Thursday, October 31, 2013

MAKAN UMPAN , JANGAN JORAN P- PRESIDEN PAS

Harakahdaily, 30 Okt 2013
JERAI: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mahu pengundi Dun Sungai Limau menjadi pengundi bijak berdepan kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun itu 4 November ini.
Menurutnya, pengundi harus menjadi "ikan yang cerdik" berdepan pelbagai "umpan pancing" yang dihidangkan kepada mereka.

Kata Tuan Guru Abdul Hadi, ikan yang cerdik adalah ikan yang hanya makan umpan dan bukan memakan jorannya sekali.

"Jangan gadai prinsip kita hanya kerana wang RM50 atau RM100.”

"Kena jadi ikan yang cerdik, jangan jadi ikan bodoh seperti ikan Belukang, ada misai nampak gah, tapi semua dia telan termasuk najis pun dia makan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berceramah di Kampung Sedaka di sini malam tadi.

Mengulas soal calon, beliau berkata PAS menawarkan calon terbaik, Ustaz Mohd Azam Abd Samat untuk mewakili mereka di Dun Sungai Limau ini.

Bukan sahaja mampu meneruskan legasi Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan, Ustaz Azam juga diyakini mampu meneruskan perjuangan Islam PAS dengan baik.

"Kita undi Ustaz Azam. Apa yang dia buat baik kita sokong, apa yang tak betul kita akan lawan.”

"Kalau Umno apa yang bos dia kata, betul ke tak betul ke semua kena sokong. Itu beza PAS dengan Umno," katanya.

Monday, October 28, 2013

NAIK HARGA GULA, MANA PERATUSAN DIABETES TURUN

Muhammad Faizal,HARAKAHDAILY 28 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempertikai tindakan kerajaan yang mengumumkan pengurangan subsidi gula pada Bajet 2014 menyebabkan kenaikan 34 sen sekilogram tanpa mengambil kira kos kehidupan rakyat yang amat tinggi.

"Bajet 2014 tidak ada langsung faktor yang boleh kita megahkan dan dapat melegakan keluhan serta rintihan rakyat atas bebanan sara hidup yang semakin tinggi.

"Yang mengejutkan kita adalah pengumuman pengurangan subsidi gula menyebabkan kenaikan harga gula.

“Bagi saya ia bukan melegakan hati rakyat tetapi menambah kerisauan rakyat untuk hadapi kesan-kesan sampingan nanti," jelasnya.

Tambah beliau lagi, walaupun kerajaan turut mengatakan kenaikan harga tersebut bagi mengurangkan penyakit diabetes.

Namun, ujarnya kerajaan sehingga sekarang gagal menunjukkan angka peratusan penurunan penyakit tersebut hasil dari kenaikan harga gula.

"Kerajaan kata dengan kenaikan harga gula ini maka penyakit diabetes akan berkurangan tapi sehingga sekarang kita tidak nampak sebarang peratusan yang menyatakan ada penurunan.

"Kalau betul alasan tersebut naik harga gula penyakit akan turun sila kemukakan bukti dan fakta yang jelas, bagi saya kenaikan harga gula tidak akan mengurangkan penyakit tetapi akan mengkayakan kroni," sambung beliau.

Ekoran pengurangan subsidi, harga gula dinaikkan daripada RM2.50 sekilogram kepada RM2.84 mulai Sabtu, sehari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentang Bajet 2014.

Dalam pada itu beliau turut kesal apabila Najib tidak langsung menyentuh langkah yang akan diambil kerajaan untuk mengatasi penyelewengan serta ketirisan wang negara yang berlaku sepertimana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

Saturday, October 26, 2013

MENGAPA PAS BANTAH GST?

Harakahdaily, 26 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan BN masih meneruskan kerja borosnya manakala memangsakan rakyat dengan cukai barangan dan perkhidmatan (GST)  untuk meningkatkan pendapatan.

“Oleh itu, PAS tetap membantah pelaksanaan GST,” tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan.

Katanya, pelaksanaan GST hanya boleh dilakukan apabila kerajaan mula bertanggungjawab untuk mengurangkan pengurusan operasi dan bukannya terus berboros dengan duit rakyat.

“Pengurangan subsidi dan kini GST bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca daripada sikap boros kerajaan berbelanja,” ujarnya lagi.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) merupakan langkah baru untuk menambahkan pendapatan negara.

