Tuesday, April 27, 2010

BN BUKAN LAGI PARTI MASA DEPAN


HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 27 April: Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali (gambar) berkata, Barisan Nasional (BN) bukan parti masa depan selepas hanya menang di kawasan terkawal seperti Felda dan kawasan miskin seperti Orang Asli.

Beliau turut menyifatkan kemenangan BN pada pilihan raya kecil Hulu Selangor Ahad lalu hanya sebagai kemenangan sementara.

"Pengundi yang lebih celik dan tidak terikat dengan kerajaan mengundi PKR. Tapi pengundi yang terikat seperti Felda, Orang Asli dan di ladang-ladang, trendnya kepada BN.

"Kalau kita lihat masa depan negara yang kita harapkan lebih demokratik, rakyat lebih membaca dan mempunyai kesedaran, Umno/BN ini bukan parti untuk masa depan sebenarnya.

"Orang yang mempunyai kesedaran semacam sudah tidak percaya kepada Umno/BN tapi lebih percaya kepada komponen dalam Pakatan Rakyat," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat PAS, Jalan Raja Laut, di sini, hari ini.

Justeru, katanya angin perubahan yang dikatakan oleh pemimpin Umno/BN tidak berlaku pada pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor.

Ini, ujarnya kerana tidak berlaku pengurangan undi kepada calon Pakatan Rakyat daripada PKR, Datuk Zaid Ibrahim.

"Walaupun kelihatan pimpinan BN gembira, namun bagi saya keputusan pilihanraya kecil ini tidak menggembirakan mereka. Mungkin gembira dalam gelisah.

"Kalau alasan yang mereka gunakan bahawa ini tanda satu angin perubahan rakyat Hulu Selangor kepada BN daripada Pakatan Rakyat, ia tidak berlaku sebenarnya. Ini kerana calon PKR, Datuk Zaid Ibrahim tidak mengalami pengurangan undi berbanding tahun 2008," katanya.

Pada pilihan raya kecil itu, Zaid mendapat 23,272 undi berbanding 23,177 yang diperolehi allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada pilihan raya umum lalu, yang berjaya menewaskan Datuk G Palanivel dengan majoriti 198 undi.

Beliau juga berkata, bantuan media arus perdana berkempen untuk BN termasuk menyerang peribadi Zaid, tidak menjejaskan undi kepada PKR seperti yang diharapkan mereka.

"Media memainkan peranan dalam isu lompat melompat dalam PKR di Hulu Selangor, tidak ada kesan sebenarnya. Fitnah terhadap Zaid pun tidak ada kesan. Yang ada kesan ialah faktor lain yang menaikkan undi kepada BN," katanya.

Menurut Mustafa, kempen BN yang begitu hebat kepada rakyat Hulu Selangor menyebabkan mereka dapat menawan kembali pengundi yang memprotes calon BN pada tahun 2008, G Palanivel.

"Tahun 2008 banyak undi rosak kerana ada orang Melayu dan India yang tidak begitu senang dengan calon BN, G Palanivel dan mereka tidak keluar mengundi dan merosakkan kertas undi.

"Kali ini mungkin dengan kempen yang begitu hebat, tiga tokoh utama BN, Najib, Mahathir dan Muhyiddin turun sekaligus berkempen ,bermaksud mereka begitu terdesak untuk memenangi pilihan raya kecil ini.

"Pertambahan 2,000 undi yang diperoleh BN kali ini datang daripada undi yang rosak itu, yang dulunya satu protes, mereka sebahagiannya balik semula kepada BN.

“Yang keduanya undi pos. Mereka memperoleh majoriti 600 undi pos. Yang selebihnya mereka menggerakkan pengundi luar yang komited kepada BN untuk balik mengundi,” ujarnya.

Selain itu katanya, BN memberikan tumpuan kepada kawasan Felda, kawasan Orang Asli dan orang India.

"BN menumpukan kepada kawasan tradisi iaitu Felda, boleh dikatakan seluruh Felda dimenangi oleh BN. Orang Asli pula dilonggokkan di satu kawasan. Saya fikir perubahan tempat mengundi yang dikeluarkan SPR bagi membolehkan BN mengawal undi mereka.

"Dengan kemiskinan yang dihadapi Orang Asli, sudah tentu mereka termakan dengan apa yang diberikan BN. Undi India juga majoriti berpihak kepada BN," katanya.

Monday, April 26, 2010

HULU SELANGOR TIDAK JEJAS KOMITMEN PAKATAN RAKYAT KE "PUTRAJAYA"


HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 26 April: Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharudin Mat Isa menyeru seluruh pendukung Pakatan Rakyat supaya menjadikan keputusan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor, semalam untuk meningkatkan semangat dan istiqamah di dalam perjuangan menuju 'ke Putrajaya'.

“Keputusan pilihan raya itu memberi ruang kepada kita untuk terus meningkatkan komitmen dan istiqamah memantapkan perjuangan Pakatan Rakyat sama ada dalam pilihan raya kecil selepas ini atau pilihan raya umum akan datang,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Bachok ketika dihubungi pagi ini.

Tambahnya, keputusan itu tidak sekali-kali menjejaskan matlamat perjuangan Pakatan Rakyat untuk mengambil alih pemerintahan negara daripada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum nanti.

Menurutnya, hasrat `ke Putrajaya’ hendaklah menjadi fokus utama para pendukung Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum akan datang.

Selaku Pengarah Pilihan raya PAS pada pilihan raya kecil itu, beliau mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada para petugas parti dan Pakatan Rakyat dari seluruh negara yang bertungkus lumus bekerja bagi memastikan kemenangan berpihak kepada Datuk Zaid Ibrahim.

PAS, ujarnya, menerima keputusan pilihan raya itu dengan hati terbuka dalam konteks demokrasi.



“Kita tidak anggap ia sebagai kekalahan tetapi tak menang saja,” ujarnya seloroh berdasarkan undi majoriti di ketiga-tiga Dun dalam Parlimen Hulu Selangor pada pilihan raya umum lalu.

Pilihan raya umum lalu menyaksikan Pakatan Rakyat memperolehi 20,108 undi di Dun Hulu Bernam, Batang Kali dan Kuala Kubu Baru berbanding BN berjumlah 26,264 sementara 23,177 undi bagi kerusi parlimen sementara BN pula 22,979 undi.

