Thursday, October 24, 2013

KANUN SYARIAH : KELANTAN UCAP TAHNIAH KEPADA BRUNEI

Rizal Tahir, HARAKAHDAILY 24 Okt 2013
KOTA BHARU: Kelantan mengucapkan tahniah pada kerajaan Brunei Darussalam kerana telah tampil sebagai negara pertama di Asia Tenggara yang melaksanakan Kanun Jenayah Syariah.

Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob berkata, kesungguhan Brunei dalam melaksanakan perlaksanaan itu sewajarnya menjadi contoh oleh negara lain, termasuk Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan majlis Inovasi Peringkat Negeri Kelantan, di Dewan Teratai di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Pada masa yang sama Ahmad mengharapkan kerajaan Pusat turut melaksanakan langkah yang sama bersesuaian dengan negara ini meletakkan Islam sebagai agama rasmi dalam Perlembagaan Negara.

“Saya ingin merakamkan ucapan tahniah pada kerajaan Brunei telah menjadi negara contoh di Asia Tenggara apabila telah menjalankan tanggungjawab itu di negaranya.

“Sebagai sebuah negeri yang Membangun Bersama Islam, kita begitu berbangga sekali,” ujarnya.

Sambungnya lagi, amat wajar Malaysia juga turut mengikut jejak langkah negara berkenaan bagi memastikan keamanan sentiasa terjamin di negara ini.

Kerajaan negeri, katanya telah memperuntukkan RM1 juta 2014 ke arah perlaksanaan Kanun Jenayah Syariah ll.

“Ertinya komitmen kita untuk menjayakan perlaksanaan hukum syariah itu sentiasa ke hadapan dengan pelbagai pendekatan baru untuk menjayakannya  dan diperkemaskan lagi,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Followers