Ia adalah cara mengambil duit daripada rakyat melalui cukai yang dikatakan saksama sebagai pendapatan kerajaan.

Peluasan asas cukai ini mustahak untuk Malaysia, dakwa sesetengah pihak kerana hanya kira-kira 10 peratus daripada penduduk yang bekerja membayar cukai pada masa ini.

PAS tidak bersetuju dengan kenyataan tersebut, kerana rata-rata rakyat sedang membayar cukai tersembunyi tanpa diketahui mereka.

Umpamanya pembelian kereta, semua rakyat yang mempunyai kereta sudah dikenakan cukai.

Dengan GST, mereka yang tidak mempunyai kereta dan tidak mempunyai pekerjaan tetap sehingga tidak layak membayar cukai pun dikenakan cukai atas setiap pembelian.

Lebih-lebih lagi, rakyat Malaysia tidak diberikan tempoh untuk menyesuaikan diri dengan GST apabila GST diumumkan pada kadar yang sebegitu tinggi pada 6 peratus.

Di Singapura, kadar GST diperkenalkan pada kadar 3 peratus sebelum beransur menjadi 7 peratus.

Ada yang berkata masyarakat kampung tidak akan merasai beban daripada GST. Ingin diingatkan bahawa kebanyakan barangan yang dijual di kedai-kedai runcit di kampung datangnya juga daripada para pembekal di bandar.

Barangan itu sudahpun dikenakan GST ketika tiba di kedai runcit. Walaupun kedai runcit yang kecil itu dikecualikan daripada GST kerana tidak melepasi had minimum perolehan tertentu, barangan yang dijual kepada masyarakat kampung sudah tentunya pada harga yang lebih tinggi kerana sudah dikenakan GST oleh pembekal.

Jangan terlalu gembira dengan pengumumkan pelbagai barangan asas seperti tepung, gula, beras dan garam tidak dikenakan GST. Hakikatnya, apa-apa yang dihasilkan daripada tepung, gula, beras dan garam kepada makanan siap yang sampai ke tangan pengguna boleh dikenakan GST.

Perkara terpenting dalam perlaksanaan GST ialah penguatkuasaan, bab yang kerajaan BN terkenal sebagai kelemahannya.

Untuk memastikan GST berfungsi dengan baik yakni menjana pendapatan yang seharusnya bagi kerajaan, penguatkuasaan kepada semua yang mengenakan GST perlu dilakukan secara saksama dan adil.

PAS terbayang akan berlaku masalah di mana kedai yang tidak layak mengenakan GST, akan sengaja mengenakan GST kepada pelanggannya untuk pendapatan lebih. Lebihan wang hasil daripada peratusan tambahan GST itu pula tidak dilaporkan kepada kerajaan kerana penguatkuasaan dan pemantauan yang lemah.

Akhirnya, rakyat membayar GST ini bukan untuk pendapatan kerajaan tetapi untuk mengkayakan lagi mereka yang tidak bertanggungjawab ini.

Akibat rasuah yang berleluasa, PAS juga terbayang banyak syarikat yang terlepas daripada hukuman atau denda kerana menggunakan GST sebagai alasan untuk menaikkan harga barang yang dikenakan kepada rakyat awam.

Sesungguhnya, dengan masalah penguatkuasaan yang lemah dan juga rasuah yang masih berleluasa, iklim Malaysia masih tidak sesuai untuk pelaksanaan GST, lebih-lebih lagi apabila BN masih berkuasa.

Lihatlah bagaimana kerajaan BN cuba untuk mengurangkan defisit negara. BN tidak mengurangkan perbelanjaan pengurusan, malah perbelanjaan pengurusan meningkat RM15.8 bilion, daripada RM201.9 bilion pada 2013 kepada RM217.7 bilion pada 2014 berbanding peningkatan pendapatan sebanyak RM15.5 bilion daripada RM208.6 bilion pada 2013 kepada RM224.1 bilion pada 2014.

Pengurangan defisit bajet sebenarnya dicapai dengan memotong peruntukan pembangunan sebanyak RM3.2 bilion daripada RM49.7 bilion pada 2013 kepada RM46.5 bilion pada 2014.

Keadaan ini dijangka berterusan sehingga 2015 di mana GST bakal dilaksanakan. Ini bermakna kerajaan BN masih meneruskan kerja borosnya manakala memangsakan rakyat dengan GST untuk meningkatkan pendapatan.