Pada pilihan raya kecil semalam, Datuk Zaid Ibrahim yang mewakili Pakatan Rakyat daripada PKR mendapat 23,272 undi sementara calon MIC (BN), P Kamalanathan memperoleh 24,997 undi.

Keputusan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Hulu Selangor, Nurhisham Ahmad Dahalan pada pukul 9.20 malam di Dewan Serbaguna, Kompleks Sukan Kuala Kubu Bahru.

Pilihan raya kecil itu diadakan berikutan penyandangnya daripada PKR, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad meninggal dunia pada 25 Mac lalu.

Pada pilihan raya umum lalu, Allahyarham menewaskan calon BN, Datuk G Palanivel dengan majoriti 198 undi.

Berdasarkan keputusan pilihan raya kecil semalam, undi Pakatan Rakyat cuma berkurang 95 sahaja berbanding pilihan raya umum 2008 sementara BN meningkat 2,018 undi.

Pilihan raya kecil itu menyaksikan 48,935 daripada 64,500 pengundi atau 75.87 peratus keluar membuang undi manakala 47,845 pengundi daripada 63,593 atau 75.24 peratus keluar mengundi pada pilihan raya umum lalu.

Thursday, April 22, 2010

MAHKAMAH BEBAS PELAJAR PONDOK PAKAI SERBAN


HARAKAHDAILY
TUMPAT, 22 April: Mahkamah Majistret di sini pagi ini membebaskan kelima-lima pelajar Al-Madrasah Ad-Diniah Al-Yusufiah Pondok Banggol Naim, Pasir Mas yang dituduh menunggang motosikal tanpa memakai topi keledar semasa ditahan polis pada 27 April 2008 lalu.

Majistret Raja Norshuzianna Shakila Raja Mamat semasa membuat keputusan itu mendapati pihak pembelaan berjaya membuktikan bahawa wujudnya satu keraguan yang munsabah.

Peguambela Amir Syafiq Venkadesh Narayanan ketika bercakap kepada media di luar mahkamah berkata kelima-lima ‘orang kena saman’ (OKS) itu telah dilepaskan dan dibebaskan.

“Majistret memutuskan pihak pembelaan berjaya membuktikan bahawa wujudnya satu keraguan yang munasabah. So, saya fikir ini menjadi satu prosiding,” katanya.

Lima pelajar OKS dari ‘Pondok Gelang Mas’ yang dibebaskan itu ialah Adli Ab Halim, 23, Afizul Mohamed, 23, Ahmad Hafidz Saari, 24, Che Mohd Noor Che Soh, 28, dan Mohd Azam Mohd Arifin, 24.

Mereka ditahan kira-kira pukul 12.00 tengah malam semasa dalam perjalanan pulang dari menghadiri sembahyang jenazah di Masjid Jar Besar, Tumpat pukul 10.00 malam sebelum menghadiri ceramah Israk dan Mikraj di Surau Geting, Tumpat.

Mereka dituduh di bawah Kaedah 4 (motorsikal topi keledar keselamatan) 1973 dan jika sabit kesalahan mereka boleh dihukum di bawah Seksyen 119 (2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 338/87) yang dibaca bersama Seksyen 128 (1) Akta yang sama.

Sepanjang tempoh perbicaraan kes itu sejak 2008, seramai 11 orang saksi telah memberikan keterangan bagi pihak pembelaan, manakala pihak pendakwaan mengemukakan empat saksi.

Kelima-lima OKS semasa ditahan polis, semuanya menunggang motosikal dengan masing-masing membawa pembonceng tanpa memakai topi keledar tetapi sebaliknya hanya memakai serban dan berjubah putih.

Menurut Amir Syafiq, di bawah undang-undang, ada pengecualian di mana seseorang itu tidak perlu memakai topi keledar semasa menunggang motorsikal iaitu golongan ‘Haji’, ‘Hajah’, ‘Lebai’ dan ‘Sikh’. “Namun dalam undang-undang itu tidak dijelaskan apakah yang dimaksudkan dengan ‘lebai’, yang (undang-undang itu) terpakai sejak digubal oleh Parlimen,” katanya.

SELESAI MASALAH ' SARDIN DALAM TIN' SEGERA


HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 21 April: Salahudin Ayub (PAS-Kubang Kerian) menggesa kerajaan memberikan perhatian serius terhadap masalah sistem pengangkutan awam di negara ini yang berlarutan sejak sekian lama dan menjejaskan keselesaan rakyat.

Salahudin sewaktu membahaskan Rang Undang-undang Suruhanjaya Pengangkutan Awam 2010 di Dewan Rakyat hari ini berkata, sistem pengangkutan awam di ibu kota khususnya transit aliran ringan (LRT) yang menjadi tumpuan warga kota sentiasa mengalami kesesakan terutamanya pada waktu puncak.

"Isu di sini ialah LRT tidak kira Putra, Star, sama seperti sardin dalam tin. Itulah hakikatnya terutamanya pada waktu puncak di mana kita melihat mereka yang menggunakan pengangkutan awam ini terdiri daripada mereka yang terdiri dari pegawai kerajaan, swasta dan sebagainya. Istilah sardin dalam tin ini sangat tepat," katanya yang juga Naib Presiden PAS.

Salahudin turut mempersoal sikap Kerajaan yang mewar-warkan hasrat menggalakkan rakyat menggunakan pengangkutan awam bagi mengurangkan jumlah kenderaan yang masuk ke ibu kota tetapi tidak mencari jalan penyelesaian terhadap masalah kesesakan pengangkutan awam ini.

"Dalam masa yang sama kerajaan menggalakkan supaya Kuala Lumpur jadi seperti London dan Tokyo hyang mana kurangnya kereta yang memasuki kota.

"Kalau kita mahu Kuala Lumpur jadi seperti itu, kita mesti juga perlu beriltizam fikirkan satu sistem pengangkutan awam yang baik.

"Saya bertemu dengan pegawai Keretapi tanah Melayu (KTM), mereka berkata gerabaknya tidak ditambah. Kalau tidak ditambah isu sardin dalam tin ini tidak akan selesai," katanya.

