Sunday, June 29, 2014

MCA BIADAB KAITKAN PAS DENGAN PENGKHIANAT

MUHAMMAD FAIZAL | .
KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menyelar kenyataan biadab Pengerusi Publisiti MCA, Datuk Chai Kim Sen yang mengaitkan PAS dengan pengkhianat.

Chai meminta pihak polis dan Pendaftar Pertubuhan (ROS)  memeriksa setiap ahli PAS untuk melihat sama ada pengaruh jihad yang dilaungkan bekas pemimpin Dewan Ulamak PASyang telah dipecat, Ustaz Lotfi Ariffin telah menyerap kepada ahli PAS.

"Kenyataan biadab dari seorang pemimpin MCA, apa alasan untuk beliau menyuruh polis siasat seluruh ahli-ahli PAS, adakah kami semua pengganas.

"Kalau macam itu, penglibatan anggota polis, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam pengganas Sulu, maka keseluruhan anggota polis dan TLDM juga ingin disiasat," jelasnya kepada Harakahdaily.

Beliau yang kesal dengan kenyataan MCA itu dan mengganggap ia sebagai tidak berasas serta mencari publisiti murahan.

"Kalau ini kenyataan dari pimpinan MCA, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak perlu meneliti semula pelantikan mereka di dalam kabinet.

"Bila diberikan jawatan, MCA tidak mengenang budi bercakap hanya untuk mencari publisiti tanpa membuat kajian terlebih dahulu. Najib serta Umno perlu menelitinya kembali," sambung beliau lagi. -HARAKAHDAILY 29/6/2014

Thursday, June 26, 2014

Peralat Melayu & Bumiputera untuk kayakan kroni

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR:Siasatan yang dilakukan terhadap projek konsesi pembinaan kampus UiTM mendapati, wujud syarikat Bumiputera yang bukan sahaja mempunyai 'kepakaran' dalam rundingan konsesi dengan kerajaan malah menyerahkan pula projek yang diperolehi kepada syarikat bukan Bumiputera.
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli berkata, kaedah rundingan terus yang digunakan pentadbiran Najib dengan berselindung di sebalik “private finance initiatives” (PFI) begitu mudah disalahgunakan dan terdedah kepada amalan rasuah.
"Melalui kaedah rundingan terus ini, ahli perniagaan yang mempunyai akses dengan pimpinan Umno dan pegawai tinggi kerajaan berpeluang mendapat konsesi-konsesi yang diikat dalam tempoh yang lama dan boleh merugikan rakyat," ujarnya.
Beliau memberi contoh syarikat yang diberi konsesi membina kampus UiTM Kota Samarahan iaitu Rekajaya Projek Sdn Bhd yang turut dianugerahkan konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (Latar) melalui satu konsortium.
Syarikat-syarikat yang dikuasai ahli perniagaan ini, tambahnya boleh diibaratkan sebagai "pakar perunding konsesi" yang berurusan dengan Kerajaan Persekutuan.
Bagaimanapun ujar beliau, sebaik berjaya mendapatkan konsesi-konsesi pembinaan, projek pembinaan diberikan pula kepada syarikat bukan Bumiputera sama ada melalui perkongsian (joint venture) atau sub-kontrak.

"Di dalam kes pembinaan Lebuhraya LATAR dan UiTM cawangan Kota Samarahan, pembinaannya dikendalikan oleh Binapuri Holdings Berhad, sebuah syarikat pembinaan bukan Bumiputera yang disenaraikan di Bursa Kuala Lumpur," dedah beliau.
Rafizi menambah, semakan mendapati kos pembinaan dua projek konsesi itu dibiayai melalui pinjaman dengan Bank Pembangunan Berhad, sebuah bank milik penuh kerajaan.

