Sunday, December 21, 2014

PAS DESAK TARIK BALIK NOTIS MERAH KEPADA AL QARADAWI

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: PAS membantah sekeras-kerasnya tindakan Polis Antarabangsa (Interpol) mengeluarkan Notis Merah iaitu waran tangkap dan senarai orang yang dikehendaki kepada Presiden Kesatuan Ulamak Sedunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qaradawi.
"Sesungguhnya ini adalah satu tindakan yang jelas 'double-standard' dan jelas berpihak kepada rejim kudeta Mesir pimpinan Jeneral As-Sisi.
"Perkara ini amatlah dikesali kerana umum mengetahui kekejaman dan kezaliman yang dilakukan oleh As-Sisi dan gerombolannya terhadap gerakan Ikhwanul Muslimin," tegas Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar dalam satu kenyataan.
Katanya, atas sifat dendam, kerajaan Mesir itulah yang menuntut Interpol bertindak sedemikian rupa.
Justeru, ujar beliau PAS memperingatkan bahawa tindakan Interpol itu seolah-olah menyemarakkan lagi Islamophobia dalam kalangan orang bukan Islam kepada Islam apabila ulama tersohor dunia Islam dikaitkan dengan tuduhan menghasut keganasan dan aktiviti terorisme.
Katanya, konspirasi Barat untuk memburukkan Islam sudah sekian lama berlaku dengan niat jahat mereka menakutkan dan menjauhkan masyarakat umum daripada agama Islam.
"Kami juga kesal akan sikap kerajaan Malaysia yang masih berdiam-diri dalam hal ini sedangkan Syeikh Yusuf bukanlah tokoh yang asing di Malaysia ini," ujarnya lagi.
Ini, katanya kerana pihak kerajaan sendiri pernah menganugerahkan Dr Yusuf Al-Qaradawi sebagai Tokoh Maal Hijrah 1431/2009 yang lalu.
Sehubungan itu, kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu Wisma Putra sewajarnya bersifat proaktif dalam hal ini untuk membela tokoh hebat yang telah menjadi mangsa teraniaya.
"Bukankah kerajaan sendiri sering mendabik-dada mengatakan Malaysia berpengaruh, disegani dan dihormati di peringkat antarabangsa maka tidaklah rugi untuk kita menyatakan pendirian dalam hal ini?" tanya beliau.
Beliau berkata, PAS turut menyeru pertubuhan OIC agar menyatakan pendirian mereka dalam hal ini kerana Syeikh Yusuf adalah bagaikan mutiara dan khazanah yang tidak ternilai yang masih kita punyai dan amatlah wajar dibela nasib beliau.
"Seluruh umat Islam wajar bersatu dan bersepakat untuk menyatakan kekesalan dan bantahan kita terhadap tindakan Interpol ini," katanya.
PAS, tegas beliau mendesak agar Red Notice yang telah dikeluarkan itu dapat ditarik balik dengan segera agar Interpol kekal sebagai institusi yang bebas dan tidak berpihak.
Menurutnya, amatlah malang sekali apabila Interpol sanggup tunduk dan bersekongkol dengan Rejim As Sisi yang kejam lagi zalim itu. -HARAKAHDAILY 20/12/2014

Monday, December 15, 2014

TUKAR KERAJAAN 'BOROS' DEMI SELAMATKAN NEGARA

AHMAD DANIAL | .
MELAKA: Penasihat Ekonomi Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan, Dr Rosli Yaakop berkata kerajaan mesti 'mengempiskan perut' dan 'mengikat tali pinggang bagi mengurangkan perbelanjaan yang boros dan membazir yang mengakibatkan hutang negara meningkat sehingga mencecah lebih RM500 bilion sekarang.

"Jika mereka tidak mengempiskan perut dan mengikat tali pinggang, hutang Malaysia dijangka meningkat menjadi RM1.3 trilion pada tahun 2020.

"Sikap boros, membazir, rasuah serta membiarkan ketirisan menjadi penyebab kepada hutang negara yang semakin meningkat," ujar Dr Rosli.

Beliau berkata bahawa sehingga kini sudah 16 tahun berturut-turut bajet Malaysia mengalami defisit, iaitu pendapatan kurang daripada perbelanjaan.

"Contohnya dalam sebuah rumah, katakan pendapatan RM2000, tetapi perbelanjaan RM2,500 jadi tiap-tiap bulan mereka berhutang RM500 untuk menampung perbelajaan. Sama juga dengan negara kita, pendapatan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan akibat boros dan membazir.

"Apabila pendapatan tidak cukup untuk menampung perbelanjaan, kerajaan mula memikirkan untuk menambah hasil pendapatan negara dengan mengenakan cukai GST yang menekan rakyat." ujar beliau yang juga Pengarah Urusan Harakah.

Dr Rosli menyatakan bahawa GST dikenakan kepada semua lapisan rakyat tidak kira orang kaya, peminta sedekah dan fakir miskin.

"Sesiapa juga yang membeli barang keperluan dan perkhidmatan yang dikenakan GST sudah tentu terpaksa membayar GST.

"Memang GST tidak dikenakan kepada beras dan sebagainya tetapi jika kita makan di restoran atau kedai mamak, sudah tentu kita akan kena bayar GST," tambah beliau.

Menurutnya, para pekedai dan peniaga boleh mendapat balik cukai GST yang dibayar dari kerajaan, tetapi rakyat terbanyak tidak dapat bayaran balik dan merekalah yang paling teraniaya.

"Sudah tentu Harga barangan akan naik dan rakyatlah yang terpaksa berbelanja lebih akibat kenaikan harga barang," ujar Dr Rosli.

Beliau mengingatkan rakyat Malaysia supaya membuat perubahan bagi menyelamatkan negara yang tercinta ini.

"Jika pemimpin negara dan kerajaan tidak ditukar, sudah pasti Malaysia akan bangkrap dan rakyat akan bertambah sengsara.

"Sekarang ini hutang negara sudah melebihi 55 peratus daripada jumlah pendapatan dan kadar ini membuktikan bahawa negara berada di ambang muflis seperti yang dialami oleh Greece," ujar beliau

Menurutnya hanya ada satu jalan sahaja untuk menyelamatkan negara daripada bangkrap iaitu dengan menukar kerajaan pada PRU14 nanti.

Beliau berkata demikian pada ceramah umum anjuran Jentera Pilihanraya Dun Ayer Molek dan PAS Kawasan Ayer Molek di Pejabat PAS Kawasan Bukit Katil di Pekan Ayer Molek. Selain Dr Rosli Yaakob, turut berceramah bersamanya ialah Exco Kerajaan Negeri Selangor, Amiruddin Shari. – HARAKAHDAILY 15/12/2014

Followers