Oleh itu, PAS tetap membantah pelaksanaan GST. Pelaksanaan GST hanya boleh dilakukan apabila kerajaan mula bertanggungjawab untuk mengurangkan pengurusan operasi dan bukannya terus berboros dengan duit rakyat.

Pengurangan subsidi dan kini GST bukan penyelesai kepada masalah ekonomi negara yang berpunca daripada sikap boros kerajaan berbelanja.

Thursday, October 24, 2013

KANUN SYARIAH : KELANTAN UCAP TAHNIAH KEPADA BRUNEI

Rizal Tahir, HARAKAHDAILY 24 Okt 2013
KOTA BHARU: Kelantan mengucapkan tahniah pada kerajaan Brunei Darussalam kerana telah tampil sebagai negara pertama di Asia Tenggara yang melaksanakan Kanun Jenayah Syariah.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, kesungguhan Brunei dalam melaksanakan perlaksanaan itu sewajarnya menjadi contoh oleh negara lain, termasuk Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis Inovasi Peringkat Negeri Kelantan, di Dewan Teratai di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Pada masa yang sama Ahmad mengharapkan kerajaan Pusat turut melaksanakan langkah yang sama bersesuaian dengan negara ini meletakkan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Negara.

“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah pada kerajaan Brunei telah menjadi negara contoh di Asia Tenggara apabila telah menjalankan tanggungjawab itu di negaranya.

“Sebagai sebuah negeri yang Membangun Bersama Islam, kita begitu berbangga sekali,” ujarnya.

Sambungnya lagi, amat wajar Malaysia juga turut mengikut jejak langkah negara berkenaan bagi memastikan keamanan sentiasa terjamin di negara ini.

Kerajaan negeri, katanya telah memperuntukkan RM1 juta 2014 ke arah perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah ll.

“Ertinya komitmen kita untuk menjayakan perlaksanaan hukum syariah itu sentiasa ke hadapan dengan pelbagai pendekatan baru untuk menjayakannya  dan diperkemaskan lagi,” ujarnya.

Wednesday, October 23, 2013

HAZIZUL HAKIM MENANG CIPTA LOGO MUKTAMAR PAS KE 59

Harakahdaily, 22 Okt 2013


KUALA LUMPUR: Pertandingan mencipta logo Muktamar Tahunan PAS ke-59 mendapat sambutan penyertaan di luar jangkaan.

Setiausaha penganjur, Shuhaimi Embong memberitahu pihak jawatankuasa terpaksa melakukan beberapa saringan dan mengambil masa hampir sebulan untuk menilai setiap penyertaan sebelum keputusan pemenang dapat diumumkan.

“Terdapat seramai 117 peserta yang hantar penyertaan. Hanya 114 sahaja yang dikira sah dan terdapat 3 peserta lagi peserta diterima melewati jam 12 malam pada 25 September 2013  selepas penyertaan ditutup tak diambil kira penyertaannya,” katanya yang juga Pengarah IT PAS Pusat.

Katanya, setelah 3 pusingan saringan dilakukan oleh jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa pemilih pertandingan logo telah berpuas hati untuk memutuskan Hazizul Hakim Mohd Jais sebagai pemenang dalam mesyuarat panitia induk malam tadi.

Sementara itu, jawatankuasa juga bersetuju untuk memberikan saguhati kepada 10, iaitu tambahan daripada 5 yang disebutkan sebelum ini.

“Pihak urusetia akan menghubungi pemenang dan 10 penerima saguhati setelah beberapa urusan teknikal berhubung kelulusan hadiah pertandingan ini diselesaikan oleh pihak penganjur,” katanya kepada Harakahdaily.

Hadiah kepada pemenang, iaitu wang tunai berjumlah RM2,000 dan 10 pemenang sagu hati akan disampaikan pada hari pertama Muktamar PAS ke-59 pada 22 November nanti di Shah Alam.

Sunday, October 20, 2013

NEGARA BERKEBAJIKAN BANTU RAKYAT MILIKI TANAH

Saidah Hairan, HARAKAHDAILY 20 Okt 2013

(Penganjur membuat kejutan kepada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan menghadiahkan sebiji kek sempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke 66)


SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan Islam menonjolkan konsep negara berkebajikan supaya dapat membantu rakyat antaranya untuk memudahkan proses mendapatkan hak milik tanah.