"Saya mengambil contoh konsesi penswastaan UiTM cawangan Kota Samarahan ini untuk menunjukkan bagaimana kaedah PFI yang dijadikan alasan untuk memberi anugerah konsesi kepada ahli-ahli politik Umno dan rakan perniagaan mereka sebenarnya samalah dengan Kerajaan Persekutuan menanggung sendiri kos pembiayaan tanpa perlu diikat dengan perjanjian konsesi 23 tahun yang membebankan rakyat," ujarnya.
Beliau berkata, alasan kononnya kontraktor Bumiputera berpeluang dianugerahkan projek melalui program konsesi juga diragui kerana jelas projek yang diperolehi diserahkan pula kepada syarikat bukan Bumiputera.
Rafizi turut mempertikaikan pembiayaan projek melalui Bank Pembangunan, sebuah bank milik penuh Kerajaan Persekutuan.
Menurutnya, jika kampus-kampus tersebut dibina sendiri kerajaan dengan meminjam dari Bank Pembangunan, pasti kos yang ditanggung adalah jauh lebih murah.

"Siri penswastaan UiTM menjadi bukti bagaimana nama Melayu dan Bumiputera disalahgunakan untuk mengkayakan kroni Umno.
"Saya akan terus bersuara mendesak kebertanggungjawaban dan ketelusan di dalam kaedah PFI supaya Umno tidak sewenang-wenangnya menganugerahkan konsesi yang akan membebankan rakyat kelak," ujar beliau. - HARAKAHDAILY, 26/6/2014

Friday, June 20, 2014

Ugut, cabar keluar Malaysia sangat tidak matang

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Mengugut untuk keluar dari Malaysia atau mencabar supaya sesuatu pihak keluar dari Malaysia ketika menghadapi perbezaan pendapat adalah tindakan yang sangat tidak matang.

Justeru, pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) menyeru semua pihak sama ada parti politik, NGO atau individu agar sentiasa beriltizam dengan semangat persekutuan yang telah dimeterai melalui pengisytiharan Malaysia pada tahun 1963.

“Adalah menjadi tanggungjawab kita semua memelihara dan mempertahankan keutuhan setiap inci tanah air ini termasuk Sabah dan Sarawak,” ujar presidennya, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad.

Katanya, IKRAM terpanggil untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia mempertahankan keutuhan negara yang satu.

Tambahnya, sebarang seruan ke arah sebaliknya, sama ada seruan secara emosi atau provokasi, perlulah dihentikan serta-merta.

Katanya lagi, keresahan dalam kalangan penduduk yang merasakan ketidakseimbangan agihan hasil mahsul negara perlu diselesaikan segera oleh Kerajaan Persekutuan.

Beliau menambah, IKRAM prihatin terhadap keperluan Sabah dan Sarawak kepada kemudahan asas seperti bekalan air yang bersih, bekalan elektrik, perumahan, pendidikan, perubatan, pengangkutan, lebuh raya dan yang seumpamanya.

Mohd Parid menegaskan bahawa Sabah dan Sarawak yang kaya dengan hasil bumi dan sumber manusia perlu dibangunkan secara optimum oleh kerajaan pusat supaya pulangannya kembali kepada rakyat kedua-dua negeri.

Ini, ujarnya akan memastikan pembangunan bersepadu yang lebih saksama serta mengelak perasaan dianaktirikan oleh rakyat kedua-dua negeri.

Sehubungan itu, beliau mengajak semua pihak supaya saling bermuafakat dan menghormati antara satu sama lain ke arah masa depan Malaysia yang lebih baik.

“IKRAM mengingatkan bahawa Allah S.W.T. mengajar kita semua untuk menyuburkan bumi ini dengan seruan-Nya, ‘Rahmatan Lil 'Alamin’ iaitu membawa rahmat dan kasih sayang kepada seluruh penduduk bumi,” ujarnya.

IKRAM juga, ujar beliau menyeru semua pihak agar menghormati Rukun Negara yang menjadi asas perpaduan.

