Tuesday, May 11, 2010

PANTAU PENJUALAN MAKANAN RINGAN

HARAKAHDAILY
Wan Mohamad Wasif
Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) memandang serius pengabaian budaya pemakanan sihat terutamanya di kalangan pelajar sekolah di Malaysia. Melihat situasi sekarang, para pelajar semenjak di sekolah rendah bahkan di tadika sudah terdedah kepada makanan-makanan ringan. Dan apa yang lebih menyedihkan lagi tatkala melihat para pelajar terus menyerbu ke gerai jualan makanan ringan sebaik sahaja keluar dari pagar sekolah.

Para pelajar terdedah kepada bahaya akibat budaya pemakanan tidak sihat dan tidak seimbang dan ini pastinya mengancam kesihatan bahkan memberi kesan kepada pemikiran para pelajar.

Ia juga merupakan satu pembaziran apabila duit yang dibekalkan oleh ibubapa kepada para pelajar ‘hangus’ dibelanjakan semata-mata untuk membeli makanan ringan.

Para pelajar sepatutnya dijaga pemakanan mereka dan dipastikan mereka hanya makan makanan yang terbaik untuk kesihatan seperti buah-buahan, sayur sayuran, susu segar, banyak meminum air masak dan lain-lain lagi.

Kebanyakan makanan ringan masa kini sedikit khasiatnya, tinggi kadar gula, pewarna dan perisa tiruan dan selalunya mengakibatkan ketagihan serta pelbagai penyakit seperti kerosakan gigi, obesiti, buah pinggang dan lain-lain.

Kesan awal dari pengambilan makanan ringan ini dapat kita lihat di sekolah apabila para pelajar kelihatan lesu tidak bermaya, mudah letih, tidur di dalam kelas dan tidak berasa segar dan bersemangat untuk meneruskan sesi pembelajaran.

Oleh kerana itu, PKPIM berharap semua pihak dapat memainkan peranan masing-masing dalam menjaga kesihatan para pelajar di Malaysia. Para ibubapa perlu mendidik anak-anak mereka untuk sentiasa mengamalkan pemakanan sihat dan mengelakkan diri dari mengambil makanan yang tidak berkhasiat.

Pihak sekolah juga perlu memantau penjualan makanan ringan sama ada di koperasi sekolah mahupun di luar pagar sekolah. Para peniaga juga jangan hanya memikirkan keuntungan semata-mata dengan menjual makanan ringan sesuka hati tanpa mengira kesan negatif terhadap pengambilan makanan ringan di kalangan pelajar.

Nasihat dari pakar-pakar pemakanan seimbang, pakar kesihatan dan persatuan-persatuan pengguna perlulah didengari agar para pelajar di Malaysia tidak mengalami pelbagai penyakit semenjak usia yang masih muda akibat mengabaikan budaya pemakanan sihat.

Wan Mohamad Wasif Wan Mohamad,

Exco Pendidikan dan Penyelidikan,

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Followers