Salahudin turut menyelar sikap Kerajaan yang tidak bersungguh-sungguh untuk menaik taraf stesen bas Puduraya meskipun sejumlah peruntukan yang besar telah diumumkan untuk tujuan itu.

"Sebagai contoh baru-baru ini dua Perdana Menteri, pada 2004 dahulu sewaktu Pak Lah menjadi Perdana Menteri kemudian diambil alih oleh Datuk Seri Najib, kedua-duanya membuat lawatan ke stesen bas Puduraya.

"Kita menyaksikan bahawa Puduraya adalah bangunan yang terlalu ketinggalan zaman dan mengalami kesesakan dengan pencemaran alam sekitar dan kekurangan ruang untuk menempatkan bas.

"Baru-baru ini saya difahamkan warga Puduraya diarah berpindah dan kerajaan berjanji untuk memberikan geran lebih kurang RM60 juta untuk mengubahsuai dan menaik taraf Puduraya tapi tidak jadi. Ini adalah satu sikap Kerajaan yang tidak bersungguh-sungguh," katanya.

Beliau menyeru Kerajaan agar tidak mengabaikan kepentingan rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah.

"Janganlah destinasi yang penting ini yang digunakan untuk manfaat rakyat berpendapatan sederhana dan rendah ini dipandang sambil lewa. Saya rasa masalah ini perlu diselesaikan samaada diberikan penempatan baru yang lebih selesa atau menaik taraf.

"kerajaan perlu mengotakan janji dengan bersungguh-sungguh untuk membaiki keadaan di puduraya ini," katanya.

Tuesday, April 20, 2010

KAFIR QURAISY JUGA SERANG PERIBADI SAHABAT BILA PELUK ISLAM


HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 20 April: Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azamuddin Md Taib (gambar) menyelar tindakan pemimpin Umno/Barisan Nasional (BN) menyerang peribadi calon Pakatan Rakyat, Datuk Zaid Ibrahim dengan mengungkit segala perkara yang dilakukan sewaktu menjadi menteri kabinet dahulu.

Menyoroti sirah, Taib berkata, serangan yang dibuat Umno/BN terhadap Zaid tidak ubah seperti apa yang dilakukan oleh kafir Quraisy terhadap sahabat Rasulullah s.a.w., Khalid Ibnu Walid.

Menurutnya, setelah Khalid memeluk Islam dan menjadi sahabat Rasululullah s.a.w., kafir Quraisy menyerang peribadi Khalid sebelum memeluk Islam dan menghasut para pengikut Rasulullah s.a.w. agar tidak memberikan kepaercayaan kepada Khalid.

"Dari sudut Islam, apabila khalid Ibnu Walid memeluk Islam dan beriman kepada Allah S.W.T., perkara ini yang dimainkan oleh kafir Quraisy dengan mencungkil balik sejarah buruk Khalid.

"Kita tahu Khalid merupakan orang yang bersungguh-sungguh ingin membunuh nabi sehingga masa peperangan Uhud, yang memimpin perang di kalangan kafir Quraisy ialah Khalid dan beliau bersiap sedia dengan pedang untuk membunuh Nabi.

"Tapi setelah beriman dia menjadi sahabat kanan Rasulullah s.a.w. dan orang yang dijamin syurga. Kedudukan ini yang diperoleh oleh Khalid dengan taubat dia dan sebagainya, maka kafir Quraisy bertindak menyerang peribadi beliau," katanya.

Taib mempersoalkan sikap pemimpin Umno/BN yang seolah-olah bersetuju dengan tindakan kafir Quraisy dan melakukan perkara yang sama dalam kempen mereka untuk memenangkan calon BN di Hulu Selangor.

"Bagi saya apa yang dimainkan oleh Umno dengan menyerang Zaid secara peribad, ini adalah rentak tari lama yang dimainkan oleh musyrikin. Oleh itu, para pengundi boleh bertanya, apakah Umno dan Barisan Nasional hari ini sama juga perangai dengan musyrikin dulu?”

"Apakah mainan Umno semacam ini, orang Melayu dan orang Islam boleh berpegang kepada perbuatan ini dan adakah orang Umno seronok sangat dengan rentak tari yang dimainkan oleh musyrikin dahulu?" soalnya.

Beliau juga berkata, Zaid sendiri telah mengaku kesalahan dan sewajarnya sebagai orang Islam berbaik sangka dan menerima pengakuannya dengan hati yang terbuka.

"Sekarang ini Zaid sendiri mengaku dan dia pun dah insaf jadi dalam konteks itu secara baik sangkanya. Kita sebagai muslim bahawa kita yakin bahawa beliau telah bertaubat kepada Alah dan jika Allah membuka pintu taubat kepada semua orang, kenapa kita tidak boleh terima secara rasional," katanya lagi.

Beliau turut mempersoal Pertubuhan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang mewar-warkan membela nasib Melayu tetapi menyokong calon MIC di Hulu Selangor.

"Mana letak duduk Perkasa yang menyokong orang Melayu. Dalam hal ini dia menyokong MIC.

"Apa yang ada pada kredibilti Perkasa. Untuk mendapatkan sokongan Melayu, mereka mendendangkan lagu Melayu tapi dalam meraih politik BN mereka menyokong MIC," katanya.

Monday, April 19, 2010

FITNAH , AKHBAR SELANGOR KITA BERDEPAN SAMAN

HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 19 April: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan akhbar Selangor Kita kerana menyiarkan kenyataan palsu daripada Mufti Perak bertajuk 'Khalid Samad tidak beriman'.

Bercakap pada sidang media di lobi Parlimen hari ini, Khalid memberitahu, Datuk Seri Harussani telah memberikan respon berhubung perkara itu kepadanya dengan menafikan mengeluarkan kenyataan seperti yang disiarkan akhbar berkenaan.

"Harussani sudah respon, dia kata bahawa dia tidak mengeluarkan kenyataan ini.

"Dia tidak tahu dan tidak pernah dengar pun suratkhabar Selangor Kita, dia tidak pernah sebut nama saya dan komennya mengenai isu kalimah Alah semuanya secara umum," katanya.

Justeru, Khalid berkata, dengan penafian itu, beliau menganggap isu di antara beliau dengan Harussani telah selesai namun menyelar akhbar berkenaan kerana menyebarkan fitnah dan pembohongan besar.

