Tuesday, May 18, 2010

SIBU : RAKYAT SARAWAK SEDIA BERUBAH

Nazri Abdullah : Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 18 Mei: Penolakan rakyat Sibu terhadap BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) 16 Mei lalu jelas mencerminkan kesediaan rakyat Sarawak keseluruhannya membuat perubahan.

Timbalan Pengarah Pilihan raya PAS, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, ianya juga mengesahkan bahawa tsunami politik pada 2008 masih berlaku.

Menurutnya, jika Sibu boleh dijadikan kayu ukur pencapaian Pakatan Rakyat di kepulauan Borneo itu, bermakna Pakatan Rakyat punya kelebihan berdepan BN pada pilihan raya negeri Sarawak tahun hadapan.

"PRK Sibu memberi mesej yang jelas kepada pakatan Rakyat khususnya menjelang Pilihan Raya Negeri Sarawak tahun hadapan.

"Kaum Cina sudah sedia menolak BN sejak 2006, tunggu Melayu, Iban dan Dayak sahaja dan Melayu pun sudah buktikan di Sibu," katanya yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu.

Pada PRK Sibu Ahad lalu, di Kampung Hilir Nangka, tempat majoriti masyarakat Melayu Melanau menyaksikan DAP berjaya mendapat undi sebanyak 34 peratus berbanding undi yang diperolehinya pada pilihan raya umum 2008 lalu hanya 12 peratus.

Selain peningkatan sokongan Melayu, pengundi Cina Sibu juga seiring dengan Semenanjung apabila menambahkan sokongan mereka kepada Pakatan Rakyat.

Jika dilihat kawasan pilihan raya Rejang Park iaitu kawasan pengundi Cina, undi untuk DAP meningkat sebanyak 25%.

Bagi Wan Rahim, pemimpin utama Pakatan Rakyat perlu melihat keadaan ini sebagi peluang yang harus dimanfaat sebaiknya dan menyambut harapan rakyat negeri itu.

"Tsunami 2008 masih berterusan, kemarahan rakyat dua tahun lalu masih belum reda malah pada saya kemarahan itu lebih memuncak dengan apa yang dibuat Umno BN sekarang.

"Pada saya, pemimpin Pakatan Rakyat seperti Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang dan Presiden PAS (Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi), perlu duduk semeja berbincang.

"Kalau boleh diselesaikan perkara teknikal, kita kemukan calon 3+1 iaitu PAS, PKR, DAP dan SNAP pada pilihan raya negeri itu nanti," katanya.

Suasana di Sarawak, katanya juga sangat berbeza dengan Semenanjung.

Jika di Semenanjung undi Melayu adalah majoriti, namun di Sarawak undi Melayu adalah minoriti yang menjadi penentu.

Lebih unik katanya, sikap terbuka yang ditunjukkan masyarakat Melayu di Sarawak yang menerima kehadiran kedua-dua pemimpin parti bertanding ke rumah mereka tanpa sebarang prejudis.

"Masyarakat di sana terbuka, walaupun mereka letak bendera parti yang mereka sokong di rumah mereka, namun pemimpin parti lawan tetap diterima masuk berkempen ke rumah mereka.

"Itu yang menyebabkan petugas-petugas kita khususnya muslimat PAS dapat tembus ke semua rumah dan jalankan kempen dengan baik," tambahnya lagi.

Mengulas faktor kekalahan BN pula beliau berpandangan isu pokok penolakan rakyat Sarawak kepada BN adalah kebencian mereka terhadap Ketua Menteri (KM) Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Taib dikatakan terlalu lama menjadi ketua dan penguasaan ekonomi oleh ahli keluarganya sangat dibenci oleh masyarakat di negeri itu.

"Walaupun 30 tahun jadi KM, umur nak masuk 75 tahun depan, namun belum ada tanda-tanda dia akan berundur.

"Maka kempen satu undi untuk BN bersamaan satu undi untuk KM sangat berkesan. Ia memberi mesej bahawa dengan menolak BN bermakna juga menolak KM," jelasnya.

Pada PRK lalu, Pakatan Rakyat menerusi calon DAP, Wong Ho Leng memperoleh 18,845 undi manakala Robert Lau Hui Yew (BN) mendapat 18,447 undi.

Seorang lagi, Narawi Haron yang bertanding sebagai calon Bebas hanya memperoleh 232 undi.

No comments:

Post a Comment

Followers