Wednesday, May 19, 2010

SIBU BUKTIKAN "SIHIR" PERKAUMAN MULA DITOLAK


Abdul Aziz Mustafa - HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 19 Mei: Peningkatan undi Melayu kepada calon Pakatan Rakyat (PR) daripada DAP dalam pilihan raya kecil Sibu, Ahad lalu membuktikan ‘sihir’ perkauman Umno dan media-medianya sudah ditolak oleh rakyat, kata Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

"Peningkatan undi Melayu kepada calon DAP itu membuktikan tidak semua orang Melayu yang boleh diperbodohkan oleh ‘sihir’ Umno yang mengapi-apikan perkauman," katanya yang juga Ahli Parlimen Kubang Kerian.

Ahli Parlimen Kubang Kerian itu yakin apa yang berlaku di Sibu itu akan meningkatkan lagi keyakinan rakyat yang waras untuk menyelamatkan sebahagian orang Melayu yang masih lagi terpedaya dengan tindakan Umno yang mengapi-apikan perkauman.

"Umno tahu, perkauman adalah satu-satunya modal baginya untuk terus wujud.

"Malah ada tokoh Umno sendiri yang menyatakan bahawa Umno tidak lagi layak bercakap mengenai Islam terutama dengan tindakan kerajaan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) memohon petunjuk dari Yahudi Zionis dalam APCO Worldwide dan meluluskan lesen judi bola sempena Piala Dunia 2010.

"Hendak bercakap mengenai keadilan, demokrasi, hak rakyat, usaha menentang rasuah, pemimpin yang bersih dari skandal termasuk skandal pembunuhan atau apa jua mengenai kepimpinan yang bersih dan adil, sudah lama Umno tidak layak bercakap mengenai perkara-perkara itu," kata Salahuddin.

Oleh sebab itulah, katanya, hanya perbuatan mengapi-apikan perkauman yang menjadi penyelamat nyawa Umno.

Beliau bagaimanapun yakin Umno tidak akan dapat menipu orang-orang Melayu selama-lamanya dengan sihir perkauman itu.

"Akhirnya orang-orang Melayu akan sedar semua itu adalah propaganda murahan Umno demi kepentingan survivalnya sendiri dan tidak ada kena-mengena dengan kepentingan orang-orang Melayu.

"Tidak dinafikan bahawa sebahagian orang Melayu masih terlupa bahawa Umnolah yang sebenarnya mengkhianati kepentingan orang-orang Melayu contohnya dengan penghakisan tanah rezab Melayu dan penghakisan kerusi majoriti Melayu dalam persempadanan semula kawasan pilihan raya 2003 lalu.

"Tetapi, mereka tidak terlalu bodoh untuk ditipu selama-lamanya oleh Umno," katanya.

Salahuddin juga juga yakin orang-orang Melayu akhirnya akan sedar bahawa masa hadapan mereka tidak akan dapat dijamin dengan mengapi-apikan perkauman.

"Tugas kita ialah untuk meningkatkan kesedaran orang-orang Melayu bahawa Allah tidak mencipta pelbagai kaum untuk bermusuh-musuhan dan saling menyakitkan hati antara satu sama lain.

"Tugas kita ialah untuk meningkatkan kesedaran orang-orang Melayu bahawa orang yang paling mulia di sisi Allah adalah orang yang paling bertaqwa kepada-Nya dan pertolongan Allah kepada bangsa Melayu hanya datang dengan peningkatan ketaqwaan yang menyeluruh kepada-Nya, termasuk mematuhi perintah-Nya supaya meningkatkan ilmu pengetahuan serta memilih pemimpin yang bersih dan bertaqwa," katanya.

No comments:

Post a Comment

Followers