"Jadi berdasarkan kepada kenyataan itu, saya menganggap itu merupakan penafian dan dengan penafian itu saya anggap isu itu telah pun selesai. Namun yang penting ialah suratkhabar Selangor Kita ini adalah suratkhabar yang tidak boleh diguna pakai.

"Saya akan mencari jalan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang bertanggungjawab ke atas akhbar ini," katanya.

Menurut Khalid, akhbar berkenaan diedarkan secara menyeluruh di Hulu Selangor sebagai salah satu cara kempen Umno/Bn untuk memburuk-burukkan Pakatan Rakyat.

Sehubungan itu, beliau menyeru agar para pengundi di Hulu Selangor tidak terpengaruh dengan berita yang disiarkan dalam akhbar berkenaan yang diyakini dikeluarkan oleh Umno/BN.

"Saya difahamkan surat khabar ini disebar secara menyeluruh di Hulu Selangor. Saya menyeru seluruh pengundi di Hulu Selangor apabila mendapat surat khabar ini ambil dan campak sahajalah sebab memang tidak berwibawa dan terbukti berita yang dibawa adalah satu pembohongan.

"Kita harap hakikat pembohongan ini boleh disampaikan kepada pengundi," katanya lagi.

Mengulas lanjut mengenai 'akhbar misteri' itu, beliau berkata, isu-isu yang dimuatkan dalam akhbar berkenaan membuktikan Umno/Bn begitu terdesak dan ketandusan isu dalam menghadapi penguindi di Hulu Selangor sehingga bertindak menyerang peribadai calon yang merupakan isu yang sudah lapuk.

"Isu-isu yang dibawa menunjukkan betapa Umno BN begitu terdesak dalam pilihanraya Hulu Selangor dan tidak ada isu untuk disampaikan sehingga isu peribadi Datuk Zaid Ibrahim juga diberi penonjolan oleh jentera Umno BN sedangkan kita tahu itu adalah kisah lama semasa beliau berada dalam Umno," katanya.

Minggu lalu, Khalid meminta Harussani membuat penjelasan atau menafikan kenyataan yang disiarkan dalam akhbar Selangor Kita, kononnya dikeluarkan beliau.

Akhbar Selangor Kita juga turut diedarkan di ruang rehat ahli Parlimen untuk bacaan umum.

Turut bersama pada sidang media itu, Datuk Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat), Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (PAS-Kota Bharu).

Sunday, April 18, 2010

BARU KAMI SEDAR, BN TIDAK MINAT BELA RAKYAT



HARAKAHDAILY
KOTA KINABALU, 18 April: “Sekarang kami baru sedar, BN memang tidak berminat untuk membela rakyat. Kami tertipu dan ditipu oleh para pemimpin BN,” kata seorang anak muda di Kampung Bakau, Likas yang mahu dikenali sebagai Jaidin.

Sehubungan itu, beliau mahu pengundi di kawasan Parlimen Hulu Selangor menolak BN dan menyokong Pakatan Rakyat agar peristiwa yang menyayat hati di kampung itu baru-baru ini tidak berulang di Hulu Selangor.

Ini ekoran tindakan kejam Kerajaan Barisan Nasional (BN) negeri meroboh rumah-rumah penduduk setinggan di kampung itu yang amat menyayat hati dan tidak akan dilupakan sampai bila-bila oleh penduduk.

Tanpa belas kasihan, para pekerja Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) bersama anggota Rela meroboh satu demi satu rumah penduduk yang rata-ratanya miskin dan daif bermula 12 April lalu yang dijangka berakhir 24 April ini.

Paling menyedihkan kakitangan DBKK dan Rela tergamak meroboh sebuah rumah ketika penghuninya sedang menikmati juadah makanan mereka.

Tidak cukup dengan itu, orang-orang suruhan kerajaan BN ini telah merosakkan harta benda penduduk seperti barangan elektrik, perabot dan sebagainya.

“Selama ini saya dan keluarga setia menyokong Barisan Nasional tetapi kenapa ini balasan yang kami terima? Saya ada sembilan orang anak dan enam orang masih bersekolah. Rumah saya diroboh dan sekarang kami tidak tahu mahu tinggal di mana,” kata Nasron yang tinggal bersama keluarga di sebuah pondok sempit dan usang.

Dengan nada sebak Nasron memberitahu: “Kami ini seperti tiada harga, dibuat macam binatang. Lebih teruk lagi daripada Yahudi. Kami dihalau tanpa bayaran pampasan satu sen pun. Saya disuruh ke Telipok Ria (perumahan rakyat) tetapi saya perlu membayar wang deposit sebanyak RM700.

“Itu belum campur kos pendawaian elektrik yang lebih kurang kosnya RM2,000. Manakala anak saya bersekolah di Kampung Likas, tambang seorang menjadi RM80 sebulan. Maka dengan enam orang anak kos tambang sekolah sudah mencecah RM480 yang mana saya sendiri tidak mampu sediakan semua itu”.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kampung Bakau, Nasir Ahid penduduk telah mendiami di situ selama 30 tahun iaitu awal tahun 1980-an lagi.

Pada waktu itu, katanya penduduk yang berasal dari Semporna, Kudat dan Kota Marudu telah datang meneroka dan membina perkampungan di tanah paya seluas 23 ekar. Kesemua mereka Bumiputera malahan pengundi Kampung Bakau saja berjumlah 3,000 orang.

“Pada masa itu, salah seorang ahli JKKK telah mempelawa saya membina rumah di sini dengan keluasan 30 x 40 kaki. Kebenaran yang diberikan membolehkan saya membina rumah untuk kami sekeluarga menumpang teduh dan meneruskan kehidupan,” kata seorang pesara polis yang tidak mahu dikenali.

Kini beliau telah bersara manakala isterinya bekerja sebagai tukang sapu dengan gaji sebanyak RM17 sehari.

“Apabila kerajaan mahu meroboh rumah kami, saya tidak tahu mahu ke mana kerana saya tidak mempunyai tanah dan wang,” katanya.

Salah seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Radin memberitahu: “Saya membuat panggilan kepada Ketua Umno Bahagian Sepanggar, Jumat Idris untuk memohon bantuan kerana penduduk Kampung Bakau hidup kegelapan setelah pihak SESB memotong bekalan elektrik sejak Isnin lagi. Lantas Jumat menjawab ada baiknya juga hidup dalam kegelapan,” katanya yang tidak berpuas hati dengan lagak sombong pemimpin Umno itu.

