Monday, December 30, 2013

TIADA ISTILAH SAMBUT TAHUN BARU DALAM ISLAM

KOTA BHARU: Sudah sampai masanya sambutan tahun baru mengikut acuan Barat yang diamalkan sekarang diubah kepada program-program berbentuk keagamaan.
Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, dalam Islam tidak ada istilah sambutan tahun baru kerana umat Islam sentiasa digalak membaca doa khusus setiap pagi dan petang.
“Ubahlah daripada seronok melihat detuman bunga mercun dan acara-acara yang tidak memberi faedah kepada amalan dituntut agama.
“Elok kerajaan buat satu perubahan yang cukup bererti kepada masyarakat. Ini kerana Islam bukan untuk Melayu tetapi semua.
“Kalau orang Melayu mulai berubah kepada Islam, orang bukan Islam termasuk belia-belia Cina sebagai orang cerdik dan intelek akan mendapat kesedaran baru,” katanya di sini.
Pelbagai pihak sehari dua ini tampil mendesak supaya sambutan tahun baru 2014 diganti dengan acara keagamaan yang ternyata lebih baik berbanding mengekalkan budaya Barat.
Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Hassan Ahmad semalam dilaporkan berkata, wajar sekali sambutan tahun baru diisi program solat hajat, bacaan Yassin dan ceramah.
Tuan Guru Nik Abdul Aziz yang juga mantan Menteri Besar Kelantan berkata, orang bukan Islam sekarang hendak tengok perubahan yang dibawa oleh orang Islam.
“Jadi mudah-mudahan Insya-Allah seruan sesetengah pihak untuk kembali kepada agama bagi sambutan tahun baru sebagai satu petanda baik.
“Saya cukup-cukup gembira. Mudah-mudahan kita balik kepada agama bukan kerana tersempit dengan harga barang mahal tetapi kerana Allah Taala.
“Ini kerana dalam Islam tidak ada istilah sambutan tahun baru. Setiap pagi dan petang umat Islam diajar membaca doa khusus,” ujarnya.
Menurutnya sambutan tahun baru yang dilakukan sekarang hanya meniru budaya Barat sehingga menghabiskan duit dan masa.
Beliau juga berkata, nikmati kesenangan yang diberi juga dianggap sebagai bala dan bukannya ketika susah sahaja.
“Bagi kita orang Melayu bala hanya perkara susah sahaja dan senang tidak disebut sebagai bala, itu tidak betul. Kita senang sampai sombong macam Firaun bererti kita tidak mensyukuri kesenangan yang Allah Taala berikan.
“Kita susah kemudian merompak, merasuah dan sebagainya, ini bererti kita sudah kalah terhadap ujian diberi Allah Taala.
“Senang kita bersyukur. Susah kita ingat kepada Allah. Banyak benda-benda yang berlaku dalam masyarakat sekarang berbeza apa yang diajar Allah Taala,” tambahnya.
Sementara itu Ketua Penerangan Pemuda PAS Kelantan, Nor Azariza Mohd Alawi berkata, sambutan tahun yang diamalkan sekarang tidak menepati kehendak agama, bahkan melanggar adat dan tatatusila ketimuran.
Katanya, pergaulan bebas dan pendedahan aurat sehingga menghasilkan kegiatan sosial yang tidak bermoral.
“Lebih malang apabila ia turut disertai pemimpin-pemimpin Islam. Adalah lebih baik diadakan program alternatif yang tidak bertentangan dengan agama pada malam tahun baru,” katanya.
Sehubungan itu Pemuda PAS dengan kerjasama Alumni Pelajar Mesir, Gabungan Mahasiswa Islam Semenanjung, Cakna Palestin, Nisa', R, Markaz Siswazah Kelantan dan Persatuan Mahasiswa KIAS akan menyantuni belia dan remaja pada malam tahun baru 2014 di sekitar bandar Kota Bharu.
“Kami akan mengedar buah tangan dan risalah berbentuk komik. Diharap usaha itu ada manfaatnya kepada pembinaan sahsiah remaja,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Followers