Thursday, April 1, 2010

SIDANG DUN TIDAK HORMATI RAJA MUDA PERAK


Johari Jaafar - HARAKAHDAILY

IPOH, 1 April: Setiausaha PAS Negeri Perak, Mohd Misbahul Munir Masduki (gambar) menyifatkan persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) yang berlangsung cuma dua hari termasuk istiadat perasmian sebagai tidak menghormati Raja Muda, Raja Nazrin Shah

"Tetapi sayang sidang Dun Perak hanya bersidang dua hari sahaja. Titah Tuanku tidak dibahas secukupnya oleh Adun Pakatan Rakyat dan BN, malahan hari kedua sidang, titah Tuanku tidak dijadikan agenda utama, perbahasan titah Tuanku hanya selepas pembentangan rang undang-undang," katanya.

Selain itu, katanya rakyat mahu sidang Dun menjadi platform terbaik menyuarakan hak mereka melalui wakil-wakil rakyat yang mereka pilih.

Tambahnya, sidang Dun kali ini juga tidak menghormati Raja Muda Perak yang bertitah cukup bernas, penuh dan sarat dengan saranan yang cukup baik.

"Ini jelas ia bercanggah dengan Aturan Mesyuarat sebagaimana terkandung dalam Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri 13(1)," ujarnya sebagai reaksi terhadap persidangan Dun yang tamat semalam.

Menurutnya, sidang hari pertama hanya mendengar titah Tuanku manakala hari-hari berikutnya adalah peluang terbaik untuk setiap Adun berbahas mengenai apa sahaja perkara mengikut Aturan Mesyuarat termasuk perbahasan titah Tuanku.

Jelasnya, perbahasan titah Tuanku adalah perdebatan terbaik bagi semua Adun berhujah dalam apa sahaja isu termasuk isu-isu berkaitan rampasan kuasa.

Tambahnya, sidang Dun yang ditangguhkan semalam dengan tidak ada perbahasan menyeluruh titah Tuanku yang diambil bahagian oleh semua Adun.

“Tindakan ini memberi gambaran seolah-olah titah Tuanku tidak dihargai dan dihormati, apabila Tuanku menyarankan banyak perkara dalam titahnya, sudah tentu ia perlu dibahaskan secara positif oleh semua pihak,” katanya yang juga bekas Setiausaha Menteri Besar Pakatan Rakyat.

Jelasnya lagi, dalam Aturan Mesyuarat, perbahasan titah Tuanku hendaklah didahulukan sebelum pembentangan rang undang-undang, tetapi itu berlaku manakala persidangan pula tidak ditetapkan berapa hari, sedangkan Pakatan Rakyat mencadangkan supaya sidang diadakan empat hingga lima hari bagi membolehkan semua aspek dibincangkan dalam dewan.

Di samping itu, Adun BN juga boleh mendedahkan kelemahan, kepincangan, salah guna kuasa atau apa sahaja yang sering didakwa oleh Adun BN ketika Pakatan Rakyat memerintah negeri sebelum ini dan pastinya Adun-adun Pakatan Rakyat akan menjawab semuanya dalam ucapan perbahasa mereka, selain mendedahkan pula segala kepincangan dan salah guna kuasa Umno/BN.

Walau bagaimanapun, ujarnya isu asas yang mesti menjadi fokus utama perbahasan ialah kebajikan dan kepentingan rakyat.

"Sebenarnya sidang yang dibuat kali ini diadakan dalam keadaan Umno/BN bimbang dan takut. Mereka tidak berani berdepan dengan Adun Pakatan Rakyat melalui hujah, dalam masa yang sama pihak polis pula diperkudakan oleh mereka.

"Inilah padahnya apabila kerajaan halal diambil dengan cara yang haram kemudian tindakannya minta dihalalkan melalui mahkamah. Ini seumpama perbuatan mencuri ayam, kemudian bila ayam yang dicuri itu mahu dimakan, ia disembelih mengikut hukum syarak supaya jadi halal," sindir beliau.

Katanya, apabila perkara asas sudah tidak betul, ianya mengundang kepada seribu kepincangan.

Umpamanya, kata beliau Aturan Mesyuarat dalam sidang dewan, Speaker ‘haram’ Ganesan menyusun jadual perjalanan sidang juga tidak betul.

"Adun Pakatan Rakyat cuba memperbetulkannya, tetapi dengan bodoh sombong Ganesan menolaknya," ujar beliau.

Mengenai persidangan Dun semalam, beliau berkata Adun Pakatan Rakyat memulakannya dengan cara yang betul di mana Adun Pantai Remis, Nga Kor Ming mengambil kesempatan dengan menggunakan 'point of order' lalu membacakan beberapa perkara dalam Perintah-perintah Tetap Dewan Negeri.

Beliau berhujah bahawa Ganesan bukan Speaker yang sah berdasarkan enam hujah yang dikemukakan, tetapi Ganesan tidak memberi peluang supaya perdebatan dibuka dalam isu perlantikan Speaker.

"Dewan Negeri adalah platform kedua pihak berhujah, sekiranya ia diberi liputan yang adil, rakyat akan menilai hujah siapa yang tepat dan benar," katanya.

Begitu juga soalan-soalan lisan yang dikemukakan oleh Adun Pakatan Rakyat yang menyentuh isu-isu berkaitan perlantikan Speaker mengikut Perintah Tetap Dewan dan juga Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak, sepatutnya soalan itu dijawab, bukan ditolak.

Jelasnya, Penasihat Undang-undang Negeri boleh menyediakan jawapan, berdasarkan jawapan yang diberikan, Adun Pakatan Rakyat boleh mencabar dengan menggunakan peluang mengajukan soalan tambahan.

No comments:

Post a Comment

Followers