Beliau berkata, kerajaan perlu membela nasib rakyat yang tinggal di kawasan setinggan, Orang Asal, orang kampung Cina serta orang India yang masih tinggal di estet.

Berucap di majlis penutup konvensyen Tanah di sini, Tuan Guru berkata golongan itu merupakan sebahagian daripada masyarakat majmuk yang tidak boleh dipinggirkan dan dilupakan.

Menurut beliau, kerajaan mengikut konsep Islam bukan peniaga, tetapi perlu mengurus dan mengawal dengan adil, setia kepada rakyat dan adil setelah membawa pulangan yang banyak.

Katanya, kurangnya sumber negara kerana pemimpin yang tidak adil, bukan kerana sebab-sebab yang tidak menambahkan hasil kerana keadilan boleh menambahkan hasil negara.

Pengurusan yang adil dalam hal tanah contohnya tanah rezab Melayu yang tidak mempunyai wang untuk membuat pembangunan tetapi seringkali dirampas dan didirikan bangunan gergasi.

Tambah beliau, sepatutnya dalam hal ini kerajaan  boleh mengendalikan dengan memberi kelulusan kepada anak-anak syarikat yang boleh mengambil alih tanah tersebut.

"Kerajaan juga boleh memberi kelulusan melalui zakat dan banyak cara yang boleh mengendalikan masalah tanah. Di ambil dahulu dan kemudian kerajaan boleh memproses semula. Ini boleh difikirkan dan dilaksanakan," tegasnya.

Begitu juga kata beliau, masyarakat India yang tinggal di estet yang dahulu menjadi hamba penjajah Inggeris dan sepatutnya mereka sudah merdeka dengan cara memberi pemilikan tanah.

Menurut beliau, PAS menyedari bahawa dalam pemerintahan negara yang dikuasai politik BN adakalanya tidak ada penyelerasaan dalam peraturan pemberian hak milik tanah.

"Masalah pentadbiran contoh pengalaman saya masa memerintah Terengganu. Saya dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kanan kerajaan negeri susah hendak mendapat tanah. Satu permohonan tanah kena melalui 70 meja.

"Permohonan itu dibawa kepada Jabatan Perancang, SUK, Perancang Ekonomi, Menteri Besar dan balik semula kepada SUK dan exco. Terpaksa melalui 70 meja. Jika satu meja 10 hari bermakna 70 hari, jadi berapa bulan hendak selasai tanah untuk seorang," tegasnya.

Tegas beliau, itu masalah pentadbiran kerajaan negeri begitu juga badan kehakiman yang ada kalanya terdapat campurtangan tangan-tangan politik sekiranya ada melibatkan tanah.

Beliau menegaskan, PAS tidak boleh menyelesaikan masalah tanah selagi tidak boleh membuat perubahan menyeluruh dalam negara.

Thursday, October 17, 2013

SELANGOR BANTU PELAJAR KEMBALI KE MESIR

Saidah Hairan, HARAKAHDAILY 17 Okt 2013
SHAH ALAM: Kerajaan Selangor akan memberi bantuan pembelian tiket dengan nilai berjumlah RM1,200 atau kadar 50 peratus daripada harga tiket kepada pelajar-pelajar anak Selangor yang akan pulang ke Mesir bagi meneruskan pengajian masing-masing.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan negeri, Dr Halimah Ali berkata,  pelajar berkenaan daripada keluarga yang berpendapatan purata isi rumah di bawah RM3,000 sebulan.

Katanya, pelajar tersebut juga adalah peserta evakuasi sukarela dan tidak mendapat penajaan daripada mana-mana jabatan atau agensi Persekutan dan negeri kecuali mereka yang mendapat bantuan umum pelajaran daripada Lembaga Zakat Selangor.

Beliau berkata, bantuan kewangan akan diurus oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) melalui pegawai yang dilantik iaitu Ustaz Mohd Shukri Ruslan.

Pelajar-pelajar terbabit boleh terus datang ke seksyen Pengajian Tinggi, tingkat 3 Menara Utara, Bangunan Sultan Idris Shah, Shah Alam atau hubungi telefon 03- 55143538/03-55142048.

Bantuan tersebut telah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Selangor pada 9 Oktober 2013 bagi meringankan bebanan kewangan kepada keluarga pelajar-pelajar anak Selangor yang akan kembali ke Mesir untuk meneruskan pengajian.

Followers