Saturday, August 30, 2014

SEJARAH MENUNTUT KEMERDEKAAN BUKAN BERMULA 1946

MUHAMMAD FAIZAL | .
SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memberitahu sejarah negara ini banyak yang disembunyikan terutamanya tentang perjuang asal menuntut kemerdekaan.

Berucap pada Wacana Kemerdekaan di Universiti Selangor (Unisel) hari ini, beliau berkata perjuangan kemerdekaan perlu diperbetulkan semula untuk pengetahuan generasi akan datang.

"Perjuangan kemerdekaan perlu diperbetulkan, ingat ia bukannya bermula pada tahun 1946 tetapi sejak dari awal lagi.

"Sejarah-sejarah awal perlu kita kaji semula dan kita kena tahu apa yang berlaku sebelum ini, sepertimana perjuangan menentang penjajahan Portugis dan Inggeris di Melaka sewaktu ketika dulu," katanya.

Beliau menekankan nilai kemerdekaan dari perspektif Melayu dan Islam berkata, peranan Islam amat penting dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

"Di sini peranan perjuangan Islam amat penting dalam menuntut kemerdekaan, ia melibatkan semua tempat dan kedudukan. Ini perlu digali semula dan diperbetulkan, janganlah kita dibohongi dengan sejarah sendiri.

"Kita kena tahu dan jangan lupa sejarah sebenar, kita menghargai mereka yang sebenarnya berjuang tetapi dilupai," ucap beliau.

Ahli Parlimen Marang itu juga meminta semua pihak dalam mengisi semangat kemerdekaan mesti bersikap adil dengan semua kaum.

"Banyak perkara timbul dalam suasana sekarang, masalah politik, ekonomi dan paling ketara pengisian dalam masyarakat majmuk.

"Kita kena berlaku adil dengan semua kaum, masyarakat madani dalam Islam perlu diterap dalam masyarakat majmuk sekarang.

"Masing-masing mempunyai kelebihan dan kita perlu saling menghormati serta ketengahkan jangan mengabaikannya.

"Kita punyai titik persamaan, titik persamaan ini digabungkan untuk masyarakat majmuk dalam mencarikan satu kebaikan," sambung beliau.

Sebelum itu, wacana kemerdekaan dibarisi ahli panel Prof Datuk Dr Mohamad Abu Bakar (UM), Prof Dr Kamarulzaman Yusoff (UTM), Tan Sri Muhammad Muhd Taib dan Mohd Fadli Ghani manakala Prof Dr Badlisham Mohd Nasir (Ilmuan) sebagai moderator. -HARAKAHDAILY 30/8/2014

Friday, August 29, 2014

SELANGOR TAWAR RM520 JUTA SAHAJA KEPADA ECO WORLD

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Projek perumahan Selangorku yang ditawarkan kepada Eco World adalah RM520 juta sahaja selepas hasil kajian terperinci yang dilaksanakan jawatankuasa dengan dibantu Independent Checking Engineer (ICE).

Eksekutif Komunikasi Menteri Besar, Shazni Munir Mohd Ithnin, berkata jumlah itu berdasarkan kos kontrak yang wajar ditawarkan, lapor Selangor Kini.

Katanya, semua pihak juga bersetuju bahawa sebarang penjimatan kepada kos kontrak akan dihitung sebagai keuntungan bersama (profit sharing).

“Jika terdapat peningkatan kos, lebihan itu perlu ditanggung sepenuhnya Eco World. Malah, Lembaga Perumahan & Hartanah Selangor (LPHS) akan memaklumkan kos yang dibayar kepada kontraktor (Eco World) supaya transaksi kewangan ini dapat dianalisa rakyat, di samping mengekalkan konsep ketelusan dan urus tadbir yang amanah,” katanya kepada Selangor Kini.

Shazni berkata, keseluruhannya, projek itu dijangka siap sepenuhnya penghujung 2020 dan dijalankan secara tiga fasa pembangunan membabitkan 2,496 unit rumah.

“Bagi Fasa 1, projek akan bermula pada Januari 2015 hingga Disember 2016 (20 bulan), Fasa 2 akan bermula Mei 2015 hingga 2018 dan Fasa 3 akan bermula Januari 2016 hingga Disember 2019,” katanya.