“Sebarang seruan atau ancaman ke arah perpecahan perlu dihentikan serta-merta. Mari kita laksanakan seruan mulia ini,” kata beliau. -HARAKAHDAILY 20/6/2014

Monday, June 16, 2014

KESATUAN & PERSATUAN PEKERJA TNB GESA TOLAK YTL

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Rasa tidak puas hati pelbagai pihak terhadap tindakan kerajaan BN memberi pelbagai kemudahan kepada syarikat pengeluar tenaga bebas (IPP) sehingga mengakibatkan rakyat terpaksa menanggung beban kenaikan tarif elektrik kini turut dirasakan Kesatuan Persatuan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Sehubungan itu mesyuarat tergempar Jawatankuasa Bersama Kesatuan dan Persatuan TNB yang merangkumi Persatuan Eksekutif TNB, Kesatuan Pekerja-Pekerja Pecantuman TNB dan  Tenaga Nasional Berhad Junior Officers Union yang telah diadakan pada 13 Jun lalu sepakat membantah tawaran usahasama secara runding terus (direct nego) membabitkan syarikat IPP, YTL  untuk projek penjanaan tenaga ‘Track 4’ Pasir Gudang, Johor.

Bagi menyatakan bantahan mereka, satu sidang media oleh Pegawai-Pegawai Kesatuan dan Persatuan TNB diadakan pagi ini di Pejabat Tenaga Nasional Berhad Junior Officers Union (TNBJOU) di No 166B, Jalan Faraday, Off Jalan Bangsar, dekat sini.

Kumpulan lebih 200 pegawai kesatuan dan persatuan TNB itu kemudian berarak menuju ke Bangunan Ibu Pejabat TNB, Bangsar, dekat sini bagi menyerahkan memorandum bantahan "Tolak YTL" kepada Pengurusan TNB di Lobi Bangunan Ibu Pejabat TNB.

Memorandum bantahan Kesatuan Sekerja TNB terhadap YTL dibuat berdasarkan pengalaman pahit hasil Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) antara TNB dengan YTL sebagai IPP bermula dari tahun 1993.

Ekoran perjanjian berat sebelah itu, TNB terpaksa menanggung beban kewangan yang tinggi untuk membayar khidmat IPP termasuk YTL.

Oleh kerana perjanjian pertama PPA di antara TNB dan YTL akan tamat pada September 2015, syarikat berkenaan kini mewujudkan konsortium baru bagi menyambung kontrak dan mensasarkan perlaksanaan projek baru di atas tanah TNB di Stesen Janaelektrik Pasir Gudang.
Malah Suruhanjaya Tenaga pada 27 Mei lalu telah menawarkan projek penjanaan tenaga berskala besar 'Track 4' bagi menjana antara 1400MW hingga 2000MW kepada konsortium membabitkan YTL, SIPP dan TNB.

Tawaran projek 'Track 4A' ini dikhuatiri akan menjadi rujukan (set precedence) untuk menyambung kontrak syarikat IPP di masa-masa akan datang.
Malah tanah TNB akan dirampas melalui konsortium yang ditubuhkan sedangkan TNB bukanlah pemegang ekuiti saham majoriti dalam konsortium itu.

TNB juga dikhuatiri akan menghadapi masalah kewangan yang serius di masa hadapan seperti yang pernah dilalui dengan YTL apabila terpaksa membayar kos yang tinggi kepada syarikat IPP tersebut bagi setiap unit penjanaan elektrik.

Beban kos ini terpaksa pula ditanggung oleh rakyat apabila tarif lektrik dinaikkan.
"Pelbagai implikasi lain yang melibatkan jaminan pekerjaan kepada kami (job security) akibat daripada rentetan dari projek ini yang diserahkan kepada YTL secara runding terus," memorandum itu dipetik.

Sementara itu, ketika bercakap kepada pemberita di luar ibu pejabat TNB Kuala Lumpur, Presiden Kesatuan Pegawai Rendah TNB (TNBJOU), Mohd Roszeli Majid menuntut agar YTL tidak diberikan apa-apa projek janakuasa tenaga atau elektrik di negara ini.

“Kami ada pengalaman buruk dengan mereka. Sekali tersengat, selalu beringat," katanya tegas.
 

