Wednesday, May 22, 2013

TAK PERLU JK KHAS, SPR SENDIRI PERLU DISIASAT

Salmiyah Harun,HARAKAHDAILY 22 Mei 2013
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu menubuhkan pasukan khas untuk mengenal pasti punca menyebabkan dakwat tidak kekal sebaliknya badan itu perlu disisasat pihak berkuasa kerana ternyata wujudnya penyelewengan.

Demikian tegas Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS pusat Dr Hatta Ramli hari ini.

Menurut Hatta, dari awal lagi SPR telah menyatakan pihaknya sudah mendapat penjelasan daripada jabatan kimia, Jakim dan kementerian kesihatan berhubung penggunaan dakwat kekal yang akan digunakan dalam PRU13.

Sebaliknya, kata beliau, hari ini SPR baru hendak tubuhkan pasukan antara lain akan mengkaji aspek ramuan, syarat Kementerian Kesihatan, cara penggunaan dakwat kekal dan kaedah calitan dakwat kekal di jari.

"Apa sebenarnya yang telah berlaku? Adakah mereka tidak kisah membeli dakwat kekal atau ambil sahaja asalkan dakwat yang ada?

"Apabila timbul bukti-buti dakwat kekal yang tidak kekal baru hendak tubuh pasukan mahu kaji balik. SPR buat kerja yang betul-betul tidak profesional!," tegas Hatta kepada Harakahdaily.

Tindakan SPR hari ini, katanya ternyata badan itu telah menipu rakyat dengan menggunakan dakwat kekal kononya sebagai cara untuk mengawal undi lebih dari satu malangnya ia meleset sama sekali.

"Kita sudah lama nyatakan kebimbangan terhadap ketelusan SPR dalam mengendalikan PRU, akhirnya ia berlaku apabila SPR sendiri mahu tubuhkan pasukan mengkaji punca dakwat tidak kekal," katanya

Justeru, tegas Hatta, SPR telah melakukan kesalahan besar dalam PRU13 baru-baru ini dan badan itu harus bertanggungjawab terhadap penyelewengan yang berlaku.

"Saya minta Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof letak jawatan," katanya.

PRU13 merupakan kali pertama SPR memperkenalkan penggunaan dakwat kekal, malangnya dakwat yang didakwa kekal sebaliknya terus hilang sebaik dibasuh menggunakan sabun.

Ekoran itu, ramai di kalangan rakyat negara ini memuat naik video dan gambar bukti dakwat yang boleh luntur begitu mudah di dalam laman Facebook, malah ada yang turut mencemuh ketelusan SPR.

Semalam,  Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof memutuskan untuk menubuhkan 'Pasukan Khas Menyemak Masalah-Masalah Penggunaan Dakwat Kekal PRU Ke-13' untuk meneliti hal-hal berkaitan dakwat kekal itu.

Abdul Aziz berkata pasukan khas itu dijangka menyiapkan penyiasatan dalam tempoh sebulan dan ia diharap dapat membantu SPR mengenal pasti perkara-perkara yang menyebabkan dakwat itu tidak kekal lama di jari selepas dicalit.

No comments:

Post a Comment

Followers