Shazni berkata, Kerajaan Negeri pada sesi Dewan yang lepas meluluskan peruntukan RM100 juta untuk pembinaan Rumah Mampu Milik.

Katanya, peruntukan RM100 juta itu akan digunakan sebagai modal pusingan yang diurus dan dilaksanakan LPHS untuk membina lebih banyak Rumah Mampu Milik pada masa akan datang.

Beliau berkata, selepas mengenalpasti konsep pembinaan Rumah Mampu Milik yang lebih cepat, murah dan berkualiti tinggi, Kerajaan Negeri akhirnya bersetuju untuk menggunapakai Konsep Pasang Siap [Pre-Fabricated – Industrial Building System (IBS)].

“Lalu beberapa siri perbincangan diadakan bersama dengan lebih daripada lima buah syarikat pembinaan yang terbabit secara langsung dengan IBS.

“Tidak sekadar itu, LPHS juga membuat lawatan tapak projek sehingga ke Bangkok dan Singapura untuk melihat sendiri gambaran sebenar operasi pembinaan, kemampuan kuantiti pengeluaran serta kualiti yang dihasilkan syarikat pembinaan ini,” katanya.

Sehubungan itu, kerajaan negeri membuat keputusan untuk menggunapakai teknologi IBS yang dimiliki Eco World Development Group Berhad.

“Keputusan itu dibuat memandangkan syarikat terbabit berpengalaman membangunkan Perumahan Mampu Milik dalam kuantiti yang banyak (mewarisi sekitar 80 peratus tenaga pakar daripada syarikat SP Setia Berhad Group) serta menggunapakai konsep IBS secara in-situ iaitu konsep pasang siap di tapak pembinaan yang dapat menjimatkan kos pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab dakwaan sesetengah pihak yang mengatakan urusan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan pihak swasta termasuk projek perumahan untuk rakyat miskin yang dilihat sebagai mencurigakan.

Tuesday, August 26, 2014

TAWAR AZMIN SERTAI PAS, MALAYSIAN INSIDER BERTUJUAN JAHAT

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Setiausaha Politik Presiden PAS, Dr Ahmad Samsuri menafikan laporan portal berita The Malaysian Insider hari ini.

Beliau merujuk kepada berita yang dipaparkan oleh The Malaysian Insider(TMI) pada hari ini, 26 Ogos 2014 dengan tajuknya “Hadi tawar Azmin sertai PAS bentuk kerajaan bersama Umno, dakwa AJK Pas Pusat”.

Menurutnya, berita itu bukan sahaja tidak benar tetapi juga bertujuan jahat.

Katanya, beliau yang juga turut hadir semasa Mohamed Azmin Ali mengunjungi Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini.

Beliau ingin menjelaskan bahawa intipati perbincangan adalah berkisar kepada perasaan terima kasih Azmin Ali  kepada Tuan Guru yang mencalonkan nama beliau (Azmin) sebagai calon Menteri Besar Selangor pada 17 Ogos lalu, selain dari meminta kata nasihat dan pandangan secara umum sebagai panduan untuk memperkukuhkan Pakatan Rakyat.

"Tiada disebut langsung mengenai kerajaan perpaduan bersama Umno seperti yang didakwa.

"Pihak kami amat kesal dengan fitnah yang sengaja diwujudkan untuk mengelirukan rakyat dan pihak TMI bertanggungjawab untuk melaporkan penafian ini dan meminta maaf secara terbuka," tegasnya dalam satu kenyataan. - HARAKAHDAILY 26/8/2014

Saturday, August 23, 2014

PENGIKTIRAFAN BESAR ULAMA DUNIA KEPADA PAS

SALMAH MAT HUSAIN | .
KOTA BHARU: PAS menyifatkan pengiktirafan ulama dunia terhadap Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia, sebagai pengiktirafan besar untuk perjuangan Islam parti itu.

Pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Datuk Ahmad Yakob, berkata perlantikan itu juga sebagai pengiktirafan yang jelas kepada parti Islam di negara ini.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Muktamar Dewan Muslimat PAS Negeri Kelantan ke-41 di sini hari ini.

