Saturday, February 8, 2014

HARGA BARANG :SEDARKAN RAKYAT YANG TAK FAHAM



KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengingatkan rakyat agar tidak leka dengan isu ketegangan kaum dan agama yang sedang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.

Sebaliknya beliau menegaskan, rakyat harus terus memberikan tumpuan kepada isu kenaikan harga barang dan kos sara hidup yang cuba ditutup Umno-BN.

Beliau berkata, menjadi tanggungjawab ahli-ahli Pakatan Rakyat untuk memberikan kesedaran kepada rakyat tentang masalah kos sara hidup yang semakin menghimpit.

"Malangnya setelah rakyat tidak disedarkan dengan apa yang menimpa mereka, rakyat dilalaikan dengan isu yang sengaja diadakan-adakan.

"Isu kelemahan Kerajaan BN, isu harga barang naik, isu gejala sosial dan kegagalan pendidikan ini merupakan kelemahan BN.

"BN nak tutup kelemahan dia buat satu isu iaitu isu agama dan perkauman supaya kita ralit dengan isu ini dan tenggelamkan masalah sebenar rakyat.

"Kita jangan terperangkap dengan permainan yang liar dan menipu ini tapi marilah kita bersama kepimpinan yang membuktikan kesetiaan mereka kepada perjuangan membela rakyat walaupun memakan masa berpuluh-puluh tahun," kata beliau swaktu berucap merasmikan Pelancaran Roadshow Kempen Jom Turun di Desa Pandan, dekat sini malam tadi.

Ustaz Hadi juga menggesa ahli PAS yang memahami isu sebenar untuk menyebarkan kesedaran kepada rakyat agar maklumat yang diperoleh tidak hanya berlegar dalam kalangan mereka yang faham sahaja.

"Malangnya kesedaran dan keinsafan tidak berlaku dalam kalangan rakyat dan tanggungjawab kita menyedarkan rakyat, menyampaikan penjelasan kepada mereka supaya mereka faham.

"Kepada saudara-saudara yang hadir tidak menjadi masalah, yang selalu dengar ceramah tapi apa yang penting maklumat perlu disampaikan kepada rakan yang tak ada maklumat, sedarkan dan insafkan mereka.

"Kita tidak boleh buat perubahan kalau tiap-tiap malam hadir ceramah syok sendiri sahaja tapi maklumat tidak sampai kepada pihak lan," katanya di hadapan kira-kira 500 hadirin.

Beliau turut menyentuh mengenai kegagalan BN melaksanakan sistem percukaian yang mematuhi syariat Islam sebaliknya mengenakan cukai yang turut membebankan orang miskin.

Katanya, sistem pembahagian zakat di negara ini juga gagal menyelesaikan masalah kemikinan dalam kalangan rakyat kerana zakat diberi bukan bertujuan memulihkan ekonomi mereka.

"Mengikut kaedah Islam beri bantuan mestilah boleh memulihkan ekonomi seseorang dan dia tidak perlu minta sedekah lagi. Kecuali orang miskin yang cacat yang tidak ada penjaga dan tidak boleh dipulihkan.

"Adapun orang muda yang menganggur yang tidak ada pendapatan, ini perlu dipulihkan ekonomi dengan bantuan yang membebaskan mereka daripada kemiskinan.

"Apa yang berlaku pada hari ni yang miskin tak dibebaskan tapi ditambah miskin yang baru, bertalu-talu dari semasa ke semasa," katanya.

Mengambil contoh negara Jepun, beliau berkata Malaysia sebagai sebuah negara Islam harus berasa malu kepada Jepun yang mengamalkan sistem ekonomi seperti yang diajar dalam Islam.

"Ada negara dalam dunia mengikut contoh Islam contohnya negara Jepun memberikan subsidi kepada petani-petani 99 peratus kerana kerajaannya nak menggalakkan makanan yang cukup bagi negara Jepun.

"Kalau berlaku peperangan atau bencana, makanan dia cukup, harga barang makanan boleh dibeli oleh rakyat miskin. Ini cara subsidi Jepun ditambah kemajuan industri. Kilang-kilang kereta, kapal yang dimiliki oleh orang kaya dikenakan cukai berganda dan tidak membebankan orang miskin. Ini cara yang Islam ajar. Malangnya negara Islam tidak ikut cara Islam dan ini sangat memalukan," katanya.

Berbeza dengan Malaysia katanya, yang sentiasa menaikkan cukai dan harga barang apabila berlaku krisis kewangan.

"Kita apabila tidak cukup duit naikkan cukai. Apabila naikkan cukai naikkan harga barang. Kedudukan ekonomi rakyat tidak meningkat, gaji tidak cukup, ini menempah jenayah maksiat, kemungkaran dan berlakulah gejala yang tidak sihat disertakan pendidikan yang gagal.

"Pendidikan yang membodohkan rakyat supaya mengabdikan diri kepada kerajaan sama ada benar atau salah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Followers