Saturday, June 14, 2014

JAGA ANAK : CADANGAN NAJIB HINA MAHKAMAH SYARIAH


HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Angkatan Belia Islam Malasia (Abim) berpandangan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak berhubung perebutan hak penjagaan anak diserahkan kepada Mahakamah Persekutuan dilihat tidak menghormati bidang kuasa dan legitimasi Mahkamah Syariah dalam negara.

Presidennya, Amidi Abdul Manan menegaskan prinsip Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan secara dasarnya memberi kuasa penuh kepada Mahkamah Syariah untuk mengadili semua kes yang melibatkan hal ehwal yang bersangkutan dengan agama Islam dan ianya satu yang baik sebagai salah satu usaha untuk memartabatkan perundangan Syariah dalam negara.

Beliau menyatakan demikian dalam satu kenyataan merujuk kepada kenyataan Najib yang mencadangkan agar kes perebutan hak jagaan anak dalam kes Izwan Abdullah  dan Muhammad Ridzuan Abdullah diserahkan kepada Mahkamah Persekutuan sebagai jalan akhir bagi mengatasi kemelut tersebut.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Merujuk kepada kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang mencadangkan agar kes perebutan hak jagaan anak dalam kes Izwan Abdullah dan Muhammad Ridzuan Abdullah diserahkan kepada Mahkamah Persekutuan sebagai jalan akhir bagi mengatasi kemelut tersebut.

Abim berpandangan cadangan tersebut dilihat tidak menghormati bidang kuasa dan legitimasi Mahkamah Syariah dalam negara serta menafikan keistimewaan Mahkamah Syariah dalam menjalankan kes-kes yang tidak boleh dicabar oleh Mahkamah Sivil.

Prinsip Perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan secara dasarnya memberi kuasa penuh kepada Mahkamah Syariah untuk mengadili semua kes yang melibatkan hal ehwal yang bersangkutan dengan agama Islam dan ianya satu yang baik sebagai salah satu usaha untuk memartabatkan perundangan Syariah dalam negara.

Namun, berdasarkan solusi yang dicadangkan menggambarkan seolah-oleh kerajaan tidak serius dalam mengangkat martabat Mahkamah Syariah di tempat yang sewajarnya yang dijamin oleh Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan tersebut.

Walau bagaimanapun, Abim melihat perbezaan yang ada pada amalan perundangan Mahkmah Sivil dan Mahkamah Syariah sepatutnya tidak ditajamkan. Sebaliknya satu lembaran baru untuk memastikan agar benar-benar kedua-dua sistem ini dapat diharmonikan perlu direalisasikan.

Senario hari ini menunjukkan beberapa peruntukan undang-undang yang wujud telah meletakkan status Mahkamah Syariah berada pada kedudukan yang janggal terutamanya apabila kes yang melibatkan hubungan antara Islam dan bukan Islam.

Abim percaya bahawa konflik akan dapat diselesaikan sekiranya Mahkamah Syariah membenarkan salah seorang pasangan bukan Islam untuk membawa kes mereka ke Mahkamah Syariah untuk mendapatkan keadilan. Kebenaran ini perlu kerana ia melibatkan hak seseorang yang merasakan diri mereka teraniaya.

Dari sudut itu, Abim melihat betapa peranan Mahkamah Syariah dapat dikembangkan hingga menjadi sandaran kepada bukan Islam untuk mendapatkan hak dan keadilan.

Sekiranya perkara ini tidak dilaksanakan, pasangan bukan Islam sudah tentu akan membawa kes mereka ke Mahkamah Sivil kerana ia satu-satunya medium yang membolehkan mereka untuk memperoleh keadilan dan hak.

Maka, sudah tentu persoalan keistimewaan bidang kuasa Mahkamah Syariah akan timbul apabila perintah yang keluar dari Mahkamah Sivil bercanggah dengan ketetapan Mahkamah Syariah.

Dalam perkembangan berkaitan, Abim juga melihat keperluan untuk hakim Mahkamah Syariah yang mengadili kes seumpama ini untuk dilatih dan didedahkan dengan sistem undang-undang sivil, yang meliputi prosedur dan substantive termasuk kes-kes yang menjadiprecedent serta peruntukan undang-undang sedia ada seperti Law Reform Act (LRA) 1976.

Kerajaan khususnya Perdana Menteri mesti menunjukkan keikhlasan terhadap perundangan syariah sama ada yang sedang dilaksanakan dan yang belum dilaksanakan lagi.

Persoalan maqasid syariah seperti yang diungkapkan oleh beliau apabila membicarakan persoalan undang-undang jenayah dalam Islam baru-baru ini memerlukan pembuktian yang jelas.

Abim memandang berat jika ia hanya sekadar alasan dibibir tanpa sebarang ikhtiar yang konkrit bagi memartabatkan perundangan syariah di bumi Malaysia ini. - HARAKAHDAILY 14/5/2014

No comments:

Post a Comment

Followers