Friday, November 15, 2013

BANTAHAN KENAIKAN CUKAI TAKSIRAN DBKL 2014

Harakahdaily, 14 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) membantah kenaikan cukai taksiran yang dikeluarkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) melalui Notis Menyemak Semula Senarai Nilaian yang diedarkan awal minggu ini kepada semua pemilik rumah dan premis di ibu negara.

Ketuanya, Ir Khairil Nizam Khirudin (gambar) berkata, notis berkenaan yang meletakan tarikh 18 November 2013 (postdated notice) sebagai tarikh surat dikeluarkan menunjukkan cadangan DBKL yang mahu menaikkan kadar cukai taksiran lebih daripada 100% mulai 1 Januari 2014.

Katanya, DPPWP menerima banyak aduan di antaranya pemilik rumah teres yang pada masa ini dikenakan cukai taksiran sebanyak RM5,400 bakal menerima kenaikan cukai sebanyak RM13,800 tahun depan iaitu kenaikan sebanyak 155%.

Beliau berkata, bagi pemilik rumah flat yang pada masa ini dikenakan cukai RM2,280 bakal menerima kadar cukai baru sebanyak RM4,800 tahun hadapan iaitu kenaikan sebanyak 10%.

Tambahnya, DBKL hanya memberikan tempoh sehingga 17 Disember 2014 bagi pemilik rumah dan premis membuat bantahan bertulis.

“Cadangan ini sangat mengejutkan rakyat Kuala Lumpur dan dibuat dengan terburu-buru,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya lagi, kadar kenaikan juga terlalu tinggi dan DPPWP mendesak DBKL memberikan penjelasan tentang bagaimana kadar kenaikan ini ditetapkan.

“Apakah indikator yang digunakan oleh pihak DBKL bagi menentukan kadar cukai taksiran pada masa ini dan juga apakah sebab kenaikan ini perlu dilakukan?” tanya beliau.

Sehubungan itu, ujarnya DPPWP mendesak agar pihak DBKL menarik semula cadangan itu memandangkan pada masa ini rakyat telah menerima begitu banyak kenaikan dan tekanan kewangan semasa.

Menurutnya, jika kenaikan itu diteruskan, ia akan menyebabkan nilai hartanah di Kuala Lumpur menjadi lebih mahal dan kadar sewa rumah juga akan meningkat.

Ini, katanya sekaligus akan menyebabkan lebih ramai rakyat yang berpendapat rendah menjadi mangsa.

“DPPWP mengajak rakyat untuk bangkit bersama-sama membantah cadangan semakan semula ini dan bersama-sama mendesak DBKL mengekalkan cukai Taksiran pada kadar semasa,” ujarnya lagi.

No comments:

Post a Comment

Followers