Sunday, May 2, 2010

SERAH WILAYAH : PERLU PENJELASAN KERAJAAN, BUKAN MP KEPALA BATAS

KUALA LUMPUR, 2 Mei: Kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mesti memberi penjelasan mengenai penyerahan dua blok pengeluaran minyak luar pantai kepada Brunei, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohamad Sabu.

"Setakat ini, yang memberikan ulasan agak panjang hanyalah bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi. Kita mahu penjelasan telus dan berterus-terang dari kerajaan, bukan sekadar ulasan Ahli Parlimen Kepala Batas," katanya.

Beliau menuntut kerajaan Najib menghentikan sikap tidak bertanggungjawab dan terus membisu mengenai hal itu walaupun sudah beberapa hari bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan perkara itu.

"Dr Mahathir mendedahkan jumlah kerugian dalam bentuk perolehan berjumlah AS$100 bilion (RM320 bilion) malah didedahkan juga bahawa kawasan yang kaya simpanan minyak di Laut Cina Selatan - Block L dan Block M - tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.

"Ini bukan setakat kehilangan khazanah negara malah kehilangan wilayah dalam negara ini," katanya.

Sebab itulah, kata Mohamad yang juga Pengerusi Mobilisasi Demokrasi PAS, kerajaan mesti memberikan penjelasan mengenai perkara itu.

"Rakyat juga mesti diberitahu apa yang dilakukan oleh anggota kabinet ketika perkara itu berlaku.

"Adakah mereka menjadi pak turut sahaja kepada tindakan Abdullah yang ketika itu menjadi Perdana Menteri?

"Apa Najib buat untuk mempertahankan khazanah dan wilayah negara sedangkan ketika itu beliau adalah Timbalan Perdana Menteri?

"Sebahagian besar anggota kabinet ketika Abdullah menjadi Perdana Menteri masih lagi berada dalam pentadbiran Najib kini. Apa mereka buat untuk mempertahankan khazanah dan wilayah negara ini dari terlepas ke tangan Brunei?" beliau mempersoalkan.

Rakyat, katanya, mesti menuntut Najib bertanggungjawab ke atas perkara itu, begitu juga semua anggota kabinet ketika Abdullah menjadi Perdana Menteri.

"Jika mereka enggan bertanggungjawab atas kehilangan khazanah dan wilayah negara, rakyat mesti bangkit bersama mengajar mereka tentang erti tanggungjawab," tegas beliau.

Dr Mahathir mendakwa Abdullah telah menyerahkan kepada Brunei dua blok pengeluaran minyak luar pantai, sebelum bersara awal tahun lalu.

Menurutnya, perkara itu dilaporkan oleh The Edge Financial Daily (22 April) dan Brunei Times di mana kawasan yang kaya simpanan minyak di Laut Cina Selatan - Block L dan Block M - tidak lagi menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Menulis dalam blognya, Dr Mahathir mendakwa jumlah kerugian dalam bentuk perolehan berjumlah AS$100 bilion (RM320 bilion).

Menurutnya, Abdullah telah menyerahkan 'Blok L' dan Blok M' di Laut Cina Selatan, dikatakan sebagai pertukaran dengan Brunei supaya menggugurkan tuntutannya terhadap Limbang, Sarawak.

"Blok L dan Blok M dituntut oleh Malaysia berdasarkan kepada fakta sejarah. Menurutnya, Petronas menandatangani kotrak perkongsian pengeluaran dengan Murphy Oil (Corp) untuk memulakan pengeluaran minyak.Simpanan minyak di kawasan itu adalah hampir 1 bilion tong.

"Abdullah berunding dengan sultan (Brunei) untuk mengambil Limbang di Sarawak. Sebagai balasannya, beliau bersetuju untuk menyerahkan dua blok tersebut kepada Brunei.

"Tidak ada wakil Petronas yang hadir, hanya kakitangan pejabat luar dan pnasihat halehwal luar kepada PM," dakwa Mahathir.

Abdullah menolak dakwaan Dr Mahathir itu.

Dalam kenyataannya selepas pendedahan Dr Mahathir itu, Abdullah berkata sumber di 'blok L dan M' di Laut China Selatan yang dirujuk oleh Dr Mahathir, kini dikongsi bersama oleh Malaysia dan Brunei di bawah perjanjian wilayah dan komersil yang ditandatangani pada 16 Mac tahun lalu.

Walaupun blok L dan M kini berada di bawah kedaulatan Brunei, tetapi katanya, Malaysia akan dibenarkan mengambil bahagian dalam usaha bersama untuk memajukan pengeluaran minyak dan gas di situ untuk tempoh 40 tahun.

Menurut Abdullah, ia bertujuan untuk menyelesaikan isu sempadan antara kedua negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pula memberitahu media bahawa Malaysia tetap memastikan kawasan Limbang di Sarawak kekal sebagai hak milik negara ini walaupun konsesi Blok L dan Blok M menjadi milik Brunei dalam perjanjian persempadanan dengan Brunei pada Mac 2009.

Ditanya mengenai laporan bahawa Brunei telah membuat penafian bersetuju menyerahkan Limbang, Mohamed Nazri berkata, Brunei boleh membuat penafian itu, tetapi hakikatnya, Limbang tetap hak milik Malaysia.

"Kita akan pertahankan Limbang dan negara lain boleh kata apa pun, Limbang adalah hak Malaysia walaupun ada pihak yang akan mempertikaikan keputusan melepaskan Blok L dan Blok M itu," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Followers