Wednesday, February 22, 2012

IKTIRAF ISRAEL : BN PERLU MINTA MAAF

Aziz Muda, 21 Feb 2012 HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR, 21 Feb: Kerajaan BN perlu meminta maaf kepada seluruh rakyat negara ini dan seluruh rakyat Palestin kerana tindakannya yang mengiktiraf negara haram Israel.

Walaupun pihak kerajaan menafikan pengiktirafannya terhadap negara itu, tetapi tindakan-tindakan yang dilakukan jelas menunjukkan Kerajaan BN sebenarnya sememangnya mempunyai hubungan dan mengiktiraf negara haram regim zionis Israel.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, terdapat beberapa bukti yang tidak dapat disembunyikan yang jelas menunjukkan Kerajaan BN mengiktiraf negara haram Israel.

Menurutnya, bukti pertama boleh dirujuk kepada ketibaan pasukan kriket negara itu ke negara ini beberapa tahun lalu untuk turut sama menyertai satu kejohanan yang berlangsung di tanah air.

Katanya, walaupun Malaysia tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel, tetapi pasukan kriket negara itu telah dibenarkan memasuki negara ini dan ini jelas menunjukkan Kerajaan BN sememangnya mengiktiraf Israel.

"Terbaru, 16 Februari lalu, dua buah kapal dagang yang dimiliki oleh Israel telah berlabuh di Westport, Pelabuhan Klang. Jika tidak dengan kebenaran pihak kerajaan, takkan kapal dagang Israel itu boleh berlabuh di negara kita?

"Jadi ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan BN sememangnya mempunyai hubungan dengan Israel dan mengiktiraf negara Israel walaupun dinafikannya," katanya ketika ditemui Harakahdaily, di sini, hari ini.

Selain itu, menurutnya, terdapat beberapa bukti lain yang jelas menunjukkan ujudnya hubungan antara Kerajaan BN dan Israel termasuk dalam bentuk perdagangan.

"Walaupun kerajaan mengatakan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan negara haram itu, tetapi Malaysia sebenarnya turut menghantar beberapa barangan perdagangan ke Israel, contohnya kelapa sawit," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, manakala hubungan antara Kerajaan BN dengan APCO pula turut memperjelaskan lagi perkara itu.

"Hubungan antara Kerajaan BN dengan APCO telah menyebabkan begitu banyak wang rakyat negara ini mengalir kepada regim haram Zionis Israel.

"Wang yang diperolehi oleh Israel itu pula turut digunakan oleh Israel untuk menyerang Palestin. Jadi apa ertinya itu semua? Kita amat kesal dengan segala tindakan Kerajaan BN berhubung perkara ini," tegasnya.

Walaupun Kerajaan BN cuba berselindung dengan pelbagai cara mengenainya, tetapi bukti yang menunjukkan Kerajaan BN mempunyai hubungan dan mengiktiraf Israel kini telah pun terbongkar satu demi satu.

"Jadi, apakah lagi alasan Kerajaan BN untuk menyembunyikan perkara itu? Di sebalik mereka menuduh orang lain yang mempunyai hubungan dengan Israel, mereka sendiri sebenarnya yang menjalin hubungan dan mengiktiraf negara haram regim Zionis Israel itu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Followers