Robohnya rumah-rumah Kampung Bakau itu diiringi dengan tangisan dan hancur berkecainya harapan penduduk untuk terus menikmati kehidupan yang aman dan damai.

Suatu ketika dahulu, apabila menjelang pilihan raya, wakil rakyat Dun Karambunai sekarang, Jainab Ahmad telah memberi jaminan bahawa nasib penduduk kampung itu akan dibela dan dipertahankan.

Namun apabila rumah-rumah mereka telah ranap diroboh, wakil rakyat tidak muncul-muncul. Kini semuanya itu ternyata hanya janji-janji kosong belaka.

Friday, April 16, 2010

Medan Rakyat Tolak Politik bankrap Umno/Bn


HARAKAHDAILY
HULU SELANGOR, 16 April: Rakyat diajak menjadikan pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor sebagai medan rakyat menolak politik bankrap wakil rakyat Bebas bersekongkol dengan Umno/BN.

Bercakap di Kuala Kubu Baru malam tadi, Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan beberapa wakil rakyat tersebut seakan mengkhianati amanah rakyat.

"Rakyat tidak akan lompat walaupun beberapa ahli parlimen dan seorang Adun di Bakar Arang lompat parti dan khianat amanah rakyat," ujar beliau di Dewan JKKK Asam Kumbang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, walaupun Umno BN berkali-kali menolak desakan Pakatan Rakyat supaya diadakan pilihan raya kecil di kawasan-kawasan wakil rakyat Bebas, kematian bekas Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk Dr. Zainal Abidin Ahmad seolah-olah ketentuan Allah untuk menggagalkan perancangan Umno.

"Saya rasa pilihan raya kali ini merupakan suatu ketentuan Tuhan sebab Umno berkali-kali menolak desakan kita supaya diadakan pilihan raya kecil wajar diadakan di kawasan-kawasan beberapa wakil rakyat lompat parti itu.

"Politik bankrap ini akhirnya terpaksa menghadapi rakyat di Hulu Selangor," jelasnya.

Sehubungan itu, menurut Mahfuz, pencalonan Datuk Zaid Ibrahim di Hulu Selangor mampu melengkapkan aksi rakyat menolak politik bankrap Umno.

Ujar Mahfuz, Zaid sanggup melepaskan jawatan sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) kerana protes kerajaan menggunakan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) untuk menzalimi rakyat.

"Zaid Ibrahim mempunyai moral yang tinggi, kedudukannya yang sangat tinggi (iaitu) Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM)," beliau menambah.

"Apabila beliau tidak setuju dengan kezaliman ISA, beliau sanggup letak jawatan (menteri)."

Bercakap di depan khalayak yang kebanyakan berbangsa Cina, Mahfuz turut menyindir Model Ekonomi Baru (MEB) yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

"MEB, Umno nak buat pembangunan, perlu tunggu wakil rakyat mati, kalau tak mati, tak ada pembangunan."

Bagi Mahfuz, rakyat lebih berminat dengan agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor yang diperkenalkan oleh Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Seperti di Selangor, melaksanakan Merakyatkan Ekonomi Selangor, rakyat boleh merasa kekayaan negeri Selangor seperti 20 meter padu air percuma.

"50 tahun rakyat Selangor di bawah Kerajaan Pakatan Rakyat, tidak pernah dapat apa yang Pakatan Rakyat beri sekarang, tak perlu tunggu wakil rakyat mati," jelas beliau.

Turut menyertai Mahfuz, Datuk Seri Chua Jooi Meng (Ahli Majlis Kepimpinan Tertinggi PKR), Tony Phua (Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara), Teo Nie Ching (Ahli Parlimen Serdang) dan para ketua kampung di Kuala Kubu Baru.

Thursday, April 15, 2010

TIDAK BERIMAN : YB KHALID MINTA MUFTI NAFI BERITA


HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 15 April: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria menarik balik atau menafikan kenyataan yang disiarkan dalam akhbar Selangor Kita di bawah tajuk ‘Khalid Samad tak beriman - Mufti’.

Menurut Khalid, artikel itu terkandung di dalam keluaran ketiga akhbar berkenaan yang diedarkan kepada ahli-ahli Parlimen.

Katanya, akhbar yang dipercayai diterbitkan oleh Umno/BN itu walaupun Umno menafikannya melaporkan Harussani berkata bahawa Khalid tidak beriman berhubung isu penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam, baru-baru ini.

Gambar Harussani turut disiarkan pada muka surat berkenaan.

Pada sidang media di lobi Parlimen sebentar tadi, Khalid memberi tempoh tujuh hari kepada Harussani supaya menafikan atau menarik balik kenyataan yang disiarkan di dalam akhbar berkenaan.

Beliau tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang sekiranya Mufti Perak itu enggan berbuat demikian dalam tempoh tersebut.

Turut bersama beliau pada sidang media itu ialah Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Abdullah, Muhammad Husain (Pasir Puteh), Mohd Nasir Zakaria (Jerlun) dan Firdaus Jaafar (Jerai).

Khalid turut mempersoalkan bagaimana akhbar dengan tajuk utama HARTA S'NGOR KENA KEBAS boleh dibawa masuk ke Parlimen.

Wednesday, April 14, 2010

Nuklear : PAS cadang sokong pendekatan Turki


HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 14 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta Malaysia berpendirian seperti Turki yang konsisten dalam isu penggunaan tenaga nuklear dan tidak bersikap double standard.

"Saya harap Malaysia mengambil sikap yang sama dengan Turki iaitu sikap yang konsisten dan tidak double standard, berani dan tegas supaya hak diberi kepada Iran seperti yang diberi kepada negara lain," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau berkata, Amerika Syarikat bersikap double standard terhadap Iran apabila memohon sokongan Malaysia bagi memainkan peranan dalam pelucutan senjata nuklear yang ingin dimajukan negara itu.

Abdul Hadi dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini kesal dengan tekanan yang dibuat terhadap Iran meskipun negara itu telah membuat kenyataan terbuka bahawa mereka hanya ingin memajukan teknologi nuklear sebagai tenaga alternatif daripada sumber yang lain.