“Kita begitu berbangga apabila Tuan Guru Presiden kita dilantik sebagai orang kedua tertinggi dalam kesatuan ulama dunia,” ujarnya.

Menurutnya, untuk itu beliau menyeru seluruh anggota parti seluruh negara khususnya muslimat mempergiatkan lagi gerak kerja parti ke arah yang lebih baik bagi mencerminkan perjuangan parti itu kepada masyarakat.

Dewan Muslimat PAS Malaysia juga turut mengucapkan tahniah di atas pengiktirafan itu.

Ketuanya, Siti Zailah Mohd Yusof, berkata apabila Tuan Guru Presiden dilantik Naib Ketua Ulama Sedunia di bawah Sheikh Dr Yusof Qardhawi, ianya memperlihatkan bukan sahaja pengiktirafan terhadap Tuan Guru, sebaliknya juga kepada PAS.

“Ia suatu pengiktirafan yang begitu tinggi terhadap perjuangan PAS di peringkat dunia,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sehubungan itu, Zailah yang juga Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, berkata semoga tidak ada lagi pihak yang tidak puas hati serta mengkritik pimpinan Tuan Guru dalam parti.

“Ketika dunia mengiktiraf, kita anggota parti sendiri dan rakyat Malysia mengkritik serta masih mengeluarkan suara yang tidak berpuas hati, ianya amat tidak wajar sekali,” ujarnya.

Sehubungan itu, masyarakat seluruh dunia diminta jangan memperlekehkan perjuangan Islam apa lagi setelah pengiktirafan itu diberikan di peringkat dunia.

Jelasnya tidak ada ulama dalam Umno atau mana-mana aktivis di negara ini setakat ini dianugerahkan kedudukan yang begitu tinggi selepas Pengerusinya, Dr Yusof Al-Qhardhawi.

Dua lagi yang turut dilantik sebagai naib ketua bersama Tuan Guru Abdul Hadi adalah Syeikh Raisuni dari Maghribi dan Syeikh Ahmed Al-Khalily Mufti Kesultanan Oman.

Pelantikan mereka dipersetujui oleh ulama dunia yang bersidang di Turki, semalam.

Sementara Presiden Sekretariat Ulama Rantau Asia (Shura), Ustaz Abdul Ghani Samsudin dipilih salah seorang daripada 20 ahli jawatankuasa kesatuan itu. - HARAKAHDAILY 23/8/2014

Saturday, August 9, 2014

JANGAN TERIKUT-IKUT DENGAN CERITA MEDIA BARU

HARAKAHDAILY | .
KUALA TERENGGANU: "Kita mesti mempunyai disiplin yang tinggi dalam melaksanakan tuntutan berjamaah," kata pemangku Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Ustaz Datuk Ahmad Yakob.
Menurutnya, tidak patuh kepada ketua adalah permulaan sifat munafik seseorang seperti mana yang diucapkan oleh sahabat Nabi s.a.w, Abu Darda' r.a.
Beliau menyatakan demikian ketika merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kawasan Kuala Nerus kali ke-54 di pusat tarbiah PAS kawasan, Pekan Batu Enam pagi ini.
Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri Besar Kelantan mengingatkan ahli-ahli PAS supaya tidak terikut-ikut dengan pelbagai cerita melalui media baru.
"Jangan terikut-ikut dengan cerita media baru. Saya menyeru untuk kita semua berhati-hati apabila melayari internet supaya tidak menyebarkan berita-berita yang boleh mengelirukan masyarakat dan jamaah," ujar beliau lagi. - HARAKAHDAILY 9/8/2014

Thursday, August 7, 2014

PAS PERAK SOKONG PERTEMUAN 8 MATA

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: PAS Negeri Perak menyambut baik saranan Pemuda Pakatan Rakyat yang mencadangkan agar pertemuan lapan mata diadakan membabitkan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang dan Tan Sri Khalid Ibrahim bagi menyelesaikan krisis pertukaran Menteri Besar Selangor.

