Thursday, June 12, 2014

MH370 : AUSTRALIA MASIH BERUNDING KONGSI KOS PENCARIAN

HARAKAHDAILY | .
KUALA LUMPUR: Negara-negara yang terlibat dalam pencarian pesawat MH370 yang hilang 8 Mac lalu, masih belum membuat keputusan bagaimana perkongsian kos dapat dilakukan.

"Kami masih berunding beban perkongsian contohnya dengan Malaysia," kata Ketua Agensi Pusat Penyelarasan Bersama Australia Angus Houston kepada sebuah televisyen Australia pada Selasa.

Setakat ini, Australia dilaporkan negara yang membelanjakan kos paling tinggi untuk misi pencarian MH370 tersebut iaitu sebanyak USD43 juta atau (RM138 juta).

Ia diikuti Amerika Syarikat yang telah membelanjakan sebanyak sebanyak USD$11.4 juta atau RM36.6 juta.

Malaysia pula telah membelanjakan RM27.6 juta setakat ini, manakala Vietnam pula sebanyak USD$8 juta (RM25.7 juta).

Kesemua kos-kos ini dibelanjakan untuk fasa pertama pencarian.

Difahamkan wakil Malaysia masih berada di Canberra untuk membincangkan fasa seterusnya dalam pencarian MH370 di dasar laut.

Biro Keselamatan Pengangkutan Australia (ATSB) sebelum ini telah mengeluarkan tender terbuka bagi mengendalikan pencarian dasar laut itu yang dijadual bermula Ogos tahun ini.

Pencarian fasa dua berkenaan yang dijangka mengambil masa selama 12 bulan bergantung kepada keadaan cuaca.

Dalam pada itu, The Canadian Press melaporkan, kerajaan Australia menjangka membelanjakan USD90 juta (RM289 juta) lagi untuk fasa kedua pencarian.

Malaysia bertanggungjawab bagi operasi carian kerana Pesawat MH370, Boeing 777 itu didaftarkan di Malaysia.

Bagaimanapun Australia dilantik sebagai penyelaras kepada operasi pencarian kerana kedudukannya paling dekat dengan Lautan Hindi di mana pesawat itu dipercayai telah terhempas. - HARAKAHDAILY 12/6/2014

No comments:

Post a Comment

Followers