Sedangkan ujarnya, Israel yang telah mempunyai teknologi nuklear sejak sekian lama tidak dikenakan apa-apa tindakan sebaliknya bebas melakukan apa sahaja.

"Di sana berlakunya double standard dalam polisi yang dilakukan Amerika Syarikat. Ada negara yang boleh melakukan apa sahaja seperti Israel yang tidak menandatangani perjanjian mengharamkan senjata nuklear dan Israel telah mempunyai teknologi ini sejak tahun 60-an lagi.

"Sepatutnya satu tindakan yang tegas diambil terhadap Israel tapi apa yang berlaku ialah Iran yang membuat kenyataan terbuka bahawa mereka mahu memajukan teknologi nuklear untuk tenaga alternatif daripada sumber yang lain ditekan habis-habisan dan diberi amaran yang keras dan sudah dibuat keputusan untuk melakukan sekatan terhadap Iran,” ujarnya.

Perkara itu dibangkitkan sebagai menyentuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyertai Presiden Barack Obama dan pemimpin dunia lain pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington hari ini.

Sidang kemuncak itu bermula selepas Washington melancarkan proses melobi yang sengit untuk beberapa hari untuk meraih sokongan dunia bagi memberi tekanan kepada Iran mengenai program senjata nuklear negara itu.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut meminta Malaysia sebagai anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mendesak OIC mengadakan satu sidang khas berhubung keganasan Israel terhadap Palestin yang masih lagi berterusan.

"Seterusnya, saya ingin menyentuh tentang apa yang berlaku di Palestin, tentang tindakan Israel yang mengura-ura untuk menghalau penduduk Palestin dari kampung halaman mereka dan pencerobohan terhadap Masjid Al-Aqsa yang masih lagi berleluasa.

"Malangnya media menutup perkara ini yang menyebabkan pertumpahan darah dan korban sedemikian rupa.

"Malaysia sebagai negara OIC diharapkan supaya mendesak supaya diadakan satu sidang khas OIC berkait keganasan Israel ini," tegasnya.

Monday, April 12, 2010

CADANGAN MP PAS DITERIMA DI PARLIMEN


HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 12 April: Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk M. Saravanan berkata, pihaknya akan mengkaji cadangan Dr Mujahid Yusof Rawa (PAS-Parit Buntar) supaya bangunan-bangunan yang terbiar dimanfaatkan sebagai pusat komuniti.

Dr Mujahid (gambar) sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini mencadangkan agar bangunan-bangunan yang terbiar dan tiada pemilik dimanfaatkan sebagai pusat komuniti untuk tujuan aktiviti sosial melibatkan badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan sebagainya.

Katanya, untuk tujuan itu kerajaan harus mengadakan satu data bagi membolehkan bangunan-bangunan terbiar ini dikategorikan supaya kebolehgunaan bangunan ini dapat dimaksimumkan.

"Saya ingin mencadangkan kepada pihak kementerian agar diadakan satu data di mana data ini membolehkan kita mengkategorikan bangunan-bangunan terbiar ini supaya strategi guna pakai atau kebolehan gunaan bangunan ini boleh kita usahakan.

"Saya mencadangkan bangunan yang terbiar ini atau bangunan yang tidak ada tuan ini, apakah mungkin pihak kementerian mengambil langkah-langkah supaya bangunan ini boleh digunakan untuk aktiviti-aktiviti sosial dan boleh dipakai sebagai pusat komuniti dan aktiviti-aktiviti NGO," katanya.

Beliau juga ingin tahu sama ada bangunan itu dinilai semula untuk pembangunan.

"Apakah mungkin bangunan ini dinilai semula untuk mungkin menjadi satu hartanah atau dijual untuk pembangunan," soalnya.

M. Saravanan berkata, pihaknya akan mengkaji cadangan itu untuk diambil tindakan.

Mujahid dalam soalan asalnya meminta Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar menyatakan jumlah bangunan yang terbiar dan tidak digunakan di sekitar Kuala Lumpur dan tindakan yang diambil kerajaan untuk menyelesaikan masalah ini.

Timbalan menteri itu memberitahu, semenjak tahun 2003, sebanyak 318 buah bangunan usang dan terbiar telah dikenal pasti oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Sejak 2003 juga, katanya, 301 notis telah dikeluarkan kepada pemilik premis terbiar yang memerintahkan mereka supaya melakukan kerja-kerja pengindahan atau mengecat premis masing-masing.

Dalam soal menangani isu bangunan terbiar, masalah yang dihadapi oleh DBKL adalah pemilik sebenar premis gagal dikenal pasti, notis tidak dapat diserahkan kepada pemilik, dan kes masih di mahkamah bagi menentukan pemilik sebenar premis.

Friday, April 9, 2010

PERLEMBAGAAN PERSEKUTUAN TENTUKAN KERAKYATAN, BUKAN Umno


Harakahdaily-

KUALA LUMPUR, 9 April: Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad (gambar) berkata, soal kerakyatan bukan Melayu sudah lama selesai dan generasi Cina, India dan kaum bukan Melayu yang menjadi warganegara telah diberikan kerakyatan berdasarkan Perlembagaan Persekutuan, bukan Perlembagaan Umno.

Justeru, katanya PAS kesal dengan ucapan perkauman Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar yang membangkitkan isu kerakyatan kepada bukan Melayu di negara ini yang didakwa perlu berterima kasih kepada Umno.

Malah, katanya selepas lebih 52 tahun negara ini merdeka, rakyat bukan Melayu telah memberikan banyak sumbangan kepada pembangunan negara dan mereka seharusnya tidak dijadikan bahan politik untuk dihina demi untuk menunjukkan Umnolah juara rakyat sebenarnya.

“Ucapan Noh ini bukan pertama kali keluar dari mulut pemimpin Umno. Februari lepas Datuk Nasir Safar, pegawai khas Perdana Menteri turut membakar kemarahan kaum bukan Melayu dengan menggelarkan kaum Cina dan India di negara ini sebagai pendatang,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Tegasnya, PAS menolak sebarang ucapan, slogan atau kempen perkauman yang diterapkan oleh Umno dan BN kerana jelas ia hanyalah merugikan rakyat.