Ketua Penerangannya, Ustaz Mohd Misbahul Munir Masduki(gambar) menyifatkan cadangan itu sebagai sangat baik dan wajar dilaksanakan bagi menyelesaikan konflik yang timbul sekaligus mengekalkan keutuhan dan keharmonian Pakatan Rakyat.

"Penyelesaian berbentuk umum dengan menggunakan media tidak mampu menyelesaikan masalah sebaliknya menambahkan lagi barah yang sedang berusaha untuk diubati.

"Ketika ini pendedahan dan perbincangan dilakukan secara umum di media-media dan ianya menggambarkan satu perkara yang tidak baik di mata masyarakat yang sangat memberikan harapan kepada Pakatan Rakyat untuk masa depan negara," ujar beliau.

Menurut Misbah, kepercayaan rakyat terhadap Pakatan Rakyat perlu dijaga dengan tidak menggambarkan permasalahan dan konflik dalaman secara umum.

Konflik dan salah faham di dalam organisasi, ujar beliau adalah perkara biasa namun tidak wajar dibahaskan secara terbuka sebaliknya diselesaikan secara musyarawah dalam perbincangan yang harmoni.

"Penyelesaian melalui media tidak akan mampu menyelesaikan masalah dan justeru itu dinasihatkan agar semua pimpinan Pakatan Rakyat terutama PAS mengambil kira faktor negatif daripada apa jua tindakan yang dilakukan.

"PAS Perak yakin jika perbincangan lapan mata ini berjaya direalisasikan, masalah yang sedang menimpa ini akan berjaya diselesaikan secara harmoni," ujarnya. - HARAKAHDAILY, 7/8/2014

Monday, August 4, 2014

PAKATAN RAKYAT BANTAH KENAIKAN TOL DI KIK

HARAKAHDAILY | .

Pakatan Rakyat (PR) Johor membantah kenaikan bayaran tol di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (KIK)  bangunan Sultan Iskandar di Johor Bahru walaupun kenaikannya telah berkuatkuasa bermula dari 1 Ogos, 2014. Bantahan ini adalah berasaskan kepada perkara-perkara berikut:

1) Pertindihan Antara Konsesi Malaysian Resources Corporation (MRCB) Dalam Pembinaan Lebuh Raya Penyuraian Timur (EDL) Dan Konsesi Plus Malaysia Berhad (Plus) Yang Mengutip Tol Di Kik Sultan Iskandar

PR Johor mendesak supaya kerajaan Persekutuan mendedahkan kepada rakyat kedua-dua perjanjian konsesi ini kerana PLUS telah mengutip tol di KIK Bangunan Sultan Iskandar sejak lebih 20 tahun lalu tanpa membina sebarang lebuh raya di antara  KIK Bangunan Sultan Iskandar dengan Lebuh Raya Utara Selatan. PLUS dianggarkan telah mengutip antara RM867 juta hingga RM1.5 bilion dalam tempoh tersebut. Jumlah ini adalah melebihi daripada kos pembinaan EDL oleh MRCB iaitu RM 977 juta termasuk pengambilan tanah kira-kira RM250 juta.

Sepatutnya pembinaan dan penyenggaraan EDL dilaksanakan oleh PLUS dengan menggunakan kutipan Tol daripada pengguna selama ini tetapi sebaliknya pembinaan EDL di laksanakan melalui konsesi penswastaan selama 34 tahun kepada MRCB Southern Link Bhd iaitu anak syarikat MRCB. Kerajaan Persekutuan kemudiannya pada tahun 2012 telah mengambilalih EDL dengan bayaran pampasan kepada MRCB sebanyak RM68 juta bagi tempoh April- Disember 2012 dan bayaran RM11 juta sebulan selama tempoh perjanjian konsesi penswastaan.
Apa yang berlaku menunjukkan bahawa rakyat telah membuat 2 kali bayaran bagi projek yang sama iaitu melalui:

a) Bayaran tol kepada PLUS selama lebih 20 tahun tanpa dibekalkan dengan lebuhraya yang menghubungkan lebuhraya Utara Selatan dengan KIK Bangunan Sultan Iskandar.

b) Bayaran pampasan RM68 juta dan RM11 sebulan sepanjang tempoh konsesi penswastaan selama 34 tahun kepada MRCB bagi kerajaan mengambilalih EDL. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memegang 40% saham dalam MRCB manakan Lembaga Tabung Haji (LTH) memegang 20% saham dalam MRCB.

