Monday, May 31, 2010

KONVOI GAZA : PAS DESAK PBB, OIC BERTINDAK SEGERA

Wan Nordin Wan Yaacob HARAKAHDAILY

KUALA LUMPUR, 31 Mei: PAS mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara-negara Persidangan Islam (OIC) segera bertindak terhadap serangan tentera Israel ke atas Konvoi Bantuan Antarabangsa Gaza, pagi ini.

Sehingga kini, dilaporkan 16 aktivis kemanusiaan yang berada di atas kapal berkenaan meninggal dunia yang turut disertai wakil Malaysia.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, akan mengadakan himpunan aman membantah serangan tersebut di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, selepas solat Jumaat, 4 Jun ini.

Sehubungan itu, PAS mengajak orang ramai juga menyertai himpunan aman tersebut.

Ujarnya lagi, PAS kesal dan mengutuk serangan ke atas aktivis kemanusiaan ini sambil menyifatkan ianya sebagai satu lagi kekejaman Israel.

"Kita mahu Malaysia selaku negara anggota OIC segera mencadangkan sidang tergempar bagi menyatakan pendirian dalam isu ini," ujarnya lagi.

PAS juga, katanya akan menganjurkan persidangan khas mengenai perkara itu.

Dalam pada itu, Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, kekejaman Zionis ini mesti dikutuk segera oleh masyarakat dunia.

"Mari kita sama-sama bermunajat menyelamatkan Gaza dan Masjid Al-Aqsa," katanya.

Ketua Penerangan PAS, Idris Ahmad pula meminta supaya rakyat dinegara ini melakukan solat hajat dan Qunut Nazilah bagi mendoakan keselamatan anggota konvoi ini dan rakyat Palestine.

Semua masjid dan surau diminta mengadakan majlis solat hajat besar-besaran minggu ini sebelum demontrasi besar bersama NGO dan penyokong soladariti Palestine Jumaat ini di hadapan kedutaan Amerika.

Selain itu, Ketua Dewan Muslimat PAS N.Selangor, Wan Hasrina bt Wan Hassan melahirkan kekesalan terhadap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) yang dilihat masih berdiam diri dari menyelamatkan Konvoi Kemanusiaan tersebut.

"Kami menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan untuk bangkit menyatakan sokongan kepada Rakyat Palestin dan kita juga mengecam Amerika Syarikat yang membiarkan saja kekejaman yang dilakukan oleh tentera Israel," katanya.

No comments:

Post a Comment

Followers