Tambahnya lagi, isu perkauman dan kewarganegaraan tidak seharusnya berbangkit dan PAS berharap kaum Melayu dan bukan Melayu dapat hidup dengan harmoni di negara ini serta menghormati hak masing-masing.

“PAS menyeru komponen BN menilai kedudukan mereka dalam BN kerana akhir-akhir ini Umno sudah kembali menunjukkan dasar perkaumannya. Umno hanya menjual slogan demi slogan bagi menarik sokongan rakyat,” ujarnya.

Malah, ujarnya lagi dalam konvensyen yang Noh berucap itu, hanya lagu BN dan Umno sahaja yang dinyanyikan seolah-olah dalam BN hanya ada parti Umno sahaja.

Katanya, jawapan pengerusi penganjur konvensyen, yang mendakwa tidak melihat sebarang isu dalam hal itu menjelaskan lagi sikap Umno yang memandang kecil kehadiran komponen lain BN semasa majlis itu.

Malah, beliau menambah Umno sampai hari ini tidak pernah berhenti menyalahkan MIC dan MCA di atas kekalahan teruk mereka di Selangor.

“Oleh itu, PAS melihat komponen BN bukan Melayu kini ibarat anak tiri yang sudah kematian bapa. Sudah kalah, Umno pun tak pandang,” ujarnya.

Beliau berkata, PAS juga yakin, rakyat akan menghukum BN dalam Pilihan raya Kecil Parlimen Hulu Selangor pada 25 April ini dengan sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin Umno dan komponen lain yang masih bacul untuk meninggalkan BN kerana menjaga periuk nasi mereka.

Monday, April 5, 2010

APCO : PAS rayu Majlis Raja-Raja campurtangan


Dzulfikar Mashoor = HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 5 April: Majlis Raja-raja Malaysia dirayu untuk campur tangan dalam pembabitan syarikat perunding antarabangsa APCO Worldwide (APCO) dalam pentadbiran negara kerana ia disifatkan mengajak orang luar ceroboh negara.

Mewakili Ahli Parlimen PAS, Nasharuddin Mat Isa (Bachok) berkata, perlantikan APCO tersebut seolah-olah mendedahkan keselamatan negara pada pihak asing.

"Kita minta Majlis Raja-Raja segera campurtangan (supaya) perjanjian ini dibatalkan kerana ia (seolah-olah) mengajak orang luar menceroboh Malaysia)," jelas beliau dalam suatu kenyataan media di Pejabat Majlis Penyimpan Mohor Raja-Raja Malaysia.

Beliau turut menafikan bahawa insiatif Ahli Parlimen PAS tersebut bertujuan untuk strategi politik sempena pilihan raya kecil di Hulu Selangor tidak lama lagi.

Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar kemudiannya menjelaskan bahawa Majlis Raja-Raja Melayu seharusnya melihat isu tersebut sebagai isu keselamatan negara, bukan sekadar isu politik peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena meminta Apco segera diusir keluar dari Malaysia.

Sebelum pada itu, Nasharuddin yang juga Timbalan Presiden PAS memaklumkan kepada Penolong Setiausaha Majlis Raja-Raja Malaysia, Datuk Sabtu Awwab bahawa Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim Selasa lalu di Dewan Rakyat bahawa APCO mempunyai hubungan langsung dengan beberapa pemimpin strategik Zionis Israel.

Tambahnya, perlantikan APCO sebagai syarikat perundingan komunikasi nasional boleh mendedahkan keselamatan dalam negara kepada pihak luar.

Kata Nasharuddin lagi, Sabtu berkata, YM Tan Sri Engku Ibrahim Engku Ngah, Penyimpan Mohon Besar Raja-raja Malaysia tidak boleh menyertai majlis tertutup tersebut kerana uzur.

Ujar Nasharuddin lagi, Sabtu telah menerima memorandum yang diserahkannya itu hari ini bagi pihak Ungku Ibrahim.

Sabtu berjanji untuk memanjangkan hasrat Ahli Parlimen PAS pada Majlis Raja-Raja Malaysia kelak.

Sunday, April 4, 2010

WARGA EMAS BANJIRI BANK DAPATKAN RM 100 DARI KERAJAAN NEGERI



Ali Hashim - HARAKAHDAILY

PERMATANG PAUH, 4 April: Kira-kira 4,000 warga emas telah menyerbu Maybank cawangan Desa Murni, Sungei Dua bagi mendapatkan wang yang dijanjikan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Bermula sejak semalam sehinggalah ke hari ini kebanyakan cawangan Maybank yang dikhususkan bagi pembayaran wang RM100 seorang tersebut telah dibanjiri oleh warga emas mengikut kawasan pilihan raya masing-masing.

Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Mohd Salleh Man juga terpaksa berada di pusat pungutan tersebut bagi membantu warga emas yang mempunyai masalah semasa proses pembayaran dibuat.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang terpaksa berada sejak awal pagi sehinggalah proses pembayaran tunai berakhir pada petang ini.

Menurut Mohd Salleh warga emas yang mendapat surat untuk menerima wang daripada Kerajaan Negeri masih boleh menunaikan wang tersebut sehingga 16 April yang akan datang.

"Oleh kerana itu mereka tidak perlu untuk tergesa-gesa atau bersesak-sesak untuk mendapatkan wang tersebut kerana tarikh yang diberikan oleh Kerajaan Negeri adalah mencukupi bagi mereka mendapatkan wang yang dijanjikan.

"Proses pembayaran berjalan lancar dengan kerjasama yang begitu baik diberikan oleh pihak bank kepada semua warga emas yang ingin menunaikan wang tersebut.

"Kehadiran semua petugas daripada pusat khidmat Dewan Undangan Negeri dan juga JKKK juga adalah bagi membantu petugas dan kakitangan bank untuk melicinkan proses pembayaran wang tersebut,"katanya semasa ditemui di Maybank cawangan Desa Murni, Sungei Dua.

Manakala Timbalan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Rosidi Hussain terpaksa berhadapan dengan 5 ribu warga emas bagi kawasan Parlimen Kepala Batas yang turut membanjiri Maybank cawangan Bertam, Kepala Batas untuk membantu mereka yang menghadapi masalah dalam proses pembayaran tersebut.

