Wednesday, September 14, 2011

MUNAJAT PERDANA SEMPENA 60 TAHUN PAS


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 14 Sept: Sambutan 60 tahun PAS yang bakal diadakan pada 30 September sehingga 1 Oktober ini di Dewan Milenium, Kepala Batas akan dimulakan dengan munajat perdana.

“Dalam situasi PAS berhadapan dengam pelbagai tekanan dan fitnah kini, sambutan 60 tahun PAS ini akan dimulakan dengan munajat perdana pada malam 30 September.

"Munajat ini dijangka akan dihadiri oleh sepuluh ribu orang terdiri dari pimpinan utama negeri-negeri, ahli dan penyokong PAS serta pimpinan Pakatan Rakyat. Munajat ini turut akan membariskan kepimpinan utama parti dari Mursyidul Am, Presiden, Timbalan Presiden, dan seluruh kepimpinan utama PAS Pusat,” kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam satu kenyataan hari ini.

Tuan Ibrahim juga memaklumkan bahawa sambutan 60 tahun PAS akan mengingatkan seluruh kepimpinan dan ahli parti terhadap usaha gigih pejuang-pejuang lampau dalam mengharungi pelbagai suka duka, tekanan, penindasan dan pelbagai mehnah selama 60 tahun PAS di persada tanahair.

Menurut beliau, sejarah jatuh bangun PAS selalu berhadapan dengan golongan yang menolak gagasan Islam sebagai satu sistem hidup yang lengkap kerana fahaman sekularisme yang menebal.

“Semua tekanan dan penindasan in berterusan sehingga kini. Ketabahan pimpinan lampau dengan penuh kesabaran mendidik masyarakat memahami tuntutan menegakkan Islam dan penghayatan bagi menegakkan sebuah masyarakat yang terlaksana di dalamnya seluruh sistem Islam adalah mujahadah yang besar, yang perlu dihayati, difahami dan dihargai oleh generasi baru,” kata beliau.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang turut memaklumkan sambutan 60 tahun PAS akan dimeriahkan lagi oleh pameran dari negeri-negeri, tayangan video kejayaan negeri Pakatan Rakyat serta gerai-gerai pameran dan perdagangan.

Pelbagai aktiviti dari dewan-dewan, katanya akan turut diadakan melibatkan persembahan, sukaneka dan pelbagai anugerah kejayaan PAS di seluruh negara.

“Kemuncak program ialah ceramah perdana melibatkan pimpinan tertinggi parti dan pelancaran jentera pilihanraya seluruh negara. Diharapkan pelancaran ini akan menyemarakkan semangat bekerja seluruh petugas parti bagi menghadapi pilihanraya umum ke 13,” tambah beliau lagi.

No comments:

Post a Comment

Followers