Monday, October 28, 2013

NAIK HARGA GULA, MANA PERATUSAN DIABETES TURUN

Muhammad Faizal,HARAKAHDAILY 28 Okt 2013
KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar mempertikai tindakan kerajaan yang mengumumkan pengurangan subsidi gula pada Bajet 2014 menyebabkan kenaikan 34 sen sekilogram tanpa mengambil kira kos kehidupan rakyat yang amat tinggi.

"Bajet 2014 tidak ada langsung faktor yang boleh kita megahkan dan dapat melegakan keluhan serta rintihan rakyat atas bebanan sara hidup yang semakin tinggi.

"Yang mengejutkan kita adalah pengumuman pengurangan subsidi gula menyebabkan kenaikan harga gula.

“Bagi saya ia bukan melegakan hati rakyat tetapi menambah kerisauan rakyat untuk hadapi kesan-kesan sampingan nanti," jelasnya.

Tambah beliau lagi, walaupun kerajaan turut mengatakan kenaikan harga tersebut bagi mengurangkan penyakit diabetes.

Namun, ujarnya kerajaan sehingga sekarang gagal menunjukkan angka peratusan penurunan penyakit tersebut hasil dari kenaikan harga gula.

"Kerajaan kata dengan kenaikan harga gula ini maka penyakit diabetes akan berkurangan tapi sehingga sekarang kita tidak nampak sebarang peratusan yang menyatakan ada penurunan.

"Kalau betul alasan tersebut naik harga gula penyakit akan turun sila kemukakan bukti dan fakta yang jelas, bagi saya kenaikan harga gula tidak akan mengurangkan penyakit tetapi akan mengkayakan kroni," sambung beliau.

Ekoran pengurangan subsidi, harga gula dinaikkan daripada RM2.50 sekilogram kepada RM2.84 mulai Sabtu, sehari selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak membentang Bajet 2014.

Dalam pada itu beliau turut kesal apabila Najib tidak langsung menyentuh langkah yang akan diambil kerajaan untuk mengatasi penyelewengan serta ketirisan wang negara yang berlaku sepertimana dilaporkan dalam Laporan Ketua Audit Negara.

No comments:

Post a Comment

Followers