Tuesday, November 19, 2013

VDP PETRONAS : DULU 77 KINI TINGGAL 11 SYARIKAT BUMIPUTRA

Harakahdaily, 19 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Daripada 77 syarikat bumiputera bertaraf Program Pembangunan Vendor (VDP) yang dilantik, kini cuma tinggal 11 sahaja apabila pengurusan Petronas menutup sebelah mata penghapusan secara sistematik program itu yang kononnya terpaksa dilakukan akibat kegagalan beberapa syarikat serta aktiviti monopoli dan rasuah.

“Tetapi agak menghairankan apabila monopoli masih dibiarkan berlaku di luar program VDP,” dakwa Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) dalam satu kenyataan.

Menurut kenyataan itu, lebih memburukkan keadaan apabila syarikat asing diberi ‘lampu hijau’ 70% untuk menguasai sesebuah kontrak dengan mengguna-pakai perjanjian usahasama yang tidak saksama dan tidak menguntungkan syarikat tempatan.

Berikut ialah penuh kenyataan MTEM.

Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) mengucapkan syabas kepada Petronas yang telah begitu bermurah hati menganugerahkan kontrak sebesar RM10 billion kepada enam syarikat ‘tempatan’ selama 5 tahun bagi projek ‘Pan Malaysia Integrated Offshore HUC/TMM’ baru-baru ini. Sesungguhnya ia merupakan satu rekod diluar kebiasaan berdasarkan tempoh serta nilai  kontrak yang diwar-warkan.

MTEM tidak berminat untuk mempersoalkan kelayakan mahupun status  keMelayuan yang ada pada syarikat-syarikat yang telah dilantik oleh Petronas. Walaubagaimanapun, sekiranya dibandingkan jumlah tersebut dengan bajet perbelanjaan sebanyak RM200 billion Petronas, peruntukan RM10 billion cuma sekitar 5% sahaja.

Jika dibandingkan pula dengan amanat YAB Perdana Menteri yang mahu Petronas memperuntukkan sebanyak RM100 billion untuk Program Pembangunan Vendor (VDP) bagi 22 skop kerja melalui agenda pemerkasaan Bumiputera, sudah tentulah jumlah RM10 billion menjadi kecil sekali.

Jika agenda Pemerkasaan Bumiputera dijadikan ukuran, maka tugas Presiden dan CEO Petronas pasti sukar sekali. Program VDP bukan sahaja wajib diperkuatkan, bahkan mesti dijadikan penunjuk prestasi utama (KPI) kepada keberkesanan pentadbiran seorang Ketua Pegawai Eksekutif.

Semenjak mengambil alih teraju Petronas, beliau nampaknya kurang berkesan dalam memperkasakan usahawan Melayu di Petronas.

Dakwaan ini ada asasnya. Sebagai contoh, dalam rantaian kerja ‘Exploration & Production (E&P)’ skop untuk kerja-kerja upstream seperti Drilling & Completion, Seismic Monitoring dan sebagainya masih dimonopoli syarikat asing; manakala kerja-kerja Pembangunan seperti Engineering, Design &  Construction (termasuklah skop kerja Hook Up Commissioning & Topside  Major Maintenance yang baru dianugerahkan Petronas) yang dahulunya  banyak diberi kepada syarikat Bumiputera kini dikuasai syarikat tertentu  sahaja. Lebih memburukkan keadaan apabila Petronas mewajibkan  usahasama dengan syarikat asing. 

Akibatnya, syarikat-syarikat Melayu yang dahulunya begitu berjaya, tiba-tiba terkeluar daripada senarai pendek Petronas.

Petronas juga dilihat sukar untuk mengiktiraf kepakaran tempatan. Sebagai  contoh, khidmat ‘chemical fluid for deepwater drilling’ bernilai RM700  juta boleh diberi kepada dua buah syarikat asing; tetapi khidmat  ‘chemical fluid for shallow water drilling’ yang bernilai RM1.6 bilion hanya diberi kepada sebuah syarikat tempatan, sedangkan masih ada beberapa syarikat Bumiputera lain yang mampu melaksanakannya.

Bahkan dilaporkan ada syarikat Bumiputera yang telah membina kilang kimia mereka di Gebeng, Kuantan dengan mendapat pinjaman bank tetapi hampir ‘gulung tikar’ apabila peluang mereka dinafikan Petronas.

Hakikatnya, daripada 77 syarikat bertaraf VDP yang dilantik kini cuma tinggal 11 sahaja apabila pengurusan Petronas menutup sebelah mata penghapusan secara sistematik program VDP yang kononnya terpaksa dilakukan akibat kegagalan beberapa syarikat serta aktiviti monopoli dan rasuah. Tetapi agak menghairankan apabila monopoli masih dibiarkan berlaku di luar program VDP.

Lebih memburukkan keadaan apabila syarikat asing diberi ‘lampu hijau’ 70% untuk menguasai sesebuah kontrak dengan mengguna-pakai perjanjian usahasama yang tidak saksama dan tidak menguntungkan syarikat tempatan.

MTEM percaya bahawa masih terlalu banyak ruang untuk kontraktor dan pembekal Bumiputera memainkan peranannya di Petronas.

Program VDP sebagai contoh perlu diperkuatkan dan bukan disempitkan, manakala tempoh perlaksanaannya dilanjutkan daripada 5 tahun kepada sekurang-kurangnya  10 tahun.

Ini bagi memberi peluang kepada sesebuah syarikat melaksanakan modul perniagaan yang berkesan dan menyeluruh, merangkumi aspek pelaburan, pembangunan dan latihan.

Petronas juga tidak perlu takut untuk  melaksanakan ‘carve-out’ suatu kaedah pembahagian kontrak yang terbukti  berjaya dilaksanakan untuk projek KV MRT contohnya.

MTEM berharap agar Petronas lebih ikhlas dan lebih yakin kepada kemampuan usahawan dan kontraktor Minyak & Gas tempatan; terutama  dalam melaksanakan kerja-kerja yang jauh lebih teknikal dan rumit.

Hal ini  telah dibuktikan melalui kejayaan beberapa syarikat Bumiputera mendapat pengiktirafan antarabangsa setelah menyiapkan projek-projek upstream  bersama syarikat minyak asing di Malaysia dan di luar negara.

Mereka dihormati kerana kualiti kerja yang bermutu dan efisien serta tawaran harga  yang kompetitif. Malang sekali apabila mereka sering dianaktirikan apabila berurusniaga di Malaysia.

MTEM berpendapat bahawa polisi baru yang sedang direncanakan oleh  Petronas harus dirombak semula agar kembali mengutamakan tenaga serta kepakaran anak watan.

Usahasama dengan syarikat asing, sekiranya perlu mestilah mengutamakan kebajikan syarikat tempatan disamping memastikan berlakunya proses pertukaran teknologi dan ilmu.

Akhir sekali, penglibatan vendor Melayu dan Bumiputera dalam melaksanakan kerja-kerja di Petronas harus digandakan agar mampu mencapai agenda pemerkasaan Bumiputera serta Wawasan 2020 sebagaimana yang diimpikan oleh pemimpin negara dulu dan sekarang.

No comments:

Post a Comment

Followers