Saturday, December 1, 2012

TEKANAN DIPLOMASI DUNIA ISLAM SELESAI ISU PALESTIN

Harakahdaily, 01 Dis 2012
KUALA LUMPUR: Komitmen dunia Islam khususnya untuk memberi tekanan diplomasi amat perlu dalam menyelesaikan konflik kemanusiaan yang tidak berkesudahan di Palestin, kata Presiden Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Presidennya, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin.


“Ini memandangkan perjalanan penting bagi Palestin untuk  mendapat hak menjadi negara merdeka dan berdaulat serta hak untuk hidup aman dan bermaruah,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Berikut ialah kenyataan penuh beliau.

Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menyambut baik dan merakamkan ucapan tahniah kepada rakyat Palestin dalam penantian keputusan lebih 65 tahun oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang telah memberikan status negara pemerhati bukan anggota kepada Palestin tanpa melalui Majlis Keselamatan di mana Amerika Syarikat melalui sekutunya Israel mempunyai kuasa veto.

Keputusan bersejarah ini menunjukkan sejumlah 138 negara menyokong usul yang dibentangkan oleh Presiden Mahmoud Abas manakala 41 buah negara lagi enggan mengundi dan berkecuali termasuk Singapura dan sembilan negara menentang usul ini.
PKPIM memandang bahawa kejayaan diplomasi dan solidariti dunia dengan memberikan ‘sijil kelahiran’ atau 'lesen sementara' kepada Palestin sebelum menjadi negara yang merdeka dan berdaulat dilihat sebagai tamparan hebat kepada Zionis.

Tindakan angkuh dan sombong Zionis ini dapat dilihat dengan kelulusan segera pembinaan 3,000 unit rumah di Jerusalem dan di Tebing Barat seusai pengiktirafan Palestin sebagai negara pemerhati.

Oleh yang demikian, komitmen dunia Islam khususnya untuk memberi tekanan diplomasi amat perlu dalam menyelesaikan konflik kemanusiaan yang  tidak berkesudahan ini memandangkan perjalanan penting bagi Palestin untuk mendapat hak menjadi negara merdeka dan berdaulat serta hak untuk hidup aman dan bermaruah.

PKPIM ingin menyeru kepada dunia Islam khususnya gerakan Islam untuk bersatu dan bekerjasama dengan 'dunia Barat' dengan lebih agresif dan taktikal. Ini kerana gerakan 'anti Zionis' sudah mulai merebak dan mendapat sokongan terbanyak khususnya melibatkan gerakan progresif yang memperjuangkan keadilan sejagat (global justice).

PKPIM memandang bahawa suara, pandangan dan protes Palestin selepas ini perlu didengari dan akan diiktiraf oleh PBB. Melalui pendekatan ini, dunia menunggu sama ada Palestin akan lebih berani dan lantang untuk menyuarakan hak mereka khususnya untuk menjadi ahli di International Criminal Court (ICC)dan seterusnya mengheret Israel ke Mahkamah pengadilan ini di Hague.

No comments:

Post a Comment

Followers