Thursday, November 7, 2013

PRK SG LIMAU : PROJEK DIJANJI MACAM AIR SEJUK

Harakahdaily, 06 Nov 2013
KUALA LUMPUR: Para pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau layak diberikan ucapan tahniah dan pujian kerana walaupun ditabur dengan pelbagai habuan material dan janji projek bernilai lebih RM15 juta, 12, 069 daripada mereka masih memberikan undi untuk calon PAS, Ustaz Mohd Azam Abd Samat.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad ketika mengulas keputusan PRK Sungai Limau menyifatkan mereka sebagai "pengundi kaya jiwa walaupun miskin harta" meskipun ditawar pelbagai habuan termasuk kambing dan anak ayam.

Ustaz Idris mengakui 'amat gerun' menunggu keputusan pilihan raya apabila waktu pembuangan undi tamat berdasarkan serangan kempen dan umpan BN pada PRK Dun Sungai Limau .

"Sehingga dalam hati saya mengatakan jika menang dengan majoriti satu undi pun tidak mengapa. Kerana PAS bukan melawan BN, tetapi melawan jentera kerajaan negeri dan pusat.

"Projek dijanji macam air sejuk. Menteri dan Exco keluar masuk kampung menaburkan janji sehingga rakyat lupa harga gula baru sahaja naik 34 sen dan minyak 20 sen. Paling kelakar ada Karnival Lelong Mesra Barang Rakyat setiap satu RM1.

"Gula, tepung berharga RM1. Malangnya harga itu tamat setakat malam pilihan raya sahaja. Alangkah baiknya jika pilihanraya kecil setiap hari, maka dapatlah gula, tepung berharga RM1. Ini semua umpan untuk menolak dakwaan pembangkang yang mengatakan harga barang naik di bawah BN," ungkapnya sinis.

Beliau sekali lagi mengucapkan tahniah kepada 12, 069 pengundi di Dun Sungai Limau yang terbukti dan teruji tidak termakan dengan janji-janji BN.

"Mereka tahu beza antara 'janji ditepati' dengan 'janji  manis di bibir sahaja, di hati lain bicara'. Mereka sudah kenal batang tubuh pemimpin Umno, kerana mereka ialah golongan yang berfikir dan ada harga diri. Mereka tidak boleh dibeli dengan harga gula RM1. Biar pun mereka miskin harta tetapi kaya jiwa," tegasnya.

No comments:

Post a Comment

Followers