Wednesday, July 9, 2014

PAS KECAM ZIONIS MAKIN KEJAM BUNUH RAKYAT PALESTIN

SALMIYAH HARUN | .
KUALA LUMPUR: PAS mengecam sekeras-kerasnya tindakan tentera zionis Israel yang bertindak ganas ke atas rakyat Palestin ketika ini menyebabkan lebih 50 rakyat di bumi Gaza itu terbunuh.

Pengerusi Lajnah Hubungan Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata tindakan ganas Israel menggunakan jet F16, roket, dan kereta kebal untuk menyerang dan memusnahkan bangunan yang menempatkan pejuang Hamas.

"Tindakan Israel itu menyebabkan 100 orang awam cedera malah berpuluh-puluh bangunan dan rumah dimusnahkan. Inilah sikap kejam Zionis bukan sahaja merampas bumi Gaza bahkan merosakkan segala tanaman buah zaitun yang diusahakan oleh rakyat Palestin," katanya kepada Harakahdaily.

Tegasnya, PAS sentiasa berdiri teguh bersama-sama Hamas untuk mempertahankan bumi Gaza serta mahukan pembebesan diberikan kepada rakyat Palestin.

PAS juga menggesa dunia antarabangsa khususnya negara-negara Islam membantah keras apa yang dilakukan oleh Israel selain bersatu untuk mempertahankan hak dan penduduk Palestin.

"Kita doakan rakyat Gaza bersabar dan istiqamah terus mempertahankan bumi Palestin.

"Sepanjang Ramadan ini, kita dan seluruh pimpinan serta rakyat negara ini akan terus mendoakan agar bumi Gaza diberi perlindungan oleh Allah SWT dan kekuatan kepada mereka untuk menentang zionis," katanya.

Justeru, PAS menyeru badan-badan antarabangsa seperti Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu agar mendesak Israel menghentikan segera serangan dan pembunuhan ke atas rakyat Palestin.

Dilaporkan Isreal telah melepaskan serangan pada 3 Julai ketika rakyat Palestin sedang bersahur, kini serangan terus dilakukan oleh Israel.

Sumber daripada Pusat Informasi Palestin (PIC) melaporkan pesawat tempur Zionis menyerang dua pos keamanaan milik Brigade Izzuddin Al Qassam, sayap tentera Hamas di barat Rafah, Jalur Gaza di bahagian selatan dan di Kampung Tufah serta Wilayah Maqusi. -HARAKAHDAILY 8/7/2014

No comments:

Post a Comment

Followers