termasuk tangan yang mengundi juga akan menjadi saksi terhadap amalan manusia di padang Mahsyar.

Semoga kita semua terus diberikan hidayah dan taufik oleh Allah SWT dan memasukkan kita di dalam golongan hamba-hamba-Nya yang beriman.

Amin.
Kota Darulnaim,

17 Safar 1434/31 Disember 2012

Followers