Thursday, December 27, 2012

SARANAN DARI PAS : GANTI 'God' DENGAN 'TUHAN' ELAK POLEMIK

Harakahdaily,26 Dis 2012

KUALA LUMPUR: PAS hari ini menyatakan pendirian bahawa Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah ‘God’ dengan 'Tuhan' dan bukannya 'Allah' untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal Bible.

Bagaimanapun, PAS boleh menerima bahawa orang Kristian berhak menggunakan nama Allah dalam gereja atau sebarang upacara agama mereka sebagaimana keputusan PAS sebelum ini.

“Memandangkan Bible Bahasa Melayu adalah terjemahan dari teks asal bahasa Inggeris, maka sewajarnya istilah God tidak bermaksud Allah, kerana terjemahan tepat ialah Tuhan. Maka sewajarnya ia diterjemahkan menurut maksud asal,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Hujah Tuan Ibrahim, menterjemahkan God dengan Allah akan mengelirukan penganut Kristian dan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan umat Islam serta boleh mengelirukan orang Islam jika digunakan di tempat awam termasuk dalam Bible terjemahan.

“PAS melihat isu penggunaan nama Allah di dalam terjemahan Bible dalam Bahasa Malaysia tidak mencerminkan maksud sebenar dari teks asal serta mengelirukan pelbagai pihak.  Bahkan cadangan tersebut juga telah mengundang pelbagai reaksi di kalangan orang Islam dan penganut Kristian,” kata beliau.

Tuan Ibrahim turut menjelaskan bahawa nama Allah adalah sensitif dan kesuciannya mesti dipelihara oleh umat Islam.

“Ia tidak boleh dibuang merata tempat atau digunakan nama tersebut pada tempat yang tidak layak baginya seperti menyamakan dengan makhluk, bersifat dengan sifat makhluk, seperti menganggap ia ada anak, isteri, makan, tidur dan berjalan sebagaimana makhluk,” terang Pesuruhjaya PAS Pahang itu.

Sehubungan itu, katanya, permintaan untuk menggunakan nama Allah dalam terjemahan Bible Bahasa Melayu tidak wajar, bahkan di kalangan masyarakat Barat pun mereka tidak menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada God samada dalam pertuturan, penulisan atau filem.

“Perkataan yang sering digunakan ialah ‘Lord’,” tambahnya.

Walaupun penggunaannya tidak bertentangan dengan tradisi ilmu dan budaya di kalangan ahli  kitab (Yahudi dan Nasara),   tetapi  keluar dari khilaf atau mengelak berlakunya kekeliruan dan polemik adalah jalan terbaik, kata Tuan Ibrahim.

“Ada perkataan yang sensitif bagi sesetengah agama, seperti kalimah Dua Shahadah dan Allah, tidak boleh disebut secara sewenang-wenangnya dalam konteks yang tidak tepat kerana ia boleh menimbulkan kemarahan dan ketidaksenangan yang tidak perlu dalam masyarakat majmuk di negara kita dan situasi negara masa kini,” terang beliau.

Isu kalimah Allah timbul semula  selepas Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menggesa Kerajaan Pusat membenarkan kitab Bible bahasa Melayu menggunakan perkataan tersebut.

Menekankan bahawa ada dalil-dalil yang membenarkan atau harus kepada bukan Islam menggunakan Allah, Pengerusi Pertubuhan Muttaqa Asatizah dan Pendakwah Malaysia (Murshid), Dr Zaharuddin Abdul Rahman berpendapat situasi semasa di negara ini amat tidak sesuai sekali kerana kenyataan itu bakal dilihat umat Islam sebagai ofensif and berbentuk provokasi sehingga mengugat keamanan yang sedia ada jika tidak dikawal.

“Satu lagi fakta yang perlu difikirkan adalah, mengapa gereja-gereja di Eropah termasuk United Kingdom (UK) dan Vatican City di Itali tidak menggunakan Allah untuk God, malah negara-negara majoriti Kristian juga tidak pernah sibuk ingin menggunakan nama Allah ini.

“Malah dalam filem-filem bercorak agama terbitan Hollywood, pihak Kristian tidak pernah di skrip menggunakan Allah bila menyeru tuhan, mereka hanya gunakan God atau Lord sahaja. Ini kerana itulah yang terpakai di sisi Kristian seluruh dunia sebenarnya,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Setiausaha Agong PAS Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman turut melahirkan pendapat yang sama bahawa istilah God lebih sesuai digantikan dengan istilah Tuhan.



Berikut ialah kenyataan penuh Tuan Ibrahim:


Bible Bahasa Melayu menggantikan istilah ‘God’ dengan Tuhan


PAS berpendirian bahawa Bible Bahasa Melayu harus menggantikan istilah ‘God’ dengan Tuhan dan bukannya Allah untuk mencerminkan maksud sebenar daripada teks asal.

Memandangkan Bible Bahasa Melayu adalah terjemahan dari teks asal bahasa Inggeris, maka sewajarnya istilah God tidak bermaksud Allah, kerana terjemahan tepat ialah Tuhan.

Maka sewajarnya ia diterjemahkan menurut maksud asal. Manakala menterjemahkan God dengan Allah akan mengelirukan penganut Kristian dan menimbulkan rasa kurang senang di kalangan umat Islam serta boleh mengelirukan orang Islam.

Bagaimanapun, PAS boleh menerima bahawa orang Kristian berhak menggunakan nama Allah dalam gereja atau sebarang upacara agama mereka sebagaimana keputusan PAS sebelum ini.

PAS melihat isu penggunaan nama Allah di dalam terjemahan Bible dalam Bahasa Malaysia tidak mencerminkan maksud sebenar dari teks asal serta mengelirukan pelbagai pihak.

Bahkan cadangan tersebut juga telah mengundang pelbagai reaksi di kalangan orang Islam dan penganut Kristian.

Harus diingat, bagi umat Islam, nama Allah merupakan nama yang khusus yang mesti dipelihara kesuciannya.

Ia tidak boleh dibuang merata tempat atau digunakan nama tersebut pada tempat yang tidak layak baginya seperti menyamakan dengan makhluk, bersifat dengan sifat makhluk, seperti menganggap ia ada anak, isteri, makan, tidur dan berjalan sebagaimana makhluk.

Sehubungan itu,  permintaan untuk menggunakan nama Allah dalam terjemahan Bible Bahasa Melayu tidak wajar, bahkan di kalangan masyarakat Barat pun mereka tidak menggunakan nama Allah bagi merujuk kepada God samada dalam pertuturan, penulisan atau filem. Perkataan yang sering digunakan ialah ‘Lord’.

Walaupun penggunaannya tidak bertentangan dengan tradisi ilmu dan budaya di kalangan ahli  kitab (Yahudi dan Nasara),   tetapi  keluar dari khilaf atau mengelak berlakunya kekeliruan dan polemik adalah jalan terbaik.

Ada perkataan yang sensitif bagi sesetengah agama, seperti kalimah Dua Shahadah dan Allah, tidak boleh disebut secara sewenang-wenangnya dalam konteks yang tidak tepat kerana ia boleh menimbulkan kemarahan dan ketidaksenangan yang tidak perlu dalam masyarakat majmuk di negara kita dan situasi negara masa kini.



Tuan Ibrahim Tuan Man
 

Ketua Penerangan PAS Pusat

26 Disember 2012

No comments:

Post a Comment

Followers