HARAKAHDAILY, 16/6/2014

Ahli-ahli kesatuan dan persatuan pekerja TNB berarak ke ibu pejabat TNB di Jalan Bangsar Kuala Lumpur bagi menyampaikan memorandum bantahan.

Saturday, June 14, 2014

JAGA ANAK : CADANGAN NAJIB HINA MAHKAMAH SYARIAH


HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malasia (Abim) berpandangan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung perebutan hak penjagaan anak diserahkan kepada Mahakamah Persekutuan dilihat tidak menghormati bidang kuasa dan legitimasi Mahkamah Syariah dalam negara.

Presidennya, Amidi Abdul Manan menegaskan prinsip Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan secara dasarnya memberi kuasa penuh kepada Mahkamah Syariah untuk mengadili semua kes yang melibatkan hal ehwal yang bersangkutan dengan agama Islam dan ianya satu yang baik sebagai salah satu usaha untuk memartabatkan perundangan Syariah dalam negara.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan merujuk kepada kenyataan Najib yang mencadangkan agar kes perebutan hak jagaan anak dalam kes Izwan Abdullah  dan Muhammad Ridzuan Abdullah diserahkan kepada Mahkamah Persekutuan sebagai jalan akhir bagi mengatasi kemelut tersebut.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mencadangkan agar kes perebutan hak jagaan anak dalam kes Izwan Abdullah dan Muhammad Ridzuan Abdullah diserahkan kepada Mahkamah Persekutuan sebagai jalan akhir bagi mengatasi kemelut tersebut.

Abim berpandangan cadangan tersebut dilihat tidak menghormati bidang kuasa dan legitimasi Mahkamah Syariah dalam negara serta menafikan keistimewaan Mahkamah Syariah dalam menjalankan kes-kes yang tidak boleh dicabar oleh Mahkamah Sivil.

Prinsip Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan secara dasarnya memberi kuasa penuh kepada Mahkamah Syariah untuk mengadili semua kes yang melibatkan hal ehwal yang bersangkutan dengan agama Islam dan ianya satu yang baik sebagai salah satu usaha untuk memartabatkan perundangan Syariah dalam negara.

Namun, berdasarkan solusi yang dicadangkan menggambarkan seolah-oleh kerajaan tidak serius dalam mengangkat martabat Mahkamah Syariah di tempat yang sewajarnya yang dijamin oleh Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan tersebut.

Walau bagaimanapun, Abim melihat perbezaan yang ada pada amalan perundangan Mahkmah Sivil dan Mahkamah Syariah sepatutnya tidak ditajamkan. Sebaliknya satu lembaran baru untuk memastikan agar benar-benar kedua-dua sistem ini dapat diharmonikan perlu direalisasikan.

Senario hari ini menunjukkan beberapa peruntukan undang-undang yang wujud telah meletakkan status Mahkamah Syariah berada pada kedudukan yang janggal terutamanya apabila kes yang melibatkan hubungan antara Islam dan bukan Islam.

Abim percaya bahawa konflik akan dapat diselesaikan sekiranya Mahkamah Syariah membenarkan salah seorang pasangan bukan Islam untuk membawa kes mereka ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan keadilan. Kebenaran ini perlu kerana ia melibatkan hak seseorang yang merasakan diri mereka teraniaya.

Dari sudut itu, Abim melihat betapa peranan Mahkamah Syariah dapat dikembangkan hingga menjadi sandaran kepada bukan Islam untuk mendapatkan hak dan keadilan.

Sekiranya perkara ini tidak dilaksanakan, pasangan bukan Islam sudah tentu akan membawa kes mereka ke Mahkamah Sivil kerana ia satu-satunya medium yang membolehkan mereka untuk memperoleh keadilan dan hak.

Maka, sudah tentu persoalan keistimewaan bidang kuasa Mahkamah Syariah akan timbul apabila perintah yang keluar dari Mahkamah Sivil bercanggah dengan ketetapan Mahkamah Syariah.