Kerajaan juga hendaklah mendedahkan kepada umum bagaimanakah jumlah pampasan pengambilalihan EDL iaitu RM68 juta dan RM11 juta sebulan selama tempoh konsesi penswastaan ditentukan kerana ianya melibatkan wang rakyat melalui KWSP dan LTH.

 2) Kenaikan Tol Adalah Untuk Membiayai Bayaran Pampasan Pengambilalihan EDL?

Bayaran Tol yang dikenakan kepada kenderaan Kelas 1 dari Malaysia ke Singapura adalah RM6.80 dibayar kepada MRCB manakala bayaran Tol bagi kenderaan dari Singapura ke Malaysia adalah RM6.80 + RM2.90 = RM 9.70 dimana RM6.80 dibayar kepada MRCB dan RM2.90 dibayar kepada PLUS. Ini menunjukkan bagi perjalanan dua hala ke Singapura pengguna terpaksa membayar tol sebanyak RM16.50 berbanding sebelum ini hanyalah RM2.90. Ini merupakan kenaikan hampir 470%. Daripada bayaran tol RM16.50, RM13.60 @ 82.42% dibayar kepada MRCB mana RM2.90 dibayar kepada PLUS.

3) Perbezaan Antara Tol Dan Permit Kemasukan Kenderaan (VEP)

Terdapat usaha yang dilakukan oleh pihak-pihak tertentu untuk mengalihkan isu pokok kenaikan tol di KIK Bangunan Sultan Iskandar dengan kenaikan bayaran VEP yang dikenakan oleh Singapura kepada kenderaan dari Malaysia yang memasuki Singapura baru-baru ini dari SGD20 kepada SGD35.
Tol adalah bayaran yang dikenakan kepada semua kenderaan samada kenderaan Malaysia dan juga kenderaan negara asing manakala VEP adalah bayaran dikenakan kepada kenderaan asing yang masuk ke Singapura bagi tujuan mengurangkan jumlah kenderaan yang memasuki Singapura.

Dengan kata lain kenaikan tol akan membebankan terutamanya rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura kerana hampir 70,000 kenderaan daripada Malaysia memasuki Singapura setiap hari.

Setakat ini Singapura masih mengenakan bayaran tol sebanyak SGD1.20 (RM2.90) dan Malaysia dan Singapura mempunyai perjanjian pakej tol dimana bayaran tol di Singapura adalah sama dengan bayaran tol yang dikenakan oleh Malaysia. Ini bermakna tol yang dikenakan oleh Singapura juga akan dinaikan dalam masa terdekat bersesuaian dengan kenaikan tol yang dikenakan oleh Malaysia. Ini bermakna akhirnya pemandu kereta akan menanggung tol sebanyak RM33 bagi perjalanan dua hala di KIK Bangunan Sultan Iskandar dan Woodlands CIQ.

4) Perundingan Dua Hala Dengan Singapura Berkaitan Isu-Isu Kepentingan Bersama

PR Johor mencadangkan supaya satu delegasi yang diketuai oleh Menteri Luar Negeri berunding dengan Singapura bagi mengadakan perundingan isu-isu berkepentingan bersama seperti isu kenaikan tol, isu kenaikan VEP, isu penambakan laut berhampiran sempadan Malaysia-Singapura. Kerajaan hendaklah memberikan justifikasi kepada kenaikan tol dan dalam masa yang sama kerajaan Singapura hendaklah memberikan justifikasi kenaikan VEP yang dikenakan baru-baru ini. Dengan adanya perundingan dua hala yang berkala ini akan dapat menyelesaikan banyak isu-isu berkepentingan bersama untuk kebaikan kepada kerajaan dan rakyat dikedua-dua negara.

PR Johor berharap dengan adanya perundingan dua hala ini isu kenaikan tol termasuk isu kenaikan VEP akan dapat diselesaikan dengan cara yang lebih munasabah dalam semangat kejiranan yang tinggi.

