Thursday, November 29, 2012

ISU SALUN : EXCO TEMUI DEWAN PERNIAGAAN CINA

Salmah Mat Husain, HARAKAHDAILY 28 Nov 2012   
KOTA BHARU: Kerajaan negeri akan mengadakan pertemuan dengan Dewan Perniagaan Cina Kelantan dan Gabungan-gabungan Persatuan Tionghua membincang berkaitan peraturan salon uniseks esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, pertemuan tertutup tersebut akan diadakan di Kota Darulnaim.

“Pertemuan itu bertujuan memberi penjelasan berhubung keadaan sebenar mengenai peruntukan undang-undang salon uniseks di Kelantan.

“Kita juga akan mendengar pandangan diutara pihak berkenaan untuk dibawa kepada kerajaan bagi dibincang lebih lanjut,” katanya selepas mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.

Pertemuan itu juga akan turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pembangunan Maklumat, Sains dan Teknologi, Dato’ Dr Mohammed Fadzli Hassan.

Sebelum ini seorang pengurus kedai gunting, Ong Lee Ting dilapor mendakwa terpaksa membayar banyak saman dikeluarkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB BRI) kerana pekerja wanita bukan Islam di premisnya menggunting rambut pelanggan lelaki bukan Islam.

Takiyuddin berkata, pertemuan itu merupakan satu cara menyelesaikan isu yang tidak sepatutnya menjadi polemik seperti sekarang.

“Peraturan itu sudah lama berjalan, lebih kurang 20 tahun dan telah menjadi undang-undang. Pihak yang mencetuskan perkara itu mungkin mempunyai motif tertentu.

“Kita ingin mendengar pandangan mereka. Ini membuktikan kerajaan negeri bersifat terbuka termasuk kepada pertubuhan atau perseorangan,” ujarnya.

Beliau juga berkata, kerajaan negeri menganggap isu itu boleh diselesaikan, cuma dukacita kenyataannya Ahad lalu banyak tidak disiarkan media sehingga timbul salah faham.

“Sekiranya ada pihak yang membuat laporan yang tidak betul berhubung apa yang saya sebut, saya tidak teragak-agak mengkaji tindakan undang-undang,” katanya

No comments:

Post a Comment

Followers