Friday, May 28, 2010

'HALAL' JUDI TIDAK MAKMUR ,TAPI UNDANG MURKA ALLAH


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 Mei: Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa (gambar) berharap Datuk Seri Najib sedar bahawa dengan langkah kerajaan ‘menghalalkan’ perjudian bola sepak tidak akan bertambah kemakmuran sebaliknya mengundang kemurkaan Allah.

Justeru, katanya sesiapa yang beriman dengan Al-Quran, wajib baginya beriman dengan haramnya judi walau apa pun bentuk dan namanya.

Begitu juga, tambahnya tidak ada mana-mana agama di dalam dunia ini yang menghalal dan menggalakkan amalan berjudi yang sentiasa menimbulkan kemudaratan dalam kehidupan sosial umat manusia.

Menurutnya, langkah kerajaan Malaysia yang memberi lesen perjudian bola sepak sempena Piala Dunia 2010 kepada Kumpulan Berjaya baru-baru ini adalah satu langkah yang tidak sesuai sama sekali dengan kehendak iman dan akal kita.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bachok percaya kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ingin melihat kemakmuran kehidupan rakyat dan ingin melihat keberkatan di dalam pentadbirannya.

“Saya berharap dan berdoa kepada Allah SWT supaya beliau sedar bahawa dengan langkah kerajaan menghalalkan perjudian bolasepak tersebut, tidak akan bertambah kemakmuran dan keberkatan sebaliknya kemurkaan Allah dan dosa yang bakal diperolehi.

“Oleh itu, saya ingin memberi nasihat kepada Perdana Menteri dan Kerajaan Malaysia supaya dapat menarik balik lesen perjudian bola sepak tersebut dengan serta merta,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Tambahnya lagi, ataupun setidak-tidaknya Najib merujuk kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu sebelum meneruskan langkah tersebut bagi menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara kita.

Bagi negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, beliau percaya tidak akan ada lesen premis perjudian baru yang akan diluluskan.

“Malahan kita akan berusaha sekiranya dibenarkan oleh undang-undang untuk menyekat perlaksanaan aktiviti perjudian bolasepak ini di negeri-negeri yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

“Di samping itu, kita akan meneruskan agenda penerangan terhadap masyarakat mengenai kemudaratan dan keharaman aktiviti perjudian,” katanya.

PAS juga, tegasnya akan terus menerus menyuarakan bantahan terhadap langkah terbaru kerajaan tersebut dan akan terus mendesak supaya ianya dibatalkan serta merta demi maslahat rakyat dan negara.

No comments:

Post a Comment

Followers