5) Implikasi Kenaikan Tol Dan Ekonomi Johor

PR Johor melahirkan kebimbangan kesan terhadap ekonomi Johor kesan daripada kenaikan tol di KIK bangunan Sultan Iskandar. Selama ini terutama apabila Dollar Singapura semakin mengukuh berbanding Ringgit Malaysia ramai rakyat Singapura datang ke Johor Bahru bagi mendapatkan barangan keperluan harian. Secara tidak langsung peniaga dan penjaja dipasar awam seperti Pasar awam Larkin dan Pasaraya termasuk kedai runcit akan mendapat keuntungan daripada kehadiran rakyat Singapura ini. Dengan kenaikan bayaran Tol bagi dua hala perjalanan RM33 maka PR Johor bimbang jumlah rakyat Singapura yang akan berbelanja di Johor Bahru akan berkurangan dan sudah tentu ianya akan menjejaskan pendapatan peniaga-peniga di Johor Bahru.

Kesimpulan

PR Johor mendesak supaya kerajaan menangguhkan segera perlaksanaan kadar tol yang baru sehingga perkara (1) dan (2) yang dibangkitkan diatas dijawab dan diselesaikan oleh kerajaan Persekutuan terlebih dahulu. PR Johor juga mendesak supaya kerajaan hendaklah sentiasa mendapatkan pandangan orang ramai serta mengadakan sessi penerangan sebelum melaksanakan sebarang polisi yang melibatkan kepentingan orang ramai.

YB Aminolhuda Hassan (PAS)     
YB Liew Chin Tong (DAP)
YB Jimmy Puah (PKR)

SABOTAJ AIR : SISTEM PENDAWAIAN PAM DIPOTONG

SELANGOR KINI | .

BESTARI JAYA: Kerajaan Negeri Selangor akan meminta bantuan daripada polis dan Rela untuk ditempatkan di kawasan kolam Hang Tuah di Bestari Jaya ekoran terdapat cubaan sabotaj pengeluaran bekalan air.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri, Dr Yunus Hairi berkata langkah itu akan diambil kira ekoran sudah dua kali berlaku sabotaj itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi tadi, sekumpulan pihak tidak bertanggungjawab bertindak memotong sistem pendawaian di enam pam di kolam Hang Tuah itu.

Bagaimanapun, Dr Yunus berkata pemotongan itu tidak menggugat pengaliran air kepada penduduk ekoran pendawaian yang dipotong itu adalah dari sungai ke kolam.

“Tiada barang bernilai selain sistem pendawaian dan tidak memberi kesan kepada pengepaman ekoran paip yang dipotong adalah dari sungai ke kolam.

“Jadi ia tidak mengganggu. Bagaimanapun kita melihat perkara ini secara serius kerana operasi ini sangat penting kepada penduduk,” katanya ketika ditemui di kolam terbabit.

Dr Yunus berkata dalam pengurusan negeri menuju ke kelas pertama, namun disebabkan pemikiran pihak tidak bertanggungjawab menyebabkan pengurusan negeri terjejas.

“Pengeluaran air ini sangat penting terutama musim kering bagi sesebuah empangan.

“Namun terdapat segelintir pemikiran kelas ketiga menyebabkan ia berlaku,” katanya.

Beliau berharap semua pihak dan masyarakat yang mempunyai maklumat supaya tampil membantu kerajaan negeri.

“Saya akan arahkan pihak Lembaga Urus Air Selangor untuk membuat laporan polis seterusnya memperbaiki kerosakan ini,” katanya.

Sehubungan itu, beliau akan membawa masalah itu ke dalam mesyuarat jawatankuasa air bagi mencari penyelesaian.

“Kita akan menambah anggota keselamatan supaya mengawal di semua pam-pam ini.

“Malah, kebajikan petugas juga akan diambil kira bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku,” katanya.

Sebelum ini, sekitar jam 3 pagi, pasukan yang bertugas mengendalikan pam-pam di kawasan HORAS Bestari Jaya telah diugut oleh sekumpulan samseng bersenjata supaya meninggalkan kawasan itu.

Followers