Pembayaran yang dilakukan sejak semalam sehinggalah ke hari ini secara tunai telah menyebabkan warga emas terpaksa beratur panjang bagi mendapatkan wang tersebut.

Rosidi berkata, kehadiran yang begitu menakjubkan membuktikan bahawa pemberian yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri bagi proses pembayaran wang RM100 ini adalah sesuatu yang amat diharapkan oleh warga emas sebagai menghargai mereka selama ini.

"Proses pemberian ini merupakan salah satu tindakan terbaik yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi menghargai warga emas yang ada dalam negeri ini walaupun jumlahnya tidak begitu banyak.

"Namun begitu setidak-tidaknya ia dapat membantu mereka yang benar-benar memerlukan bantuan tersebut,"katanya.

Thursday, April 1, 2010

SIDANG DUN TIDAK HORMATI RAJA MUDA PERAK


Johari Jaafar - HARAKAHDAILY

IPOH, 1 April: Setiausaha PAS Negeri Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki (gambar) menyifatkan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang berlangsung cuma dua hari termasuk istiadat perasmian sebagai tidak menghormati Raja Muda, Raja Nazrin Shah

"Tetapi sayang sidang Dun Perak hanya bersidang dua hari sahaja. Titah Tuanku tidak dibahas secukupnya oleh Adun Pakatan Rakyat dan BN, malahan hari kedua sidang, titah Tuanku tidak dijadikan agenda utama, perbahasan titah Tuanku hanya selepas pembentangan rang undang-undang," katanya.

Selain itu, katanya rakyat mahu sidang Dun menjadi platform terbaik menyuarakan hak mereka melalui wakil-wakil rakyat yang mereka pilih.

Tambahnya, sidang Dun kali ini juga tidak menghormati Raja Muda Perak yang bertitah cukup bernas, penuh dan sarat dengan saranan yang cukup baik.

"Ini jelas ia bercanggah dengan Aturan Mesyuarat sebagaimana terkandung dalam Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri 13(1)," ujarnya sebagai reaksi terhadap persidangan Dun yang tamat semalam.

Menurutnya, sidang hari pertama hanya mendengar titah Tuanku manakala hari-hari berikutnya adalah peluang terbaik untuk setiap Adun berbahas mengenai apa sahaja perkara mengikut Aturan Mesyuarat termasuk perbahasan titah Tuanku.

Jelasnya, perbahasan titah Tuanku adalah perdebatan terbaik bagi semua Adun berhujah dalam apa sahaja isu termasuk isu-isu berkaitan rampasan kuasa.

Tambahnya, sidang Dun yang ditangguhkan semalam dengan tidak ada perbahasan menyeluruh titah Tuanku yang diambil bahagian oleh semua Adun.

“Tindakan ini memberi gambaran seolah-olah titah Tuanku tidak dihargai dan dihormati, apabila Tuanku menyarankan banyak perkara dalam titahnya, sudah tentu ia perlu dibahaskan secara positif oleh semua pihak,” katanya yang juga bekas Setiausaha Menteri Besar Pakatan Rakyat.

Jelasnya lagi, dalam Aturan Mesyuarat, perbahasan titah Tuanku hendaklah didahulukan sebelum pembentangan rang undang-undang, tetapi itu berlaku manakala persidangan pula tidak ditetapkan berapa hari, sedangkan Pakatan Rakyat mencadangkan supaya sidang diadakan empat hingga lima hari bagi membolehkan semua aspek dibincangkan dalam dewan.

Di samping itu, Adun BN juga boleh mendedahkan kelemahan, kepincangan, salah guna kuasa atau apa sahaja yang sering didakwa oleh Adun BN ketika Pakatan Rakyat memerintah negeri sebelum ini dan pastinya Adun-adun Pakatan Rakyat akan menjawab semuanya dalam ucapan perbahasa mereka, selain mendedahkan pula segala kepincangan dan salah guna kuasa Umno/BN.

Walau bagaimanapun, ujarnya isu asas yang mesti menjadi fokus utama perbahasan ialah kebajikan dan kepentingan rakyat.

"Sebenarnya sidang yang dibuat kali ini diadakan dalam keadaan Umno/BN bimbang dan takut. Mereka tidak berani berdepan dengan Adun Pakatan Rakyat melalui hujah, dalam masa yang sama pihak polis pula diperkudakan oleh mereka.

"Inilah padahnya apabila kerajaan halal diambil dengan cara yang haram kemudian tindakannya minta dihalalkan melalui mahkamah. Ini seumpama perbuatan mencuri ayam, kemudian bila ayam yang dicuri itu mahu dimakan, ia disembelih mengikut hukum syarak supaya jadi halal," sindir beliau.

Katanya, apabila perkara asas sudah tidak betul, ianya mengundang kepada seribu kepincangan.

Umpamanya, kata beliau Aturan Mesyuarat dalam sidang dewan, Speaker ‘haram’ Ganesan menyusun jadual perjalanan sidang juga tidak betul.

"Adun Pakatan Rakyat cuba memperbetulkannya, tetapi dengan bodoh sombong Ganesan menolaknya," ujar beliau.

Mengenai persidangan Dun semalam, beliau berkata Adun Pakatan Rakyat memulakannya dengan cara yang betul di mana Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming mengambil kesempatan dengan menggunakan 'point of order' lalu membacakan beberapa perkara dalam Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri.

Beliau berhujah bahawa Ganesan bukan Speaker yang sah berdasarkan enam hujah yang dikemukakan, tetapi Ganesan tidak memberi peluang supaya perdebatan dibuka dalam isu perlantikan Speaker.

"Dewan Negeri adalah platform kedua pihak berhujah, sekiranya ia diberi liputan yang adil, rakyat akan menilai hujah siapa yang tepat dan benar," katanya.

Begitu juga soalan-soalan lisan yang dikemukakan oleh Adun Pakatan Rakyat yang menyentuh isu-isu berkaitan perlantikan Speaker mengikut Perintah Tetap Dewan dan juga Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, sepatutnya soalan itu dijawab, bukan ditolak.

Jelasnya, Penasihat Undang-undang Negeri boleh menyediakan jawapan, berdasarkan jawapan yang diberikan, Adun Pakatan Rakyat boleh mencabar dengan menggunakan peluang mengajukan soalan tambahan.

Followers