Wednesday, April 14, 2010

Nuklear : PAS cadang sokong pendekatan Turki


HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 14 April: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meminta Malaysia berpendirian seperti Turki yang konsisten dalam isu penggunaan tenaga nuklear dan tidak bersikap double standard.

"Saya harap Malaysia mengambil sikap yang sama dengan Turki iaitu sikap yang konsisten dan tidak double standard, berani dan tegas supaya hak diberi kepada Iran seperti yang diberi kepada negara lain," katanya yang juga Ahli Parlimen Marang.

Beliau berkata, Amerika Syarikat bersikap double standard terhadap Iran apabila memohon sokongan Malaysia bagi memainkan peranan dalam pelucutan senjata nuklear yang ingin dimajukan negara itu.

Abdul Hadi dalam perbahasan di Dewan Rakyat hari ini kesal dengan tekanan yang dibuat terhadap Iran meskipun negara itu telah membuat kenyataan terbuka bahawa mereka hanya ingin memajukan teknologi nuklear sebagai tenaga alternatif daripada sumber yang lain.

Sedangkan ujarnya, Israel yang telah mempunyai teknologi nuklear sejak sekian lama tidak dikenakan apa-apa tindakan sebaliknya bebas melakukan apa sahaja.

"Di sana berlakunya double standard dalam polisi yang dilakukan Amerika Syarikat. Ada negara yang boleh melakukan apa sahaja seperti Israel yang tidak menandatangani perjanjian mengharamkan senjata nuklear dan Israel telah mempunyai teknologi ini sejak tahun 60-an lagi.

"Sepatutnya satu tindakan yang tegas diambil terhadap Israel tapi apa yang berlaku ialah Iran yang membuat kenyataan terbuka bahawa mereka mahu memajukan teknologi nuklear untuk tenaga alternatif daripada sumber yang lain ditekan habis-habisan dan diberi amaran yang keras dan sudah dibuat keputusan untuk melakukan sekatan terhadap Iran,” ujarnya.

Perkara itu dibangkitkan sebagai menyentuh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menyertai Presiden Barack Obama dan pemimpin dunia lain pada Sidang Kemuncak Keselamatan Nuklear di Washington hari ini.

Sidang kemuncak itu bermula selepas Washington melancarkan proses melobi yang sengit untuk beberapa hari untuk meraih sokongan dunia bagi memberi tekanan kepada Iran mengenai program senjata nuklear negara itu.

Dalam pada itu, Abdul Hadi turut meminta Malaysia sebagai anggota Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) mendesak OIC mengadakan satu sidang khas berhubung keganasan Israel terhadap Palestin yang masih lagi berterusan.

"Seterusnya, saya ingin menyentuh tentang apa yang berlaku di Palestin, tentang tindakan Israel yang mengura-ura untuk menghalau penduduk Palestin dari kampung halaman mereka dan pencerobohan terhadap Masjid Al-Aqsa yang masih lagi berleluasa.

"Malangnya media menutup perkara ini yang menyebabkan pertumpahan darah dan korban sedemikian rupa.

"Malaysia sebagai negara OIC diharapkan supaya mendesak supaya diadakan satu sidang khas OIC berkait keganasan Israel ini," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Followers