Friday, September 6, 2013

DEDAH BAGAIMANA HASIL PETRONAS DIBELANJA

Harakahdaily, 06 Sep 2013
KUALA LUMPUR: Kerajaan  pimpinan Dato’ Seri Najib Razak disaran meminda Akta  Pembangunan Petroleum 1974 untuk menjadikan syarikat minyak negara Petronas  bertanggungjawab kepada Parlimen dan bukan sekadar bertanggungjawab kepada Perdana  Menteri.

Langkah ini penting bagi menjamin ketelusan tadbir urus kewangan kerajaan dan  syarikat berkaitan kerajaan (GLC) itu di samping  mempertahankan kepentingan Petronas daripada  terus 'diperah' oleh kerajaan dengan dipaksa menyerahkan keuntungannya tanpa  ketelusan, malah dapat menjawab persoalan mengapa harga runcit petrol tidak  diturunkan apabila harga minyak mentah di pasaran antarabangsa mencatat kenaikan.

Gesaan ini dibuat sebuah badan pemikir bebas, Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dalam kenyataan media dikeluarkan Pengarah Eksekutif Kajian Politiknya, Ooi Heng.

Menurut Oii, Najib ketika merasmikan Seminar Minyak dan Gas Asia 2013 (AOGC) di Pusat  Konvensyen Kuala Lumpur, 10 Jun lalu mengakui industri minyak dan gas menyumbang  lebih 40 peratus kepada pendapatan negara.
Malah Petronas dijangka menjana RM131.4 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar (PNK).

Bagaimanapun pada 27 Ogos lalu, syarikat minyak itu mengumumkan bayaran dividen RM27  bilion kepada kerajaan bagi 2013, susut RM3 bilion berbanding tahun lalu.

"Ini bermakna pendapatan kerajaan akan menurun memandangkan Petronas adalah  penyumbang terbesar kepada sumber pendapatan kerajaan," ujar Oii.

Pada 2 September, Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan mengumumkan harga diesel  dan minyak petrol RON95 dinaikkan sebanyak 20 sen seliter mulai tengah malam, 3  September.

Menurut Najib, ia salah satu langkah rasionalisasi atau penyusunan semula subsidi  yang dilaksanakan secara berperingkat oleh kerajaan dan bertujuan mengukuhkan  kedudukan kewangan negara dalam menghadapi persekitaran ekonomi dunia yang mencabar.

Oii menambah, keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu diburukkan lagi dengan  penurunan pendapatan kerajaan, penurunan eksport negara, kejatuhan nilai ringgit,   defisit fiskal yang tinggi dan pertumbuhan ekonomi negara yang gagal mencapai  sasaran.

Pemotongan subsidi minyak, ujarnya bertujuan mengurangkan perbelanjaan kerajaan di  samping mengganti balik pendapatan kerajaan yang berkurangan.

"Penting sekali, kenaikan harga minyak ekoran penstrukturan semula subsidi ini bakal  diikuti dengan pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST)," tegasnya.

Petronas adalah pembayar cukai dan sumber hasil terbesar negara yang membentuk  sekurang-kurangnya 30 peratus hasil kerajaan persekutuan.

Namun jelas Oii, butiran-butiran tentang bagaimana hasil yang disumbang itu dibelanja  dan digunakan oleh kerajaan tidak ditunjukkan dalam akaun rasmi atau didedahkan.

"Berikutan itu KPRU berpendapat, Petronas harus bertanggungjawab kepada Parlimen dan  tidak lagi disembunyikan daripada tatapan wakil rakyat dan rakyat Malaysia," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Followers