Friday, September 5, 2014

MEDIA USAH 'SERKAP JARANG' - PRESIDEN PAS

KHAIRUL AZLAM MOHAMAD | .
MARANG: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang enggan mendedahkan senarai nama calon bakal MenterI Besar Selangor yang telah dihantar oleh parti itu kepada pihak Istana, 3 September lalu.

Justeru, beliau turut menasihatkan kepada pihak media agar tidak membuat spekulasi serta ‘serkap jarang’ terhadap nama-nama yang diserahkannya itu. (Orang ramai beratur untuk bersalaman dengan Abdul Hadi Awang selepas kuliah mingguan pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang.)

Hal ini kerana, kata Datuk Seri Abdul Hadi setelah senarai nama calon Menteri Besar yang diminta oleh pihak Istana dihantar menjadi hak Sultan Selangor mengumumkannya.

“Saya berpegang kepada prinsip dan konsep Perlembagaan iaitu Raja Berperlembagaan. Saya tak boleh beritahu, tak boleh mendahului Istana.

“Itu (spekulasi) saya tidak mahu serkap jarang. Saya tidak mahu bagi media serkap jarang, setelah saya serah kepada Istana dan Istana ‘berpijak’ di atas konsep Raja Berperlembagaan,”ujarnya ketika ditemui pihak media selepas menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Masjid Rusila, Marang hari ini.

Abdul Hadi diasak oleh pihak media agar PAS mendedahkan senarai nama calon MB Selangor yang baharu serta tidak mencalonkan nama Presiden PKR, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail.

“Itu (nama calon) saya tak boleh sebut… takboleh sebut. Ini setelah saya serah kepada Sultan (Sharafuddin Idris Shah) saya tak boleh lagi sebut apa-apa,” jelasnya.

Malah, kata beliau, PAS tidak pernah tunduk atau mengalah kepada mana-mana parti tetapi berpegang teguh dengan kesepakatan dalam konvensyen Pakatan Rakyat.

“Tidakmengalah, kita (PAS) berpegang kepada konvensyen Pakatan Rakyat yang meletakkan Islam agama Persekutuan, Raja Perperlembagaan. Itu dalam Pakatan Rakyat,” tegasnya.

Presiden PAS itu turut ditanya tentang spekulasi penubuhan sebuah parti baharu ‘pecahan’ PAS yang dinamakan Parti Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma), adakah bakal memberi saingan kepada parti.

Kata Abdul Hadi, beliau tidak tahu menahu mengenai penubuhan parti Pasma itu tetapi tidak menjadi masalah dalam negara demokrasi.

“Negara kita (ini) demokrasi dan pernah dulu parti Islah dan sebagainya pernah ditubuhkan itu biasalah dalam negara demokrasi,” jelasnya.

Isu kontroversi jawatan Menteri Besar Selangor kembali ‘hangat’ setelah tarikh senarai nama calon yang diminta oleh pihak Istana Selangor daripada Pakatan Rakyat terdiri parti PKR, DAP dan PAS berakhir pada 3 September lalu.

Sebelum itu, PAS tetap dengan keputusan bersama Majlis Pakatan Rakyat bahawa jawatan MB Selangor tersebut diserahkan kepada Parti KeADILan Rakyat.

Yang berikut adalah transkrip penuh temubual ringkas Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama pihak media kurang dari tiga minit itu.

Soalan (S): Sekarang ini, PAS telah hantar tiga nama yang ditandatangani oleh Datuk Seri (Abdul Hadi) sendiri. Jadi, Datuk Seri nak sahkan?

Jawapan (J): Saya mengikut budi bicara Presiden PAS sejak tahun 1959, saya ikut Presiden PAS dulu yang pernah memerintah Terengganu, Kelantan. Pernah memerintah Kedah dan pernah memerintah Terengganu lagi. Pernah kita (PAS) sendiri. Pernah dalam BarisanNasional (BN). Pernah Pakatan Rakyat, Dr Burhanuddin, Dr Asri dan zaman Almarhum Ustaz Mohd Fadzil Noor. Saya ikut budi bicara Presiden PAS ini. Saya berpegang kepada prinsip dan konsep Perlembagaan iaitu “Raja Berperlembagaan”.

S: Tiga orang yang dicalonkan oleh PAS (jawatan MB) itu boleh…
J: Saya tak boleh beritahu, tak boleh mendahului Istana.
S: Yang (dikatakan) seorang dari PAS dan dua PKR itu?
J: Itu, kita (PAS) serah kepada Istana… itusahaja.
S: Tapi Datuk Seri, sumber yang sebelum ini memang telah dinafikan tapi yang pastinya antara tiga daripada nama itu memang tidak ada Datin Seri Wan Azizah?
J: Itu saya tidak mahu serkap jarang. Saya tidak mahu bagi media serkap jarang, setelah saya serah kepada Istana dan Istana ‘berpijak’  diatas konsep Raja Berperlembagaan.
S: Datuk Seri, adakah keputusan ini pendirian PAS sendiri atau menggambarkan PAS telah mengalah kepada parti lain?
J: Tidak mengalah, kita (PAS) berpegang kepada konvensyen Pakatan Rakyat yang meletakkan Islam agama Persekutuan, Raja Perperlembagaan. Itu dalamPakatan Rakyat.
S: Datuk Seri, satu lagi ini ada penubuhan parti baru iaitu Parti Ummah Sejahtera Malaysia (Pasma) dan ‘top leader’ ialah Fakhrolrazi… macam mana tu?
J: Saya tak tahu… saya tak tahu tu.
S: Adakah ini boleh memberi saingan kepada PAS?
J: Negara kita demokrasi dan pernah dulu parti Islah, parti suara Islam dan sebagainya pernah ditubuhkan itu biasalah dalam negara demokrasi.
S: Jadi Datuk Seri, memang benarlah tidak ada nama Datin Seri Wan Azizah yang dihantar ke Istana?
J: Itu saya tak boleh sebut… tak boleh sebut. Ini setelah saya serah kepada Sultan (SharafuddinIdris Shah) saya tak boleh lagi sebut apa-apa.
S: Terima kasih, Datuk Seri (Abdul Hadi). – HARAKAHDAILY 5/9/2014

No comments:

Post a Comment

Followers