Dalam perkembangan berkaitan, Abim juga melihat keperluan untuk hakim Mahkamah Syariah yang mengadili kes seumpama ini untuk dilatih dan didedahkan dengan sistem undang-undang sivil, yang meliputi prosedur dan substantive termasuk kes-kes yang menjadiprecedent serta peruntukan undang-undang sedia ada seperti Law Reform Act (LRA) 1976.

Kerajaan khususnya Perdana Menteri mesti menunjukkan keikhlasan terhadap perundangan syariah sama ada yang sedang dilaksanakan dan yang belum dilaksanakan lagi.

Persoalan maqasid syariah seperti yang diungkapkan oleh beliau apabila membicarakan persoalan undang-undang jenayah dalam Islam baru-baru ini memerlukan pembuktian yang jelas.

Abim memandang berat jika ia hanya sekadar alasan dibibir tanpa sebarang ikhtiar yang konkrit bagi memartabatkan perundangan syariah di bumi Malaysia ini. - HARAKAHDAILY 14/5/2014

Thursday, June 12, 2014

MH370 : AUSTRALIA MASIH BERUNDING KONGSI KOS PENCARIAN

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Negara-negara yang terlibat dalam pencarian pesawat MH370 yang hilang 8 Mac lalu, masih belum membuat keputusan bagaimana perkongsian kos dapat dilakukan.

"Kami masih berunding beban perkongsian contohnya dengan Malaysia," kata Ketua Agensi Pusat Penyelarasan Bersama Australia Angus Houston kepada sebuah televisyen Australia pada Selasa.

Setakat ini, Australia dilaporkan negara yang membelanjakan kos paling tinggi untuk misi pencarian MH370 tersebut iaitu sebanyak USD43 juta atau (RM138 juta).

Ia diikuti Amerika Syarikat yang telah membelanjakan sebanyak sebanyak USD$11.4 juta atau RM36.6 juta.

Malaysia pula telah membelanjakan RM27.6 juta setakat ini, manakala Vietnam pula sebanyak USD$8 juta (RM25.7 juta).

Kesemua kos-kos ini dibelanjakan untuk fasa pertama pencarian.

Difahamkan wakil Malaysia masih berada di Canberra untuk membincangkan fasa seterusnya dalam pencarian MH370 di dasar laut.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) sebelum ini telah mengeluarkan tender terbuka bagi mengendalikan pencarian dasar laut itu yang dijadual bermula Ogos tahun ini.

Pencarian fasa dua berkenaan yang dijangka mengambil masa selama 12 bulan bergantung kepada keadaan cuaca.

Dalam pada itu, The Canadian Press melaporkan, kerajaan Australia menjangka membelanjakan USD90 juta (RM289 juta) lagi untuk fasa kedua pencarian.

Malaysia bertanggungjawab bagi operasi carian kerana Pesawat MH370, Boeing 777 itu didaftarkan di Malaysia.

Bagaimanapun Australia dilantik sebagai penyelaras kepada operasi pencarian kerana kedudukannya paling dekat dengan Lautan Hindi di mana pesawat itu dipercayai telah terhempas. - HARAKAHDAILY 12/6/2014

Saturday, June 7, 2014

PRESIDEN PAS DIBENAR KELUAR WAD PAGI INI

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang telah dibenar keluar dari wad pagi ini selepas keadaan kesihatannya semakin baik.

Setiausaha Politiknya, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan perkara itu melalui laman Facebook Tuan Guru Abdul Hadi petang semalam.

"Alhamdulillah Tuan Guru telah dibenarkan keluar dari wad hospital pada pagi ini.

"Beliau juga dinasihatkan oleh doktor pakar di hospital supaya berehat beberapa hari sehingga pulih sepenuhnya untuk pulang ke Malaysia dalam masa yang terdekat ini," katanya.

Tuan Guru Abdul Hadi menerima rawatan di hospital Medipol Universite Hastanesi, Istanbul sejak seminggu lalu selelapas mengalami sesak nafas.

Beliau pada Jumaat lalu dimasukkan ke wad ICU sebelum dipindahkan ke wad biasa pada Selasa lalu selepas kesihatannya beransur pulih. - HARAKAHDAILY 6/6/2014

Followers